Pages

Translate

Sunday, April 29, 2012

Pelajar terbaik Cambridge

Suria Ab Rahman
Suria Ab Rahman
LONDON: Pemegang biasiswa Khazanah Nasional Berhad, Suria Ab Rahman yang mengikuti program pengajian di Judge Business School, Universiti Cambridge, di sini meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-39 kelmarin sebagai pelajar terbaik program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) universiti itu.

Beliau yang menjalankan kajian Beyond Profit untuk program MBA, terpilih sebagai pelajar terbaik daripada 160 pelajar MBA dari seluruh dunia yang tamat pengajian dengan cemerlang di Universiti Cambridge tahun lalu.
“Kejayaan ini sungguh tidak disangka dan paling manis ia jatuh pada hari lahir saya yang disambut semalam (kelmarin). Saya rasa pengalaman bekerja dan peluang berinteraksi serta berbincang dengan pelajar pelbagai negara menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi sebelum majlis konvokesyennya, semalam.
Kejayaan ini sungguh tidak disangka dan paling manis ia jatuh pada hari lahir saya yang disambut semalam (kelmarin). Saya rasa pengalaman bekerja dan peluang berinteraksi serta berbincang dengan pelajar pelbagai negara menyumbang kepada kejayaan ini. - Suria Ab Rahman
Suria yang juga Pengarah di pejabat Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd di Kuala Lumpur dan ibu kepada tiga anak itu mendapat biasiswa Khazanah yang ditawarkan kepada kakitangan yang sudah lama berkhidmat.

Beliau yang melanjutkan pengajian selama setahun, berkata kejayaan dan sambutan hari jadinya dirai bersama rakan sekelas dari Eropah, Singapura dan Filipina.

Berkelulusan Kewangan dan Perakaunan di London School of Economics, Suria pernah bekerja selama sembilan setengah tahun dengan KPMG, sebuah syarikat juruaudit dan percukaian di London sebelum berpindah ke Khazanah sebagai Ketua Pengurusan Risiko dan kemudian ke bahagian Operasi.

Perbaiki PTPTN, pendidikan percuma tidak mustahil

Isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula hangat diperkatakan kini. Polemik ini bertambah rumit dengan beberapa isu yang berkaitan seperti penyediaan pendidikan percuma, pengurusan kewangan kerajaan, sistem Ujrah yang dilakukan pihak PTPTN dan masa depan pelajar Melayu.

Dalam menangani isu ini, PEMBINA menyeru semua pihak supaya dapat melakukan perbincangan meja bulat secara intelektual untuk mencari jalan penyelesaian seperti mana yang ditekankan dalam Islam dan bukannya melalui jalan demonstrasi yang hanya meningkatkan emosi tanpa memberikan kefahaman yang jelas terhadap isu tersebut.

Daripada sudut pandang PEMBINA, kami menyokong agar PTPTN terus dikekalkan dengan penambahbaikan dari sudut sistem dan implimentasi. Keadaan semasa menunjukkan mahasiswa IPT masih memerlukan bantuan sara hidup bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai pelajar IPT. Ini bertepatan dengan objektif penubuhan PTPTN yang telah diterangkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato Seri Khalid Nordin.

Dengan adanya PTPTN rakyat yang mendapat tawaran ke universiti tapi tidak berkemampuan boleh meminta pinjaman mudah alih. Untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan PTPTN, PEMBINA mencadangkan sistem caj perkhidmatan 1% dihapuskan terus dan ditanggung oleh kerajaan sebagai komitmen memberikan kemudahan pinjaman kepada mahasiswa. Ini bertepatan dengan sistem pinjaman Islam dan mampu mengurangkan beban mahasiswa apabila mereka tamat pengajian nanti.

PEMBINA juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak berlumba-lumba menjadikan pendidikan sebagai suatu medium untuk menjuarai isu berdasarkan sentimen tanpa kajian terperinci. Ilmu ialah hak setiap individu dan pihak kerajaan perlu memastikan setiap rakyatnya menikmati pendidikan yang sempurna dalam mencapai agenda pembangunan Negara.

Selain daripada isu pemberian kemudahan pinjaman kepada mahasiswa untuk belajar di IPTA/S, penting untuk melihat sistem dan modul pembelajaran yang diguna pakai samada ia boleh melahirkan tenaga mahir atau sekadar pekerja biasa akibat daripada sistem yang mementingkan peperiksaan.

PEMBINA menyambut baik tindakan kerajaan yang sedang memperkukuhkan bidang pendidikan teknikal dan kemahiran agar memberi lebih pilihan kepada pelajar. Bagi pelajar yang menuntut di IPTS, beban pinjaman terpaksa ditanggung apabila mereka mula menduduki alam pekerjaan. Dana untuk operasi bagi institusi pendidikan itu seharusnya bukan datang daripada mahasiswa, sebagai contoh universiti di Singapura telah membuktikan dengan prestasi yang baik universiti mampu beroperasi hasil jualan kajian yang telah dijalankan.

PEMBINA mendesak kepada mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan isu ini sebagai “political mileage” untuk mendapatkan sokongan sesetengah pihak. Apa yang penting dalam isu ini ialah kebajikan rakyat dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna berdasarkan unjuran kekuatan mampu urus kerajaan.

PEMBINA yakin pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang mustahil dan fantasi bahkan kerajaan telah membuktikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah menengah, institut kemahiran dan teknikal serta pelajar matrikulasi.

Namun bagi mencapai pendidikan percuma diperingkat ijazah bukanlah usaha semalaman  seperti yang dijanjikan sesetengah pihak. Masyarakat awam diminta tidak mudah terpengaruh dengan janji penghapusan PTPTN bersandarkan formula-formula mudah kerana dalam mentadbir Negara pelbagai aspek perlu diteliti.

Penulis ialah Naib Presiden 1 II Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

Demo PTPTN dan dilema gerakan mahasiswa

Terdapat beberapa perkara yang harus difikirkan setelah berlakunya peristiwa Himpunan Mansuh PTPTN pada 14 April yang lepas. Terlebih dahulu sekalung ucapan tahniah kepada anak muda dan rakyat yang berani berhimpun di jalanan bagi mendesak supaya pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat sekalian kerana pendidikan adalah milik semua dan bukan untuk diperdagangkan.

Syabas! Namun begitu, seperti yang saya katakan sebelum ini. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan difikirkan supaya perjuangan ini dapat diteruskan tanpa sebuah keresahan cetusan masyarakat masyarakat yang akalbudi ditutup oleh kuasa.

Pertamanya , dalam mana-mana himpunan kita dapati pelbagai kata semangat akan dilaungkan. Kata-kata tersebut adalah berdasarkan intipati dan matlamat demonstrasi atau himpunan tersebut. Perkara ini dapat ditafsirkan apabila kita melihat ketika umat Islam menunaikan haji, mereka akan melaungkan kalimah-kalimah suci Allah bagi menaikkan semangat dan kekuatan umat Islam pelbagai negara serta menyemai tujuan mereka datang ke tanah suci.

Begitu juga dalam satu himpunan , laungkan perlulah mengikut matlamat dan objektif ia diadakan. Tetapi , saya melihat himpunan ini telah ‘dikotori’ dengan laungan-laungan yang menyimpang kearah parti politik. Kejadian seperti ini sebenarnya akan menyebabkan mahasiswa dan anak muda yang ‘tidak faham’ dan sudah ‘didoktrin’ makin jauh kepada gerakan perjuangan ini. Biasa la , kata mereka perjuangan sudah lari dari imej ‘non-partisan’. Sila faham kondisi dan mentaliti anak muda sekarang.

Seterusnya, saya sedia maklum bahawa anak muda begitu marah terhadap pimpinan kerajaan pemerintah sekarang kerana gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada mereka. Namun begitu , tanpa sedar disebalik tirai-tirai kemarahan itu sebenarnya terkandung racun yang bakal digunakan oleh barisan opposisi lawan gerakan mahasiswa bagi mencari salah serta mengalih isu dalam himpunan ini. Kejadian seperti mengalungkan bunga kepada gambar Najib-Khaleed merupakan suatu yang menyentuh sensitviti adat dan agama.

Saya dan masyarakat yang memahami faham bahawa ia adalah sekadar suatu simbolik ‘kematian’ fungsi kedua-dua pemimpin tersebut dalam menyelesaikan isu. Tetapi , bagaimana pula dengan masyarakat yang masih belum tercerah? Mujur ada satu artikel dari Ustaz Fathul Bari dan Wan Ji yang membincangkan hal ini yang menjadi ‘counter propaganda’ bagi dakyah daripada parti kerajaan pemerintah. Umum sedia maklum bahawa parti kerajaan pemerintah akan menggunakan pelbagai medium sebagai senjata sama ada untuk ‘spin’ isu ataupun melakukan ‘personal attack’ kepada gerakan. Jadi , menjadi suatu kewajipan kepada gerakan mahasiswa untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Selain itu , ucapan beberapa pemimpin parti politik di hadapan Sogo juga saya rasa sesuatu yang tidak patut berlaku. Memang kita buka kepada semua pihak sama ada dari perwakilan kerajaan ataupun pembangkang untuk menyertai himpunan tersebut. Namun begitu, saya merasakan cukuplah sekadar pimpinan mahasiswa dan rakyat sahaja yang berucap. Tidak perlu ‘dikotorkan’ dengan ucapan pemimpin parti politik. Itulah dilema yang melanda gerakan mahasiswa di Malaysia. Tiada politikus yang tidak mempunyai sebarang kepentingan kerana motif mereka Cuma kuasa. Jadi , gerakan mahasiswa yang bersifat cendiakawan sepatutnya memanifestasikan teras perjuangan mahasiswa yang sepatutnya bersifat cerah dengan keadilan dan bukan politik kepartian.

Akhir sekali, perkara ini sangat penting bagi memastikan lebih ramai anak muda akan menyertai perjuangan kalian. Tanpa penyatuan seluruh mahasiswa, matlamat hanya tinggal matlamat. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada anak muda sekalian. Dataran dan rumput nan hijau menjadi saksi tertangkapnya ribuah pemimpin pelajar dan akademia ketika Demonstrasi Baling 1974.

Namun, lupakan sejarah tersebut kerana pada hari ini anak muda telah mencipta sejarah baru dalam arena politik mahasiwa. Selepas terjadinya peristiwa Reformasi 1998, tidak ada mana-mana himpunan yang berjaya lepas sehingga ke Dataran Merdeka.Kepada anak muda yang masih berkhemah untuk menunggu respons Perdana Menteri, teruskan perjuangan dan jangan mudah putus asa. Teruskan perjuanganmu walau apa pun terjadi demi mendukung sebuah jiwa-jiwa yang adil dalam membentuk Bangsa Malaysia yang tulen.

Cabaran mahasiswa SAMM untuk Waris Malaya

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  Segmentasi Mahasiswa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap oleh samseng upahan di bawah kelolaan Waris Malaya, ke atas mahasiswa yang berkampung di Dataran Merdeka untuk menuntut pendidikan percuma.

Merujuk kepada sekumpulan samseng telah bertindak merosakkan khemah-khemah di kawasan tersebut dan mencederakan mahasiswa yang mempertahankan kedudukan mereka di kawasan terbabit. SAMM segmentasi mahasiswa kesal dengan tindakan tidak bertamadun dan memalukan tersebut. SAMM beranggapan bahawa sebarang bentuk keganasan dalam kejadian yang berlaku pada malam tersebut harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh regim UMNO/BN. Baru-baru ini Waris Malaya juga dilancarkan oleh Presiden Umno.

Seharusnya jika terdapat di kalangan pihak-pihak tertentu  yang tidak berpuas hati dengan kumpulan mahasiswa tersebut, hendaklah bertindak dengan cara yang lebih melambangkan kekuatan ilmu dan hujah bukan dengan menggunakan kekerasan.

Seraya itu, SAMM memberi cabaran kepada pihak terbabit (Waris Malaya) supaya tampil kehadapan dan nyatakan dengan prinsip mengapa tindakan tersebut dilakukan. SAMM juga mencabar wakil kepada Waris Malaya untuk berdebat secara ilmiah di Dataran Merdeka dengan mahasiswa dihadapan umum supaya rakyat dapat menilai perjuangan pihak mana yang lebih benar.

Jika Dataran Merdeka menjadi soalnya, maka kita memilih Daratan Merdeka sebagai tempat yang paling sesuai untuk wacana debat diadakan. Pilihlah walau Ezam Md Noor sekalipun untuk berdebat, kami mahasiswa dari SAMM dan kumpulan mahasiswa lain yang bernaung di bawah Solidariti Mahasiswa Malaysia sedia untuk menghantar wakil. Sila nyatakan tarikh dan masa.

Akhir sekali SAMM beraharap pihak berkuasa khususnya Polis Di Raja Malaysia PDRM melakukan siasatan dengan segera ke atas kumpulan yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan jangan biarkan sistem polis diperalatkan oleh  pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik.

Penulis ialah Penyelaras Segmentasi Mahasiswa Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Demonstrasi: Cukuplah memperlekeh mahasiswa

Kenyataan sebuah Akhbar Online yang memetik tuduhan seorang Timbalan Menteri mengenai dua penuntut IPTA ditaja untuk mempelajari dan berlatih cara mengadakan demontrasi jalanan di luar negara adalah keterlaluan.

Tuduhan berkenaan seolah-olah merendahkan jati diri pelajar sehingga sanggup diperalatkan oleh orang lain. Penting sangat ke belajar cara berdemonstrasi hingga ke luar negara? Apa yang dua orang pelajar ini boleh buat apabila pulang nanti?

Dari dahulu hingga sekarang Umno terlibat dengan pelbagai demontrasi, Berapa orang Umno yang dah mengikuti kursus berkenaan? Berapa orang pula yang telah berkursus di luar negara sebelum menyertai Himpunan Bersih sebelum ini? Hasil demontrasi berkenaan yang membuatkan kerajaan terdesak untuk membuat penambahbaikan terhadap pilihanraya

Saya berpendapat tuduhan berkenaan tidak berasas langsung dan terlalu murah nilainya. Kalau ia benar sekalipun, carilah modal cerita yang berkualiti sikit. Kursus seperti itu tidak langsung mempengaruhi kejayaan tuntutan sesuatu demonstrasi. Jika ada, ambil tindakan. Itu lebih berkhemah daripada menjaja cerita menjatuhkan maruah orang lain.

Seolah-olah mahasiswa kita macam lembu dicucuk hidung dan begitu mudah untuk diperalatkan. Tak payah hendak membazir, dalam internet berlambak tunjuk demonstrasi di seluruh dunia. Setakat angkat bendera, berjalan kaki dan melaungkan beberapa ungkapan, kena pergi luar negara ke?

Jika begitulah ceritanya, kualiti mahasiswa kita memang teruk kerana mereka tidak langsung pandai membezakan sesuatu yang berfaedah. Maksudnya, mereka tidak layak diterima masuk belajar di mana-mana IPTA di Malaysia. Kalau mahasiswa kita tidak pandai siapa yang harus dipersalahkan? Pensyarah tak pandai ajar ke atau menteri yang memberi kenyataan tidak bijak.

Saya tidak nampak perlunya isu seperti ini diketengahkan kerana ia seakan membuka pekung sendiri. Bagi saya mahasiswa kita cukup bijak hinggakan kerajaan membenarkan mereka terlibat dalam menentukan hala tuju negara kita. Pengiktirafan itu cukup besar. Kenapa kita memperlekehkan kematangan mereka sedangkan kita sendiri yang memberi pengiktirafan?

Malaysia perlukan nafas baru

Cabaran globalisasi dan persaingan modenisasi telah memberi kesan dan impak yang besar kepada pembangunan sosial dunia hari ini. 

Selari dengan itu juga teknologi dikemaskini dari semasa ke semasa, medium penyebaran maklumat juga semakin canggih, maklumat hanya diperoleh dalam masa beberapa saat hanya dengan menggunakan jari. 
Malangnya pembangunan struktur masyarakat hari ini telah dipengaruhi oleh kepentingan diri dan kelompok tertentu yang menyebabkan wujudnya golongan ‘berkuasa’ dan golongan tertindas. 

Perkembangan ini juga telah dibangunkan secara tidak seimbang dengan pembangunan aspek rohani dan moral masyarakat hari ini.

Dalam perbahasan permasalahan ini, Malaysia adalah antara negara yang masih belum mencapai tahap negara yang mengamalkan konsep demokrasi secara sepenuhnya. 

Bahkan, intitusi-insitusi yang dinaungi oleh kerajaan masih dipertikai dan diragui integritinya untuk mengurus tadbir negara ini. 
Antara faktor yang boleh kita bincangkan dalam isu ini adalah peranan dan kebebasan media di Malaysia, pengamalan rasuah yang semakin meningkat dalam institusi kerajaan dan pengurusan dan urus tadbir negara yang lemah.

Apabila kita menyentuh perkara yang berkaitan dengan politik atau pemerintahan negara, pastinya kita tidak dapat menafikan fungsi dan peranan pilihanraya untuk memilih calon terbaik mewakili rakyat secara demokrasi. 

Dalam ilmu politik, perjalanan pilihanraya lazimnya dikaitkan dengan "3M" yang merujuk kepada faktor Media, Money dan Machinery(jentera). Media adalah saluran terbaik untuk menyampaikan agenda bagi sesiapa pun yang menguasainya, sehingga ada penganalisis politik yang berpendapat kumpulan yang menguasai media akan menguasai ‘medan peperangan’.

Dan inilah yang berlaku di Malaysia, saluran media arus perdana bukan lagi dijadikan saluran informasi rakyat tetapi dimanipulasikan sehabis-habisnya untuk memberi keuntungan politik kepada parti pemerintah semata-mata. 

Bahkan lebih memalukan lagi, media umum seperti RTM1 dan Utusan Malaysia mahupun media swasta seperti Astro digunakan untuk memburuk-burukkan parti yang tidak menyebelahi kerajaan atau parti pembangkang.

Jika benar kerajaan Malaysia berwawasan tinggi untuk meletakkan negara di taraf yang tinggi, beberapa negara maju boleh dijadikan sebagai contoh seperti Amerika Syarikat yang diberikan kebebasan untuk membeli airtime di mana-mana stesen televisyen atau radio sebagai wadah kempen. 

Begitu juga dengan apa yang berlaku di negara jiran, Indonesia yang membuka ruang debat dan soal jawab secara terbuka kepada calon-calon yang bertanding dalam pemilihan umum dan beberapa pemilihan gabenor.

Merujuk kepada Transparency International berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah tahunan pada tahun 2009, 5 negara seperti Switzerland, Sweden, Singapura, Denmark dan New Zealand telah mengunguli kedudukan antara negara yang paling bersih  dan berprinsip dalam menangani rasuah di negara masing-masing. 

Namun, rakyat Malaysia hanyalah mampu berbangga dengan fakta negara asing kerana Malaysia mencatatkan kedudukan ke-56 daripada 180 buah negara dalam Indeks Rasuah apabila hanya mencapai nilai skor 4.5 daripada 10.

Tidak dapat dinafikan, golongan yang terlibat dengan gejala rasuah ini sinonimnya adalah orang atasan daripada kerajaan mahupun swasta. 
Faktor ketamakan dan mementingkan diri sendiri ini menjejaskan prestasi pentadbiran negara sekaligus member imej yang sangat buruk di mata dunia. 
Dalam beberapa kajian dan pemerhatian, faktor terbesar berlakunya kes rasuah adalah kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi yang tidak berasaskan kepada konsep kepimpinan kelayakan dan integriti. 

Oleh yang demikian, kita boleh mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan kerajaan Presiden Marcos di Filipina yang dijatuhkan kerana amalan rasuah yang tidak dibendung.

Mahasiswa hari ini khususnya mesti bijak menilai, jangan mudah terpedaya dengan sebaran doktrinisasi yang semakin kencang. 

Politik sebenar yang berteraskan kebajikan rakyat dan pentadbiran yang cekap mesti dibezakan dengan politik kotor yang hanya bermatlamatkan menjaga kepentingan kumpulan sendiri berbanding seluruh masyarakat tanpa memilih bulu.

Parti-parti politik hari ini lebih gemar bermain isu peribadi dalam keghairahan mencapai kemenangan dalam pilihanraya, sehingga menyebabkan berlakunya fitnah yang berleluasa. 
Kita juga menolak segala korupsi yang berlaku pada hari ini khususnya dalam pentadbiran dan urus tadbir kerajaan Malaysia hari ini, termasuklah penyelewengan-penyelewangan sesama kroni. 

Waspada, kesannya terlalu besar dan bahaya kepada masyarakat. Inilah pengajaran yang perlu diambil setelah melihat kemusnahan negara termasuk ketidakstabilan sosial dalam masyarakat hari ini.

Melihat perkembangan politik hari ini, kita mesti berubah. Malaysia mesti berubah, Malaysia mesti diberi nafas baru. 

Pentadbiran yang cekap mesti mengambil alih pentadbiran yang sudah goyah dan tidak dipercayai lagi. 
Sistem-sistem yang baru mesti diperkenalkan dan menggantikan sistem-sistem yang sudah semakin tidak berfungsi lagi. Maka dalam membuat perubahan besar ini, pilihanrayalah menjadi medan penantian dan sebagai harapan terakhir. 

Namun seandainya perjalanan pilihanraya pun tidak bersih dan tulus, itulah tanggungjawab dan peranan seluruh warganegara Malaysia untuk memastikan sistem pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) bersih dan diyakini. BERSIH 3.0 bukan perhimpunan menentang kerajaan, tetapi perhimpunan membaik pulih kerajaan.

We Unite For Islam
----------------------------------------------------------
Penulis adalah Mahasiswa Kuliyyah Kejuruteraan WUFI UIAM.

Mahasiswa usah terlalu sensitif

LEBIH BAIK...perbincangan telus, bebas dan menjamin hak semua pihak untuk bersuara antara langkah terbaik meredakan pertikaian. - Gambar hiasan
LEBIH BAIK...perbincangan telus, bebas dan menjamin hak semua pihak untuk bersuara antara langkah terbaik meredakan pertikaian. - Gambar hiasan
JANGAN MUSNAHKAN MASA DEPAN...tindakan seperti ini hanya akan menjatuhkan maruah mahasiswa sebagai golongan intelektual. - Gambar hiasan
JANGAN MUSNAHKAN MASA DEPAN...tindakan seperti ini hanya akan menjatuhkan maruah mahasiswa sebagai golongan intelektual. - Gambar hiasan
MEMANG tidak habis-habis isu Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), lepas satu timbul pula desakan mahasiswa yang mahu akta itu dimansuhkan sepenuhnya dengan alasan sudah tidak relevan pada alaf baru.
Mereka mendakwa pindaan yang dicadangkan kerajaan itu hanya ‘gimik’ pihak tertentu menawan hati mahasiswa, namun ia masih mengekang pemikiran dan hak mereka bersuara dan berpolitik.
Justeru, mereka mahu AUKU dimansuhkan kerana ia lebih praktikal bagi melonjakkan kemampuan dan sensitiviti sistem pendidikan moden.

Pindaan pula dianggap ‘hadiah’ kepada warga institusi pengajian tinggi kerana keprihatinan itu bakal memberi peluang kepada mereka meneroka alam pendidikan berlandaskan peraturan dan kawalan tertentu.

Sama ada pindaan atau pemansuhan, hakikatnya, AUKU terutama seksyen 15C ( 3) memang mencetuskan provokasi tersendiri dalam kehidupan warga kampus kerana ia melarang mahasiswa menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.

Persoalannya, sama ada pindaan atau permansuhan, adakah AUKU masih relevan dalam era pendidikan moden hari ini?

Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Pelajar) Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Ahmad Zainudin Husin berkata, mahasiswa perlu melihat secara waras mengenai AUKU tanpa mengaitkan dengan sentimen tertentu.

Beliau berkata, penting bagi mereka memahami bahawa akta itu bukan hanya menekankan seksyen tertentu semata-mata, malah mencakupi aspek luas yang menyentuh pelbagai peranan serta fungsi.

“Desakan mahasiswa supaya AUKU dimansuhkan tidak akan menyelesaikan masalah.
Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan ‘berteriak’ atau berdemonstrasi.

“Ia lebih kompleks. Bukan mudah menghapuskan akta yang sudah sah melalui proses perundangan, memperoleh kebenaran rasmi serta termaktub dalam undang-undang negara. Ia tidak boleh dipinda atau dimansuhkan sesuka hati.

“Pihak yang lantang bersuara perlu memahami situasi ini. Ia tidak boleh diubah sekelip mata kerana ada proses panjang dan rumit perlu dilalui,” katanya.

AUKU memang tidak pernah sunyi dengan polemik dan kontroversi sejak kewujudannya pada 1971.

Sudah mengalami beberapa pindaan, akta itu bagi segelintir pihak menjadi batu penghalang dan mimpi ngeri jika mahasiswa ingin bebas bersuara dan berpolitik.

Kemelut demi kemelut menjadikan AUKU isu panas dan sensitif bagi mahasiswa hingga menyebabkan akta ini diberi janji untuk dipinda lagi.

Bagaimanapun, pindaan itu tidak menarik hati segelintir mahasiswa, sebaliknya mahukan kebebasan penuh iaitu dimansuhkan.

Mereka menuntut universiti diberi kuasa autonomi untuk menggubal undang-undang sendiri selari undang-undang perlembagaan tanpa campur tangan birokrasi pihak luar.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Sejarah UPSI berkata, tindakan itu akan memakan diri sendiri kerana jika universiti menggubal undang undang baru, mereka juga memerlukan rujukan akta tertentu sebagai panduan.

“Dalam konteks ini, universiti tidak boleh sesuka hati mewujudkan undang-undang kerana selama ini mereka tertakluk pada peraturan sedia ada.

“Biarpun diberi kuasa autonomi, saya percaya mewujudkan undang-undang baru dengan kepemimpinan sendiri tidak mudah. Ini perkara besar yang membabitkan prosedur yang panjang.

“Ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Jadi di manakah relevannya permintaan itu?” soalnya.

Beliau berpendapat, jalan terbaik untuk mengembalikan semula keharmonian ialah dengan mengkaji akta berkenaan lebih mendalam bersesuaian kehendak semasa, mahasiswa juga global.

“Ini lebih baik daripada semua pihak ‘bermusuhan’. Dalam menangani AUKU, kepentingan semua perlu diambil kira bagi menjamin hak dan meneruskan kelangsungan sistem pendidikan negara dengan harmoni.

“Janganlah kerana mengikut hati yang panas atau terpengaruh desakan pihak lain, sistem pendidikan tinggi kita korbankan. Ini tidak betul dan boleh menjejaskan masa depan generasi mahasiswa lain,” katanya.

Malah, untuk bertindak lebih adil, beliau menyarankan agar diwujudkan suruhanjaya untuk mengkaji aspek pelengkap AUKU.

Melalui suruhanjaya ini, katanya, semua pihak diberi akses bebas untuk menyuarakan pandangan sebelum keputusan dibuat.

“Cara ini lebih praktikal kerana kepentingan semua pihak diambil kira dan tidak membelakangkan hak sesiapa pun. Beri kebebasan mereka untuk melahirkan pandangan masing-masing selain disertakan fakta kukuh.

“Kata putus serta persetujuan diambil itu mampu menjernihkan kembali ketegangan sedia ada. Ini menunjukkan mahasiswa golongan intelektual dan bermaruah.

“Demonstrasi jalanan atau tindakan membuta tuli hanya akan meletakkan mereka di tahap paling rendah. Saya nasihatkan, jangan terlalu terburu-buru mengikut kata hati, kelak menyesal,” katanya.

Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Ab Razab pula tetap menegaskan, pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan kerana mengganggu pembentukan jati diri sejati mahasiswa untuk mengikuti modul pendidikan sebenar.

Menurutnya, tiada sesiapa berhak menghakimi tindakan mahasiswa yang mahukan AUKU dimansuhkan kerana ia kehendak naluri sendiri yang mahukan keadilan telus tanpa kerenah birokrasi.

“Malangnya, apabila mahasiswa bersuara mengenai AUKU, semua pihak pasti mengaitkannya sebagai propaganda pihak tertentu. Tidakkah mereka lihat itu naluri mahasiswa yang sudah bosan dilayan bagaikan budak kecil dan sering diperkotak-katikkan?

“Cukup dan usah mengaitkan mahasiswa dengan mengatakan mereka diperkudakan pihak tertentu. Apa dilakukan ini adalah kehendak sendiri kerana sudah lama tertindas dengan peraturan berat sebelah.

“Sebagai generasi muda, mereka inginkan pembaharuan lebih praktikal.
Pemansuhan ini bakal menjadi lembaran baru dalam dunia pendidikan moden hari ini, sekali gus melahirkan wajah mahasiswa baru,” katanya.

Menafikan pemansuhan itu juga, katanya, menyebabkan mahasiswa bertindak lebih ‘kurang ajar’, sebaliknya apabila universiti diberi kuasa autonomi menggubalkan undang-undang sendiri, kehidupan mahasiswa lebih proaktif.

“Apabila mahasiswa merasakan apa dilakukan universiti salah, mereka ada hak bersuara dan universiti pasti mengambil tindakan segera bagi mengatasinya tanpa perlu merujuk atau mengikut telunjuk pihak tertentu.

“Tidak perlu lagi kami menunggu bagai buah tidak gugur apakah keputusannya.
Justeru, tidak timbul isu mahasiswa bertindak lebih kuah dari sudu kerana semua peraturan selari dengan undang-undang negara melainkan dilaksanakan sepenuhnya oleh universiti.

“Kami tidak perlu berdepan kerenah birokrasi peringkat tertinggi kerana universiti sendiri boleh menentukan tindakan bakal diambil. Itu lebih telus, adil dan menyenangkan hati kerana universiti pasti kenal hati budi mahasiswanya sendiri,” katanya mengakui AUKU menjadikan mahasiswa naif merancang pembangunan jati diri.

“Bayangkan sejak mula menjejakkan kaki di universiti sudah disogokkan dengan ‘kekebalan’ AUKU. Mereka tidak bebas melahirkan pendapat, tidak berjiwa kental serta perlu mengikut ‘telunjuk’.

“Sedangkan dunia memerlukan pelapis yang berfikiran kritis, berani melahirkan pandangan serta menyahut cabaran. AUKU sudah tidak relevan dipraktikkan kerana senario mahasiswa kini sudah berubah,” katanya.

Akuinya, biarpun daripada 1.2 juta mahasiswa hanya tujuh peratus lantang bersuara, tidak bermakna peratus selebihnya tidak peka.

“Yang membezakan ialah tujuh peratus itu aktif dalam memperjuangkan hak mahasiswa manakala selebihnya tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan.

“Paling penting, mereka nampak dan tahu apa perlu dilakukan bagi memastikan tindakan atau hak tidak dicabuli, sekali gus membantu merangka pemikiran luar kotak. Inilah generasi mahasiswa alaf baru yang sebenarnya perlu dilahirkan.

“Bukan penakut atau mudah dipersendakan sesuka hati,” katanya.

Tukar visi jadi realiti

ANDA ingin bergelar arkitek dan adakah anda tahu mengenai kerjaya seni bina?
Tugas arkitek menyediakan perkhidmatan profesional untuk projek pembinaan dan terbabit dalam semua fasa pembangunan bermula perbincangan awal dengan pelanggan hingga proses pembinaan. 
Justeru, anda memerlukan kemahiran seperti mereka bentuk, kejuruteraan,
mengurus, menyelia dan berkomunikasi dengan pelanggan dan pembina selain bersedia menerangkan idea kepada pelanggan dan kontraktor pembinaan. 
Kisah penciptaan salah satu pencapaian terbesar di Malaysia iaitu Menara Berkembar Petronas oleh Cesar Pelli menonjolkan kemahiran yang perlu ada untuk menukarkan visi menjadi realiti. 
Pelli mendapat Diploma Senibina di Argentina dan Sarjana Senibina di Amerika Syarikat.

Pada awal 1990-an, beliau memenangi pertandingan antarabangsa untuk mewujudkan satu struktur yang akan mewakili reputasi Malaysia dan kepekaan mengenai bangunan berprestij di seluruh dunia.

Kejayaan itu membantunya mereka bentuk menara berkembar 88 tingkat yang terkenal itu.

Namun, konsep awal Pelli dianggap tidak menggambarkan keunikan Malaysia.

Untuk menyelesaikan masalah itu, beliau mengkaji semua jenis kesenian Islam dan menggunakan motif bintang yang biasa digunakan dalam kesenian Melayu-Islam.

Untuk menyelesaikan masalah ruang lantai terhad, beliau menambah semi bulatan kepada setiap sudut dalaman dan untuk membuat bangunan tertinggi di dunia, reka bentuk 1,400 kaki itu perlu difikirkan semula selain pelbagai lagi fakta struktur terpaksa dikira semula dan diuji.

Ini menunjukkan bahawa seorang arkitek bukan saja perlu mempunyai imaginasi yang baik tetapi juga mampu menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritikal.

Anda juga perlu mempertimbangkan faktor seperti fungsi dan keselamatan dalam mereka bentuk bangunan, selain bekerjasama dengan kontraktor pembinaan.

Ketika pembinaan menara berkembar, Pelli dan pasukannya bekerjasama menyelesaikan beberapa isu. Beliau mendapati tapak asalnya tidak sesuai dan kontraktor pembinaan memindahkan tapak itu.

Bahan keluli pula terlalu mahal. Justeru, jurutera membuat keputusan menggunakan konkrit bertetulang yang kukuh sebagai bahan binaan utama.

Perincian teliti Pelli membuatkan pasukan itu berjaya menghasilkan Menara Ber-kembar Petronas menjadi realiti. Karya seni bina itu boleh dibanggakan setiap arkitek.

Justeru, mulakan kerjaya Persekitaran Binaan anda di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

Pelajar di bawah Fakulti Persekitaran Binaan boleh melanjutkan pengajian dalam kursus Diploma Seni Bina, Seni Reka Bentuk Dalaman dan Seni Bina Landskap.

Kursus diploma menyediakan asas yang kukuh dan menghasilkan pereka yang mampu untuk mengenal pasti, menyelidik dan menyelesaikan masalah berkaitan fungsi dan kemapanan reka bentuk serta digabungkan dengan latihan praktikal.

Hubungi talian bebas tol 1800-88-5588 atau melalui SMS dengan menaip KLMU MABENAMANEGERI dan hantarkan ke 36600. Juga lawati laman sesawang KLMU di www.klmu.com.my untuk maklumat lanjut.

KLMU sedang mempromosikan peraduan ‘Life’s a Trip’ di www.discoveru.com.my.

Sertai dan menang hadiah hebat!* Tertakluk kepada terma dan syarat. Peraduan bermula 1 Mac hingga 3 Jun 2012.

Apabila hati tidak terdidik

ANAK adalah amanah yang Allah berikan kepada kita. Bayangkan ada yang kahwin tetapi tidak dikurniakan anak. Macam-macam cara dan usaha dilakukan kerana mahukan anak.
Saya masih ingat dalam satu program motivasi di Kuala Terengganu, ada seorang ibu yang mempunyai 17 anak. Saya kagum kerana seorang ibu boleh menjaga anak yang ramai, tetapi 17 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu pada hari tua. 
Kenapa begitu? Sebabnya, ketika kita membesarkan anak, kita berikan segala-galanya kepada mereka, makan, minum, pakaian, buku, kasih sayang, pelajaran dan agama, tetapi lupa mendidiknya agar tidak lupa bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Kita didik mindanya dan kita berikan keperluan fizikalnya, tetapi kita lupa mendidik hatinya.

Baru-baru ini, seorang guru bertanya kepada saya kenapa pelajarnya yang mempu�nyai cita-cita menjadi orang hebat, tetapi tingkah lakunya tidak hebat.

Mereka bercita-cita menjadi doktor, jurutera, peguam, arkitek dan akauntan, tetapi sebaliknya malas belajar, tidak memberikan tumpuan dalam kelas, pengurusan masanya lemah dan kerja sekolah tidak siap.

Jawapan saya, minda akan nampak apa yang hati mahu lihat. Apabila minda nampak, barulah wujud tingkah laku positif. Masalah pokoknya ialah hati tidak melihat. Mulut berkata bahawa apabila dewasa mahu menjadi seorang doktor, tetapi hati pula membisikkan sebaliknya.

Dalam hadis Nabi s.a.w, daripada al-Nu’man bin Basyir, Rasulullah bersabda:
“Ketahuilah dalam tubuh anak Adam, ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan. Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan.
Ketahuilah, daging itu ialah hati” (Riwayat al-Bukhari).

Apabila hati anak bersih, belajarnya cepat faham. Hafalannya cepat ingat. Jiwa mereka lebih tenang dan ibadah pun mudah dilaksanakan.

Anak yang berhati bersih tidak kedekut ilmu. Apa yang dipelajari dan diketahuinya diajarkan pula kepada orang lain.

Sebagai ibu bapa, apa yang boleh kita lakukan bagi menjadikan hati anak terdidik?

Pertama, jaga keberkatan rezeki. Pastikan makanan yang disuapkan ke mulut anak itu daripada sumber yang halal dan bukannya daripada sumber yang haram seperti duit rasuah, judi, nombor ekor, curi tulang, penipuan dan penindasan.

Misalnya, kita diberikan gaji oleh majikan setiap bulan. Gaji itu dibayar atas andaian kita bekerja lapan jam sehari dan mencapai kualiti kerja yang dijanjikan. Adakah kita menepati janji itu?

Pernahkah kita terfikir untuk datang lebih awal dan pulang lebih lambat tanpa membuat tuntutan kerja lebih masa semata-mata mahu menggantikan masa kerja yang dicuri itu?

Pernah atau tidak kita secara sedar membuat tuntutan palsu yang mungkin hanya beberapa ringgit nilainya tetapi tetap kita lakukan?

Semua ini memberi kesan atas rezeki yang dibawa pulang. Hati anak yang makan daripada sumber yang haram pasti sukar dididik.

Kedua, untuk didik hati mesti sentiasa ‘online’ dengan Allah. Ilmu ini perlu kita ajarkan pada anak. Pesan kepada anak sentiasa beristighfar, zikir hati dan zikir lisan.

Sentiasa memulakan sesuatu dengan membaca basmalah. Menjaga solat lima waktu dan menghormati kita sebagai ibu bapa dan juga guru.

Ketiga, didik hati anak dengan sentiasa memberikan pesanan yang baik. Ramai ibu bapa merungut mereka perlu menasihati dan menegur anak berkali-kali.

Itulah peranan yang perlu dimainkan ibu bapa setiap hari tanpa jemu.
Perhatikan iklan di televisyen, berapa kalikan ia dimainkan setiap hari? Oleh itu, ibu bapa tidak boleh berputus asa.

Dalam program Motivasi Alihan Pelajar yang dijalankan, proses mendidik hati berjalan selama dua hari. Minda perlu dicabar, pegangan lama perlu digugat, kepercayaan dan persepsi yang salah perlu digoncang, barulah hati mula terdorong mahu melakukan perubahan.

Anak turut didedahkan mengenai rahsia kekuatan otak kanan dan otak kiri serta bagaimana belajar dengan mengunakan kedua-dua belah otak.

Mereka diajar kekuatan minda bawah sedar serta rahsia kalbu serta langkah yang boleh dilakukan bagi memprogramkan minda bawah sedar ini.

Dengan memasukkan anak ke program motivasi seperti Motivasi Alihan Pelajar, ibu bapa akan dapati bahawa anak mereka lebih bersedia berbanding pelajar lain.

Motivasi Alihan Pelajar wujud sejak 1995 dan lebih 100,000 pelajar menyertai program motivasi ini. Adalah lebih mudah mencipta kejayaan apabila kita ada mentor, tahu cara dan tahu rahsianya.

Hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar iaitu 03-22734622, 016-5580719, 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web kami di www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.

Sebahagian kos pendidikan tinggi sudah disubsidi

UNTUK APA...tindakan seperti ini hanya akan menjatuhkan imej mahasiswa sebagai golongan intelektual.
UNTUK APA...tindakan seperti ini hanya akan menjatuhkan imej mahasiswa sebagai golongan intelektual.
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan 15 tahun lalu bagi membantu dan meringankan bebanan ibu bapa membiayai kos pengajian anak mereka.
Peningkatan kos pengajian terutama di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyebabkan kerajaan berpendapat satu tabung perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa.

 TIDAK RELEVAN...tidak perlu lagi memperjuangkan hasrat memperoleh pendidikan percuma kerana sudah tidak relevan dengan keadaan dunia masa kini.
 JANGAN TAKSUB...mahasiswa perlu memahami situasi serta fakta sebenar sebelum mengambil keputusan bertindak begini.
 JASA...apakah PTPTN tidak berjasa kepada mahasiswa ini sehingga sanggup mengambil tindakan di luar batasan?
SIA-SIA...jangan lakukan tindakan sia-sia dan mudah diperkudakan orang lain.


Sejak itu, PTPTN membantu mahasiswa membiayai pengajian mereka di universiti dan ibu bapa hanya menyediakan duit poket.

Hakikatnya, pelajar dan ibu bapa mendapat manfaat tetapi ramai tidak menunaikan janji apabila menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan.


Kegagalan pelajar membayar balik pinjaman menyebabkan PTPTN menanggung kerugian kerana terpaksa menambah jumlah pembiayaan setiap tahun.

Ketegasan pengurusan PTPTN melarang pelajar yang gagal membayar balik pinjaman meninggalkan negara selain menyiarkan nama mereka di akhbar, sedikit sebanyak membenihkan kemarahan pelajar.

Ada pelajar menggelar PTPTN sebagai ‘along’ kerana mengambil tindakan tegas terhadap mereka padahal sebagai pemilik, mereka berhak berbuat demikian.

Akhir-akhir ini apabila ada pihak menyarankan supaya kerajaan memansuhkan pinjaman PTPTN, pelajar mengambil kesempatan daripada isu itu untuk menangguk di air keruh.

Mereka begitu drastik mahukan PTPTN dimansuhkan tetapi persoalannya, apakah benar tabung itu menyusahkan atau mahasiswa enggan memikul tanggung jawab?

Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Azman Saini Wan Ngah berkata, tindakan keterlaluan itu
mencerminkan sikap sesetengah mahasiswa yang tidak tahu mengenang budi.

Baginya, golongan itu hanya mentafsir PTPTN secara luaran yang mengaitkannya sebagai ‘penindas mahasiswa’, namun tidak mengambil kira aspek lain yang turut dijana hasil pemberian badan pinjaman berkenaan.

“Mereka sebenarnya tidak tahu hujung pangkal perjuangan. Mereka hanya sekadar berteriak mahu memansuhkan PTPTN kerana dianggap menindas dan menyusahkan.

“Hakikatnya, banyak lagi kepentingan PTPTN tidak diketahui. Jika mereka faham mengenai sumbangan PTPTN, pasti tidak akan bertindak begini,” katanya.

PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 kini melalui saat sukar apabila dituduh penindas mahasiswa termasuk menyenarai hitam peminjam yang culas membayar kembali pinjaman selain menanggung kos pentadbiran satu peratus.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, apa dianggap membebankan itu nilainya terlalu kecil jika dibandingkan nikmat diperoleh mahasiswa selepas tamat pengajian.

“Bayangkan, pinjaman diterima hanya sekitar lima hingga 10 peratus saja daripada seluruh kos pendidikan. Yang lainnya sudah diber subsidi.

“Dengan pinjaman seperti itu, mereka akhirnya menjadi manusia dengan kerja dan pendapatan yang baik. Jadi mengapa mesti bising dan tidak berpuas hati?

“Adakah nilai itu terlalu besar berbanding nikmat bakal diperoleh pada masa depan? Kadar semasa dikenakan institusi pinjaman seperti bank juga lebih tinggi, nilai satu peratus ditambah pinjaman itu sebenarnya tidak berbaloi,” katanya.

Mahasiswa tidak perlu memasang angan-angan inginkan pendidikan percuma kerana harga pendidikan hari ini mahal harganya.

“Ya, kita boleh melakukannya seperti negara maju, tapi sanggupkah rakyat negara ini membayar cukai melebihi 26 peratus?

“Jangan bandingkan dengan negara maju sebab cukai mereka sangat tinggi seperti Jerman sebanyak 46 peratus.

“United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Sweden dulunya memberi pendidikan percuma tetapi kini mula mengenakan bayaran pengajian untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

“Di UK dan AS misalnya, mereka juga ada badan pinjaman seperti PTPTN kerana tahu tidak mampu lagi memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya,” katanya.

Katanya, jika negara berkenaan sudah melakukannya, apa relevan permintaan seperti itu di negara ini?

Melalui PTPTN, jumlah mereka yang mampu memperoleh pendidikan melonjak daripada hanya 27,000 tempat ditawarkan di IPT sekitar 1990-an kepada 381,000 pada 2010.

“Lonjakan 14 kali ganda ini membuktikan sumbangan PTPTN untuk membantu masyarakat memperoleh pendidikan sangat besar, sekali gus melonjakkan lagi sektor tenaga kerjaya, ekonomi dan pembangunan.

“Industri makanan, pembinaan, teknologi dan penerbitan juga memperoleh manfaat kerana adanya permintaan tinggi daripada warga IPT. Bayangkan, jika tiada PTPTN, adakah sektor ini mampu bertahan?

“Pada saya, mahasiswa ini hanya dipergunakan sedangkan mereka sendiri tidak tahu apakah perjuangan sebenar,” katanya.

Menekankan tanggungjawab sebenar mahasiswa adalah belajar hingga tamat pengajian, seterusnya memperoleh pekerjaan baik bagi membayar semula pinjaman diperoleh.

“Mentaliti ini yang perlu disemai kerana hakikatnya mereka masih belajar dan perlu terus belajar hingga berjaya menggenggam ijazah.

“Ini bukan tanggungjawab mereka. Apa jua kehendak dan keputusan biarlah dibuat berlandaskan hasil perbincangan pihak berkaitan yang lebih berkepentingan serta arif.

“Mengadili PTPTN dengan cara melancarkan tindakan provokasi bukan penyelesaian terbaik. Ini bukan cara golongan intelektual,” katanya.

Menegaskan fungsi PTPTN sebagai institusi pemudah cara sokongan pendidikan masih relevan, beliau percaya jika pendidikan percuma diberikan, pastinya mahasiswa tidak akan menghargai peluang di depan mata.

“Rasionalnya, barang percuma, nilainya tidak begitu berharga. Jika sekarang pun mereka tidak pandai menghargai, bayangkan jika diberi pendidikan percuma.

“Keadaan ini berbeza dengan mahasiswa dulu sebab mereka bersungguh-sungguh menggunakan peluang untuk mengubah nasib manakala ibu bapa sanggup bergolok gadai. Kesukaran dan keperitan menjadikan mereka fokus dan tidak banyak meminta-minta.

“Malangnya, mahasiswa hari ini mensia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.

Friday, April 27, 2012

Pesta Buku: Hadiah setiap jam bagi peminat produk Karangkraf

Peraduan I Like & Menang
Peraduan I Like & Menang
SHAH ALAM – Buat semua pengunjung Pesta Buku Karangkraf 2012, anda kini mempunyai peluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dengan hanya menekan butang Like di laman Facebook bagi produk keluaran Kumpulan Media Karangkraf.
Peraduan ‘iLike & Menang’ anjuran Grup Digital Karangkraf (GDK) bermula pagi tadi dan akan berlangsung sehingga 6 Mei ini, menyaksikan pemberian hadiah pada setiap jam.
Pengarah Eksekutif GDK, Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, untuk memasuki peraduan tersebut, pengunjung hanya perlu mencari ahli GDK yang memakai pakaian Pesta Buku Karangkraf, topi berwarna-warni beserta tag pengenalan ‘iLike Facebook’ sepanjang pesta itu berlangsung.
Menurut Syamil, peraduan tersebut terbahagi kepada dua bahagian, dengan bahagian pertama hanya memerlukan peserta menekan butang Like pada laman Facebook tertentu dan cabutan bertuah akan dibuat bagi memilih pemenang pada setiap jam.
“Pengunjung tidak perlu membeli apa-apa barangan, hanya cari kami, dan tekan butang Like untuk laman Facebook Sinar Harian, lima majalah atau buku terbitan Karangkraf, dan satu perkhidmatan Karangkraf melalui telefon pintar masing-masing atau di gerai GDK.
“Setiap pengunjung yang datang ke gerai kami akan diberikan borang penyertaan selepas mereka menekan butang Like. Cabutan akan dibuat dan seorang pemenang akan dipilih bagi setiap jam, bermakna akan ada 10 pemenang setiap hari. Hadiah untuk bahagian pertama adalah penginapan di Tune Hotel di seluruh negara,” katanya.
Untuk bahagian kedua peraduan itu, yang akan bermula pada 2 Mei, Syamil berkata, beberapa siri soalan akan disiarkan di laman Facebook Sinar Harian, dan jawapannya boleh ditemui sama ada secara online atau dalam akhbar cetak tersebut dan majalah lain keluaran Karangkraf.
Hadiah utama seperti iPad, iPod Nano dan iPod Shuffle serta penginapan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur menanti pemenang bahagian kedua.
Pesta Buku Karangkraf 2012 berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC di sini sehingga 6 Mei depan.

Tuesday, April 10, 2012

1,609 ditawar Bursary secara automatik: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan untuk menawarkan Bursary (dermasiswa) automatik kepada 1,609 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang memperoleh sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas.


Statistik pencapaian 1,609 pelajar itu adalah 9A+ (1,020 orang), 10A+ (492 orang), 11A+ (90 orang) dan 12 A+ seramai tujuh orang.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan akhbar sebentar tadi berkata, Bursary adalah bantuan kewangan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran untuk mengikuti pengajian di peringkat persediaan (pra-universiti) sebelum pelajar melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Pertama di universiti dalam atau luar negara.

Beliau berkata, pada tahun ini, bagi mengiktiraf kecemerlangan pelajar lepasan SPM pada 2011, semua pelajar cemerlang yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas akan ditawarkan Bursary secara automatik oleh Kementerian Pelajaran tanpa mengira etnik, kaum, keturunan dan latarbelakang.

“Kerajaan sentiasa prihatin dengan keluhan ibu bapa pelajar yang menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang tetapi tidak berjaya untuk mendapat penajaan untuk melanjutkan pelajaran setiap kali keputusan penajaan diumumkan kerana persaingan yang amat sengit dan bilangan yang ramai  mendapat keputusan yang cemerlang. 

“Pada masa yang sama, kerajaan juga mempunyai kekangan dari segi peruntukan kewangan berikutan kos pendidikan yang semakin meningkat. 
“Bagaimamanapun, pada tahun ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menawarkan Bursary kepada semua 1,609 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu sekurang-kurangnya 9A+ dan ke atas,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga meluluskan penajaan di bawah Program Biasiswa Nasional (PBN) kepada 50 orang pelajar paling cemerlang lepasan SPM 2011 di kalangan yang terbaik mengikut senarai Kementerian Pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka dunia berasaskan kepada merit akademik. 

Katanya, calon-calon yang terpilih akan ditawarkan biasiswa dari peringkat persediaan sehingga ke peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan pengiktirafan bidang pilihan yang menjadi minat pelajar di universiti dalam dan luar negara seperti disenaraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi kesemua program pra-universiti yang sudah tersenarai, pemberian Bursary tertakluk kepada pelajar sudah ditawarkan/ditempatkan di pusat persediaan yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Sila layari laman web Kementerian Pelajaran di www.moe.gov.my untuk membuat semakan dan pengemaskinian profil pelajar program Busary mulai 16 April, 2012.