Pages

Translate

Wednesday, February 29, 2012

Pihak swasta disaran bekal buku ke sekolah luar bandar: Noorainee

PUTRAJAYA: Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menyeru pihak swasta, syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk membekalkan buku-buku bacaan di pusat sumber sekolah-sekolah luar bandar seluruh negara. 

Beliau berkata, tanggung jawab sosial seumpama itu boleh membantu agenda pendidikan negara sekaligus dapat memastikan anak-anak di luar bandar memperoleh bahan bacaan yang bermutu dan pelbagai.
"Saya dimaklumkan di kebanyakan sekolah luar bandar, nisbah buku dengan bilangan murid masih tidak mencukupi untuk membolehkan setiap murid mempunyai peluang meminjam buku pada kadar yang maksimum.
"Sehubungan itu saya berharap agar mereka dapat mengikut langkah Yayasan Minda Kebangsaan yang memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membekalkan bahan bacaan kepada 500 pusat sumber sekolah-sekolah luar bandar seluruh negara," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Sosial Korporat Pendidikan(PROSKOP): Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di sini hari ini. - BERNAMA 

Tuesday, February 28, 2012

UPSI: 8 mahasiswa dipanggil kawad cam polis

Pada kira-kira jam 3 petang semalam, 8 mahasiswa yang terlibat dengan Perhimpunan Kebebasan Akademik pada malam tahun baru 31 Disember yang lalu telah dihubungi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sesi kawad cam yang akan diadakan pada 29 Februari, hari ini di Balai Polis Tanjung Malim, Perak.

8 aktivis mahasiswa yang terlibat adalah Ahmad Shukri Che Ab Razab yang bertindak sebagai Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Khalid Mohd Ismath, Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami),  Haziq Abdullah Abdul Aziz (Presiden Kami), Muhammad Safwan Anang@Talib, Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Adam Adli, pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif, Ekhsan Bukharee Badarul (Aksi), Mohd Zaini Mahd Ismail, aktivis mahasiswa dan Muhammad Hilman Idham, bekas Presiden dan pengasas Kami.

Perhimpunan yang diadakan pada malam tahun baru itu sebenarnya adalah untuk mengulangi enam tuntutan mahasiswa yang telah dikeluarkan oleh Gerakan Kebebasan Akademik (Bebas) dan beberapa persatuan mahasiswa yang lain serta menuntut supaya pihak UPSI menggugurkan pertuduhan ke atas Pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) Adam Adli yang dikatakan menghuru-harakan ketenteraman awam serta mencemarkan nama universiti.

Namun begitu, perhimpunan aman yang hendak diadakan berakhir dengan tragedi berdarah apabila pemimpin Bebas, Muhammad Safwan Anang@Talib telah mengalami kecederaan yang parah akibat dipukul.

Selain itu, beberapa mahasiswa lain juga turut tercedera.

Kes himpunan UPSI ini mendapat perhatian serta liputan meluas termasuk daripada bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin yang mengecam tindakan pihak polis. Kes ini seolah-olah tergantung dan tidak mencapai resolusi yang sepatutnya apabila Safwan yang telah dipukul tidak mendapat pembelaan sepatutnya.Ini yang kami tidak faham.

Selain itu, 8 mahasiswa yang mendapat panggilan daripada PDRM itu berasa hairan apabila mereka yang dikenakan kawad cam sedangkan kes anggota polis yang memukul Safwan Anang tidak mendapat sebarang jalan penyelesaian.

Lord Denning yang terkenal pernah berkata bahawa “keadilan bukanlah sesuatu yang mampu dilihat, ia tidak terbatas oleh waktu tetapi kekal sampai bila-bila. Ia bukan produk intelek tetapi produk rohaniah insan”.

Justeru, mahasiswa menuntut supaya supaya keadilan ditegakkan dalam kes ini bertepatan dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

Mahasiswa berharap supaya pihak polis menjalankan kawad cam mengikut prosedur dan undang-undang yang ditetapkan kerana kami masih percaya bahawa pihak polis merupakan harapan masyarakat untuk menjaga keselamatan dalam negara.

Kalau bukan kalian, siapa lagi?

Khairul Naim ialah Setiausaha Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami)

Monday, February 27, 2012

Wujud model sekolah agama moden

Jamil Khir(kiri) mengadakan sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Pendidikan Islam Pering
KANGAR - Majlis Agama Islam Negeri-negeri diminta mewujudkan suatu model sekolah agama moden bagi mempertingkatkan pendidikan Islam seiring keperluan semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pelajar bernaung di bawah institusi pendidikan Majlis perlu diberi peluang belajar, meliputi bidang akademik.

“Jabatan Kemaju­an Islam Malaysia (Jakim) berusaha mempertingkatkan kualiti sijil peperiksaan dikeluarkan maahad tahfiz untuk dapat akreditasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagaimana diperolehi Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) sebelum ini.

“Kita akan kenal pasti sama ada sijil dikeluarkan menyamai tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebelum membuat keputusan,” katanya selepas majlis perasmian Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan di Dewan 2020, di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid.

Jamil Khir berkata, usaha ini adalah sebagai penyatuan Majlis untuk mempertingkatkan kemampuan sekolah agama rakyat di seluruh negara.

Menurutnya, JAKIM dan agensi agama yang mengurus pendidikan Islam di negeri-negeri, sentiasa memastikan pelajar sekolah agama tidak terpinggir daripada arus pendidikan nasional dengan menyediakan kemudahan serta peluang pembelajaran yang lebih sistematik.

Sunday, February 26, 2012

Cawangan KPTM setiap negeri | Kolej Poly Tech Mara (KPTM)

Selari misi untuk terus memperkukuhkan fungsi pendidikan di kalangan masyarakat, Kolej Poly Tech Mara (KPTM) berhasrat untuk mengembangkan lagi operasi pusat pengajian itu dengan membuka cawangan di setiap negeri pada masa akan datang.
Ia juga bertepatan dengan wawasan institusi itu untuk melahirkan pelbagai golongan pakar untuk mewarnai industri kerjaya sama ada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. 
Optimis untuk melaksanakannya, Presiden KPTM, Datuk Yusoff Harun, berkata perancangan itu akan dilaksanakan secara berpering�kat termasuk menambah pembukaan kampus di lokasi pilihan.

Terkini, kampus KPTM di Terengganu bakal dibuka pada tahun ini bagi meneruskan tradisi kecemerlangan sedia ada.

KPTM mempunyai sembilan kampus di seluruh negara dengan bilangan pelajar 15,000 selain mensasarkan 5,500 kemasukan pelajar baru untuk sesi pengambilan Julai tahun ini.

“Sejajar peningkatan dan transformasi dunia pendidikan, KPTM juga mengatur pelbagai strategi untuk melonjakkan pencapaian sedia ada. Dengan kata lain, mahu menjadikan agenda pendidikan sebagai wadah utama melahirkan generasi berilmu.

“Justeru, pelbagai usaha, cara dan pendekatan dilakukan bagi mencapai hasrat itu apatah lagi dengan pencapaian sedia ada, KPTM yakin boleh melaksanakan misi itu,” katanya.

Pada masa sama, penubuhan Unit Inovasi dan Kreativiti KPTM adalah untuk menyokong dasar kerajaan yang mahu menumpukan ke arah pembangunan program dalam bidang terbabit selain satu inisiatif menjadi institusi pengajian lebih berdaya saing.

“Unit terbabit berfungsi sebagai pusat yang akan mengkoordinasi aktiviti inovasi dan kreativiti semua kampus KPTM bagi melahirkan insan berteknologi tinggi,” katanya.

Belajar sepanjang hayat

DALAM usaha meneroka, membangun serta mengembangkan ilmu pengetahuan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengorak langkah dinamik dengan menubuhkan Pusat Pendidikan Berterusan (CEC) di Kluang, Johor yang menumpukan konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH).
Penubuhan itu bertepatan usaha menjadikan bandar berkenaan sebagai bandar ilmu pada masa depan selain memperluaskan lagi akses pengajian pasca siswazah dari universiti China dan Taiwan. 
Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata bagi memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran sentiasa relevan dengan kehendak industri, CEC diterapkan dengan elemen kemahiran insaniah dan kemahiran bahasa Inggeris melalui kursus dan program ditawarkan.

“UTHM sentiasa menyokong institusi latihan yang ingin menawarkan program berbentuk latihan kemahiran sejajar keperluan industri.

“Dengan penubuhan CEC cawangan Kluang ini diharap�kan dapat membantu mening�atkan kualiti tenaga kerja melalui pendekatan pendidikan dan latihan bersesuaian pasaran kerja,” katanya ketika majlis perasmian yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung.

CEC di Kluang dijangka mengendalikan sehingga 3,000 mahasiswa dan pemilihan lokasi dilakukan sejajar dengan kemudahan infrastruktur dan pengangkutan baik yang boleh dimanfaatkan.

CEC UTHM yang ditubuhkan pada 17 Julai 2003 menawarkan beberapa program seperti kursus jangka pendek dan panjang, program eksekutif, program pesisir dan program Peningkatan Kemahiran Industri (INSEP) yang meliputi aspek teori, amali juga kerja lapangan.

Kerjaya mulia | KEJURURAWATAN

KEJURURAWATAN adalah kerjaya yang mulia. Sebagai seorang jururawat, anda bekerja rapat dengan doktor untuk memberi layanan terbaik kepada pesakit.
Untuk menjalankan tugas anda dengan baik, anda perlu bijak berkomunikasi dengan pesakit dan membuat mereka selesa. 
Anda juga mesti memberi perhatian kepada perincian, menganalisis maklumat dan peka terhadap tingkah laku setiap pesakit.

Kebanyakan kemahiran kejururawatan moden dipelopori Florence Nightingale, yang dianggap orang pertama yang mengangkat bidang itu ke peringkat lebih tinggi.

Dilahirkan pada 1820, Nightingale belajar menjadi seorang jururawat di Jerman, dan menjadi jururawat ketika Perang Crimean antara Britain dan Rusia pada 1850-an.

Beliau mendapati keadaan di hospital tentera amat teruk.

Askar tidak mempunyai selimut atau makanan sesuai. Keadaan kotor serta penyakit membunuh lebih banyak askar daripada luka atau kecederaan akibat perang.

Dengan meningkatkan kualiti kebersihan persekitaran hospital, beliau mengurangkan kadar kematian pesakitnya.

Apabila pulang ke England, beliau memulakan kempen meningkatkan kualiti kejururawatan di hospital tentera. Beliau mewujudkan Kolej Kejururawatan Tentera.

Nightingale menerbitkan dua buku mengenai pendidikan kepada jururawat. Pada tahun 1860, beliau membina sekolah jururawat.

Beliau menekankan aspek kebersihan, kepentingan makanan sesuai, pengurusan dan pemerhatian pesakit.

Nightingale juga orang pertama membuat rondaan malam untuk memeriksa pesakit, sehingga mendapat jolokan, “wanita dengan lampu.”

Hasil kerja keras Nightingale, jururawat hari ini disanjung masyarakat. Mereka boleh menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti kardiologi, neonatologi, onkologi, pediatrik atau mana-mana pengkhususan perubatan lain.

Bagi menghargai pengorbanan Nightingale, Hari Jururawat Sedunia diumumkan sempena hari jadinya pada 12 Mei setiap tahun.

Ayuh, jika mahu mengikut langkah berani Nightingale, mulakan kerjaya dalam bidang Sains Kesihatan di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur
Pelajar di bawah Fakulti Sains Kesihatan boleh melanjutkan pengajian dalam kursus Diploma Kejururawatan, Kesihatan Persekitaran, Terapi Cara Kerja, Pengimejan Perubatan, Fisioterapi, Farmasi atau Teknologi Makmal Perubatan.

Kursus-kursus direka bagi menghasilkan pakar kesihatan bermotivasi, berkemahiran dan bertanggungjawab.

Hubungi KLMU di talian bebas tol 1800-88-5568 atau melalui SMS dengan menaip KLMU MAHS NAMA NEGERI dan hantar ke 36600 atau layari laman web www.discoveru.com.my atau KLMU di www.klmu.com.my untuk maklumat lanjut.

Anggap bidang sains tak berbaloi




CARA KREATIF...perlu ada kreativiti dalam proses pembelajaran untuk memupuk minat pelajar terhadap sains.
CARA KREATIF...perlu ada kreativiti dalam proses pembelajaran untuk memupuk minat pelajar terhadap sains.
KEMEROSOTAN jumlah pelajar aliran sains yang semakin kritikal mencetuskan satu polemik baru dunia pendidikan negara yang selama ini mensasarkan hala tuju sebuah negara maju.
Penurunan itu mencetuskan kebimbangan di kalangan pelbagai pihak selain persoalan mengapa aliran dianggap berprestij itu semakin kurang mendapat perhatian?

 BOSAN...sangat merugikan jika pelajar bijak menolak sains semata-mata dimomokkan dengan tanggapan negatif.
  BOLEH MEMBANTU...pelbagai program dan pameran boleh dianjurkan sebagai mekanisme maklumat bahawa aliran sains sangat menyeronokkan.
Biarpun tidak bersikap lepas tangan dan pelbagai usaha giat dilaksanakan bagi melonjakkan kembali peningkatan kepada 60 peratus pelajar aliran sains, keadaannya masih samar.

Justeru, timbul persoalan, adakah subjek yang dulunya menjadi simbol status pelajar sudah semakin tidak gah? Mengapakah pelajar drastik menukar ‘corak’ pemilihan pengajian?


Timbalan Dekan Akademik Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Husin Wagiran, berkata rasa ingin bebas daripada belenggu aliran sains yang sukar serta menganggap aliran sastera mempunyai lebih peluang dalam kejayaan akademik menjadi faktor kemerosotan aliran berkenaan.

Beliau berkata, biarpun sains dikategorikan aliran berprestij, ‘pulangannya’ yang tidak konsisten menyebabkan pelajar lebih rela bertukar aliran.

“Dalam dunia persaingan hari ini, nilai prestij aliran tidak memainkan peranan penting sebaliknya jaminan yang mampu diberikan menjadi faktor tarikan utama.

“Sebagai golongan yang berada dalam situasi itu, tentu mereka membuat pemilihan aliran yang mampu memberikan pulangan selepas belajar. Pada pendapat mereka, apalah ada pada sains kalau kerjayanya terbatas.

“Masyarakat mungkin melihatnya dari perspektif berbeza, pelajar juga begitu.
Rasionalnya, mereka memilih bidang diingini biarpun pemilihan itu akan menyebabkan sasaran ditetapkan tidak tercapai,” katanya.

Sejak 2007, kemerosotan pelajar aliran sains ketara, sekali gus memperlahankan sasaran Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 yang memerlukan 60 peratus pelajar aliran sains dan selebihnya sastera.

Senario itu berterusan �ke tahap universiti apabila pelajar yang memasuki institusi pengajian tinggi melihat pembelajaran dalam bidang sains tidak berbaloi selain sukar dan membosankan.

Beliau mengakui sains memang subjek sukar dan membosankan selain menjadi milik pelajar pandai, namun jika golongan itu turut tidak meminatinya, pasti ada sebabnya.

“Mengapa tidak mahu meneruskan pengajian dalam aliran itu sebaliknya memilih sastera? Adakah aliran ini tidak menjanjikan masa depan biarpun diiktiraf kerana statusnya?

“Banyak sebab perlu dikaji bagi menyelesaikan isu sedia ada. Sudah tentu kita tidak mahu mengorbankan masa depan mereka hanya kerana dibelenggu dengan masalah yang boleh diselesaikan,” katanya.

Definisi sains sebagai ilmu mengenai alam semula jadi juga boleh berperanan membina pengukuhan minat terhadap sains kerana masyarakat sering mengaitkannya dengan subjek sukar seperti matematik, biologi, kimia dan fizik.

“Benar, subjek berkenaan terutama Matematik sukar namun tidak bermakna pelajar tidak boleh menguasainya. Rasa tidak minat boleh didorong dengan penjelasan terperinci.

“Ada pelajar meminati subjek Sains tapi tidak Matematik, justeru ia boleh mengganggu proses pemilihan aliran,” katanya.

Menurutnya, sains memang rumit berbanding sastera yang lebih menekankan konsep pemahaman. Budaya pelajar juga lebih suka menghafal daripada melakukan analisis.

“Ini menyebabkan minat terhadap aliran itu tidak berkembang kerana sesiapa pun mahu memilih aliran mudah yang boleh menjamin mereka lulus cemerlang,” katanya.

Ditanya adakah senario ini boleh menggugat usaha serta perancangan ditetapkan, katanya ia masih boleh diperbaiki meskipun sukar mencapai sasaran 60 peratus ditetapkan.

“Selama ini, kita disogokkan bahawa sains susah, tidak menarik, boleh mengakibatkan keputusan merudum dan sebagainya. Ini menyebabkan pelajar takut.

“Apa salahnya, tanggapan itu ditukar kepada perspektif berbeza seperti sains membantu melonjakkan imej seseorang, menyeronokkan atau boleh menjawab pelbagai persoalan.

“Saya percaya, jika ditekankan dengan konsep pemikiran ini, minat terhadap sains dapat berkembang,” katanya.

Beliau berharap sekolah dapat mewujudkan kembali Minggu Sains dan Matematik sebagai peringkat asas menerapkan minat terhadap aliran itu.

“Program ini satu berkesan mencambah minat pelajar kerana sudah didedahkan dengan ‘kecantikan’ sains pada peringkat rendah,” katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Shamim Salimon, berkata minatnya terhadap aliran sains dipupuk menerusi pembacaan serta kejayaan individu terutama saintis antarabangsa.

Dia dulunya kurang meminati sains, tetapi pendekatan menarik diguna pakai guru menjadikan ia terus bercambah hingga mengambil keputusan melanjutkan pengajian dalam aliran itu.

“Sains memerlukan pelajar gigih mengulang kaji kerana semua aspek saling berkaitan. Cara guru mendidik juga penting.

“Alasan enggan kerana takut keputusan tidak cemerlang, sangat goyah kerana aliran sastera juga susah dan memerlukan usaha untuk berjaya.

“Pendapat saya, individu sendiri yang perlu mencabar diri dan menetapkan matlamat sama ada untuk berjaya atau tidak,” katanya.



INFO:

  • Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020 mensasarkan 60 peratus pelajar aliran sains malangnya ia merosot dengan bidang sains dan matematik hanya 37 peratus dan 29 peratus bagi sains tulen.

  • Melalui kajian didapati ramai pelajar lebih berminat menjadi ahli perniagaan, usahawan, petani, kontraktor, bidang perkhidmatan dan bidang hospitaliti yang bukan saja memberi cabaran baru menarik tapi turut menjanjikan pendapatan lumayan yang boleh mengatasi pendapatan bidang profesional.

  • Jumlah pelajar aliran sains di institusi pengajian tinggi tempatan kini hanya sekitar 35,000 orang setahun berbanding sasaran 100,000 pelajar setahun.

  • Malaysia memerlukan sekurang - kurangnya 500,000 tenaga kerja dalam aliran sains dan teknologi menjelang 2020 untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
  • Tuesday, February 21, 2012

    Bersatu tanpa satu bahasa




    TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa patriotisme pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan tidak perlu dipersoalkan dan dihubungkaitkan dengan kesetiaan dan kasih sayang pada negara.
    Tajuk berita mengenainya:Patriotism not in one 's language, those study in vernacular school are loyal to country, says Wee ( Sunday Star 19 February 2012)
    "Bahasa adalah jambatan perpaduan tetapi menggunakan bahasa yang sama tidak bererti bahawa kita bersatu" katanya.
    Pandangan ini ada logiknya tetapi menidakkan atau menafikan peranan "Satu bahasa Satu Bangsa" untuk jalinan penghayatan perasaan kenegaraan, persefahaman, saling hormat-menghormati dan bagi pembangunan dan kesepaduan suatu bangsa dalam masyarakat berbilang kaum.
    Pandangan ini juga menolak kejayaan Singapura membangunkan suatu Bangsa Singapura (Singaporean Singapore) menerusi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris walaupun bahasa ibunda masing-masing dibenarkan untuk dipelajari sebagai bahasa kedua (Dasar Dwi Bahasa).
    Singapura melaksanakan dasar Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama semua sekolah dengan tegas, berani dan tanpa tolak ansur terutama terhadap kaum Cina sendiri (lihat buku Lee Kuan Yew : My Life Long Challenge : Singapore Bilingual Journey). Keberkesanannya yang terbesar adalah menghapuskan cauvinisme Cina berpunca dari sekolah Cina yang berpotensi menjadi ancaman besar kepada ketenteraman dan keharmonian politik Singapura dari awal 60 an hingga 80an.
    Di Malaysia Sekolah Kebangsaan (Pengantar Melayu) tidak mencapai matlamat seperti sekolah aliran kebangsaan di Singapura (aliran Inggeris) kerana pendekatan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan bermula dengan pendekatan jingoism atau fahaman perkauman Melayu yang sempit yang tidak menampakkan pendekatan liberal dan berdiplomasi supaya diterima selesa oleh bukan Melayu sebagai bahasa mereka.
    Pendekatan ini lebih hendak menonjolkan kebanggaan bahasa Melayu adalah hak kepunyaan orang Melayu sekalipun hasrat utama adalah untuk menjadikannya bahasa nasional atau bahasa bagi semua kaum.
    Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra menganjurkan supaya Bahasa Melayu diistilahkan sebagai Bahasa Malaysia tetapi seakan ditolak oleh pejuang bahasa dan fanatik bahasa yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehingga ini kesempitan dalam pendekatan ini dapat dilihat dari papan-papan iklan atau poster promosi penggunaan Bahasa Melayu di lebuh raya dan di lain-lain tempat umum yang menggunakan gambar lelaki dan wanita Melayu berpakaian Melayu.
    Ini memberikan gambaran penggunaan Bahasa Melayu mestilah juga menggunakan budaya Melayu atau Bahasa Melayu itu hanya terbatas kepada orang Melayu dan Islam sahaja. Kenapa tidak memakai wajah berbilang kaum dalam pakaian harian.
    Kempen menggalakkan penggunaannya masih memakai slogan lapuk dan beku" Gunakanlah Bahasa Melayu". Pada hakikatnya dalam interaksi seharian antara kaum sekarang ini adalah menggunakan bahasa Melayu kecuali di bidang perdagangan dan ekonomi yang tetap memerlukan penggunaan bahasa Inggeris.
    Slogan ini tidak dinamik dan beku yang menunjukkan kejumudan berfikir pejuang bahasa yang bertanggungjawab yang tanpa sedar menyinggung perasaan generasi baru bukan Melayu yang telah pun menguasai dan menggunakan bahasa itu.
    Ketidakterbukaan sikap ini juga mempengaruhi corak pendekatan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan sehingga anak anak bukan Melayu merasa terasing dan menjadi antara salah satu fakta menyebabkan orang Cina tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sesetengah sekolah ini pula agak keugamaan kerana sikap pengetua atau guru.
    Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) sendiri diawal kemerdekaan negaranya telah melihat ancaman perkauman Cina dari sekolah-sekolah Cina kepada perkembangan keharmonian kaum dan kestabilan Singapura. Oleh kerana jumlah besar penduduk Singapura orang Cina maka cabaran besar yang pertama sekali dihadapi adalah dari generasi muda berpendidikan Cina yang dibudayakan oleh Bahasa Cina.
    LKY dengan berani, tegas dan menggunakan tangan besinya memerangi pejuang-pejuang pendidikan Cina dan menutup sekolah-sekolah Cina, Tamil dan Melayu dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama yang akhirnya menjadi alat paling berkesan bagi kecairan perkauman Cina. Dalam 1987, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal sekolah Singapura.
    Air mata mengalir di kalangan masyarakat India apabila sekolah Tamil ditutup di Singapura pada 1982 terutama sekali di kalangan penjual-penjual akhbar Tamil yang yang penutupan sekolah itu bererti berakhirnya riwayat akhbar Bahasa Tamil di Singapura. (Men In White - hlm 611)
    Mengenai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa bersama rakyat Singapura, LKY berkata " Selepas 1965, kami terpaksa membuat keputusan mengenai bahasa bersama. Jika kami menjadikan Cina sebagai bahasa bersama , maka kebudayaan Cina menjadi dominan dan akan membawa kepada perpecahan masyarakat. (Ibid hlm 613)
    Tidak dapat dinafikan bahawa berikutan dengan kebangkitan Republik Rakyat Cina menuju ke arah menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia maka dasar Singapura kini tercabar tetapi tidak mungkin Singapura mahu meleburkan asas kekuatannya seperti yang dibenarkan berlaku di Malaysia sehingga mengakibatkan tsunami 2008.
    LKY berjaya melahirkan rakyat Cina yang berfikiran Singapura atau Singapura yang tidak kecinaan berbanding dengan aliran pemikiran Cina Malaysia yang mengwujudkan suasana yang memaksa kepimpinan politik Cina untuk mencari populariti menerusi isu perkauman Cina.
    Kesilapan LKY adalah hendak menjual eksperimen kejayaan politik kosmopolitannya di Singapura ke Malaysia (Malaysian Malaysia) tanpa mempedulikan sensitiviti majoriti masyarakat tradisi Melayu. Beliau mahu melakukan apa yang dilakukannya terhadap majoriti rakyat Cina Singapura.
    Dalam buku Men In White halaman 610 disebutkan bagaimana LKY menghadapi golongan pejuang pejuang bahasa Cina pada 1965. LKY menulis "under the full glare of TV light I met the committees of all four chambers of commerce. I left the Chinese representative in no doubt that I would not allow anyone to exploit the Chinese language as a political issue. That put an end to their attempts to elevate the status of the Chinese"
    Hal ini tidak mungkin akan dilakukan oleh LKY jika beliau tidak melihat mereka yang bersekolah Cina akan terbentuk dengan pemikiran perkauman Cina dan keperluan penggunaan satu bahasa untuk pembinaan perasaan kenegaraan atau kesetiaan kepada Singapura.
    Contoh kecil bahawa golongan berpendidikan Cina bersikap perkauman Cina yang menyebabkan mereka berpandangan sempit dan kecinaan jelas dalam tulisan Joceline Tan diSunday Star 19 Februari 2012 mengenai debat Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
    Menurut Joceline golongan berpendidikan Cina menganggap orang Cina seperti Soi Lek dan Guan Eng sebagai pisang, kuning di luar tetapi Barat di dalam kerana mereka tidak berpendidikan Sekolah Cina tetapi hanya bersekolah Kebangsaan dan Sekolah Inggeris.
    Demikian juga dalam bukunya My Life Long Challenge: Singapore Bilingual Journey, LKY menyatakan bahawa orang Cina yang mendapat pendidikan Inggeris memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kedua untuk anak-anak mereka kerana menyedari hakikat bahawa Singapura berada di rantau Melayu tetapi orang China yang berpendidikan Cina tetap memilih bahasa Cina sebagai bahasa kedua.
    Menafikan sesuatu bahasa membibitkan perasaan kenegaraan adalah menafikan proses pembentukan kejatian diri sesuatu bangsa. Dalam hal ini Singapura mencapai kejayaan dalam masa singkat dan boleh dijadikan contoh.
    Dalam masa tiga dekad (1960 -1980) , Sekolah Rendah dan Menengah pengantar Bahasa Cina tidak wujud lagi di Singapura. Dalam 1980, Nanyang Universiti dipaksa bergabung dengan Universiti of Singapura untuk menjadi National Universiti of Singapore (Lihat Men in White hlm 612).
    Bagaimanapun rakyat Malaysia yang mahukan suatu identiti nasional tidak seharusnya bersikap sentimen, marah atau prejudis terhadap bukan Melayu yang tidak mahu menerima Sekolah Kebangsaan atau tidak mahu menghantar anak anak mereka ke Sekolah Kebangsaan.
    Ini adalah sikap pengasingan diri secara sukarela yang sewajarnya dihormati dalam masyarakat berbilang kaum yang negaranya percaya kepada perpaduan menerusi integrasi. Mereka tidak mahu diserapkan dalam suatu acuan bangsa seperti yang berlaku kepada orang Cina di Indonesia atau di Thailand yang menjalankan dasar asimilasi terhadap pendatang.
    Dalam kata-kata lain, kewujudan masyarakat bukan Melayu yang mahukan kebebasan untuk terus kekal dengan identiti bangsa pendatang dan tidak mahu berada dalam aliran perdana sewajarnya dibiarkan.
    Mereka akan dikenali dengan pertuturan dialek Bahasa Melayu yang tersendiri kerana tidak mahu menerima guru bahasa dari orang Melayu dan menolak sekolah wawasan. Ini berbanding dengan keturunan India yang bersekolah kebangsaan dari peringkat rendah. Mereka bercakap Melayu seperti orang Melayu.
    Golongan "pemencilan diri sukarela" ini juga akan dikenali dengan identiti pemikiran yang terasing dari aliran perdana. Dalam menangani situasi ini yang perlu adalah kerajaan Malaysia memperkasakan terus kualiti Sekolah Kebangsaan dan Pendidikan Tinggi Nasional terutama sekali dalam memantapkan pengajaran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di samping Bahasa Malaysia.
    Saya percaya ramai orang Cina yang akan kembali menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan sekiranya Bahasa Inggeris digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Orang Cina ialah orang yang praktikal, pragmatik dan amat mementingkan nilai. Inilah yang ditakuti oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan.
    Tidak ada ruginya kepada negara jika ada mana-mana kaum dalam masyarakat berbilang kaum mahu terpisah dari aliran nasional dengan lebih mengutamakan kemantapan bahasa dan kebudayaan sendiri. Semakin jauh kejayaan Sistem Pelajaran Kebangsaan dengan pengantar Bahasa Melayu dan kemantapan Bahasa Inggeris (Pasti akan berlaku) akan semakin nyata mereka terpisah dari aliran perdana dan akan semakin mudah mereka dikenali sebagai bangsa asing. Ini bukanlah kehendak kita tetapi pengasingan diri mereka secara sukarela.
    Ini berbanding dengan masyarakat Cina Indonesia yang berbahasa Indonesia sesama mereka dan terlihat sebati dengan bumiputera Indonesia dan dikenali oleh orang asing bahawa mereka adalah bangsa Indonesia. Kita sendiri merasa bangga mendengar Cina Indonesia berbahasa Indonesia.
    Sebuah hotel di Singapura yang pernah saya menginap, ramai pekerjanya yang terdiri dari orang Cina dan India Singapura berbahasa Indonesia dengan baik kerana sekian lama menjadi tumpuan penginapan keturunan Cina Indonesia.
    Maka itu kenyataan Ka Siong tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan, kemarahan atau kerisauan di kalangan rakyat di aliran perdana negara sekalipun berbeza pendapat dengan menterinya sendiri. Biarkan dan biarkan.

    Persefahaman mula di sekolah

    MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada   pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Petaling Jaya, semalam.
    MUHYIDDIN beramah mesra dengan pelajar pada pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Petaling Jaya, semalam.
    Murid mesti dididik pentingnya menghormati masyarakat majmuk

    PETALING JAYA: Langkah mewujudkan persefahaman yang lebih mendalam mengenai pentingnya menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza agama, haruslah bermula pada peringkat sekolah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
    Timbalan Perdana Menteri berkata, negara dapat menjana kekuatan lebih besar pada depan apabila rakyat tidak melihat kelainan dan perbezaan antara satu sama lain.
    Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu akan membolehkan warga pendidik, guru, ibu bapa dan pelajar mengutamakan kepentingan untuk tidak menyentuh dan menghormati sensitiviti kaum lain.

    “(Sebaliknya) kita menghormati kelainan kita, menerimanya sebagai suatu warisan yang kita hargai yang mungkin tidak banyak terdapat di negara lain seperti Malaysia. 

    “Ada negara yang mempunyai satu agama tetapi mempunyai pelbagai puak, bergaduh dan berperang sesama sendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, di sini, semalam. 
    Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

    Muhyiddin berkata, matlamat negara adalah untuk terus mewujudkan persefahaman dan mewujudkan perpaduan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi negara yang maju.

    Katanya, Malaysia berjaya mencatat pelbagai kemajuan yang besar dan tinggi hasil daripada kerjasama semua bangsa dan penganut agama di negara ini.

    “Sama ada kita Islam, Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya, kita dapat terima ini sebagai kepelbagaian dan Malaysia menjadi maju kerana kita berjaya wujudkan suasana yang sebegini.

    “Justeru, kita mahu suasana ini kekal dan dapat diterjemah dalam bentuk yang lebih konkrit, maka kita akan dapat menentukan perkara yang lebih utama dalam aspek pembangunan, pendidikan, ekonomi, sosial serta aspek politik,” katanya.

    Monday, February 20, 2012

    Minda Pengarang: IPTA, IPTS perlu elak pelajar asing seleweng dokumen

    LANGKAH Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing di negara ini bagi membendung penyalahgunaan dokumen itu adalah langkah tepat. Sebaliknya visa pelajar akan hanya dikeluarkan selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pelajaran daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Langkah itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan bagi mengelakkan penyalahgunaan visa dan pas pelajar itu. 

    Keputusan itu dibuat selepas Kementerian Pengajian Tinggi berbincang dengan Jabatan Imigresen berikutan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah yang berlaku di negara ini yang didapati banyak membabitkan pelajar asing. Kebanyakan mereka juga mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di institusi pengajian tinggi bukan di bawah kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi. Antara kelemahan yang wujud selama ini ialah sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing yang terlalu terbuka dalam pemberian visa pelajar dan pas lawatan sosial, khususnya dari Iran dan Afrika. Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pelajar Antarabangsa bersama Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyaring kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, selain mengambil tindakan ke atas institusi pendidikan dan pelajar antarabangsa yang melanggar undang-undang negara.
    Sementara itu, mulai awal tahun ini, Kementerian Pengajian Tinggi dan KDN turut memperkenalkan sistem indikator untuk mengawal kemasukan pelajar palsu dari negara berisiko tinggi dan yang mempunyai rekod jenayah, selain sistem tapisan. Menerusi sistem indikator itu, aspek keselamatan diutamakan bagi pelajar yang didapati tiba dari negara dikenal pasti berisiko tinggi. Bagi menjayakan langkah yang dilaksanakan itu, pihak berkuasa memerlukan kerjasama daripada IPTA dan IPTS bagi menyampaikan maklumat yang diperlukan.

    Mana-mana institusi yang enggan bekerjasama atau didapati menyembunyikan ‘pelajar palsu’ seharusnya dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang ada. Masalah kebanjiran pelajar asing yang terbabit dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah memberi kesan negatif kepada imej Malaysia. Selain itu, warga asing ini turut mengganggu masyarakat tempatan dengan kerenah mereka dan menimbulkan kebimbangan di kalangan mahasiswa di negara ini, terutama pelajar perempuan. Kita berharap pihak berkenaan akan mengambil tindakan tegas bagi membendung masalah yang berkaitan dengan kemasukan pelajar asing ini, dan salah satunya ialah menerusi langkah pengeluaran visa dan pas lawatan sosial yang lebih ketat.

    Sunday, February 19, 2012

    Pakar sejarah berbeza pendapat mengenai penjajahan Tanah Melayu

    PAKAR sejarah tempatan, Abdullah Zakaria ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sejarah dan Gerakan Patriotisme Menentang British di Malaysia dalam Seminar Perjuangan Kebangsaan & Patriotisme Dalam Peradaban Malaysia di Universiti Pendidikan Sultan Idris, baru-baru ini, menyanggah pendapat Profesor Dr Zainal Kling yang mengatakan Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
    Menurutnya, Tanah Melayu dijajah selama ratusan tahun dan sangat ketara di bawah kuasa Gabenor Negeri-Negeri Selat dilantik British sehingga Raja-Raja Melayu tidak memiliki sebarang kuasa mentadbir. 
    Persoalan sama ada Malaysia pernah dijajah atau tidak dipolemikkan sejak media utama negara ini menyiarkan pandangan Profesor Dr Zainal bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

    Bagaimanapun, Profesor Dr Zainal dalam kertas kerjanya, ‘Status Kemerdekaan
    di Malaysia Dalam Konteks Penjajahan dan Naungan’ menjelaskan pegangan sebenar beliau sememangnya ada penjajahan, tetapi 
    di tempat tertentu seperti Melaka oleh Portugis, Belanda dan British di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura manakala negeri-negeri lain sebagai naungan.

    Percubaan British untuk melaksanakan Malayan Union adalah usaha menjajah seluruh Tanah Melayu seluruhnya, tetapi gagal.

    Profesor Emeritus Khoo Kay Kim ketika menyampaikan kertas kerja, ‘Sejarah dan Status Pemerintahan British di Malaysia’ mengingatkan daerah Manjung juga pernah dijajah dan dianggap sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat.

    Ketika menjelaskan mengenai perjuangan kemerdekaan, Khoo berkata tidak ada perjuangan kemerdekaan seperti di Indonesia, India atau Burma di Tanah Melayu kerana pemerintahan British di Tanah Melayu adalah berbeza.

    Mengenai perayaan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos saban tahun, Profesor Dr Zainal menegaskan ia masih signifikan untuk menghayati erti kemerdekaan terutama memastikan bangsa Melayu yang memiliki tanah ini selama ribuan tahun dikekalkan dan menghargai perjuangan, penderitaan dan kehilangan nyawa orang-orang Melayu menentang Portugis, Belanda, Jepun, komunis mahupun British.

    Ia sekali gus untuk menyuburkan patriotisme dalam konteks peradaban Malaysia mencakupi aspek pepintaran dan kebijaksanaan, konsisten, kesinambungan, kesetiakawan dan kesetianegaraan.


    * Penulis Timbalan pengarah Bahagian Perancangan Korporat dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

    Kejutan anak lemah

    JANGAN terkejut jika anak anda yang dulunya lemah dan sering tercicir dalam kelas, kini memperoleh gred A dalam setiap subjek yang diambilnya.
    Hakikatnya, bukan sesuatu yang mustahil, seorang pelajar yang lemah boleh memperoleh keputusan cemerlang dalam pelajaran di sekolah. 
    Impian boleh menjadi realiti jika di tokok tambah dengan kesungguhan dan sokongan ibu bapa.

    Bagi pakar minda, Dr Alagan Govindan, pengalamannya lebih 20 tahun dalam pendidikan mendapati pelajar lemah mampu melonjak sebagai pelajar cemerlang.

    Beliau berkata, kebanyakan pelajar di takuk lama kerana gagal menggunakan teknik betul dalam sistem pembelajaran serta rutin harian.

    “Sejak 2001 saya membantu ribuan pelajar melonjak dari pelajar lemah menjadi cemerlang.

    “Kecemerlangan bukan kerana kepandaian pelajar semata- mata tetapi ada kait mengait dengan sokongan persekitaran yang membantu melonjak kemampuan sedia ada.

    “Pelajar lemah sering dianggap tiada masa depan dan semula jadi tidak pandai.
    Itu tidak tepat kerana mereka mampu membina kecemerlangan jika betul tekniknya selain mendapat sokongan ibu bapa.

    “Tiada siapa dilahirkan bijak tetapi ia adalah proses berterusan yang memerlukan bimbingan khusus untuk berjaya,” katanya.

    Beliau adalah pakar memori dan minda yang banyak membuat penyelidikan mengenai tahap akal manusia selain memegang jawatan Presiden Pertubuhan Bijak Belajar Malaysia.

    Kajian yang dilakukan, beliau menghasilkan beberapa panduan bagaimana menggunakan enam teknik belajar berkesan, teknik tingkah laku dan karier.

    Beliau juga menggunakan kaedah pemantauan dengan melantik tenaga terlatih bagi memastikan pelajar lemah mengikuti segala panduan.

    “Sepanjang tempoh program, tenaga terlatih ini akan datang ke rumah pelajar untuk melihat dan memantau sama ada mereka mengikuti apa diajar atau tidak.

    “Melaluinya, pelajar akan jadi lebih berdisiplin manakala ibu bapa tahu peranan yang harus dilakukan.

    “Semuanya dibuktikan dengan hasil kajian dan analisa. Malah, ada pelajar yang dulunya mendapat E dalam subjek Sains dan Matematik, kini memperoleh gred A dan B selepas mengikuti kaedah itu,” katanya.

    Beliau turut berkongsi beberapa panduan yang digunakan dalam teknik tingkah laku iaitu:
  • Bangunkan anak dengan perasaan gembira supaya dia juga merasai perasaan sama.

  • Gim Minda (Brain Gym) untuk mengaktifkan perjalanan darah ke seluruh badan terutama kepala.

  • Riadah

  • Pilih makanan berkhasiat seperti meminum segelas susu sebelum tidur di waktu malam.

  • Pergaulan ibu bapa yang positif seperti sentiasa memberi kata pujian kepada anak-anak menggunakan sistem penghargaan.

  • Meja belajar yang selesa.

  • Menyediakan jadual waktu.


    Bagi teknik karier, beliau menggalakkan ibu bapa memanggil nama anak berdasarkan cita-cita.

    “Jika anak ingin menjadi doktor, tambahkan di pangkal namanya gelaran Dr. Teknik ini berkesan untuk memotivasikan anak tapi ibu bapa malu melakukan.

    “Anak yang kerap dipanggil begitu, dia akan jadi lebih bersemangat belajar kerana mahu mencapai cita-cita itu,” katanya.

    Bagi memberi peluang ibu bapa mengikuti teknik itu bersama anak-anak mereka, beliau mempelawa ibu bapa hadir di Program Memori Minda Bestari itu pada 10 dan 11 Mac ini untuk sesi bahasa Malaysia.

    Bagi sesi bahasa Inggeris, ia akan diadakan pada 12 dan 13 Mac.

    Kedua-dua sesi itu diadakan di Dewan Kiara, Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

    “Saya mahu ibu bapa melihat sendiri kebaikan program itu dan kelemahan yang sering dilakukan mereka (ibu bapa) sehingga anak-anak gagal cemerlang,” katanya.

    Program itu mensasarkan pelajar sekolah rendah tahap dua iaitu tahun empat, lima dan enam manakala sekolah menengah dari tingkatan satu hingga lima.
    Kehadiran adalah secara berpasangan iaitu salah seorang ibu atau bapa bersama seorang anak.

    Bayaran RM80 untuk pasangan sekolah rendah dan RM100 sekolah menengah.
    Hubungi urus setia program di talian 010-3240051 atau 010-3234739, blog: hcds2u.blogspot.com atau e-mel ke: my.hcds@gmail.com


    >Info

    Program Memori Minda Bestari (CERDIK) merangkumi kaedah berikut:

  • Menjadikan otak lebih Cerdas 

  • Memberikan keputusan pelajaran yang “Excellent” 

  • Melatih pelajar untuk membuat keputusan yang lebih Rasional 

  • Membimbing pelajar supaya menjadi lebih Dayasaing 

  • Membina diri pelajar untuk menjadi lebih Innovatif 

  • Menjadikan pelajar seorang yang Kompeten
  • Lahir imaginasi terbaik

    APA yang boleh anda jangka dalam kerjaya seni bina? Anda menjadi arkitek untuk khidmat profesional bagi projek pembinaan, terbabit dalam fasa pembangunan, dari perbincangan awal hingga proses pembinaan.
    Anda juga memerlukan kemahiran mereka bentuk, kejuruteraan, mengurus, menyelia, dan berkomuni-kasi dengan pelanggan dan pembina, menerangkan idea kepada pelanggan dan kontraktor pembinaan. 
    Dan, sebagai arkitek, anda mampu menyampaikan visi unik.

    Kisah penciptaan Menara Berkembar Petronas oleh Cesar Pelli menonjolkan kemahiran perlu ada untuk menukarkan visi menjadi realiti.

    Pelli memiliki Diploma Sen ibina di Argentina dan Sarjana Seni bina di Amerika Syarikat. Dia terkenal kerana imaginasi dan keupayaan menggabungkan gaya dan bahan berbeza untuk mewujudkan penyelesaian reka bentuk asal.

    Awal 1990-an, dia menang satu pertandingan antarabangsa untuk mewujudkan satu struktur yang akan mewakili reputasi Malaysia di mata dunia.

    Kepekaan mengenai bangunan berprestij di seluruh dunia membantunya mereka bentuk Menara Berkembar 88 tingkat itu.

    Namun, konsep awal Pelli dianggap tidak menggambarkan keunikan Malaysia.
    Untuk menyelesaikan masalah ini, dia mengkaji semua jenis kesenian Islam dan motif bintang yang biasa digunakan dalam kesenian Melayu-Islam.

    Untuk menyelesaikan masalah ruang lantai terhad, dia menambah semi bulatan kepada setiap sudut dalaman. Dan, untuk membuat bangunan tertinggi di dunia, reka bentuk 1,400 kaki itu perlu difikirkan semula selain banyak fakta struktur terpaksa dikira semula dan diuji.

    Ini menunjukkan seorang arkitek bukan saja perlu mempunyai imaginasi yang baik, tetapi menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal.

    Arkitek perlu bekerjasama dengan kontraktor pembinaan dan seluruh pasukan.

    Semasa pembinaan Menara Berkembar, Pelli dan pasukannya bekerjasama menyelesaikan beberapa isu. Tapak asal didapati tidak sesuai dan kontraktor pembinaan memindahkan tapak berkenaan.

    Bahan keluli terlalu mahal, justeru jurutera membuat keputusan menggunakan konkrit bertetulang yang kukuh sebagai bahan binaan utama manakala pakar juruukur dibawa bagi memastikan ketegakan bangunan itu.

    Perincian teliti Pelli membuatkan pasukan itu menghasilkan Menara Berkembar Petronas menjadi realiti. Hasilnya, karya seni bina itu sesuatu yang dibanggakan.

    Ayuh, mulakan kerjaya Persekitaran Binaan anda di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU).

    Anda akan belajar melalui contoh dan pengalaman ke arah perjalanan kerjaya yang ideal. Pelajar di bawah Fakulti Persekitaran Binaan boleh melanjutkan pengajian dalam kursus Diploma Seni bina, Seni Reka Bentuk Dalaman dan Seni bina Landskap.

    Kursus-kursus diploma menyediakan asas melahirkan pereka yang mampu mengenal pasti, menyelidik dan menyelesaikan masalah berkaitan fungsi dan kemapanan reka bentuk dengan latihan praktikal.

    Pelajar juga mempelajari lakaran bebas, asas kemahiran teknikal dalam reka bentuk dan penggunaan komputer sebagai alat bantu melukis dan melakukan
    pembentangan.

    Hubungi KLMU di talian bebas tol 1800-88-5568 atau melalui SMS dengan menaip KLMU MABE NAMA NEGERI dan hantar ke 36600. Selain itu, sila layari laman web www.discoveru.com.my atau KLMU di www.klmu.com.my untuk maklumat lanjut.

    Jangan salahkan universiti

    BERPUSU-PUSU...saban tahun, ribuan graduan pelbagai institusi terpaksa bersaing untuk mencari pekerjaan menyebabkan isu pengangguran tidak habis diselesaikan.
    BERPUSU-PUSU...saban tahun, ribuan graduan pelbagai institusi terpaksa bersaing untuk mencari pekerjaan menyebabkan isu pengangguran tidak habis diselesaikan.
    SUKAR menafikan, namun hakikatnya ramai mahasiswa terpaksa menjadi penganggur terhormat sebaik menamatkan pengajian.
    Walaupun ada yang bertuah memperoleh pekerjaan, ramai terpaksa berpuas hati dengan jawatan ‘biasa’ biarpun mempunyai segulung ijazah.

     BERSAING...peluang pekerjaan semakin sengit menyebabkan ramai graduan bukan saja perlu bersedia dengan kelayakan akademik malah nilai tambah diri lain supaya mampu bersaing.
     NILAI TAMBAH...jangan lepaskan peluang mengikuti apa saja aktiviti bersemangat disediakan kerana boleh meningkatkan lagi potensi diri sebaik saja tamat pengajian kelak
     MASIH ADA JALAN...untuk mengelakkan diri daripada terus menganggur, graduan disarankan agar menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
    PROSPEK...selain menumpukan perhatian pada akademik, mereka yang ingin melanjutkan pengajian digalakkan mengikuti bidang pengajian praktikal.
     PILIH...bagi majikan, mereka bukan saja mahu mencari calon terbaik malah mampu mempamerkan kelebihan diri melebihi calon lain.

    BERJAYA...sebaik saja tamat pengajian, graduan bakal berdepan pula cabaran sengit mencari pekerjaan, justeru bersedialah dari awal supaya tidak kecundang.

    Malah, institusi pengajian tinggi sudah sehabis daya membantu dengan memperkenalkan pelbagai program serta kemahiran untuk meningkatkan lagi jenama graduan di persada kerjaya, namun masih ada lagi kepincangannya.

    Persoalannya, mengapa ini berlaku? Salah graduan atau salah institusi?


    Dan, benarkah tanggapan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi penyumbang terbesar terhadap isu itu?

    Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata meletakkan kesalahan atas bahu institusi atas alasan gagal membantu graduan adalah prejudis.

    Beliau berkata, jika ada pihak menganggap isu pengangguran sebagai mekanisme untuk menghentam kredibiliti institusi terutama IPTA, mereka seharusnya berfikir lebih matang dan memperbetulkan tanggapan itu.

    “Cubaan pihak tertentu meletak kesalahan itu di bahu institusi tidak adil kerana pengangguran bersifat global. Ia tidak akan habis dan sentiasa membelenggu institusi di seluruh dunia.

    “Institusi selalunya menjadi mangsa apabila gagal mencapai standard diberikan pihak tertentu sedangkan dalam konteks ini, mereka perlu akur bukan semua graduan akan menjadi pilihan majikan.

    “Meletak kesalahan pada institusi semata-mata adalah silap dan tidak adil. Institusi tidak pernah mengambil sikap sambil lewa malah berusaha keras memastikan mereka diterima industri. Tapi mengapa masih dipersalahkan?” katanya.

    Dikategori sebagai isu yang tidak pernah selesai dipertikaikan, pengangguran dijadikan alasan paling mudah dan sinonim untuk menyalahkan institusi hingga menimbulkan reaksi berbeza.

    Bukan saja mencalarkan kredibiliti serta nama baik malah dengan mudah dihukum masyarakat dengan tanggapan institusi lepas tangan dan membiarkan graduan terkapai - kapai mencari pekerjaan.

    Mengulasnya, beliau berkata jika tanggapan itu dilemparkan tiga dekad lalu, masih boleh diterima namun keadaan kini jauh berubah dengan institusi juga sama mengembleng usaha membantu graduan.

    “Sudah banyak usaha dilakukan institusi untuk memastikan graduan dilengkapi kriteria diperlukan industri. Usaha itu bukan saja merangkumi keperluan akademik yang baik malah latihan, kemahiran, pendedahan kerjaya dan sebagainya.

    “Justeru, apabila masih ada pihak berterusan menyalahkan institusi, tindakan itu sangat tidak munasabah.

    “Bukanlah bermakna institusi sempurna, namun melihat apa dilakukan, rasanya tidak adil meletakkan kesalahan pada satu pihak saja,” katanya yang juga menolak tegas graduan IPTA paling banyak menganggur.

    “Itu persepsi salah kerana IPTA bukan penyebab peningkatan pengangguran malah kami antara penyumbang terbesar pasaran sumber manusia.

    “Malah, ramai mendominasi pelbagai sektor profesional mahu korporat. Saya tegaskan, taraf institusi tidak memainkan peranan kejayaan graduan sebaliknya diri sendiri,” katanya.

    Antara faktor dikenal pasti menjadikan graduan ‘tidak laku’ di pasaran ialah kurang kemahiran diri, komunikasi, pengalaman, keputusan akademik serta program pengkhususan terhad.

    Faktor berkenaan, akuinya, banyak menyumbang kepada kegagalan graduan memasarkan diri kerana industri tidak mempunyai keyakinan teguh terhadap kemampuan mereka.

    “Ini masalah paling utama kerana industri kurang yakin terhadap kemampuan orang baru yang tiada pengalaman. Mereka takut mengambil risiko.

    “Bagi graduan pula, jika gagal menunjukkan kebolehan melebihi orang lain, peluang memperoleh pekerjaan juga sukar kerana majikan memerlukan calon yang tidak setara dengan orang lain.

    “Industri tidak gusar kerana pilihannya ramai, justeru graduan bukan saja perlu mempunyai kelayakan tapi mesti ada nilai tambah,” katanya.

    Beliau turut tegas menepis dakwaan kononnya IPTA tidak peka terhadap kehendak semasa selain sibuk mengejar taraf kedudukan.

    “Dakwaan itu tidak benar kerana IPTA sentiasa komited dan bersedia mengikut serta melaksanakan pelbagai perubahan bagi menyaingi tuntutan dunia pendidikan global.

    “Apabila tuntutan mengkehendaki kami melaksanakan pembaharuan, itu yang akan dilakukan,” katanya yang kurang bersetuju apabila segelintir pihak suka membandingkan kemampuan graduan IPTA dengan pengajian tinggi swasta.

    “Setiap institusi ada fungsi dan kelebihannya. Jangan buat perbandingan semata-mata mahu memuaskan hati pihak lain.

    “Fokus utama harus diselesaikan ialah bagaimana membantu graduan ini memperoleh pekerjaan,” katanya.

    Beliau turut menekankan mesej bahawa graduan perlu bersedia berubah dan jangan sesekali melepaskan peluang diberikan institusi.

    “Peluang yang terbentang di kampus perlu direbut dan digunakan sewajarnya demi meningkatkan lagi potensi diri.

    “Percayalah, apa yang dikatakan tidak penting atau remeh itulah yang akan menjadi penyelamat graduan sebaik saja tamat pengajian,” katanya.

    Makan ludah penyelia asrama

    KEPALA BATAS: Gara-gara berbual dengan rakan, seorang pelajar sebuah sekolah agama bantuan kerajaan dekat sini, bukan saja ditampar pipinya dan diarah melakukan ketuk ketampi sebanyak 200 kali, malah mendakwa diludah ke dalam mulut sebagai hukuman.
    Hukuman dianggap keterlaluan itu didakwa dilakukan penyelia asrama sekolah di Lahar Minyak, dekat sini, pada jam 11 malam, 10 Februari lalu. 
    Berikutan tindakan luar batasan itu, bapa pelajar berkenaan, Helmi Ismail, 37, dari Permatang Kuang, di sini, kesal dengan hukuman penyelia asrama terbabit.

    Beliau menyifatkan tindakan penyelia berkenaan sebagai penghinaan kepada anaknya, Muhammad Huzaimie, 13, selain mengambil alih kuasa warden asrama dan guru disiplin.

    Menurutnya, anaknya dikatakan melakukan kesalahan apabila berbual dengan dua rakan, Asri Elias dan Ammar Shahidan yang juga berusia 13 tahun dalam bilik asrama.

    Visa, pas dihenti

    Kementerian Pengajian Tinggi sekat pelajar asing salah guna dokumen

    PASIR GUDANG: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan dokumen itu serta mengawal kemasukan warga asing secara mudah.
    Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya kini hanya mengeluarkan visa pelajar kepada pelajar asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pelajaran daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
    Beliau berkata, KPT sudah berbincang dengan Jabatan Imigresen kira-kira dua bulan lalu supaya pemberian visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing dihentikan kecuali selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran.

    “Keputusan ini diambil selepas mengambil kira banyak pelajar asing yang memasuki negara ini dan terbabit dalam kegiatan jenayah, khususnya dalam penyeludupan dadah.

    “Mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakannya pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT bukan di bawah kelolaan KPT. Mengikut rekod polis, tidak ramai pelajar kelolaan KPT terbabit dengan jenayah atau penyeludupan dadah.

    “Kami bersama Jabatan Imigresen membuat ketetapan hanya melalui kaedah ini masalah berkenaan dapat dibendung. Jika kita mendapati ada pelajar asing terbabit jenayah atau penyeludupan dadah akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya selepas Majlis Penutup Program Mesra Ilmu Siri Tiga di Taman Cendana, di sini, semalam. 
    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar dalam temu bual disiarkan Berita Minggu yang menyarankan KPT mengkaji semula dasar terlalu terbuka pemberian visa pelajar dan pas lawatan sosial bagi membendung Malaysia menjadi hab dadah antarabangsa.

    Antara kelemahan dicadang diambil perhatian ialah sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing yang terlalu terbuka dalam pemberian visa pelajar dan pas lawatan sosial, khususnya dari Iran dan Afrika.

    Mohamed Khaled berkata, IPTA dan IPTS juga perlu memaklumkan kepada kementerian jika ada pelajar asing mengabaikan pelajaran supaya siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan mereka tidak terbabit kegiatan negatif.

    Tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pelajar Antarabangsa bersama KPT menyaring kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia, selain mengambil tindakan ke atas institusi pendidikan dan pelajar antarabangsa yang melanggar undang-undang negara.

    Mulai awal tahun ini, KPT dan KDN turut memperkenalkan sistem indikator untuk mengawal kemasukan ‘pelajar palsu’ dari negara berisiko tinggi dan yang mempunyai rekod jenayah, selain sistem tapisan.

    Menurut sistem indikator itu, pelajar dari negara dikenal pasti berisiko tinggi yang mana aspek keselamatan harus diutamakan dikategorikan dalam skala tertinggi, iaitu lima.