Pages

Translate

Saturday, December 31, 2011

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BAGI Soo Lai Tong, sukarelawan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua di Pasir Hitam, Bukit Gantang, Perak, kedatangan tahun baru 2012 amat bermakna apabila sekolah itu terselamat daripada ditutup ekoran dua murid sekolah itu telahpun menamatkan pelajaran darjah enam.
Berkat usaha beliau, tiga murid baru daripada sebuah keluarga Melayu bersetju untuk belajar di sekolah tersebut. Lai Tong memperoleh respons daripada ibu tiga beradik tersebut, setelah masalah sekolah itu dipaparkan di Utusan Malaysia 1 Oktober lepas. Sebelum itu beliau meminta bantuan akhbar Cina dan Tamil tetapi tiada respons.
Awang paparkan kisah di Perak ini kerana mahu menekankan betapa terbukanya kita dalam soal pendidikan. Asalkan ada murid, walaupun jumlahnya tidak praktikal, sesebuah sekolah itu boleh terus beroperasi. Kos operasi sekolah bukanlah perkiraan utama.
Dalam kes SJKC Aik Hua ini, ia lebih unik apabila kesemua muridnya yang akan mula belajar beberapa hari lagi adalah Melayu.
Kes sekolah kekurangan murid ini bukanlah kes tunggal. Dari semasa ke semasa terdapat laporan mengenai sekolah di kawasan terpencil berdepan dengan masalah ketiadaan murid atau jumlahnya tidak sampaipun lima orang. Namun semua sekolah itu terus dibenarkan beroperasi, walaupun hakikatnya kos operasinya tidak setimpal dengan jumlah orang yang diajar. Itulah wajah sebenar Malaysia, rakyatnya sentiasa diutamakan.

Awang – Uniknya Malaysia.

200 pelajar sekolah rendah dan menengah yang merebut peluang untuk bergunting rambut secara percuma

PERCUMA: Sebahagian daripada lebih 200 pelajar sekolah rendah dan menengah yang merebut peluang untuk bergunting rambut secara percuma yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Besut di Pejabat Penyelaras UMNO Kawasan Jerteh, hari ini. Kempen gunting rambut percuma itu dilancarkan Ketua UMNO Besut yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh yang kemudian turut menggunting rambut beberapa pelajar yang hadir. - Foto BERNAMA

Friday, December 30, 2011

Keputusan guna bahasa Melayu tepat

PETALING JAYA: Sebanyak 89 peratus pelajar Tingkatan Satu yang akan memulakan persekolahan 3 Januari depan memilih bahasa Melayu atau dwibahasa bagi mempelajari mata pelajaran Sains dan Matematik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini menunjukkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Kementerian Pelajaran, hanya 11 peratus pelajar memilih belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
"Angka yang diperoleh membuktikan dengan jelas kenapa kerajaan menetapkan untuk meminda PPSMI kepada MBMMBI," katanya ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, di sini, bagi melihat persiapan pihak sekolah menghadapi sesi persekolahan 2012, bermula minggu depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, dasar yang diputuskan itu sesuai dengan tahap keupayaan pelajar yang akan mengikuti proses Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) bagi Sains dan Matematik.

Beliau berkata, pekeliling sudah diedarkan supaya Pegawai Pelajaran Daerah diberi tanggungjawab menangani sebarang masalah sepanjang pelaksanaan MBMMBI.

Katanya, Jawatankuasa Khas MBMMBI merumuskan 164,324 pelajar menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya untuk mempelajari Sains dan 161,123 dalam Matematik, berbanding 56,025 pelajar menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik pula seramai 56,248 pelajar.
“Selebihnya pelajar yang mempelajari subjek berkenaan menggunakan dwibahasa, seramai 258,622 untuk Sains, manakala 261,600 bagi Matematik,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, Majlis Bahasa Inggeris akan ditubuhkan tahun depan bagi menentukan penanda aras dan tahap pencapaian BI pelajar dalam sistem persekolahan negara.

Katanya, majlis yang berkelayakan sebagai tempat rujukan dan menentukan tanda aras bahasa itu akan menggunakan pakar dalam dan luar negara serta mengadakan kerjasama dengan Universiti Cambridge.

“Bila kata pelajar itu pandai dalam BI, itu apa maknanya, apa ukurannya, jadi kita sedang memikirkan pembentukan majlis ini untuk menanda aras standard BI yang digunakan di Malaysia.

“Kerajaan tidak mahu syok sendiri untuk menyatakan tahap BI di sekolah mencapai piawaian antarabangsa kerana ada orang kata mutu BI pelajar dan rakyat negara ini masih rendah dan ada yang kata sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang merangka struktur, format, komposisi organisasi majlis itu termasuk berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi merealisasikan penubuhannya.

Ditanya sama ada penubuhan majlis itu sebagai langkah kerajaan menetapkan supaya pelajar lulus BI untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhyiddin berkata: “Kita akan lihat kemudian.”

Muhyiddin juga berkata, mulai tahun depan beberapa sekolah dipilih menyertai projek rintis apabila ibu bapa boleh mengikuti perkembangan pelajaran anak mereka menerusi konsep maya.

Beliau berkata, konsep dijangka diperkenalkan dua tahun lagi antara lain membolehkan ibu bapa berinteraksi dengan pihak sekolah menerusi persidangan video dan mendapatkan nasihat guru bagi meningkatkan prestasi anak mereka.

“Projek rintis yang dikenali sebagai ‘Virtual Learning atau Pembelajaran Maya mengambil contoh konsep di negara maju seperti Korea Selatan,” katanya.

Murid Tahun Satu Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum,

NANTI DULU: Murid Tahun Satu Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum, Kuantan cuba melepaskan diri daripada kepungan gurunya sambil menangis pada sesi orientasi persekolahan sebenar, hari ini. Sekolah Rendah Kebangsaan Teruntum membuat sesi orientasi bagi menyesuaikan murid-murid dengan alam persekolahan sebenar supaya mereka tidak takut lagi untuk ke sekolah pada sesi pembelajaran sebenar bermula 4 Januari 2012. - Foto BERNAMA

Tambahan RM20 juta

MUHYIDDIN  melihat kandungan buku teks ketika  mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.
MUHYIDDIN melihat kandungan buku teks ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, semalam.


Kerajaan tanggung RM147j kos mansuh yuran

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta buku teks.
“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.
“Langkah ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman tidak dapat diserahkan mengikut jadual.

Beliau juga memaklumkan seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara, minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.

Selain itu, katanya, sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25 sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam pelajaran.

“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk melaksanakan program sekolah.

“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.

“Di banyak negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,” katanya.

Wednesday, December 28, 2011

JPA kaji ambil lulusan PMR | Tempoh tiga bulan kajian dipersetujui bersama dengan CUEPACS

Tempoh tiga bulan kajian dipersetujui bersama dengan CUEPACS

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju mengkaji semula berhubung tahap kelulusan minimum Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memohon kerja sebagai penjawat awam berdasarkan kriteria sektor yang berkaitan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, berkata kajian berkenaan akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan bermula Januari ini.
Katanya, ia adalah antara keputusan yang dicapai dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani semalam dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menyelesaikan pelbagai isu berbangkit dalam skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Di bawah SBPA yang berkuat kuasa tahun depan, kelulusan minimum PMR sudah memadai bagi memohon jawatan dalam sektor awam tetapi selaras dengan semangat ingin memantapkan perjawatan kerajaan, kita akan mengkaji semula tahap kelayakan itu berdasarkan kerja yang dipohon.

“Selain PMR, kajian ini turut membabitkan permohonan menggunakan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Diploma serta sama ada sesuai untuk dipadankan dengan jenis pekerjaan yang dipohon dalam sektor awam.

“Ini akan menjadi sebahagian daripada pendekatan untuk menambah baik mutu perkhidmatan sektor awam yang menggalakkan pengwujudan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.
MoU itu ditandatangani Abu Bakar bagi pihak JPA manakala CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman, sebagai tanda persefahaman bagi merungkai segala kekusutan berkaitan SBPA antara JPA dan penjawat awam.

Abu Bakar berkata, CUEPACS dengan sepenuh hati menerima skim baru itu dan menyatakan komitmen untuk menggalakkan 1.4 juta kakitangan awam menandatangani opsyen yang diberi sebelum tarikh tutup 15 Januari tahun depan.

Jelas beliau, MoU itu juga menetapkan bahawa sebarang isu membabitkan kewangan kerajaan perlu dibentangkan kepada kerajaan dan bergantung kepada kedudukan kewangan serta kelulusan kerajaan sama ada dapat dilaksanakan.

Selain itu, katanya, CUEPACS juga sedia turun padang bersama JPA untuk memperjelaskan sebarang kekeliruan berkaitan SBPA selain melakukan pemantauan bagi memastikan tiada penganiayaan berlaku sepanjang proses pegawai sumber manusia mengendalikan opsyen SBPA dalam kalangan kakitangan awam.

Beliau yakin persetujuan JPA mengadakan perjumpaan setiap tiga bulan sekali dengan CUEPACS, seperti mana yang termaktub dalam MoU itu, akan menjadi pentas terbaik bagi kedua-dua pihak mengemukakan isu masing-masing untuk diselesaikan bersama.

“Tindakan meminda markah dasar pemisah (exit policy) untuk dikurangkan daripada 69 kepada 60 di bawah skim SBPA dan kesediaan JPA serta CUEPACS menerimanya membuktikan kedua-dua pihak masih ada semangat kerjasama yang tinggi.

“JPA juga bersetuju cadangan CUEPACS meletakkan seorang wakil sebagai pemerhati dalam Panel Penilai Dasar Pemisah itu,” katanya.

Tuesday, December 27, 2011

TPM bangga hasil PROMISE | Kejayaan saintis setanding pencapaian negara maju: Muhyiddin

MUHYIDDIN mendengar penerangan daripada Prof Dr Mohd Zaki Salleh (dua dari kanan) mengenai PROMISE di UiTM Puncak Alam, semalam. Turut kelihatan Sahol Hamid.
MUHYIDDIN mendengar penerangan daripada Prof Dr Mohd Zaki Salleh (dua dari kanan) mengenai PROMISE di UiTM Puncak Alam, semalam. Turut kelihatan Sahol Hamid.
Kejayaan saintis setanding pencapaian negara maju: Muhyiddin

KUALA SELANGOR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bangga dengan hasil penyelidikan di Pusat Farmako-genomiks (PROMISE) Universiti Teknologi MARA (UiTM) berikutan kejayaan saintis menyempurnakan pemetaan genom individu digelar Genom Melayu

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendedahan draf genom itu selaras usaha negara maju di Asia dan Eropah yang giat menjana maklumat mengenai genom rakyat mereka supaya dapat digunakan untuk membangun strategi kesihatan paling sesuai untuk penduduk setempat.
Program ini menjadi penanda aras keupayaan saintis Malaysia di persada sains teknologi antarabangsa dan pembabitan UiTM harus dibanggakan. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
Katanya, pencapaian sains yang canggih membuktikan risiko seseorang mendapat sesuatu penyakit dan kesesuaian sesuatu ubat diberi untuk tujuan perubatan ada kaitannya dengan latar belakang genom seseorang.

Malah, katanya, pendekatan dikenali sebagai `personalised medicine' itu antara kemajuan sains dan teknologi yang sedang dibangunkan di negara maju.

“Kejayaan ini hasil sokongan kerajaan kepada usaha memperkuatkan sektor termaju Bioinformatics dan pembiayaan projek genom seperti Projek 25 Genom Malaysia, Projek Genom Manusia Kerdil dan Projek Genom Kelapa Sawit.

“Program ini menjadi penanda aras keupayaan saintis Malaysia di persada sains teknologi antarabangsa dan pembabitan UiTM harus dibanggakan,” katanya ketika melancarkan jaringan kerjasama rakan kongsi Bionexus (BNP) & Pengumuman Penyempurnaan Pemetaan Genom Melayu di UiTM Kampus Puncak Alam, di sini, semalam. 
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan satu pertukaran perjanjian antara UiTM dan SNAA Medic yang bersetuju mengkomersialkan dua ujian farmogenetik dibangunkan PROMISE.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan itu menandakan keupayaan UiTM menyediakan prasarana bertaraf antarabangsa sejajar hasrat kerajaan membangunkan modal insan Bumiputera yang mampu berdaya saing di arena global.

Katanya, ia jelas dilihat melalui pusat PROMISE yang kini mengembangkan sayapnya dengan memberi perkhidmatan kepada beberapa syarikat luar negara.

“Saya yakin industri bioteknologi di negara ini akan berkembang pesat, selaras aliran global dan dijangka terus mencatat peningkatan daripada segi jumlah syarikat bioteknologi, penjanaan hasil, pelaburan serta membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja mahir,” katanya.

Muhyiddin berkata, industri bioteknologi yang semakin berkembang dan mendapat perhatian pelbagai pihak membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi, seterusnya meluaskan pilihan graduan lulusan bioteknologi dan sains hayat.

Keadaan itu, katanya, menjadikan keperluan negara menyediakan tenaga kerja sesuai dan berkemahiran selaras keperluan pasaran.

“Saya percaya usaha berterusan dilakukan kerajaan dan universiti untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi akan memberi faedah besar kepada mahasiswa.

“Matlamat melahirkan graduan mampu berdaya saing dan memiliki tahap kebolehpasaran tinggi akan tercapai dengan adanya komitmen serta kerjasama strategik berterusan antara sektor kerajaan dan universiti,” katanya.

Sesi persekolahan 2012

SEBAHAGIAN murid tahun 1 Inovatif menunggu giliran untuk melawat sekitar kawasan sekolah ketika sesi orientasi di SK Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini. Seramai 343 murid tahun 1 SK Bangsar mendaftar dan dibahagikan kepada 10 buah kelas. - Foto Aizuddin Saad

Monday, December 26, 2011

Manfaat skim latihan kemahiran | Belia cenderung bidang teknikal mampu raih kerjaya, pendapatan lumayan

 MAZNAH  diiringi  Adiwijaya (kanan) menyampaikan cendera hati kepada ketua pasukan silat   pada  majlis penutup Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan PSSGM di Alor Setar, kelmarin.
MAZNAH diiringi Adiwijaya (kanan) menyampaikan cendera hati kepada ketua pasukan silat pada majlis penutup Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan PSSGM di Alor Setar, kelmarin.
Belia cenderung bidang teknikal mampu raih kerjaya, pendapatan lumayan 

ALOR SETAR: Belia yang cenderung dalam bidang teknikal perlu memanfaatkan pelbagai skim latihan kemahiran disediakan Kementerian Sumber Manusia supaya mereka mampu meraih kerjaya dan pendapatan lebih baik.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan mahu memastikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tercapai melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).
“Kerajaan melalui kementerian ini menyediakan banyak program latihan kemahiran bagi belia yang berminat dalam bidang berkenaan. 

“Melalui latihan khusus disediakan, kita menetapkan sasaran tenaga kerja berkemahiran, sekali gus pendapatan mereka meningkat selaras dengan matlamat mencapai negara berpendapatan tinggi,” katanya ketika merasmikan penutup Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di sini, petang kelmarin. 

Hadir sama, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah. 

Pada majlis itu, pertubuhan terbabit menganugerahkan selempang Srikandi Seri Cahaya Pelangi PSSGM kepada ahli perniagaan, Umi Hafilda Ali yang disarungkan oleh Yang Dipertua Ibu Gayong pertubuhan berkenaan, Datin Faridah Abu Johan. 
Maznah dalam ucapannya juga menggesa 50,000 ahli PSSGM supaya menjunjung tinggi nilai tradisi yang diamalkan pertubuhan itu yang ditubuhkan sejak sekian lama kerana seni silat adalah warisan Melayu sejak berzaman. 

“Kita mahu generasi muda Melayu dan beragama Islam meneruskan perjuangan memartabatkan seni silat supaya ia terus menjadi warisan bangsa,” katanya.

Friday, December 23, 2011

23 DIS. 2011: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang didakwa memijak bendera Perdana Menteri di PWTC, Adam Adli Abd. Halim (tengah) membuat aduan polis di IPD Dang Wangi. - UTUSAN/AZWAN ZAHAR (PELATIH CYBERNETICS)


23 DIS. 2011: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang didakwa memijak bendera Perdana Menteri di PWTC, Adam Adli Abd. Halim (tengah) membuat aduan polis di IPD Dang Wangi. - UTUSAN/AZWAN ZAHAR (PELATIH CYBERNETICS)

22 DIS. 2011: Sebahagian pelajar-pelajar Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah di Pekan, Pahang yang mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meraikan kejayaan mereka selepas menerima keputusan peperiksaan. - UTUSAN/MAHATHIR ALI


22 DIS. 2011: Sebahagian pelajar-pelajar Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah di Pekan, Pahang yang mendapat keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meraikan kejayaan mereka selepas menerima keputusan peperiksaan. - UTUSAN/MAHATHIR ALI

Wednesday, December 21, 2011

Pensyarah UM terima geran RM50,000

KUALA LUMPUR: “Geran ini begitu bermakna buat saya kerana ia ibarat kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menjalankan penyelidikan yang lebih baik khususnya dalam bidang sains dan teknologi di negara ini,” kata Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Faizul Mohd Sabri.
Beliau adalah penerima geran dengan nilai tertinggi iaitu RM50,000 disumbangkan Yayasan Sains Toray, Jepun dan disampaikan pada Majlis Penyampaian Anugerah Ke-18 Yayasan Sains Toray Malaysia (MTSF), di sini, semalam.

Selain Mohd Faizul, 15 penyelidik lain di seluruh negara turut menerima dana terbabit yang mana dua daripadanya menerima geran bernilai RM25,000, RM20,000 (sembilan penerima), RM15,000 (dua) manakala dua lagi masing-masing memperoleh RM12,000 dan RM10,000.

Katanya, dana itu akan digunakan untuk membiayai projek terbaru beliau iaitu kajian asas ke atas bahan termoelektrik berstruktur nano bagi penukaran sisa tenaga bersama dua lagi penyelidik lain.

“Saya sudah memulakan kajian ini sejak beberapa bulan lalu dan sekiranya tiada masalah dan berjalan seperti dirancang, ia mungkin dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, majlis berkenaan memperlihatkan objektifnya dalam mengangkat bidang sains dan teknologi negara ke tahap lebih tinggi.


   “Mosti menyokong usaha ini sebagai landasan terbaik dalam melakukan perubahan secara besar-besaran dengan didokong pelbagai inisiatif lain termasuk penyusunan semula ekosistem penyelidikan.

“Justeru, kerajaan bekerja keras dalam menyediakan tapak persekitaran yang lebih inovatif bagi memudahkan penciptaan, penyebaran dan penggunaan pengetahuan sains dan teknologi dikembangkan,” katanya yang hadir pada majlis itu.

Difahamkan, seramai 32 penerima yang terdiri daripada saintis, penyelidik dan tenaga pengajar di seluruh negara diberi pengiktirafan pada majlis itu yang membabitkan tiga kategori iaitu Anugerah Pelajaran Sains, Anugerah Sains dan Teknologi serta Geran Penyelidikan Sains dan Teknologi.

34,271 calon dapat gred A dalam semua mata pelajaran PMR 2011

PUTRAJAYA: Seramai 34,271 pelajar mendapat gred A dalam semua mata pelajaran Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011, berbanding 30,863 pelajar pada 2010, kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Angka itu adalah peningkatan 0.75 peratus, katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2011, di sini hari ini. --BERNAMA

Mahasiswa hina PM tak cermin status intelektual

Sikap kurang ajar diserlah pelajar IPT wajar dibendung elak jadi ikutan generasi akan datang

SELURUH negara digemparkan dengan kejadian seorang bakal guru Bahasa Inggeris berusia 23 tahun yang didakwa bersikap biadab menurunkan bendera memaparkan gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam kejadian di Dataran Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Sabtu lalu.

  Kejadian itu dikatakan berlaku apabila kumpulan mahasiswa membabitkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) berhimpun semata-mata mahu menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
SMM dan SMKA, dua pertubuhan yang hingga kini tidak diketahui statusnya pula sering dikaitkan dengan pembangkang kerana kerap menyokong atau menyertai kegiatan anjuran pembangkang, khasnya dalam demonstrasi menentang kerajaan.

Kejadian yang berlaku itu ternyata menimbulkan pelbagai persoalan, sejauh mana nilai ketimuran, adab sopan dan menghormati orang lain walaupun berbeza pendapat yang selama ini sebati dengan jiwa orang Melayu, masih mengalir dalam diri orang Melayu generasi baru.

Pelbagai pihak meluahkan rasa terkejut, terkilan dan marah dengan tindakan mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Bukan kerana ia isu politik yang mungkin menyentuh maruah seorang presiden sebuah parti memerintah kerajaan, sebaliknya ia adalah isu nasional membabitkan maruah dan jati diri masyarakat Malaysia yang dilihat tidak lagi sensitif dengan budaya dan maruah bangsa sendiri.
Namun, ia sebenarnya bukan perkara baru, sebaliknya kejadian menghina maruah negara pernah dicetuskan mahasiswa yang menuntut di Taiwan dengan menghina lagu Negaraku menerusi klip video disiarkan di laman web YouTube.

Wee Meng Chee atau Namewee, bekas penuntut Universiti Ming Chuan dalam jurusan Komunikasi Massa berasal dari Muar, Johor pernah menghina lagu Negaraku, tidak menghormati kerajaan dan menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini.

Tindakannya itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak dan mendesak supaya Namewee memohon maaf kerana tindakan biadab menghina lagu kebangsaan serta sensitiviti masyarakat Melayu beragama Islam.

Walaupun akhirnya pelajar terbabit mengaku kesilapannya dan memohon maaf terbuka kepada masyarakat negara ini, perkara itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk lebih menghormati perkara yang ada kaitan dengan semangat kebangsaan.

Keberanian didasari sikap kurang ajar di kalangan mahasiswa ini perlu dibendung kerana kita tidak mahu generasi pemimpin pelapis ini akan mempromosi budaya negatif kepada rakyat dan generasi akan datang.

Jelas sekali, apa yang berlaku itu sebenarnya memberi petunjuk jelas kepada kita semua bahawa sistem pengurusan kebebasan mahasiswa di negara ini menerusi AUKU masih relevan bagi mengekang kebebasan mahasiswa khasnya bagi menangani kejadian seperti yang berlaku Sabtu lalu tidak berulang pada masa depan kerana kesannya, ia kini menjejaskan reputasi mahasiswa dan universiti pada kaca masyarakat.

Masyarakat mula memperkata dan mempersoalkan adakah mahasiswa yang ada di institusi pengajian tinggi (IPT) sekarang begitu dangkal fikiran mereka hingga sanggup melakukan perbuatan yang langsung tidak mencerminkan status intelektual mereka.

Seorang rakan yang juga kerani kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meluahkan perasaannya kepada penulis dengan berkata: “Dia orang (mahasiswa) macam tak tahu diuntung. Kerajaan dah bagi duit PTPTN, belajar di universiti yang kerajaan bina, tapi masih lagi nak buat benda bodoh. Tak ada otak punya budak. Duduk universiti belajarlah betul-betul.”

Rasanya bukan penulis seorang saja akan rasa terpukul dengan kata-katanya itu, tetapi bekas pelajar universiti juga pasti akan tersentak mendengarnya kerana di kalangan kita ramai yang pernah bergelar mahasiswa, tetapi masih mampu berfikir dan bertindak dengan rasional apabila timbul isu membabitkan kepentingan mahasiswa.

Mengulas insiden itu, Presiden Persatuan Belia FELDA Malaysia, Anuar Abd Manap berpendapat, perbuatan itu sebagai tidak wajar apatah lagi jika ia dilakukan mahasiswa kerana ia mencerminkan pelajar terbabit tidak matang kerana pada zaman ini, banyak saluran boleh digunakan untuk menegur kerajaan dan Perdana Menteri (PM).

“Kalau tidak puas hati, kita mempunyai banyak saluran untuk berhubung dengan PM. PM hari ini bukan macam PM dulu yang perlu buat temujanji kalau hendak berjumpa.

“Sekarang PM gunakan Twitter dan Facebook untuk berinteraksi dengan rakyat. Mengapa tidak gunakan saja saluran ini untuk meluahkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Johor (MBJ) turut kesal dengan sikap pertubuhan mewakili mahasiswa yang tergelincir daripada landasan utama perjuangan untuk menuntut kebajikan mereka lebih dibela kerajaan seperti menuntut asrama yang mencukupi dan selesa, meningkatkan pemberian bantuan biasiswa dan nilai baucar buku.

Jelasnya, apa yang dapat dilihat kini, mahasiswa khasnya Melayu lebih sibuk berpolitik berbanding menumpukan perhatian terhadap pembelajaran, sedangkan kaum lain bertungkus-lumus belajar dan hanya bergiat aktif berpolitik selepas tamat pengajian atau sudah bekerja.

Beliau turut menyarankan supaya pertubuhan belia seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), biro IPT di dalam sayap parti seperti UMNO dan kementerian berkaitan untuk memanggil mahasiswa terbabit meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan kemudian bersama-sama mencari jalan mengatasinya.

“Mengugut, memukul atau bertindak menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa bukan satu cara terbaik bagi menangani isu ini. Kita perlu menjadi lebih cerdik bila berhadapan dengan golongan ini,” jelasnya mengulas tindakan segelintir pihak yang dikatakan mahu memukul mahasiswa yang terbabit dalam insiden menurunkan bendera Presiden UMNO itu.     

Monday, December 19, 2011

Minda Pengarang: IPT harus tegas saring pelajar asing, bukan kejar untung

SETIAP rakyat Malaysia amat menghargai tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa ke atas warga asing, khususnya pelajar asing ‘palsu’ dari Afrika yang semakin ketara jumlah mereka sejak kebelakangan ini. Angka rasmi pelajar asing yang ada di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hanya sekitar 89,000 orang. Bagaimanapun, kita percaya kebanjiran mereka di setiap pelosok negara, khususnya di bandar besar memperlihatkan jumlah itu mengatasi angka rasmi yang ada.

Kejadian jenayah membabitkan warga asing semakin banyak dilaporkan di seluruh negara, seiring dengan peningkatan masalah sosial di kawasan yang dihuni mereka.

 Bagi mengurangkan risiko keselamatan yang membabitkan unsur asing, sudah sewajarnya kerajaan mengambil langkah membendung kemasukan mereka melalui peraturan yang lebih ketat. Tindakan kerajaan untuk memperkenalkan sistem tapisan bagi menyaring kemasukan pelajar asing ke institusi pengajian tinggi tempatan, ter-utama pelajar ‘palsu’ dari Afrika sememangnya dinanti-nantikan. Sepatutnya sudah lama kita memperketatkan peraturan mengenai kemasukan mereka ke negara ini atas alasan untuk belajar.
Kita tidak seharusnya terlalu memberi kelonggaran bagi menarik kemasukan warga asing, sama ada untuk melancong mahupun belajar.
Institusi pengajian tinggi (IPT) kita sama ada awam (IPTA) atau swasta (IPTS) harus mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih pelajar berkualiti atau yang benar-benar datang ke sini untuk belajar. IPT tempatan tidak harus memandang ringan soal ini semata-mata kerana ingin menarik pelajar ke institusi mereka. Soal mengaut keuntungan tidak seharusnya mengatasi kepentingan negara.

Justeru, kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, kelmarin bahawa KDN sedang memperhalusi cadangan pelaksanaan sistem tapisan itu adalah satu langkah yang ditunggu-tunggu rakyat negara ini. Kita harus mencontohi pusat pengajian tinggi di beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang hanya menerima pelajar yang sudah pun mendapat tempat di institusi masing-masing, selain ditaja kerajaan atau pihak swasta. Malah, negara terbabit juga mengawal kemasukan pelancong dengan teliti sehingga kadangkala dianggap merumitkan pengunjung yang tiba di pintu masuk masuk negara mereka, sama ada di pelabuhan atau lapangan terbang.

Kita berharap langkah yang diumumkan KDN itu dapat memberi isyarat awal kepada kakitangan Imigresen yang menjaga setiap pintu masuk ke negara ini supaya memperketatkan peraturan ke atas rakyat asing, termasuk menghalang mereka yang disyaki pelajar ‘palsu’ memasuki negara ini.

Islam: Cabaran demi cabaran/Ummah perlu gabungan mantap pertahan agama

Ummah perlu gabungan mantap pertahan agama

SEPERTI pembaca sedia maklum, suatu masa dulu, Islam masyhur dan gemilang. Dalam kegemilangan itu orang Islam mendahului dalam semua bidang, ilmu dan amalan. Sama ada dalam hal berkaitan kesusasteraan, sains, falsafah, ketenteraan, teknologi dan sebagainya. Pendek kata, Islam telah menjadi tamadun yang mendahului tamadun lain. Tamadun Islam telah mematahkan keunggulan tamadun Rom, contohnya. Islam telah menguasai semuanya. Namun, secara berdikit, kegemilangan itu meruntuh.
Kemudian kita saksikan pengambilalihan kegemilangan Islam oleh kuasa imperialisme Barat. Negara Islam dijajah dan agama Islam dipinggirkan. Setelah itu muncul pula penentangan terhadap imperialisme Barat dan terserlahlah perjuangan menentang kuasa Barat dan gerakan mencapai kemerdekaan. Setelah berdekad perjuangan itu, banyak negara Islam telah mencapai kemerdekaan. Walaupun merdeka, Islam masih di takuk lama. Keadaan ini timbul akibat daripada fenomena dan polemik berkaitan ‘neo-imperial policies’ yang bukan saja mengawal, tetapi menggugat Islam. Keadaan ini berterusan sehingga kini. Apa yang pasti kini ialah, kegemilangan Islam hanya menjadi sebahagian daripada sejarah dunia.
 
Saya tidak mahu mengulas mengenai punca semua ini – sama ada punca kejatuhan Islam atau punca kemunculan dan kegemilangan Barat. Ia memerlukan debat dan perincian yang menyeluruh dan sudah tentu ia akan mencetuskan pelbagai hujah dan polemik.

Saya mulakan tulisan begitu kerana saya mahukan pembaca mengimbau mengenai pencapaian Islam dan kedudukan sejarah yang membawa kita ke waktu ini. Apa yang ingin saya kongsi di sini hanyalah mengenai ruang yang sempit berkaitan kedudukan Islam di negara ini. Persoalan untuk pembaca dan saya fikirkan bersama Sanggupkah kita menjadikan keunggulan dan kegemilangan Islam di negara ini sebagai satu sejarah? Adakah setiap kita telah berbuat sesuatu untuk menghalang Islam daripada menjadi sejarah? Adakah usaha kita itu memadai? Haruskah kita berhenti setakat sumbangan itu saja? Saya tinggalkan soalan ini kepada pembaca untuk menjawab sendiri.

Bagi saya, sudah tentu tidak sanggup menjadikan Islam di negara ini sebagai satu sejarah seperti yang terjadi ke atas Islam seperti yang saya sebut tadi. Kita mahukan kedudukan Islam yang gemilang, sama ada mengenai kedudukannya di dalam Perlembagaan dan sistem sosial negara. Kita juga tidak mahu menjadikan sumbangan Islam sebagai satu sejarah. Kita mahukan kelangsungannya.

Malangnya sehingga ke hari ini kita melihat pelbagai perkara yang berpotensi menjatuhkan Islam. Mutakhir, fokusnya ialah kedudukan Islam dan juga hal berkaitan penganut Islam – kedudukan Islam di dalam Perlembagaan, penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam dan juga kejadian dua solat Jumaat di dalam satu kawasan. Cabaran demi cabaran – sama ada dari dalam atau dari luar Islam.
Dalam keadaan ini kita perlu bekerja dan berusaha lebih gigih jika kita tidak mahu Islam menjadi hanya sejarah.

Bagi mengekalkan kedudukan Islam di negara ini kita perlukannya bersemi dalam peruntukan Perlembagaan. Kita juga perlu tambahkan bilangan mereka yang boleh menjaga kedudukan Islam. Kita perlu tingkatkan pencapaian mereka yang berkebolehan untuk mendepani masalah semasa berkaitan Islam. Kita perlukan intelektual Islam dalam bidang teologi, falsafah, sains, teknologi dan semuanya. Kita perlukan kumpulan orang Islam yang berilmu dan berupaya menggunakan ilmu itu bagi manfaat Islam. Intelektual Islam di sini bukan hanya merujuk kepada susunan kertas ijazah, atau kelulusan akademik. Kita benar-benar memerlukan ilmuwan yang kreatif dan mampu mencipta strategi untuk kebaikan Islam.

Bagaimanakah semua ini dapat kita capai. Tidak lain dan tidak bukan, perkara utama dan segera yang perlu dilakukan ialah kita perlukan gabungan dan kesatuan yang mantap dalam kalangan umat Islam. Kita tidak boleh menjadikan perbezaan antara kita untuk memburukkan Islam. Bagi mencapai kejayaan dan keserasian, kita harus berusaha mencari persamaan dan merapatkan jurang perbezaan, bukan menuding jari atau mencari alasan untuk bertelagah.

Untuk semua orang Islam di negara ini, kita harus bergerak di atas semangat bahawa apa juga langkah dan cara kita menjalankan aktiviti, peranan dan sumbangan, ia hendaklah ditujukan untuk manfaat dan kepentingan Islam. Walaupun saya percaya, banyak gerakan Islam yang telah bersatu dan berpadu, kita perlu perkukuhkannya lagi. Kalaupun kita tidak menyertai sebarang persatuan, sebagai seorang Islam kita harus terus menerus menyumbang dalam kapasiti masing-masing dan setiap orang hendaklah sentiasa menghargai dan menghormati antara satu sama lain.

Akhir kalam, walau apapun tindakan dan perbezaan antara kita, tujuan kita adalah sama, iaitu untuk Islam. Kita tidak boleh membuat Islam dipandang hina dan menjadikannya terancam. Kita harus menjadikan Islam itu agama yang tinggi dan yang lebih tinggi tanpa menganiaya atau meremehkan agama lain kerana Islam tidak pernah mengajar kita begitu (kecuali ketika Islam diancam).

Penulis ialah Prof Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

UMNO Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib

KETUA Bahagian UMNO Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (dua dari kanan), menyerahkan memorandum bantahan terhadap kebiadapan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Semester 5, Adam Adli, yang menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin kepada Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa (dua dari kiri), di hadapan pintu masuk utama UPSI hari ini. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sunday, December 18, 2011

Bina kerjaya cemerlang

TENTU sukar bagi pelajar memperoleh pengetahuan berbentuk latihan praktikal atau terdedah dengan persekitaran pekerjaan sebenar jika tiada pengalaman.
Malah peluang itu cukup berharga dan harus direbut sebelum melangkah alam pekerjaan untuk membina kerjaya cemerlang dalam industri.

Di sini disediakan 10 panduan berguna bagi membantu anda memperoleh yang terbaik demi masa depan.

1. BERPEGANG PADA MATLAMAT


Sebelum memulakan latihan amali, luangkan masa bagi menyenarai matlamat yang ingin dicapai bagi memahami lebih mendalam kursus yang anda ikuti, mempelajari kemahiran atau rangkaian baru. Menerusi cara ini anda pasti berusaha dan merasai satu pengalaman berbeza jika tahu apa yang ingin dicapai dari awal.


2. POSITIF

Banyak syarikat beranggapan pelatih yang menjalani praktikal sepatutnya diberikan tugasan mudah di peringkat awal kemasukan kerja. Ini termasuklah membuat salinan kertas cadangan, membawa peralatan untuk majlis yang bakal diadakan atau membantu menyusun atur sekitar majlis. Tanamkan nilai positif, tidak kira apa jua jenis tugasan diberikan, anggap ia satu pengalaman baru wajar dipelajari sekalipun sekadar melihat dan mendengar apa yang berlaku sekitar anda.


3. ELAKKAN BERSIKAP NEGATIF

Jauhi dari bersikap negatif. Jangan suka mengadu atau merungut, tidak menghormati, mengumpat atau berkelakuan tidak profesional. Anda sukar berjaya dalam hidup apabila bos anda beranggapan yang anda adalah seorang yang sombong, tidak suka membantu dan sering menyusahkan.


4. RAJIN BERTANYA

Tiada siapa tahu mengenai semua perkara terutamanya berkaitan pekerjaan yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Jika anda tidak pasti, tiada salahnya berta-nya. Pihak atasan lebih suka anda bertanya dan mendapatkan kepastian terlebih dulu seperti langkah pe-nyelesaian sesuatu tugasan diberikan berbanding melihat anda membuat kesilapan. Atau mungkin lebih ketara, berterus terang bahawa anda tidak mampu melakukannya.


5. AMBIL INISIATIF

Orang yang bersemangat amat diperlukan. Berfikir di luar kebiasaan dan jadilah penyelesai masalah apabila didatangi cabaran dalam pekerjaan. Jika anda tidak pasti sama ada anda melangkaui sempadan atau tidak, bawa berbincang dengan penyelia.


6. DAPATKAN PENDEDAHAN

Beberapa tugasan dari jabatan berlainan ada kalanya perlu disudahkan. Jangan menolak kerja dan sering mengadu anda dibebani atau menjalani latihan amali yang teruk. Tawarkan diri memikul tugasan baru, berinteraksi dengan mereka yang datang dari jabatan berlainan dan ambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti syarikat.


7. PELAJARI DARI SETIAP PENGALAMAN YANG ANDA PEROLEH

Rebut peluang untuk menghadiri setiap mesyuarat, seminar, persidangan dan
sebarang majlis yang diadakan syarikat. Ambil bahagian dalam sebarang sesi latihan dan menyemak bahan yang dicetak syarikat bagi meningkatkan pengetahuan anda.


8. BINA RANGKAIAN

Lampiran mengenai latihan praktikal yang anda ikuti antara cara terbaik untuk membina rangkaian bagi mendapatkan pekerjaan sebaik saja konvokesyen. Tingkatkan rasa kagum penyelia, pengurus atau bos anda sudah memadai buat anda dan selepas itu tidak mustahil pekerjaan menanti. Sekalipun tidak didatangi sebarang tawaran daripada syarikat berkenaan, mereka bakal memberi anda beberapa panduan berkesan supaya mudah memperoleh pekerjaan dalam industri berkaitan.


9. REKOD PENCAPAIAN

Kolej kebiasaannya memerlukan anda mengemukakan laporan amali. Jangan tunggu hingga penghujung latihan amali untuk berbuat demikian. Buat senarai aktiviti dan pencapaian setiap hari atau setiap minggu. Adakah sepanjang latihan amali
anda membantu menyusun risalah, menyelaras majlis, melakukan kaji selidik terhadap tahap kepuasan pelanggan? Anda perlu menyenaraikan kesemuanya kerana ia bakal dimasukkan di dalam ringkasan biodata nanti.


10. NIKMATI KESERONOKANNYA

Latihan praktikal adalah pe-ngalaman pembelajaran yang menarik. Ia juga masa untuk anda menambah kenalan, memperluaskan lagi rangkaian baru dan berseronok. Cuba berfikiran terbuka dan bersemangat mengenai idea atau cara baru melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat buat anda.

Sangkaan yang tidak realistik dan kurangnya persediaan menempuh alam pekerjaan adalah dua penghalang terbesar yang dihadapi graduan baru apabila men-cari kerja. Fahami apakah yang diperlukan sebelum terjun di dalam kerjaya pilihan kerana dengan cara itu akan mendapat ganjaran daripada usaha anda dalam masa terdekat.

Ketahui personaliti anda bagi kesesuaian kursus dan menangi iPad2 yang ditawarkan. Ia sah hingga 30 Mac 2012.

Sementara pendaftaran awal bagi sesi kemasukan Januari 2012 bakal menerima biasiswa berjumlah RM1000 selain peluang tambahan memenangi iPad2.
Untuk maklumat lanjut SMS : KLMU MADU NAMA hantar ke 36600.

Pelajar kenali dunia penyiaran

SATU pengalaman indah bagi pelajar Sekolah Informasi dan Sains Maklumat (SISE), Kolej PTPL Shah Alam apabila berpeluang melawat Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), baru-baru ini.
Disertai 25 pelajar dan pensyarah, lawatan itu bukan saja memberi peluang kepada peserta memperoleh pendedahan dan maklumat luas mengenai dunia kerjaya penyiaran, malah membantu membina nilai kepemimpinan serta kebolehpasaran selepas tamat pengajian.

Dianjurkan Unit Pembangunan Pelajar (UPP) Kolej PTPL, Shah Alam, ia juga menyasarkan objektif untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dunia kerjaya membabitkan media massa.

Pelajar, Muhamad Nazirul Shamsuddin berkata, penyertaan dalam lawatan itu membuka peluang menyaksikan bagaimana kerjaya sebenar dunia penyiaran.

 Menurutnya, banyak ilmu diperoleh sepanjang lawatan, selain berpeluang bermesra dengan kakitangan yang tidak lokek berkongsi ilmu.

“Saya gembira dapat me-nyertai lawatan ini dan teruja kerana dapat menyaksikan sendiri proses penyiaran dilakukan.

“Lawatan ini juga membina kemahiran interaksi serta keyakinan diri untuk berdepan dengan masyarakat. Ini penting bukan saja menjadi nilai tambah kepada pelajar, malah sebagai pemangkin berterusan pada masa depan.

Beliau berharap, program serupa dapat diperluaskan lagi dengan aktiviti menarik untuk merapatkan hubungan antara satu sama lain juga mengenali pelbagai peluang lain ditawarkan industri.

Pelajar turut bermesra bersama penyampai rancangan televisyen dan radio RTM, merasai pengalaman baru dalam set juga sesi penerangan mengenai tugas dan cabaran dalam dunia penyiaran.

Program teknologi maklumat PTPL

PERKEMBANGAN bidang teknologi maklumat dalam aplikasi berasaskan komputer memberi sinar baru dalam kehidupan manusia terutama pemba-ngunan dan penjanaan minda generasi menongkah cabaran masa depan.
Hakikatnya, teknologi maklumat bukan saja mencakupi komposisi teknologi semata-mata, malah merangkumi pelbagai ruang dan bidang termasuk kerjaya berkaitan sastera, sains, �pe-ngurusan dan perniagaan.

Antaranya perkomputeran perniagaan yang kian mendapat permintaan tinggi
di dalam masyarakat terutama mereka yang meminati gabungan teknologi maklumat dan perniagaan.

  Lebih menarik, cabang bidang ini tidak hanya terhad pada satu pengkhususan �semata-mata, malah mencakupi beberapa aspek penting antaranya sains komputer.

Kursus ini mendedahkan pelajar bidang pengurusan perniagaan dan keusahawan menggunakan teknologi maklumat sebagai kaedah utama, selain kemahiran menjadi usahawan dan pakar teknologi maklumat berjaya.

Masa depan juga turut terjamin dengan peluang cerah dalam aspek kerjaya termasuk usahawan teknologi maklumat, juruanalisa sistem, perunding dalam bidang perniagaan berasaskan teknologi maklumat, perancang sistem maklumat, pengurus teknologi maklumat, pengurus sumber maklumat dan pembangunan dan aplikasi perniagaan.

Menyedari peluang dan menyahut usaha kerajaan melahirkan ramai pakar teknologi maklumat, Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) tidak ketinggalan menawarkan program berkenaan.

PTPL bukan saja menawarkan program yang mendapat sokongan majikan, malah peluang kerjaya mantap sebaik saja tamat pengajian.

Pelajar yang mengikuti program perkomputeran perniagaan turut didedahkan teori dan praktikal, antara-nya pembangunan perisian perniagaan selain sokongan pensyarah bagi membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang.

Untuk mengikuti program diploma dua setengah tahun ini, kelayakan masuk adalah lulus SPM atau SPMV atau setaraf dengan mendapat tiga kepujian dalam mana-mana mata pelajaran dan keutamaan dalam subjek Matematik dan Sains.


Lulusan diploma ini berpeluang mendapat pindahan kredit serta menyambung pengajian lanjut untuk ijazah pertama di Management & Science University (MSU) melalui Fakulti Sains Informasi dan Kejuruteraan (FISE).

Calar imej cendekiawan

BERJAYA...alangkah bagusnya jika kejayaan graduan adalah hasil usaha sendiri dan asli,  barulah mereka boleh diiktiraf sebagai golongan intelektual sejati.

BERJAYA...alangkah bagusnya jika kejayaan graduan adalah hasil usaha sendiri dan asli, barulah mereka boleh diiktiraf sebagai golongan intelektual sejati.
AMAT memalukan dan mengecewakan apabila ahli akademik serta warga institusi pengajian tinggi yang diiktiraf intelektual, profesional serta terpelajar masih dibelenggu budaya plagiarisme hingga menjatuhkan taraf kredibiliti golongan terbabit.
Budaya yang tidak pernah surut membelenggu dunia akademik ini bukan saja mencerminkan ketidakjujuran sesetengah ahli akademik dalam profesion kolar putih malah mampu menggugat kualiti graduan dihasilkan.

ATU PENIPUAN...budaya plagiarisme boleh menjatuhkan integriti ahli akademik dan mahasiswa kerana mencedok hak milik orang lain demi kepentingan sendiri.
 AJAR...pensyarah perlu lebih prihatin dan memberi penerangan kepada mahasiswa mengenai etika yang perlu diikuti untuk mengekang budaya plagiarisme.
 ADA CARANYA...pemantauan berterusan serta penelitian padu perlu dilakukan bagi memastikan tiadanya aktiviti plagiarisme berlaku hingga menjejaskan kredibiliti individu
BELAJAR...mahasiswa perlu menggunakan segala usaha dan bergantung pada diri sendiri untuk mencipta kejayaan dikehendaki kerana menara gading tempat penuh cabaran.

Biarpun segelintir pihak me�nganggap budaya berkenaan sebagai terpencil, tanpa kekangan atau tindakan proaktif, bakal mencemarkan nama baik warga institusi pengajian tinggi hingga boleh dipersoalkan masyarakat.

Adakah ia berlaku kerana golongan terbabit tidak yakin pada kemampuan diri sendiri hingga mencari jalan mudah menciplak hasil orang lain?

Atau kerana sikap sambil lewa masyarakat menyebabkan budaya berkenaan terus berleluasa meskipun mencalarkan imej warga terpelajar.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Omar Abdull Kareem berkata, budaya plagiarisme yang tidak dibendung mampu ‘menghakis’ dan membunuh usaha melahirkan golongan akademik berwibawa.

Budaya itu, menurutnya boleh dianggap sebagai parasit kerana bukan sekadar membinasakan kredibiliti, malah menyebabkan mereka berterusan memplagiat tanpa menghiraukan penat lelah orang lain.

“Isunya bukan hanya membabitkan satu pihak malah mempengaruhi pihak lain yang terlebih dulu bersusah payah menghasilkan terbitan, karya dan idea asli. Lebih malang lagi apabila kegiatan itu dilakukan mereka yang menggelarkan diri sebagai ‘golongan intelektual’.

“Sudah tentu ia satu penipuan dan merendahkan martabat malah masyarakat juga tertipu kerana mempercayai kemampuan golongan ini dalam menghasilkan hasil bermutu dan bersifat akademik.

“Bukankah ini sungguh mencalarkan imej padahal mereka mendapat sanjungan masyarakat? Sanggupkah menerima pengiktirafan itu jika tidak jujur?

“Justeru, berfikirlah secara positif dan matang sebelum melakukan tindakan itu supaya ia tidak memalukan diri sendiri dan institusi,” katanya.

Plagiat secara am ditakrif sebagai usaha menciplak tesis, kertas kerja atau kajian membabitkan ayat dalam karya selain persoalan hak cipta. Sementara idea, data, ciptaan dan penulisan pula adalah paling sinonim diplagiat.

Antara faktor yang memungkinkan berlakunya plagiarisme adalah masa, tiada komitmen dan penyeliaan dilakukan secara sambil lewa serta tiada kesungguhan.

Beliau berkata, mahasiswa� dan pensyarah perlu memain�kan peranan penuh bertanggungjawab bagi memastikan penumpuan serta integriti tidak lari daripada panduan menghasilkan karya bermutu.

“Malangnya, sebahagian besar hanya melihat jalan mudah hingga sanggup membelakangkan profesionalisme dan harga diri semata-mata memastikan kejayaan menghasilkan karya, tesis atau jurnal tercapai.

“Mereka tolak ke tepi nilai ilmu yang ingin diterapkan hingga menjadikan budaya ini satu kebiasaan. Harus sedar, berada di institusi pengajian tinggi bermakna perlu meng�gandakan usaha, bersusah payah dan berdepan rintangan sebelum berjaya.

“Barulah hasil kejayaan dikecapi itu manis dan berbaloi. Namun jika asyik memplagiat hasil orang lain, apakah makna perjuangan ilmu itu?” katanya mengakui penyeliaan dalam apa jua penghasilan karya perlu dilakukan dengan penuh teliti.

Menurutnya kajian atau penulisan bertujuan mencambah pemikiran baru selain mening�katkan lagi nilai intelektual individu. Ia perlu dipantau dan diteliti sebelum diiktiraf.

“Longgarnya aspek itu akhir�nya memungkinkan plagiarisme berlaku sekali gus menghakis sedikit demi sedikit nilai asli yang ingin dihasilkan. Bayang�kan jika semua hasil adalah plagiat, apakah kualiti yang mampu dicapai?,” katanya.

Budaya itu juga, katanya, sangat memalukan dan tidak adil kepada kelompok lain yang berusaha keras menghasilkan karya asli namun tetap mendapat pengiktirafan sama.

Meskipun universiti mengamalkan dasar dan polisi tegas untuk membendung budaya itu, masih ada yang berani melakukannya kerana beranggapan ‘tiada siapa tahu’ selain menjimatkan masa.

“Setiap institusi mempunyai polisi ketat bagi memastikan budaya plagiarisme tidak menular, sekali gus menjatuh�kan nama baik institusi. Bagaimanapun, masih ada yang berani menongkah arus semata-mata memastikan misi tercapai.

“Lebih hebat, mereka turut memplagiat hasil penyelidikan. Ironinya, budaya ini tidak terhad hanya pada golongan akademik, malah mahasiswa turut sama melakukannya.

“Cuma caranya berbeza dengan penilaian atau tujuan berlainan. Apapun alasan, ia sama sekali tidak boleh diterima kerana menjatuhkan nilai ilmuwan dan intelektual,” katanya.

Antara cara boleh dilakukan bagi mengesan plagiarisme adalah penyeliaan teliti oleh penyelia selain menerusi perisian pengesan Turnitin yang boleh membantu mengenal pasti bahagian diciplak penulis tanpa menyatakan sumbernya.

Sama ada budaya ini boleh dikekang, beliau berkata, semuanya terpulang kepada kesedaran dan kejujuran individu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat untuk diri sendiri serta masa depan.

“Perkara ini amat subjek�tif, hanya diri sendiri saja yang boleh menentukan dan merencanakan perjalanan kejayaan masing-masing. Plagiat sebenarnya tidak beretika dan wajar dihentikan.

“Perlu yakin pada kemampuan diri sendiri, berusaha keras dan berdisiplin. Hanya itu kunci yang ada untuk mencapai kejayaan.

“Selain itu, plagiat hanya merugikan, merendah�kan taraf seseorang yang mungkin dapat mengecapi kesenangan seketika. Namun berbaloikah kerana ia terhasil dari usaha orang lain, bukan diri sendiri;” soalnya.


INFO


  • Kamus Dewan Edisi Ketiga mendefinisikan plagiat sebagai mencedok kata, idea dan sebagainya daripada orang lain dan menggunakannya sebagai karya sendiri, tiruan atau menciplak.




  • Wikipedia pula �mendefinisikan, plagiarisme adalah mengakui tulisan orang sebagai tulisan sendiri; mengakui gagasan� orang lain sebagai pemikiran sendiri; menga�kui penemuan orang lain sebagai kepunyaan sendiri; mengakui karya kelompok sebagai kepunyaan atau hasil sendiri, menyajikan tulisan yang sama dalam kesempatan yang berbeza tanpa menyebutkan asal-usulnya.




  • Perisian komputer seperti Word Check System, Turnitin dan Scan My Essay banyak diaplikasikan oleh universiti di seluruh dunia dilihat sangat berkesan dalam memastikan kewujudan elemen plagiarisme dalam penyediaan kajian ilmiah, tesis dan penulisan akademik lain secara atas talian.






  • Wednesday, December 14, 2011

    Pusat sehenti kelengkapan sekolah



    Anak-anak mahukan semua kelengkapan sekolah diganti baru apabila masuk penggal persekolahan nanti.


    KURANG sebulan, anak-anak yang berumur antara tujuh hingga 17 tahun akan memulakan sesi persekolahan baru, 2012.
    Sudah pasti segala kelengkapan seperti baju, kasut, beg serta alat tulis antara yang perlu disediakan sebelum anak-anak melangkah ke sekolah.
    Untuk itu, pastinya ibu bapa tercari-cari kedai yang menawarkan kesemua peralatan tersebut di bawah satu bumbung.
    Ini kerana selain memudahkan pembelian, ia juga secara tidak langsung memudahkan ibu bapa membeli kesemua kelengkapan persekolahan pada satu masa.
    Bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan utara tanah air dan ingin mendapatkan kelengkapan persekolahan, apa kata kunjungi Skoolmate yang terletak di No. 18, Jalan Tuanku Hamimah 1, Taman Tuanku Hamimah, Sungai Petani, Kedah.
    Boleh diibaratkan sebagai sebuah kedai sehenti (one stop centre), ia menawarkan pelbagai kelengkapan serta aksesori persekolahan di bawah satu bumbung.
    Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Silmi Sulaiman, pembukaan kedai tersebut adalah bertujuan untuk memberi kemudahan kepada ibu bapa mendapatkan pelbagai kelengkapan persekolahan untuk anak masing-masing.
    Dalam masa yang sama, tambahnya lagi, barangan yang terdapat di Skoolmate ditawarkan pada harga yang berpatutan.
    "Di sini, kami menawarkan pelbagai barangan persekolahan daripada atas hingga ke bawah bermula daripada Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), sekolah rendah, sekolah menengah dan juga sekolah agama.
    "Kami turut menawarkan pelbagai barangan pada harga yang berpatutan sejajar dengan seruan kerajaan.
    "Oleh yang demikian, dengan bantuan kerajaan sebanyak RM100, mereka sudah boleh mendapatkan kelengkapan pakaian seragam sekolah yang baru," katanya ketika ditemui di premisnya di Sungai Petani, baru-baru ini.
    Tambahnya lagi, pihaknya yang mengetengahkan tag line 'sekolah adalah hebat' (school is cool) berharap agar para pelajar suka ke sekolah dan bukannya satu tekanan buat mereka.
    Mengakui melakukan kajian selama enam bulan sebelum membuka kedai tersebut, Silmi amat berharap kewujudan Skoolmate mampu memenuhi keperluan para pelajar.
    Selain itu, ulas Silmi lagi, pihaknya turut menyediakan pakaian seragam sekolah untuk para pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); pengawas sekolah; aktiviti kokurikulum seperti Pandu Puteri, Puteri Islam, Kadet Bomba, Kadet Polis dan Persatuan Bulan Sabit Merah; baju sukan dan sebagainya.
    Mengulas lanjut mengenai perniagaanya, ujar Silmi, pihaknya cukup prihatin dengan pelajar-pelajar miskin.
    Untuk itu mereka turut terpanggil menganjurkan Program Sumbangan Skoolmate (Skoolmate Donation Program), iaitu program khusus untuk pelajar miskin dan anak yatim
    Bukan itu sahaja, malah bagi pelajar-pelajar kelainan upaya (OKU), mereka akan diberikan potongan sebanyak 15 peratus sekiranya membeli sebarang kelengkapan persekolahan di Skoolmate.
    Walaupun baru beroperasi pada Oktober lalu, menurut Silmi, selain menjual kelengkapan persekolah, pihaknya turut menerima tempahan.
    "Kami turut menerima sebarang tempahan daripada mana-mana koperasi untuk baju-baju sekolah, baju sukan dan sebagainya.
    "Dalam masa yang sama, bagi mana-mana keluarga yang membeli pakaian sekolah di sini, kami akan memberikan perkhidmatan menjahit lencana sekolah secara percuma tetapi mereka perlulah membawa lencana tersebut," katanya.
    Bermula 27 November lalu, pihak Skoolmate turut menganjurkan cabutan bertuah dengan setiap pembelian melebihi RM100.
    Cabutan bertuah tersebut yang akan berakhir pada 28 Februari 2012 menawarkan pelbagai barangan menarik seperti komputer riba, komputer tablet dan baucer.
    Dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam, Skoolmate turut mengalu-alukan mereka yang ingin menjadi pengedar barangan dengan menghubungi talian 04-4480326 atau layari www.skoolmate.com.my