Pages

Translate

Monday, November 28, 2011

KPT mahu lahir ramai usahawan siswazah

KOTA BHARU 28 Nov. – Kementerian Pengajian Tinggi menggariskan enam dasar bagi memantapkan pembangunan keusahawanan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melahirkan modal insan berkualiti serta mempunyai nilai keusahawanan.
Ketua Setiausahanya, Datuk Ab. Rahim Mohd. Noor berkata, antara dasar itu menubuhkan Pusat Keusahawanan di setiap IPT selain menyediakan pendidikan dan program keusahawanan yang terancang dan holistik.
“Dasar lain adalah memantapkan program pembangunan dan pengukuhan keusahawanan, mewujudkan mekanisme pengukuran yang berkesan, menyediakan persekitaran dan ekosistem yang kondusif bagi pembangunan keusahawanan serta mengukuhkan kompetensi tenaga pengajar keusahawanan,” katanya ketika berucap merasmikan program Kita Cakna Usahawan dan Kerjaya Kolej-kolej Komuniti Malaysia 2011 di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Mejar Prof. Madya Kamarudin Kasim.
Ab. Rahim berkata, dasar tersebut adalah usaha kementerian bagi melahirkan lebih ramai usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin kepada transformasi ekonomi negara ke arah mencapai negara maju menjelang tahun 2020.
“Program Cabaran Keusahawanan seperti yang dijalankan oleh Kolej Komuniti ini adalah antara program yang disusun secara terancang, perlu diteruskan bagi membentuk dan membudayakan nilai keusahawanan di kalangan pelajar serta melahirkan usahawan seperti yang dikehendaki oleh dasar tersebut,” katanya.

Tarikan gedung ilmu

PERPUSTAKAAN Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mencipta keunikan tersendiri dengan menawarkan kemudahan bertaraf dunia kepada masyarakat.
Antara paling menarik perhatian ialah teater enam dimensi (6D) menjadikan satu-satunya perpustakaan di dunia yang memiliki kemudahan itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad, berkata kelainan itu menarik minat orang ramai mengunjungi perpustakaan itu sebagai gedung ilmu.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan bagi meningkatkan minat membaca dan mensasarkan agar kemudahan itu dinikmati semua pihak.

“Kami berusaha keras menjadikannya gedung ilmu yang bukan saja menjanjikan penambahan pengetahuan malah mempunyai pelbagai tarikan penuh keseronokan,” katanya.

Perpustakaan itu turut menyediakan kemudahan tempat pembacaan kanak-kanak, ruangan teknologi maklumat dan multimedia.

“Perpustakaan ini memiliki mini gimnasium bagi memberi peluang pengunjung membaca sambil beriadah selain dikelilingi pemandangan menghijau yang mendamaikan jiwa. Tidak ketinggalan, peralatan teknologi canggih seperti komputer, auditorium dan peralatan serba mewah demi keselesaan pengunjung,” katanya.

Mastura, berkata perpustakaan Raja Tun Uda sangat menekankan aspek ‘santai’ untuk memberi sentuhan baru kepada pengunjung, justeru ia digelar ‘Rumah Keduaku’.

“Justeru, perpustakaan ini memberi penekanan santai kepada setiap pengunjung ibarat seperti di rumah sendiri. Antaranya, mereka perlu membuka kasut sebelum dibenarkan masuk. Setakat ini tiada rungutan malah mereka melakukan dengan gembira,” katanya.

Perpustakaan ini menyediakan pelbagai bahan bacaan merangkumi kesihatan, sukan dan kejuruteraan. Kemudahan menjadi ahli adalah percuma.

Gelap mata tengok duit

UNTUK PEMBELAJARAN...kursus tertentu juga menuntut mahasiswa menghabiskan duit untuk membeli keperluan belajar menyebabkan masyarakat perlu memahami keadaan mereka.
UNTUK PEMBELAJARAN...kursus tertentu juga menuntut mahasiswa menghabiskan duit untuk membeli keperluan belajar menyebabkan masyarakat perlu memahami keadaan mereka. 
 
 


SEORANG rakan penulis hampir pengsan melihat jumlah pinjaman berjumlah puluhan ribu ringgit yang terpaksa dibayar sepanjang tiga tahun belajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Dengan nada kesal dia berkata; “Jika aku tahu, pasti duit pinjaman itu dibelanjakan dengan bijak supaya tidak sengsara kemudian hari.”

JANGAN BOROS...pelajar perlu berbelanja mengikut keperluan.
PERLU DIBAYAR...mahasiswa perlu sedar, duit yang diberikan bertujuan meringankan bebanan pembelajaran, bukan kegunaan peribadi, justeru berhati-hatilah berbelanja agar tidak menyesal kemudian hari. - Gambar Hiasan.
CANGGIH...pelbagai gajet berteknologi di pasaran menjadikan ada segelintir mahasiswa lelaki rambang mata dan membuat pembelian meskipun harganya mahal. - Gambar Hiasan.
PENAMPILAN...segelintir mahasiswa berpendapat tidak salah mengeluarkan sedikit belanja untuk menjaga ketrampilan supaya lebih berkeyakinan. - Gambar Hiasan.













Senario menimpa rakan penulis itu bukanlah luar biasa kerana sebahagian besar mahasiswa gelap mata apabila menerima wang pinjaman setiap semester.

Biarpun tujuan utama pinjaman itu untuk meringankan bebanan sepanjang pengajian terutama membayar yuran, penginapan dan makanan, ramai tersasar dengan membeli barangan peribadi.

Akibat terlalu boros berbelanja dan mengikut hawa nafsu, ramai yang menderita kerana terpaksa membayar balik pinjaman.

Mahasiswa Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Zalikha Ismail, 22, berkata bukan tidak bijak merancang perbelanjaan namun godaan luar menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

Menurutnya, sebagai orang muda, mereka tidak dapat menolak keinginan terhadap sesuatu sehingga gelap mata melihat wang.

“Sikap ini menyebabkan kami terjerumus kepada sikap boros hingga mengabaikan kepentingan sebagai pelajar. Pada masa sama, terlalu banyak sangat godaan yang menarik untuk berbelanja.

“Kami orang muda, sudah tentu mahu kelihatan cantik dan hebat di mata orang lain biarpun terpaksa berhabisan menggunakan pinjaman pendidikan,” katanya.

Bukan isu besar apabila mahasiswa mahu membelanjakan wang diterima namun menjadi sebaliknya jika membazir.

Antara faktor mengapa mereka boros berbelanja kerana pengaruh rakan dan persekitaran selain iklan yang menggoda di media massa.

Disajikan dengan kisah kehebatan, kewajaran dan keistimewaan menyebabkan golongan itu mencuba biarpun kemampuan membeli sangat terbatas.

Selain itu, pujukan atau ‘promosi hebat’ rakan juga pasti menggamit keinginan mahu mencuba biarpun terpaksa membelanjakan pinjaman atau meminta bantuan keluarga.

Dia berkata, meskipun ada kesedaran, sukar menepis godaan kerana tarikan lebih hebat daripada berfikir secara wajar.

“Setiap hari kami disogokkan dengan pelbagai kisah menarik dari pelbagai arah, bukan saja kami boleh kalah, malah orang lain yang mempunyai pendapatan tetap juga kecundang.

“Kekurangannya ialah kerana kami tidak mempunyai pendapatan tetap, itu yang memperlihatkan keburukan lebih ketara berbanding kelompok lain.

“Kami dilabelkan boros biarpun apa yang dibeli itu tidak mahal atau mampu dimiliki bersesuaian dengan bajet kewangan,” katanya mengakui kebanyakan mahasiswa juga sering berhabis untuk membeli keperluan belajar.

“Biarpun memperoleh pinjaman, ada kalanya ia tidak mencukupi terutama membiayai keperluan kursus tertentu. Itu juga salah satu sebab kewangan tidak mencukupi hingga terpaksa meminta dari ibu bapa.

“Namun, adakah masyarakat tahu keperluan kami? Saya percaya hanya sedikit yang memahami sedangkan lain beranggapan kami boros berbelanja dan menghabiskan wang sesuka hati.

“Biarpun mengakui ada yang terlebih boros, bukan semuanya untuk keseronokan semata-mata kerana lebih kepada keperluan pengajian,” katanya.

Adakah ini bermakna masyarakat tidak boleh menegur?

Katanya, mereka perlu lebih bersikap adil dan tidak terlalu prejudis apabila melihat mahasiswa membelanjakan duit.

“Bukanlah masyarakat tidak boleh berbuat demikian namun ada kalanya ia cukup tidak adil dan mengguris hati dengan tanggapan kurang benar.

“Adakah membazir membeli pakaian baru sedangkan ia satu keperluan. Percayalah, sebahagian besar kami tidak akan sewenang-wenangnya menghabiskan duit.

“Kebanyakan hanya membeli jika ia murah namun ada yang terlebih boros semata-mata untuk kepuasan diri atau tidak pandai menghargai duit,” katanya.

Mengenai gender pula, dia mengakui wanita lebih boros berbanding lelaki namun tertumpu pada pembelian tertentu seperti aksesori, tekstil dan kasut.

“Semuanya lebih menjurus untuk kelihatan bergaya dan cantik pada pandangan orang lain. Mungkin tidak kena pada masanya namun ini salah satu cara untuk tampil lebih berkeyakinan.

“ Berbanding lelaki yang sukakan gajet terkini, apa yang dibeli wanita masih berpatutan dan tidak boleh dipersoalkan keterlaluan,” katanya.

Rakannya, Mohd Ilham Ahmad, 23, dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, berkata menyekat kemahuan mahasiswa daripada terus berbelanja pasti tidak berguna kerana mempunyai sikap mahu mencuba dan bersaing.

Menurutnya, biarpun teguran masyarakat berniat baik, segelintir mahasiswa pasti tidak selesa dan menganggapnya sebagai hak individu.

“Duit diperoleh adalah hak masing-masing, justeru hujah mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan itu tidak salah biarpun akibatnya buruk bagi jangka panjang.

“Ada kalanya, mentaliti mahasiswa ini dikongkong dengan rasa ego dan beranggapan sudah dewasa untuk mencorakkan kewangan sendiri, jadi tidak mahu masyarakat campur tangan.

“Mereka hanya akan tersedar jika akibatnya sudah buruk, pada masa itulah sedar bahawa nasihat diberikan bertujuan baik,” katanya.

Tuesday, November 22, 2011

Di semua IPT akan ada Kedai Rakyat 1M

KUALA LUMPUR 22 Nov – Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini akan menikmati kemudahan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha ini akan diteruskan ke seluruh IPT bagi memastikan pelajar turut mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kita sedia maklum pelajar juga menghadapi perbelanjaan yang tinggi dan tidak terkecuali daripada menanggung kos sara hidup yang membebankan.
“Justeru, adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk meneruskan usaha membantu rakyat termasuk penuntut universiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penuntut di IPT yang meminta kerajaan menimbang mewujudkan KR1M dan Menu Rakyat 1Malaysia di setiap kampus universiti.
Cadangan tersebut terkandung dalam kertas kerja Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Beliau berkata, pihaknya kini sedang berbincang dengan pihak universiti, termasuk Naib Canselor untuk melaksanakan cadangan itu dengan segera.
“Kita akan bekerjasama dengan koperasi dan kafe di IPT untuk meletakkan produk-produk KR1M dan memperkenalkan menu rakyat tersebut.
“Ini bagi memastikan pelajar turut mendapat manfaat daripada usaha yang dilaksanakan kerajaan iaitu mendahulukan rakyat,” katanya.

Dapat perhatian Nasib murid balang gas

KULIM 22 Nov. - Nasib 'murid balang gas', Mohamad Zulhilmi Marzuki, 12, yang kini menghadapi masalah apabila mesin pembekal oksigen yang digunakannya rosak, mendapat perhatian apabila beberapa pihak tampil menghulurkan bantuan.
Hari ini, Penyelaras Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Kulim/Bandar Baharu, M. Thuraisingam tampil menghulurkan sumbangan berjumlah RM1,000.
Selain itu, pemilik Pasar Mini Weng Seng Kulim, Tan Khim Pheng, 49, turut menyampaikan bantuan RM1,000 untuk membiayai kos rawatan Mohamad Zulhilmi.
Bapa murid itu, Marzuki @ Yahaya Hashim, 51, berkata, pihaknya menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang menyatakan hasrat untuk membantu anak tunggalnya itu.
"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang membantu. Saya amat menghargai sikap prihatin yang ditunjukkan rakyat negara ini bagi membantu Mohamad Zulhimi," katanya di sini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohamad Zulhilmi yang kini berdepan dengan satu lagi cabaran apabila mesin pembekal oksigen yang digunakannya sejak tujuh tahun lalu rosak.
Ibunya, Norizan Yeop, 44, berkata, mesin Oxy Concentrator itu tidak dapat berfungsi seperti biasa, malah pihak pembekal turut memaklumkan ia tidak boleh diperbaiki.
Suri rumah itu memberitahu, mesin terbabit digunakan untuk membekalkan oksigen semasa anaknya tidur setiap malam sejak 2004.
Marzuki yang bertugas sebagai buruh am Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulim/Bandar Baharu memberitahu, dia tidak mampu membeli mesin pembekal oksigen baru memandangkan pendapatannya hanya sekitar RM1,000 sebulan.
"Hampir separuh daripada duit gaji digunakan untuk kos rawatan susulan anak," jelasnya.
Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas yang memperoleh 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini menghidap simptom jangkitan paru-paru kronik Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Hong Leong Bank bernombor 05950086588 (atas nama Norizan Yeop) atau menghubungi Marzuki di talian 012-4857609.

pelajar MRSM dibayar RM100 pada Januari

KUALA LUMPUR 22 Nov. — Bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diagihkan mulai awal Januari depan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Beliau berkata, peruntukan bantuan persekolahan seperti yang diumum kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2012 itu turut membabitkan pelajar sekolah berkenaan.
“Peruntukan itu ada, tetapi disebabkan MRSM hanya mempunyai pelajar peringkat menengah dan tidak mempunyai pelajar peringkat rendah, maka pembayaran itu hanya akan dibuat pada awal Januari.
“Dulu saya pun bimbang tetapi saya mendapat maklum balas ada bantuan (untuk pelajar MRSM). Saya nasihatkan kepada ibu bapa supaya tidak gusar...pelajar MRSM juga akan menerima bantuan berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. – bernama

Mahasiswa perlu pandai menilai - TPM

PUTRAJAYA 21 Nov. - Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya suasana harmoni di universiti dapat diwujudkan dengan adanya sikap kebertanggungjawaban di kalangan para mahasiswa itu sendiri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Perlembagaan negara menjamin kebebasan setiap warganegara termasuk mahasiswa untuk berpersatuan dan bersuara tetapi ia seharusnya diiringi dengan kesedaran serta tanggungjawab mereka bagi mewujudkan suasana yang kondusif kepada perkembangan keilmuan dan kesarjanaan universiti.
Beliau berkata, kebebasan tersebut juga perlu dipastikan dapat menyokong perkembangan intelektual dan sahsiah para mahasiswa secara seimbang sepanjang pengajian mereka.
''Ini menuntut para mahasiswa untuk sentiasa berfikir dengan matang dalam menilai sama ada sesuatu perkara yang dilakukan itu boleh memberi manfaat kepada mereka atau sebaliknya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bil 2/2011 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Portal Career4u.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, usaha murni kerajaan itu hanya akan berhasil sekiranya ia disambut oleh para mahasiswa dengan menjadikan universiti sebagai medan terbaik untuk menimba ilmu pengetahuan.
''Tumpukan sepenuhnya perhatian kepada pengajian dan elakkan daripada terbabit dalam sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan pencapaian akademik masing-masing.
''Peranan kerajaan pula adalah untuk memastikan wujud persekitaran yang kondusif dan harmonis di universiti yang dapat membantu mahasiswa mengikuti pengajian dengan sempurna," katanya.
Menyentuh Career4u, beliau berkata, portal itu dapat membantu mahasiswa mendapatkan maklumat berhubung peluang pekerjaan dan tempat latihan industri.
''Ia juga menyenaraikan peluang latihan industri kepada pelajar universiti di samping membolehkan pihak berkepentingan mengakses maklumat berkenaan keluaran institut pengajian tinggi (IPT) dan status kebolehpasaran graduan," katanya.

UPSR: Aplikasi amalan baik sekolah cemerlang

PUTRAJAYA 21 Nov. – Kementerian Pelajaran akan mengaplikasikan amalan-amalan baik yang dipraktiskan oleh sekolah-sekolah biasa sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan guru di sekolah terbabit memimpin pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang harus dimanfaatkan.
‘‘Kalau dapat kenal pasti amalan-amalan baik itu kita akan terapkan di semua sekolah supaya yang kurang baik dapat ditingkatkan jadi baik.
‘‘Ini kerana yang membezakan sekolah itu dengan sekolah lain saya fikir bukan infrastruktur tetapi soal kepimpinan guru di sekolah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, keupayaan sekolah-sekolah biasa melonjakkan keputusan semasa peperiksaan UPSR sehingga diangkat sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) harus diberi pengiktirafan kerana membantu meningkatkan kecemerlangan murid.
Bagi tujuan itu, kata beliau, warga pendidik perlu lebih bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk cabaran dalam mendidik para pelajar menjadi manusia berguna.
‘‘Guru-guru perlu mendidik anak bangsa menjadi manusia berguna untuk menghadapi cabaran dunia yang luas, bersikap holistik dan mampu memenuhi tuntutan semasa.
‘‘Kita tak boleh kompromi dalam hal ini kerana isu pendidikan harus ke depan, mahu tak mahu guru perlu mengikut arus untuk menghadapi cabaran mendatang,” katanya.
Justeru, kata beliau, kerajaan mengambil pelbagai langkah secara berterusan seperti menganjurkan program latihan dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru agar lebih bertanggungjawab dalam melahirkan generasi cemerlang.

Pandangan pakar semak sistem pendidikan negara

PUTRAJAYA 21 Nov. - Pandangan pakar-pakar pendidikan tempatan dan luar negara turut diambil kira bagi menyemak semula sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia sejajar dengan proses semakan semula sistem pendidikan kebangsaan selepas Laporan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib.
Muhyiddin berkata, sepanjang proses tersebut beberapa siri perbincangan akan dilakukan dan pihak berkepentingan turut dipelawa untuk berkongsi pandangan.
''Sudah lebih 40 tahun, saya rasakan ia sudah terlalu lama dan panel bagi mengkaji sistem pendidikan itu telah ditubuhkan dengan beberapa cadangan awal telah dibentangkan kepada saya.
''Laporan lengkap dijangka siap sebelum akhir. Panel itu diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin yang dihasilkan Insitut Terjemahan Negara Malaysia di sini, hari ini.
Cadangan-cadangan penyemakan tersebut, kata beliau, bersifat menyeluruh mengenai sistem pendidikan kebangsaan memandangkan selepas Penyata Razak belum ada lagi laporan menyeluruh berhubung sistem pendidikan kebangsaan.
Muhyiddin berkata, sejak menerajui Kementerian Pelajaran, banyak usaha telah diambil untuk menambah baik sistem pendidikan kebangsaan sama ada dari aspek pengajaran dan pembelajaran, infrastruktur, kandungan dan mutu pelajaran.
"Usaha-usaha ini dilakukan secara berperingkat dan berasingan tetapi kali ini cadangan kajian yang lebih komprehensif perlu dibuat sejajar dengan peredaran semasa," katanya.
Buku setebal 265 muka surat berharga RM40 senaskhah itu menghimpunkan pandangan Muhyiddin mengenai dasar dan hala tuju pendidikan di Malaysia dan ia bertujuan menjelaskan kepada rakyat tentang hasrat murni kerajaan dalam melakukan transformasi pendidikan.

Sunday, November 20, 2011

Senarai 20 Sekolah Menengah & Rendah Terbaik Di Malaysia

Jika sebelum ini kita telah melihat senarai sekolah menengah terbaik Malaysia bagi keputusan PMR 2009, kali ini kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah pun menyenaraikan senarai sekolah terbaik di Malaysia yang mana sekolah-sekolah di Malaysia ini juga dikenali dengan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) sebagai salah satu langkah  kementerian ke arah meningkatkan lagi kualiti pendidikan. Mari kita lihat sekolah mana yang tersenarai.
Yang pastinya, untuk sekolah-sekolah di Malaysia seperti di bawah ini tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) daripada kalangan 10,000 buah sekolah seluruh negara , bukannya mudah. 20 Sekolah Berprestasi Tinggi telah membabitkan 10 sekolah berasrama penuh, empat sekolah menengah harian dan enam sekolah rendah seluruh Malaysia.
10 Sekolah Berasrama Penuh di Malaysia
  • Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru
  • Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban
  • Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Kedah
  • Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak
  • Kolej Tunku Kurshiah, Seremban
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang
  • Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya
  • Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis
  • Sekolah Alam Shah, Putrajaya
  • Sekolah Menengah Sains Muzaffah Syah, Melaka.
4 Sekolah Menengah Harian di Malaysia
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) Sri Aman, Petaling Jaya
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan (P) St. George, Pulau Pinang
6 Sekolah Rendah di Malaysia
  • Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur
  • Sekolah Kebangsaan Zainab (2), Kota Bahru
  • Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur
  • Sekolah Kebangsaan Convent Kota, Perak
  • Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur
  • Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru.
Apabila sekolah di atas tersenarai sebagai antara sekolah terbaik di Malaysia, sekolah-sekolah ini pastinya diberi autonomi tambahan untuk mewujudkan inovasi dalam pentadbiran sekolah dan bertujuan meningkatkan keberhasilan pelajar. Itu janji dan keistimewaan yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Sekolah-sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
“Sekolah-sekolah SBT ini diberi kelonggaran dalam menetapkan waktu pengajaran minimum mata pelajaran serta memanjangkan atau menamatkan tempoh persekolahan lebih awal”
“Mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan”
P/S : Ada warga ANSARA di sini? Bekas-bekas pelajar MRSM, jangan kecil hati. Keputusan dan pencapaian pelajar-pelajar MRSM pun memang bagus. Tetapi sayangnya MRSM di bawah MARA……

Pengetua potong wang RM100 kena tindakan

Kementerian arah siasat sekolah langgar pekeliling

KUALA LUMPUR: Sekolah yang masih berdegil memotong wang bantuan khas RM100 yang diberikan kepada ibu bapa pelajar untuk membeli kelengkapan persekolahan bakal dikenakan tindakan tegas, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, pekeliling yang diedarkan kepada sekolah jelas menyatakan wang berkenaan hanya untuk meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak untuk sesi persekolahan akan datang.
Oleh itu, saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka. - Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran
“Sekolah yang gagal mematuhi arahan itu bukan saja diberi amaran, malah tindakan tegas akan diambil terhadap guru besar dan pengetua sekolah terbabit. 
“Saya minta Ketua Pengarah Pelajaran buat siasatan menyeluruh berhubung perkara ini dan ambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Ketua Pengarah Pelajaran juga diminta memberi arahan lebih jelas kepada pihak sekolah melalui jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak lagi timbul kekeliruan atau salah faham sekali gus menjaga kepentingan pelajar,” katanya, semalam.

Berita Harian semalam melaporkan bapa seorang pelajar Azman Salleh, 38, hanya menerima RM56 kerana pengurusan sekolah memotong RM44 dengan alasan untuk melunaskan hutang buku rampaian.
Puad berkata tindakan seumpama ini tidak wajar dan bukan cara terbaik meminta pelajar menyelesaikan sebarang bayaran tertunggak.

Di JOHOR BAHRU: Pengurusan sekolah seluruh negeri itu diberi amaran supaya memberikan wang bantuan persekolahan RM100 oleh kerajaan kepada ibu bapa pelajar dan jika masih ada hutang tertentu, ia perlu dikutip mengikut tatacara kewangan ditetapkan dan bukan melalui pemotongan bantuan wang itu.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, berkata peringatan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sudah jelas dan tidak sepatutnya timbul masalah berkaitan pemberian wang bantuan itu membabitkan oleh ibu bapa dan pengurusan sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri juga sudah memberikan taklimat kepada pihak berkaitan termasuk Pejabat Pelajaran Daerah, guru besar dan pengetua sekolah mengenai penyaluran wang bantuan terbabit kepada ibu bapa, sebelum dilaksanakan pada 14 November lalu.

“Tatacara pembahagian wang bantuan persekolahan RM100 ini sudah dikeluarkan dan pihak sekolah perlu ikut arahan dikeluarkan kementerian.

“Jika ada hutang, sekolah perlu ikut tatacara kewangan iaitu sekiranya ibu bapa berhutang, pengurusan (sekolah) perlu menulis surat rasmi kepada mereka dan memohon pembayaran hutang. Bukan memotong bantuan RM100 ini,” katanya ketika dihubungi, semalam . 

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

TIMBALAN Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (dua dari kanan) menyembur air kepada kanak-kanak yang akan berkhatan selepas merasmikan majlis khatan beramai-ramai 2011 di PPR Pudu Ulu, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Yong Chee Choong

SEBAHAGIAN pengunjung mengisi borang jawatan kosong

SEBAHAGIAN pengunjung mengisi borang jawatan kosong pada pameran BN Youth Job Fair 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia menerusi tablet iPad di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rosdan Wahid

Mampu bentuk jati diri mahasiswa

BERKAT...kemesraan lebih terasa apabila saling berkongsi masalah antara satu sama lain.
BERKAT...kemesraan lebih terasa apabila saling berkongsi masalah antara satu sama lain.
SEGELINTIR mahasiswa apabila tidak berjaya memperoleh tempat di kolej kediaman, pasti merasa gundah dan bimbang serta dihantui pelbagai persoalan sama ada mampu atau tidak hidup berdikari.

Selepas selesa tinggal di kolej dengan segala kemudahan, kemudian terpaksa pula keluar, tentunya banyak cabaran menanti, sekali gus menguji kekuatan emosi dan fizikal berdepan kerenah persekitaran baru.
 BELAJAR BERSAMA...bagi mereka yang menyewa di luar, suasananya pasti berbeza terutama ketika mengulang kaji.

 BERDIKARI...semua perlu dilakukan sendiri namun bantuan dari rakan boleh meringankan beban.

 BERDISIPLIN...duduk di luar membantu menjadi lebih berdisiplin serta menjalani kehidupan secara teratur.

 SALING BEKERJASAMA...duduk di luar kampus memberi peluang mahasiswa mempraktikkan amalan bekerjasama antara satu sama lain.




BERSIAP SEDIA...walaupun duduk di luar kampus, bukan alasan untuk tidak ke kelas, malah perlu lebih bertanggungjawab dan berdisiplin supaya tidak timbul masalah.

Bagaimanapun, ada yang melihat peralihan ini sebagai cabaran dan lumrah bagi mahasiswa selain menganggapnya sebagai langkah pertama berdepan realiti dunia kehidupan.

Malah, ada gembira dengan alasan tiada kongkongan, dapat menyelia kehidupan mengikut acuan sendiri dan merasai kehidupan berdikari dengan rakan sebaya.

Persoalannya, benarkah tinggal di luar lebih selesa dan sering menjadi pilihan mahasiswa? Atau mereka terpaksa melakukannya kerana tidak mempunyai pilihan lain?

Mahasiswa Fiqh dan Fatwa, Fakulti Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, Wan Haizum Wan Hamzah, berkata dia lebih selesa tinggal di luar kerana tidak terikat dengan pelbagai peraturan selain bebas mengurus kehendak peribadi tanpa menyalahi undang-undang kolej.

Menurutnya, tinggal di luar bukan saja membantunya berdikari, malah memperoleh pelbagai pengalaman baru yang silih berganti hasil pergaulan dengan masyarakat sekitar.

“Pilihan ini memang tepat dengan kehendak hati saya kerana berasakan lebih mudah membuat keputusan sendiri tanpa mengganggu rakan atau peraturan kolej.
Bagaimanapun, bukan bermakna saya boleh bebas semahunya kerana yang penting masih ada ruang peribadi.

“Keseronokannya juga berlainan kerana ada perbezaan hidup bersama rakan sebaya dengan masyarakat pelbagai latar belakang. Di luar, kami perlu lebih toleransi, menjaga tatasusila selain nama institusi diwakili.

“Dengan kata lain, meskipun ada kebebasan, ia perlu dibayar dengan harga lain, jadi terpulanglah untuk memilih sama ada hidup di kolej atau di luar kerana kehendak sendiri pasti berbeza,” katanya.

Bagi mahasiswa, bukan sesuatu yang janggal apabila terpaksa menyewa di luar kampus apatah lagi bukan semua institusi mampu menyediakan kolej kediaman sepanjang tempoh pengajian.

Hanya mereka yang memenuhi kriteria kelayakan saja memperoleh keistimewaan itu menyebabkan sebahagian besar terpaksa mencari rumah sewa.

Berkongsi pengalaman awalnya, dia berkata terpaksa berhempas pulas mencari rumah sewa yang mampu dibayar selain mengeluarkan lebih belanja untuk membeli peralatan rumah.

“Tinggal di kolej semuanya tersedia tapi di luar, semuanya sendiri. Bagi yang bernasib baik, mendapat rumah sudah ada kelengkapan, namun sewanya pula mahal.

“Memang janggal apabila terpaksa menguruskannya sendiri apatah lagi dengan rakan yang juga tidak mempunyai pengalaman. Bagaimanapun, ia tetap menyeronokkan kerana kami berkongsi pendapat dan pandangan selain rasa teruja menjalani kehidupan bujang,” katanya mengakui keseronokan tambah berganda apabila memperoleh rakan baru yang tinggal berdekatan.

“Jika di kolej, kebanyakannya jarang bertegur sapa dan kurang mengenali satu sama lain kerana terlalu ramai, sebaliknya tinggal di luar pula kerap bertemu.
Secara tidak langsung menjadi rakan merangkap jiran.

“Perhubungan juga lebih mesra kerana boleh berkongsi suka duka dengan rakan ‘sekepala.’ Selalunya, kebanyakan rakan penyewa adalah mereka yang sudah lama dikenali, jadi kurang masalah,” katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui ada juga kekurangan tinggal di luar terutama dari segi keselamatan dan peningkatan perbelanjaan bulanan atau harian.

Menurutnya, tinggal di kolej kediaman, keselamatan terjamin kerana ada yang memantau tapi di luar, semuanya bergantung pada diri sendiri selain terpaksa menanggung kos luaran yang meningkat.

“Sewa perlu dibayar setiap bulan selain tambahan pelbagai kos sampingan. Bagi kami yang masih tidak mempunyai pendapatan tetap, ia menyeksakan selain menyusahkan ibu bapa.
“Soal keselamatan juga sangat minimum, masing-masing perlu menjaga diri sendiri terutama perempuan. Inilah antara cabaran getir terpaksa dihadapi apabila tinggal di luar walaupun tetap ada keseronokannya.

Mahasiswa Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Rohaida Abdul Manaf, turut berpendapat hidup di luar lebih membentuk kekuatan diri selain menjadikan mahasiswa berdisiplin.

“Bayangkan, segala kesusahan perlu ditanggung sendiri, tiada yang mengambil berat. Bukankah itu satu pelajaran baik untuk membentuk jati diri?

“Kami juga perlu bijak membahagikan masa kerana kebanyakan rumah jauh dari kampus, justeru sesiapa yang beringat pasti berjaya, namun jika sebaliknya berlaku,” katanya.

Persoalan golongan mahasiswa yang tinggal di luar kolej mudah terbabit dengan gejala sosial bagi Rohaida semuanya atas kehendak dan kawalan diri masing-masing.

Pengaruh itu, katanya boleh menular di kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang, pangkat, status atau usia.

“Jadi terpulanglah pada individu untuk mencegah diri sendiri daripada menjadi mangsa. Tidak bermakna apabila tinggal di luar, mudah terbabit dengan gejala itu biarpun tidak menafikan ia masih berlaku.

“Paling penting, bagaimana cara mengelaknya seperti pemilihan rakan serumah dan pemantauan jiran atau keluarga. Tinggal di luar bukan bermakna bebas sepenuhnya.

“Bagi saya, sama ada tinggal di luar atau kolej, ada kekurangan dan kelebihannya. Perjuangan paling utama adalah menamatkan pengajian, sekali gus memulakan kehidupan sebenar selepas itu,” katanya.

Seminar Syahdu sempena cuti sekolah

GABUNGAN kepakaran tokoh pendakwah suami isteri yang tidak asing lagi iaitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood dan Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid memberi impak maksimum dalam Seminar Anak Hebat Dunia dan Akhirat atau lebih dikenali sebagai Syahdu.
Ia mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan pelajar sejak Syahdu diperkenalkan tahun lalu. 
Jejak langkah mereka seisi keluarga diiringi dengan barisan fasilitator dari universiti dalam dan luar negara.

Ketika slot akhir menerusi segmen Air mata ibu derita @ bahagia amat menyentuh hati serta perasaan peserta dan ibu bapa yang hadir.

Apatah Siti Nor Bahyah membuai ingatan para peserta betapa hebatnya pengorbanan ayah dan ibu.

Demikianlah matlamat Syahdu untuk melahirkan anak yang cemerlang dunia dan akhirat.

Menariknya 3A Plus diaplikasikan dalam Syahdu iaitu A Plus hubungan dengan Allah, A Plus Hubungan dengan ibu bapa dan A Plus dalam pelajaran.

Menurut Siti Nor Bahyah yang juga Pengarah Eksekutif di SNB Kasih Training & Consultancy, gabungan ketiga-tiga elemen itu, bakal melahirkan anak hebat dunia dan akhirat selain menjadi impian dan harapan ibu bapa.

Malah Syahdu juga tidak hanya memberi tumpuan pada peperiksaan tetapi lebih menitikberatkan hubungan dengan Allah dan akhlak anak kepada ibu bapa.

Dikendalikan sepenuhnya Siti Nor Bahyah dan suaminya Wan Akashah serta dibantu naqib dan naqibah di kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Seminar itu bukan hanya bertujuan melahirkan anak yang memiliki minda hebat tetapi dihiasi dengan doa penerang hati selain kuat ingatan.

Justeru jangan lepaskan peluang ini kerana seminar berkenaan dijangka berlangsung pada 26 hingga 27 ini di Shah Alam, Selangor, 3 hingga 4 Disember di Kepala Batas, Pulau Pinang, 10 hingga 11 Disember di Kuantan, Pahang, 17 hingga 18 Disember di Batu Pahat, Johor dan 24 hingga 25 Disember di Putrajaya.

Bagi pendaftaran dan maklumat lanjut hubungi 017-6202802 (Ustaz Syah), 019-9984768 ( Ustaz Faiz Fahmi ) dan 013-3807791 (Ustaz Bani).

CIC seimbang agama, akademik

KEJAYAAN individu di dalam kehidupan bergantung kepada banyak faktor dan paling utama mene�rusi ciri-ciri peribadi yang dimilikinya.
Malah ciri-ciri kejayaan yang dimiliki selain anugerah Allah dapat dibentuk melalui program pendidikan diterima sejak kecil. 
Selaras dengan itu, Children Islamic Centre (CIC) peneraju pusat pendidikan kanak-kanak Islam, mempunyai visi untuk melahirkan pemimpin masa hadapan.

CIC turut menawarkan program pendidikan yang menyeluruh, seimbang, Islamik, progresif dan sistematik menerusi 19 program dalam tiga kategori utama iaitu Playschool, Preschool dan Afterschool.

Menerusi program pendidikan ditawarkan, terutamanya program prasekolah yang amat popular, CIC berjaya melahirkan kanak-kanak bukan saja cemerlang dalam akademik, tetapi mempunyai asas agama.

Malah mempunyai lebih kebolehan dalam pelbagai bidang yang membuatkan mereka terkehadapan berbanding rakan sebaya dan mampu memimpin.

CIC yakin dengan pendedahan nilai Islam dan budaya pada peringkat awal usia itu dapat mengekalkan identiti dan jati diri mereka.

Pembelajaran agama dan akademik diseimbangkan selari dengan tuntutan semasa.
CIC juga mementingkan keupayaan akademik di samping menggunakan sukatan pelajaran berkualiti dan bertaraf dunia.

Pelbagai program pendidikan ditawarkan kepada kanak-kanak seawal tiga hingga 12 tahun.

Kanak-kanak tiga tahun boleh mengikuti program Playschool, iaitu mereka mula mempelajari asas pelajaran sambil bermain.

Sementara kanak-kanak empat hingga enam tahun ditawarkan program prasekolah yang terdiri daripada pelbagai pakej asas meliputi semua keperluan pendidikan.

Bagi pelajar sekolah rendah pula, mereka boleh mengikuti kelas al-Quran dan pemahaman Islam selepas pulang dari sekolah kebangsaan.

Terdapat pelbagai program lain yang perlu diikuti bagi meningkatkan perkembangan minda dan kemahiran kanak-kanak.

Antara yang popular adalah kelas logik dan matematik New Maths diadakan pada setiap Sabtu.

Program pendidikan jangka pendek yang turut ditawarkan bagi membantu perkembangan bahasa Inggeris, seperti Program Oxford Readers. Drama Class, Drawing Squad dan Reading for Self improvement pula diadakan ketika cuti sekolah.

Rekod kejayaan selama 15 tahun di dalam industri ini, diharapkan supaya ibu bapa memanfaatkan program pendidikan itu untuk kecemerlangan anak masing-masing.

CIC yang diasaskan pada 1997 kini mempunyai 40 pusat pendidikan di seluruh negara dan luar negara. Pendaftaran bagi sesi Januari 2012 dan program cuti sekolah dibuka sekarang. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.cic.net.my atau facebook.com/cicleader. Hotline 03-8889 2979 selain Pendaftaran juga boleh dilakukan secara dalam talian.

Benarkan mahasiswa berpolitik

PILIHAN...mahasiswa mempunyai banyak alternatif untuk mendapatkan maklumat dan lebih 
berbahaya jika sekiranya ia tidak benar hingga boleh menggugat keamanan warga kampus.
PILIHAN...mahasiswa mempunyai banyak alternatif untuk mendapatkan maklumat dan lebih berbahaya jika sekiranya ia tidak benar hingga boleh menggugat keamanan warga kampus.
AKTA Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kembali menjadi perbualan hangat serta menimbulkan pelbagai polemik di kalangan masyarakat, baru-baru ini.
Semuanya gara-gara keputusan mahkamah rayuan menolak keputusan bersalah empat mahasiswa kerana terbabit dalam perhimpunan politik sekali gus menjadikan AUKU subjek perbincangan mahupun perdebatan.

PENGALAMAN...politik yang sihat memberi manfaat kepada mahasiswa memperoleh pengalaman berguna melalui proses pembelajaran secara praktikal


SUARA...sebagai pemerhati dan golongan tidak berkepentingan, mereka hanya ingin menyuarakan pendapat demi penambahbaikan bersama.
TIDAK PERLU...jarang ada mahasiswa yang mahu memperjudikan nasib dan masa depan mereka dengan tindakan luar jangkaan hingga membabitkan sistem perundangan negara.


Biarpun AUKU merangkumi aspek luas, namun hanya seksyen 15 (5) menjadi tumpuan utama kerana termaktub larangan membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik.

Seiring kontroversi, ada menganggap AUKU sudah tidak relevan dalam dunia mahasiswa alaf baru tetapi ada pihak lain berpendapat masih perlu bagi tujuan memastikan mahasiswa tidak tergelincir daripada landasan pengajian sebenar.


Persoalannya, benarkah AUKU masih relevan untuk diguna pakai pada masa kini atau sudah menjadi lapuk kerana mentaliti mahasiswa kian jauh berubah?


Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Idzuafi Hadi Kamilan berkata, menyekat mahasiswa daripada terbabit dengan politik hanya menimbulkan masalah atau konflik tidak berkesudahan.

Menurutnya, walaupun masih belajar, tidak bermakna tahap pemikiran atau pengetahuan mereka hanya berlegar di persekitaran kampus sebaliknya sentiasa mencari ruang untuk melontarkan pendapat.

“Ini bagi membuktikan mereka adalah golongan intelek, jika dihalang samalah seperti mempertikai atau memperkotak-katikkan keupayaan mereka sebagai kelompok terpelajar. 

“Dengan kata lain, mengunci mulut daripada memperkatakan mengenai sesuatu isu yang mungkin boleh membangkitkan satu masalah lain pula.

“Pendapat saya, tidak usah disekat keterlaluan keinginan mereka bersuara kerana politik juga antara cara untuk menimba ilmu dan pengalaman. Cara ini lebih baik daripada mahasiswa berkenaan menjadi golongan buta ilmu atau pasif di menara gading,” katanya.

Peningkatan kesedaran berpolitik, impak peristiwa 13 Mei dan pengaruh parti luar ke dalam pertubuhan pelajar membuatkan AUKU diperkenalkan pada 1971. 

Pada 1975, ia digubal dengan peruntukan lebih ketat menyaksikan mahasiswa tidak boleh lagi terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan politik yang menunjukkan sokongan atau bangkangan terhadap mana-mana parti.

Pada 2009, AUKU sekali lagi dipinda dengan kelonggaran boleh terbabit dalam badan bukan kerajaan yang berdaftar di negara ini sementara parti politik masih tidak dibenarkan.

Menurutnya, sangat tidak relevan mahasiswa alaf baru disekat daripada bersuara hanya kerana segelintir pihak takut pada bayang-bayang sendiri.

“Mengapa perlu disekat padahal hak bersuara adalah milik semua? Asalkan tidak meng�ganggu sensitiviti yang boleh menggugat keselamatan awam, tiada salahnya.

“Golongan ini hanya ingin melontarkan pendapat menge�nai perjalanan arus politik negara berdasarkan kedudukan mereka sebagai pemerhati luar dan berkecuali. 
Mereka berhak menyuarakan pendapat.

“Cuma jangan biarkan mereka memegang sebarang jawatan dalam politik. Itu penting untuk menyelamatkan mereka daripada dipergunakan orang lain demi kepentingan peribadi,” katanya.

Mengulas rasionalnya berbuat demikian adalah untuk mengelakkan golongan ini dijadikan ‘topeng’ yang berperanan sebagai pelajar ataupun mewakili parti politik tertentu.

“Takut mereka keliru mengenai peranan dan tanggungjawab sebenar selain mempengaruhi orang lain dengan kedudukan dipegang. Ini boleh menggugat ketenteraman warga kampus.

“Jika sekadar melontarkan pendapat atau jadi pemerhati, bukanlah masalah besar malah ia boleh dijadikan pengalaman berguna atau memperkukuhkan kemahiran individu melalui proses pembelajaran praktikal,” katanya.

Mengapa AUKU sering menimbulkan polemik tersendiri, dia berkata ketidakfahaman menyebabkan akta berkenaan dimanipulasikan pihak tertentu.

“AUKU merangkumi aspek luas termasuk pentadbiran universiti. Paling menonjol apabila pemahaman masyarakat hanya mengaitkannya dengan larangan berpolitik.

“Pemahaman salah menyebabkan akta ini dipandang serong dan pemahaman betul pula boleh menyelamatkan keadaan,” katanya berpendapat sudah tidak relevan menghalang mahasiswa daripada berpolitik kerana mereka mempunyai banyak saluran memperoleh kebenaran.

Menurutnya, dulu mungkin relevan disebabkan hanya mendapat maklumat melalui sumber terhad, namun dengan perkembangan dan kecanggihan dunia teknologi hari ini, semua yang cuba disorokkan akan tersingkap.

“Masyarakat dan institusi perlu memberi kepercayaan kepada mahasiswa untuk mengemudi hala tuju mereka mengenai politik. Tidak perlu lagi memegang prinsip ‘in loco parentis’ (kerajaan atau institusi mengambil alih tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak belajar).

“Bukankah mereka sudah besar, tahu berfikir serta pandai membuat keputusan.

“Menjejakkan kaki di institusi pengajian tinggi bermakna sudah matang dan tahu setiap risiko, hanya berikan saja pedoman yang baik dan berguna sebagai panduan,” katanya.

Menyekat atau menghalang juga, katanya, bukan saja menyebabkan golongan itu ‘memberontak’ malah boleh menimbulkan masalah lain seperti diperguna atau dimanipulasi pihak yang menangguk di air keruh.

“Mereka hanya mahukan pengiktirafan positif daripada masyarakat dan aspek kepercayaan adalah asas penting yang boleh mewujudkan suasana harmoni. 
Masalahnya, masih ada menganggap mereka ‘seperti budak kecil’.

“Sudahlah dikongkong, dilayan pula seperti budak-budak, apakah kesannya untuk jangka panjang? Padahal mereka juga yang bakal meneruskan legasi kepemimpinan negara pada masa depan.

“Tidak perlu melakukan sekatan keterlaluan kerana semakin disekat atau dihalang, mereka berusaha mencari alternatif lain untuk mencari jawapan. Ini lebih berbahaya,” katanya.

Pelajar yang berminat dengan politik hanya segelintir, jadi mengapa mesti menjadikannya isu besar seolah-olah golongan ini mampu menimbulkan kekacauan atau menjatuhkan negara?

“Barisan mahasiswa kita cukup cemerlang akademik, sahsiah dan peribadi bukan seperti di negara lain yang bakal bangkit secara semberono. 

“Mereka hanya akan berdebat mengenai sesuatu isu jika pihak tertentu tidak memberi justifikasi yang baik. Meskipun ada pihak berpendapat kuasa mahasiswa boleh menjatuhkan, di negara ini mereka bukanlah ancaman,” katanya.



INFO:


  • AUKU diwartakan pada 24 Februari 1971, diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 29 April 1971. 


  • Kebangkitan mahasiswa pada 1974 secara militan dan radikal mendesak kerajaan melakukan pindaan AUKU. Pindaan itu dikuatkuasakan pada 12 Mei 1975.


  • AUKU diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 mengekang peranan pelajar terutama�nya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969.
  • Kemalangan & Bencana Alam: Tragedi bercuti

    Kemalangan & Bencana Alam: Tragedi bercuti: MATI...dua wanita yang maut dalam kemalangan terbabit, semalam. KUALA LUMPUR: Perjalanan pulang ke utara selepas bercuti di Melaka bersam...

    UPSI juara Karnival Rekreasi Rakan Muda IPT

    GOMBAK: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul tempat pertama antara tiga universiti terbaik dalam Karnival Rekreasi Rakan Muda Institusi Pengajian Tinggi (IPT) peringkat Zon Tengah 2011 anjuran Kementerian Belia Sukan.
    Kemenangan itu, sekali gus menewaskan enam IPT lain dari Peringkat Zon Tengah iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

    Ketua kontinjen UPSI, Mohd Faizul Mohd Fadhil, berkata kemenangan mereka tidak dijangka berikutan saingan sengit daripada universiti yang mengambil bahagian.
    “Komitmen dan semangat 33 pelajar dari seketariat Rakan Muda UPSI yang mengambil bahagian juga berbaloi tambahan pula kami tidak mendapat latihan mencukupi.

    “Persiapan fizikal dan mental selain semangat berpasukan juga menjadi rahsia kejayaan kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutup Karnival Rekreasi Rakan Muda IPT peringkat Zon Tengah di UIAM di sini, semalam.

    Majlis berkenaan disempurnakan Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar UIAM, Dr Nor Asiah Mohamad.
    Program berkenaan membabitkan aktiviti seperti rekreasi dalaman dan luaran sesuai dengan kemahuan belia antaranya Bola Jaring, Eksplorace, Paintball selain acara kerohanian seperti Qiamullail dan ceramah motivasi.

    Thursday, November 17, 2011

    2 sekolah harumkan nama negara

    KUALA LUMPUR 17 Nov. – Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching, Sarawak dan SM Sains Tuanku Syed Putra, Perlis memenangi Anugerah Emas sempena Pameran Rekacipta Antarabangsa Inova 2011 kali ke-36 di Zagreb, Croatia dari 8 hingga 13 November lalu.
    Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan memberitahu, pada pameran itu, SM Sains Kuching mempersembahkan ciptaan bertajuk Potential Antifungal, Antibacteria, Antiplasmodial and Termiticidal Activity of the SELUKAI (Goniothalamuslongistipites).
    Sementara itu, SM Sains Tuanku Syed Putra pula mempamerkan projek Bio-Oil The Use of Specially Made Catalyst.
    “Kedua-dua sekolah tersebut mendapat kerjasama daripada Kelab Penyelidik Muda Envex (EYReC) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap),” kata kenyataan itu.
    Menurut kenyataan itu lagi, sekolah tersebut dipilih menyertai pameran peringkat antarabangsa berikutan kemenangan pada Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Sains Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kebangsaan kali ke-14.
    “Pada pertandingan yang diadakan dari 1 hingga 4 April lalu itu kedua-dua sekolah tersebut memenangi Anugerah Emas.
    “Sebanyak 60 SBP dari seluruh negara mengambil bahagian pada pertandingan yang diadakan di SM Sains Machang, Kelantan,” katanya.

    910 murid khatam al-Quran



    Sebahagian daripada kanak-kanak tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 di Masjid Khalid Alwaled, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/Shahril Aizat Ahmad



    KUALA LUMPUR 17 Nov. - Seramai 910 murid Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melakar sejarah tersendiri apabila menyertai Majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 di sini hari ini.
    Menariknya, semua murid berkenaan berusia sekitar enam tahun dan terdiri daripada murid tadika di lima zon iaitu zon Bandar Tun Razak, Bangsar, Batu, Setapak dan Titiwangsa
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, majlis itu kali pertama diadakan sejak penubuhan tadika MAIWP sekitar 1980-an.
    "Dengan pendekatan yang dilakukan MAWIP kita dapat menyediakan murid yang boleh membaca al-Quran dan khatam pada usia muda.
    "Pendekatan ini akan memberi satu nilai tambah kepada murid kerana apabila mereka melangkah ke sekolah, mereka lebih tenang dan dapat memberikan fokus kepada mata pelajaran lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkenaan di sini, hari ini.
    Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr. Muhammad Yamin Ismail dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali.
    Jamil Khir berkata,, MAIWP sentiasa bersedia dengan kurikulum dan dana bagi menampung peningkatan keperluan murid pada masa depan termasuk mewujudkan lebih banyak tadika di seluruh Wilayah Persekutuan.
    "MAIWP membelanjakan sebanyak RM10 juta setahun bagi menguruskan tadika memandangkan kita serius dan komited untuk melahirkan generasi bermodal insan yang tinggi," katanya.
    Selain itu, Jamil Khir juga tidak menolak kemungkinan menjadikan majlis berkenaan sebagai acara tahunan MAIWP.
    "Insya-Allah kita akan meneruskan majlis ini pada tahun-tahun hadapan dan dimasukkan ke dalam kalendar MAIWP bagi memberi motivasi kepada ibu bapa memilih tadika untuk pendidikan awal anak-anak mereka," katanya.