Pages

Translate

Sunday, May 27, 2012

Pelajar pintar selesaikan teori Sir Isaac Newton

Shouryya
Shouryya kini bergelar budak pintar selepas merungkai teori Sir Isaac Newton.

BERLIN - Teka-teki dibuat oleh Sir Isaac Newton sehingga merunsingkan dunia matematik sejak lebih 350 tahun lalu, akhirnya dirungkaikan oleh seorang remaja berumur 16 tahun di Dresden, Jerman.

Shouryya Ray, berjaya menyelesaikan dua teori dinamik zarah asas yang sebelum ini hanya dapat dihitung dengan menggunakan komputer berkuasa tinggi oleh ahli fizik.

Hasil penyelesaian Shouryya membuka peluang kepada saintis untuk menghitung laluan balingan bola dan kemudian meramal bagaimana ia akan menghentam serta melantun dari dinding ke dinding.

Anak kelahiran Kolkata, India, menyelesaikan permasalahan rumit itu, ketika menyertai lawatan sekolah di Universiti Dresden yang mana gagal dirungkaikan oleh profesor di situ.

Kebijaksanaan Shouryya dikesan sejak dia mula memasuki persekolahan di Dresden empat tahun lalu selepas berpindah dari Kolkata.

Thursday, May 24, 2012

UiTM sentiasa membantu pelajar bumiputera

TANAH MERAH 21 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan berusaha mencari jalan bagi membantu lebih ramai pelajar bumiputera, terutama dari keluarga berpendapatan rendah di luar bandar untuk memasuki universiti itu setiap tahun.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang dilaksanakan UiTM itu akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar bumiputera yang miskin melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Beliau berkata, program itu juga bertujuan mengimbangi kadar kemasukan ke universiti antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar supaya mereka yang berupaya belajar tidak tercicir dalam pengajian di peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.
"Pelajar-pelajar di kawasan bandar memang mempunyai kelebihan dari segi mendapatkan peluang pendidikan yang baik di peringkat sekolah kerana adanya kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap dan sebagainya.
"Bagaimanapun, pelajar miskin tercicir khususnya di luar bandar tidak boleh dibiarkan tercicir dalam mendapatkan peluang pendidikan yang baik. Ini penting bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala tidak sihat seperti merempit dan aktiviti anti sosial," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kemasukan Ke UiTM Parlimen Tanah Merah 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah (1) di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua UMNO bahagian, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz; Rektor UiTM Kelantan, Prof. Madya Dr. Mohd Shukri Omar dan Pengerusi Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB), Mohd. Faizal Daud.
Menurut Sahol Hamid, kemudahan yang disediakan kepada pelajar yang mengikuti Program Pra Diploma di UiTM seperti yuran pengajian percuma dan elaun sara diri antaranya adalah hasil sumbangan Alumni UiTM dan derma daripada syarikat milik kerajaan.
Sementara itu, UMNO Bahagian Tanah Merah membantu hampir 600 pelajar di Parlimen Tanah Merah dalam rayuan mereka untuk mengikuti Program Pra Diploma, Asasi dan Diploma di UiTM pada tahun ini.
Menurut Ikmal Hisham, pihaknya sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai agenda utama dalam membantu mengubah nasib anak-anak dan keluarga khususnya golongan kurang berkemampuan.
"Kami telah mengamalkan budaya dan memainkan peranan ini lebih 11 tahun menerusi pelbagai inisiatif untuk membantu dan menggalakkan pelajar di daerah Tanah Merah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Ikmal Hisham berkata, UMNO Bahagian Tanah Merah sentiasa berusaha membantu pelajar-pelajar di kawasan itu bukan sahaja untuk rayuan kemasukan ke universiti malah, ke Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh.
Menurut beliau, hasil usaha bersama pelbagai pihak berjaya menjadikan Tanah Merah sebagai antara daerah di negeri Kelantan yang mempunyai ramai pelajar memasuki institusi pengajian tinggi setakat ini.

PTPTN: Pelajar miskin mampu ke IPT

JELI 18 Mei - Rakyat Kelantan terutama golongan miskin tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sekiranya tiada bantuan daripada kerajaan antaranya menerusi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu turut diakui ramai tokoh korporat negeri ini yang telah berjaya membina kerjaya masing-masing kerana mereka sendiri suatu ketika dulu mengharapkan bantuan kerajaan.
Malah katanya, beliau sendiri menerima bantuan kerajaan ketika belajar di tingkatan satu dan wang itulah yang digunakan untuk keperluan harian termasuk membeli peralatan sekolah serta pakaian.
"Tanpa bantuan ini saya tidak akan berjaya. Sekarang ramai rakyat Kelantan berjaya, ada yang menjadi doktor pakar di Kuala Lumpur dan saya temui ramai individu yang dibantu kerajaan dulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 2,500 penerima di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, di sini hari ini.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, semua penerima bantuan pinjaman itu termasuk yang mendapat biasiswa perlu bersyukur kerana ia membantu mereka dalam kehidupan di universiti kelak.
Jelas beliau, sekiranya PTPTN dihapuskan kesannya akan dirasai rakyat negeri ini kerana kebanyakan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT terdiri daripada golongan miskin.
"Kalaulah PTPTN dihapuskan, maka hanya anak orang kaya yang dapat sambung belajar. Kita orang miskin tidak mempunyai wang yang cukup kerana tidak dapat bergantung kepada PTPTN lagi," katanya.

Sekolah-sekolah 'parah' dipastikan dapat cukup peruntukan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 18 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan projek-projek penambahbaikan sekolah terutamanya yang dilaporkan 'parah' menerusi audit fizikal mendapat peruntukan mencukupi.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, untuk tujuan itu, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Rosli Mohamed memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus bagi melaksanakan projek penyelenggaraan sekolah.
Usaha itu katanya, bagi menjamin bangunan-bangunan sekolah sentiasa berkeadaan baik, sempurna dan selamat.
''Adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa. Dua tahun lepas kementerian mengambil inisiatif membuat audit fizikal sekolah seluruh negara. Ia telah pun siap.
''Daripada lebih 10,000 buah sekolah (diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan cukup parah. Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak, kita perlu tentukan mereka dapat sejumlah peruntukan yang mencukupi.
''Namun, daripada jumlah bajet yang diperuntukkan kepada kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah-sekolah itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah seluruh negara di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, usaha menambah baik kualiti infrastruktur di sekolah diharap dapat meningkatkan mutu pendidikan negara.
''Sememangnya ada kaitan antara mutu pendidikan dengan suasana pembelajaran di sekolah-sekolah. Mungkin bangunan sekolah yang baik dan situasi selamat ini akan memberikan keselesaan kepada guru dan pelajar,'' jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, aspek bantuan persekolahan terus diberi perhatian dengan sejumlah RM2.8 bilion diperuntukkan bagi membiayai 21 jenis bantuan yang memberi faedah kepada 5.4 juta pelajar.
Segala bentuk bantuan yang bersesuaian katanya, telah diberikan kepada sekolah berdasarkan kemampuan semasa kerajaan.
''Ini membuktikan bahawa kerajaan sangat menekankan aspek pembangunan modal insan dan semua golongan mendapat pembelaan sewajarnya terutama mereka daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah termasuk mereka yang kurang upaya.
''Langkah ini bagi memastikan golongan tersebut berpeluang memperoleh akses pendidikan berkualiti dan seterusnya memperbaiki masa depan mereka supaya menjadi insan yang berguna kepada negara,'' ujarnya.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sentiasa bertindak secara pragmatik dan bersikap realistik dalam menangani cabaran-cabaran yang dihadapi pelbagai kategori sekolah.

Keciciran pelajar Orang Asli di sekolah menurun

JOSEPH Entulu Belaun (dua dari kanan) bersama dua pelajar Orang Asli, Azzanazatina Teo Chong Yim (kiri) dan Mila Yulianti Yusof melihat buku yang disediakan di bilik bacaan selepas merasmikan Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) Rompin, semalam.



ROMPIN 22 Mei - Kadar keciciran pelajar Orang Asli di sekolah di negara ini menunjukkan penurunan iaitu daripada 29 peratus pada tahun lalu kepada 26 peratus bagi tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kerajaan amat memandang serius pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya pelajar Orang Asli.
"Justeru fokus utama kementerian melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ialah penurunan kadar keciciran terutamanya dari sekolah rendah ke sekolah menengah dengan menyasarkan sehingga 15 peratus pada 2015.
"Bagaimanapun sokongan padu dan kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa dan guru amat diperlukan bagi mencapai hasrat tersebut," katanya pada majlis perasmian Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA), di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun.
PIPOA merupakan pusat akademik pertama diwujudkan di negara ini dengan kos sebanyak RM6.3 juta bagi menempatkan pelajar Orang Asli seluruh Pahang yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Menurut Mohd. Shafie, sebanyak RM22.5 juta dibelanjakan oleh kerajaan setiap tahun bagi membantu para pelajar Orang Asli mendapat pendidikan percuma dalam usaha mengurangkan jurang perbezaan dengan masyarakat lain terutama di kawasan bandar.
"Antara bantuan diberikan adalah tambang pengangkutan, yuran sekolah, wang saku serta kemudahan biasiswa bagi pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," jelasnya.
Sementara itu, beliau yakin dapat melahirkan lebih ramai pelajar Orang Asli yang cemerlang terutama di kawasan pedalaman dengan terbinanya PIPOA.
"PIPOA yang beroperasi pada September 2010 akan dijadikan perintis sebelum dibina di negeri-negeri lain," jelasnya.

Pelajar cemerlang SPM terima sumbangan

SUBAHAN Kamal (barisan depan, enam dari kiri) bersama pelajar cemerlang dan guru sekolah yang menerima insentif pada majlis penyampaian sumbangan di Selayang baru-baru ini.



SELAYANG 22 Mei - Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 dari lima buah sekolah di sini menerima insentif sebanyak RM100 seorang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong mencatatkan penerima tertinggi iaitu seramai 106 pelajar menerima insentif itu.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Mesra Rakyat Bersempena dengan Sumbangan Pelajar Cemerlang Lepasan SPM 2011 dan Penyampaian Cek untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sumbangan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
Menurut Subahan, sumbangan tersebut bertujuan mengurangkan beban pelajar cemerlang berkenaan selain memberi motivasi kepada mereka untuk cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu menurutnya, pelajar dari SMK Darul Ehsan, SMK Selayang Baru, SMK Ideal Heights dan SMK Rawang turut menerima sumbangan tersebut.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek berjumlah RM3,000 kepada PIBG daripada 14 buah sekolah di kawasan itu.

Lepasan SPM wajib sertai PLKN?

KUANTAN 24 Mei - Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mencadangkan kepada kerajaan supaya mewajibkan kesemua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta remaja yang berusia 18 tahun menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Pengerusinya, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, syor itu dibuat kerana pihaknya mendapati PLKN merupakan program berkesan dalam mendisiplinkan golongan remaja yang menyertainya.
“PLKN merupakan program yang lengkap. Ia mengajar mengenai disiplin, tentang sejarah kerajaan, sistem pentadbiran kerajaan dan sehingga kini maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa serta individu untuk menyertai program ini cukup memberangsangkan.
“Ini telah memberi dorongan kepada kita (Anggota Majlis MLKN) untuk syorkan kepada kerajaan supaya mewajibkan program PLKN," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kem PLKN Hijrah, di Penor di sini hari ini.

Semua pelajar mungkin wajib sertai PLKN

Tiki Lafe bertanyakan sesuatu kepada  pelatih PLKN di Kem Hijrah ketika lawatan kerjanya di kem ters
Tiki Lafe bertanyakan sesuatu kepada pelatih PLKN di Kem Hijrah ketika lawatan kerjanya di kem tersebut.

KUANTAN - Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya menjadikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai program wajib disertai semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang berusia 18 tahun di negara ini.

Pengerusi, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, syor itu berikutan program tersebut berkesan dalam mendisiplinkan golongan belia yang menyertainya.

Menurutnya, ia adalah sebuah program yang lengkap yang mengajar mengenai disiplin, sejarah kerajaan dan sistem pentadbiran kerajaan.

“Sehingga kini maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa dan individu untuk menyertai program ini cukup memberangsangkan.

“Sebagai contoh, kita mendapat maklum balas bahawa setakat ini, tiada bekas pelatih PLKN yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara 28 April lalu,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya di Kem PLKN Hijrah, Penor di sini semalam.

Menurutnya, jika ia dipersetujui, kerajaan juga perlu melakukan sesuatu seperti mengkaji prasarana yang ada atau dibina baru untuk menampung kira-kira 500,000 pelajar lepasan SPM di negara ini.

“Kita sedar jika PLKN diwajibkan, kerajaan perlu menyediakan kem latihan yang banyak dan meningkatkan jumlah kakitangannya seperti jurulatih. Kem sedia ada sekarang boleh menampung tetapi kapasitinya perlu ditambah,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya persepsi negatif segelintir pihak khususnya ahli politik terhadap program tersebut, pihaknya juga ingin mencadangkan supaya setiap ahli politik di negara ini menyertai program PLKN itu.

Menurutnya, majlis ingin mencadangkan usul itu terhadap kerajaan supaya setiap ahli politik tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang menyertai program tersebut dalam tempoh beberapa hari.

“Sekurang-kurang dua atau tiga hari bagi mereka merasai dan menjalani latihan sama bersama pelatih dalam kem kerana ia membolehkan mereka melihat sendiri bagaimana program ini dapat membantu pelatih.

 “Ia secara tidak langsung menolak dakwaan negatif sesetengah pihak mengenai program ini,” katanya.

 Menurutnya lagi, dakwaan bahawa PLKN kurang mendapat sambutan adalah tidak benar sama sekali kerana sehingga kini, pihaknya menerima kira-kira 3,000 permohonan untuk menjadi pelatih sukarela.

“Bagi ibu bapa dan remaja yang berminat menyertainya secara sukarela, kita meminta mereka membuat permohonan lebih awal untuk memudahkan kita menempatkan dan memastikan masalah lain tidak timbul,” katanya.

Thursday, May 17, 2012

TPM: Kerajaan timbang beri pensyarah imbuhan

Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedia menimbang untuk memberi imbuhan kepada pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi di seluruh negara.
Bagi tujuan itu, katanya, beliau akan menyemak semula situasi dan masalah yang dihadapi oleh para pensyarah dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Saya akan semak apakah kes gaji dan gred jawatan pensyarah telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). (Jika ada) apa respons JPA, saya tidak tahu.
"Tapi kalau dianggap perkara ini penting dan perlu diberi perhatian, kita percaya kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya," katanya dalam sesi soal jawab dengan peserta pada majlis Wacana Intelek dan Acara (Wira) anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia di sini, hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau menyedari keluhan ramai pensyarah bahawa mereka tidak menerima imbuhan seperti yang dinikmati para guru.
"Ada yang kata lebih baik jadi guru biasa sebab skim tidak setara. Kalau betul dan ada asasnya, kita harap kementerian (Pengajian Tinggi) boleh bawa dan kerajaan akan beri pertimbangan," katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan ucaptama yang menerangkan perjalanan kesemua program transformasi negara dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020 serta pencapaian program-program tersebut sehingga kini.
Menjawab soalan lain berhubung sistem demokrasi, Muhyiddin berkata kerajaan lebih suka untuk menjelaskan sesuatu isu atau perkara kepada rakyat secara profesional berbanding mengadakan debat dengan pembangkang.
"Kerajaan tidak bertindak atas dasar emosi tapi rasional untuk jelaskan. Ada yang kata tak cukup penjelasan, maka adalah tanggapan yang kerajaan tak laksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat. Tapi, itu kita boleh perbaiki," katanya.
Beliau menekankan apa yang penting adalah hubungan dengan rakyat agar mereka dapat sama-sama berbincang tentang sesuatu perkara.
Menyifatkan sistem demokrasi negara sebagai "terbatas berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang negara", beliau berkata ia penting dalam memastikan Malaysia kekal aman.
"Bukan kita tak sedia untuk berbahas tapi bila perbahasan dengan pembangkang ini mereka sudah tetapkan di fikiran... apa yang kita buat tak berfaedah.
"Kita tak takut, tapi lebih baik kita buat secara rasional sebab sebahagian besar rakyat bersikap matang dan boleh menilai," katanya.
Pada majlis yang sama, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan dua buah buku terbitan Wira iaitu Pemasaran Politik di Malaysia dan Malaysiaku. - Bernama

Wednesday, May 16, 2012

14 isu beban guru ditangani

Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai sokongan terhadap guru sambil diperhatikan Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak,Kuala Kangsar, Perak, semalam.



KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
''Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian.
''Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat sekolah.
''Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.
Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi.

Tuntut tunggakan air percuma

1Tuntut tunggakan air percuma
KAMALANATHAN

KLANG - Parti Progresif Rakyat (PPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) mewakili Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penghuni flat serta apartmen seluruh Selangor mendesak Kerajaan Negeri Selangor segera membayar tunggakan air percuma 20 meter padu kepada golongan sasar sebelum Dewan Undangan Negeri (Dun) dibubarkan.
Pengerusi PPP Bahagian Kota Raja, U Kamalanathan berkata, desakan dibuat memandangkan sehingga kini Kerajaan Negeri dilihat gagal dalam menangani masalah itu hingga bebannya terpaksa ditanggung khususnya oleh penghuni flat dan apartmen serta JMB.
Menurutnya, semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjanji akan memberikan air percuma 20 meter padu dengan kos RM11.40 kepada semua rakyat negeri ini terutamanya golongan sasar dan kurang berkemampuan.
"Bagaimanapun, selepas berjaya mengambil alih Selangor, hanya golongan tertentu memperoleh keistimewaan ini dan penghuni flat dan apartmen tidak menikmatinya.
"Apa yang menghairankan, kediaman berharga RM3 juta pula memperoleh keistimewaan ini. Ia dilihat tidak adil," katanya pada sidang media, semalam.
Lebih mendukacitakan, beliau berkata, pihaknya, JMB di apartmen Impian Sentosa, Taman Sentosa, Klang berdepan tunggakan bil air dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebanyak RM103,000 termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM180,000.
Katanya, JMB berdepan masalah apabila segelintir penghuni gagal menjelaskan bayaran penyelenggaraan dan disebabkan itu, banyak perkara berkaitan apartmen tidak dapat dilaksanakan dan JMB juga gagal bergerak aktif.
"Justeru, saya minta Kerajaan Negeri bantu kami sebagai JMB melalui kupon yang diperkenalkan. Kami mengutarakan perkara ini kepada pihak berkenaan namun hingga kini tiada maklum balas," dakwanya.
Justeru, pihaknya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Selangor membayar sebanyak RM570 kepada setiap kediaman kerana mereka berjanji untuk membantu golongan sasaran.
"Lebih baik sekiranya dibuat terus kepada JMB supaya bayaran bil tertunggak dapat dijelaskan.
"Selain itu, kami juga minta Kerajaan Negeri mencari jalan penyelesaian bersama dalam isu ini supaya semua rakyat menikmati air percuma ini," katanya
Hadir sama, wakil gabungan NGO, Saarah Ali Bashah dan beberapa NGO lain.
Kamalanathan berkata, pihaknya dan NGO terlibat menubuhkan satu gabungan yang dikenali sebagai Air 20.0 meter padu bagi menuntut usaha itu segera dilaksanakan.
Menurutnya, satu memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perkara itu akan diserahkan dalam masa terdekat.
"Kami mahu Menteri Besar turun ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya tuntutan ini diterimanya secara terus," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan tersebut, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri tidak akan membayar wang tertunggak kepada pengguna air meter pukal sebaliknya memperuntukkan untuk menukar kepada meter individu.
"Daripada awal lagi kita menggalakkan mereka menggunakan meter individu. Kita tidak akan bagi kerana harga mereka bayar air itu melebihi daripada apa sepatutnya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Muhyiddin: Lebih 24,000 guru ditimbang naik pangkat

Muhyiddin: Lebih 24,000 guru akan dipertimbang kenaikan pangkat
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan 2012 kepada Datuk Hassan Harun - Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Seramai 24,053 guru yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, mulai 1 Jun hingga 31 Dis ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kumpulan itu merangkumi seramai 8,222 guru lepasan Ijazah dan 15,831 lepasan Diploma.

"Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Guru ke-41 di sini, hari ini.

Beliau berkata selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan minimum kenaikan pangkat secara 'time-based' berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lepas.

Katanya melalui skim itu, bagi guru lepasan Ijazah gred DG41, hanya lapan tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, lapan tahun untuk gred DG44 ke DG48, enam tahun untuk gred DG48 ke DG52 dan hanya tiga tahun untuk gred DG52 ke DG54.-Bernama

Nazri: Majlis Peguam tiada hak tolak Akademi Undang-undang

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

JAKARTA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Majlis Peguam tidak berhak langsung untuk menolak cadangan penubuhan Akademi Undang-undang kerana mereka bukan ahli Parlimen yang bercakap mewakili rakyat.

"Majlis Peguam tidak berhak mengatakan tidak dan terpulang kepada kami untuk mengatakan ya dan saya fikir kita perlu mempunyai sebuah akademi undang-undang supaya mereka yang tidak berpersatuan, yang mempunyai latar belakang undang-undang, dapat disatukan di bawah akademi undang-undang," katanya.

Sebagai contoh, katanya pensyarah dan profesor di universiti dalam bidang undang-undang dan penasihat undang-undang di sektor korporat akan dapat berpersatuan dengan adanya Akademi Undang-undang itu nanti.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee yang menolak cadangan kerajaan untuk menubuhkan Akademi Undang-Undang, sebagai alternatif kepada persatuan itu.

Nazri tiba di sini semalam dengan mengetuai delegasi Kesatuan Antara Parlimen (IPU) Malaysia untuk lawatan tiga hari.

"Saya nak bagi tau, saya seorang peguam, tak berbangkit soal saya kata nak menutup Majlis Peguam. Saya punya kenyataan itu bersifat politik. Maknanya tindakan mereka itu memalukan," katanya.

Nazri berkata Majlis Peguam mungkin berasa bahawa rakyat bersetuju dengan tindakan mereka.

"Majlis Peguam perasan. Mereka fikir seluruh rakyat setuju dengan mereka. Apa hak yang mereka ada untuk menolak (penubuhan Akademi Undang-Undang)? Mereka tidak ada kuasa untuk menghentikan kita (kerajaan) menubuhkan akademi," katanya.

Lim dalam kenyataannya kelmarin menyebut bahawa kenyataan Nazri menimbulkan persepsi bahawa cadangan itu dihidupkan semula apabila kerajaan berasa terancam oleh Majlis Peguam yang tidak bersetuju penyalahgunaan kuasa oleh polis pada perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Menteri itu berkata, tidak timbul soal kerajaan berasa terancam hanya dengan resolusi Majlis Peguam yang mengecam tindakan polis ke atas peserta perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

"Kenapa kerajaan perlu berasa terancam? Tidak ada apa-apa ancaman yang dirasakan oleh kerajaan sejak Majlis Peguam ditubuhkan bertahun lamanya. Alhamdulillah kerajaan masih kuat," katanya.

Nazri juga mencabar Majlis Peguam supaya mendaftar pertubuhan itu sebagai parti politik memandangkan fokus badan itu lebih cenderung kepada politik.

Beliau turut mencabar presiden Majlis Peguam supaya bertanding dalam pilihan raya jika mahu mewakili rakyat.

"Saya tawarkan Lim untuk bertanding di Padang Rengas supaya dia boleh bersuara mewakili rakyat," katanya. - Bernama

Tuesday, May 15, 2012

Pena Kampus: Jangan terlalu manjakan mahasiswa

ANTARA isu hangat yang masih diperkatakan ialah pemansuhan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
PTPTN yang diwujudkan khusus bagi membantu meringankan bebanan mahasiswa sewaktu melangkah ke menara gading kini menjadi polemik yang menyebabkan tercetusnya demonstrasi jalanan. 
Dengan kemahuan ia dimansuhkan, mahasiswa yang tidak tahu berterima kasih ini sanggup membelakangkan nilai masyarakat serta memperjudikan masa depan hanya kerana tidak bersetuju dengan dasar ditetapkan kerajaan.

Saya sebagai mahasiswa yang amat mengharap�kan bantuan PTPTN, �sumbangan diterima umpama �rahmat biarpun tahu ia perlu dilunaskan kembali.

Hakikatnya, PTPTN masih diperlukan dan tidak wajar dimansuhkan kerana bakal mencetuskan pelbagai kesan negatif.

Sebagai mahasiswa yang masih muda, saya akui mempunyai perasaan ingin berhibur selepas penat seharian di kampus. Namun, secara logiknya, di manakah kemampuan kami jika bukan menggunakan PTPTN?

Apakah yang akan berlaku jika PTPTN dimansuhkan?

Di sinilah kemuncaknya kerana mahasiswa akan membelanjakan duit sesuka hati tanpa sebarang batasan. Sedangkan pinjaman yang ketika ini perlu dibayar pun mereka boleh berjoli sesuka hati apatah lagi jika diberi percuma.

Sudah tentu mereka langsung tidak menghargainya!.

Berdasarkan pengalaman, ada di kalangan rakan saya dengan sewenang wenangnya menyalah gunakan wang pinjaman itu.

Seharusnya ia digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku.
Namun, mereka tanpa bersalah membelanjakannya untuk tujuan bersuka ria dan peribadi. Wang PTPTN habis dibelanjakan namun yuran masih tertunggak hingga tamat pengajian.

Jadi, ke mana wang itu dihabiskan?

Saya berpendapat tidak perlu membazir masa melayan kerenah dan permintaan mahasiswa itu.

Seharusnya mereka bersyukur, mendapat bantuan untuk melanjutkan pengajian. Wang berkenaan perlu dibayar semula supaya mereka lebih gigih dan menghargai apa diperoleh.

Apa guna memekik dan berdemonstrasi hingga menjejaskan nama baik mahasiswa keseluruhannya.

Apa diperoleh itu sekadar pinjaman dan mereka perlu sedar hakikatnya perlu membayar semula. Untuk itu, perlu gigih belajar supaya mampu membayar semula selepas memperoleh pekerjaan kelak.

Jika dimansuhkan, bayangkan apa yang bakal terjadi?

Mereka pasti akan belajar sambil lewa dan tidak akan menitik beratkan soal pembelajaran dan memandang remeh segala perkara.

Dengan kata lain bersikap lepas tangan kerana tiada pinjaman perlu dibayar, tidak perlu gusar andai kata gagal kerana tiada pinjaman perlu dilunaskan.

Mereka boleh memilih untuk menjadi penganggur terhormat atau kerja biasa-biasa saja kerana tiada tanggungjawab membayar semula pinjaman.

Jangan musnahkan masa depan, jangan jadi mereka yang tidak tahu berterima kasih.

Sebaliknya mahasiswa perlu lebih matang dan berfikiran rasional. Jangan diikutkan nafsu muda-mudi kelak diri sendiri yang rugi.


  • Penulis mahasiswa di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

    Warga kampus yang mempunyai panda�ngan mengenai pelba�gai isu semasa boleh �menghantarnya ke ruangan ini dan e-mel kepada ruhaizarusmin@hmetro.com.my
  • NST anjur ceramah kerjaya untuk pelajar

    NEW Straits Times (NST) akan menganjurkan ceramah kerjaya untuk pelajar yang akan memasuki pendidikan tinggi tahun ini.
    Ceramah kerjaya NST akan membantu pelajar memahami lebih mendalam tentang kerjaya sebelum mereka membuat pilihan di masa akan datang 
    Siapa yang boleh menyertai ceramah kerjaya? Pelajar yang telah menamatkan SPM atau STPM tahun lalu, pelajar yang menduduki SPM tahun ini dan juga ibu bapa.

    Penceramah dalam bual bicara ini adalah daripada industri, universiti dan kerajaan. Gabungan penceramah akan memberi pemahaman yang lebih kepada pelajar untuk memahami segala aspek pekerjaan.

    Sebanyak 6 ceramah kerjaya akan dianjurkan yang bertemakan kerjaya berbeza
    Program ini terhad kepada 200 pelajar sahaja untuk satu sesi. Pelajar yang berminat MESTI mendaftar secara dalam talian untuk tempat.

    Pendaftaran boleh dibuat di - www.afterschool.my/talk

    Tajuk ceramah dan tarikh adalah seperti berikut:

    - Kejuruteraan (19 Mei 2012)
    - Perniagaan, Perakaunan & Kewangan (9 Jun 2012)
    - Perubatan,Pergigian, Farmasi & Sains Hayat (16 Jun 2012)
    - Teknologi Komputer & Rekabentuk Multimedia (30 Jun 2012)
    - Hospitaliti & Pelancongan (14 Julai 2012)
    - Komunikasi Massa, Kewartawanan & Undang-Undang (28 Julai 2012)

    Usah biar masalah melarat

    MENGIKUT pengalaman saya selama 20 tahun menjalankan program motivasi, ramai ibu bapa mendapatkan bantuan hanya selepas masalah anak mereka sukar ditangani.
    Sewaktu anak mendapat kedudukan yang baik dalam kelas ibu bapa kedekut mendaftar ke program motivasi, tetapi apabila tiba-tiba kedudukan dalam kelasnya merosot barulah ibu bapa menggelabah mencari bantuan. 
    Begitu juga, ketika tiada masalah disiplin, ibu bapa buat tidak tahu saja, tetapi apabila tiba-tiba mereka dipanggil ke sekolah kerana anak ditangkap merokok, ponteng kelas dan bergaduh, barulah ibu bapa kelam-kabut mencari pertolongan.

    Dalam mendidik anak-anak, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Salah satu usaha ialah memasukkan anak-anak ini ke program motivasi.

    Tetapi, adalah lebih baik dan lebih bijak jika ibu bapa memberi peluang anak-anak mereka menghadiri program-program motivasi sebelum mereka bermasalah.

    Ini adalah sebagai persediaan buat mereka dalam menjalani liku-liku hidup dan cabaran sebagai seorang pelajar. Sebab otak manusia berfungsi dan membuat keputusan dengan cara merujuk kepada ilmu dan pengalaman yang ada.

    Apabila anak-anak berhadapan dengan masalah, tekanan dan kegagalan maka ketika itulah dia memerlukan bantuan.

    Bagi anak-anak yang pernah hadir program motivasi maka mereka tahu apa yang patut dilakukan untuk bangkit semula.

    Sebaliknya mereka yang tiada apa-apa pendedahan ilmu motivasi akan mudah hilang pedoman.

    Apabila anak-anak didedahkan dengan program motivasi mereka didedahkan dengan beberapa perkara iaitu:

    1. Anak-anak didedahkan dengan ilmu-ilmu kecemerlangan dan prinsip hidup orang yang berjaya.

    Ilmu dan prinsip kejayaan ini diamalkan mereka yang berjaya, sedang diamalkan oleh mereka yang sedang berjaya dan akan terus diamalkan oleh mereka yang mahu berjaya.

    Prinsip-prinsip kejayaan tidak pernah berubah meskipun zaman sudah berubah. Sebab itulah buku-buku pembangunan diri dan buku-buku motivasi yang ditulis 50 tahun dahulu masih tetap dibaca dan dirujuk hingga hari ini.

    2. Anak-anak didedahkan pembentukan akhlak dan sahsiah diri.

    Program motivasi yang baik lazimnya akan menanam nilai-nilai murni dan agama dalam diri anak-anak. Ini bagi membentuk akhlak dan tingkah laku yang positif.

    Mereka mungkin tidak berubah seratus peratus tetapi dalam mindanya dia tahu apa yang perlu dilakukan apabila antara buruk dan baik.

    3. Anak-anak lebih kenal potensi dan kehebatan diri.

    Mengikut pengalaman saya, ramai pelajar yang gagal tidak sepatutnya gagal tetapi disebabkan tidak kenal diri dan potensi mereka sangka tidak punya masa depan dan tidak dapat melakukan perubahan.

    Ada yang menyangkakan mereka ditakdirkan gagal sedangkan hakikatnya mereka tidak tahu bagaimana mencapai kejayaan.

    4. Anak-anak mendengar pelbagai cerita kejayaan yang begitu berinspirasi.
    Dalam program motivasi, saya sering mengambil cerita kejayaan mereka daripada latar belakang yang sama seperti pelajar.

    Contoh-contoh kejayaan ini akan membuatkan mereka berfikir, jika orang ini berjaya maka mereka pun boleh berjaya.

    Kerap kali program motivasi gagal mendorong anak-anak melakukan perubahan kerana mereka memberikan contoh-contoh kejayaan yang tidak mampu mengaitkan kehidupan peserta, misalnya, pelajar sekolah harian tidak akan terdorong dengan kejayaan pelajar sekolah berasrama penuh.

    Seorang pelajar luar bandar tidak akan teruja dengan kisah kejayaan pelajar-pelajar sekolah di bandar, mereka mahu kisah yang serupa seperti keadaan dan persekitaran mereka.

    Istimewanya motivasi di MAP Training, kami mempunyai banyak cerita-cerita kejayaan daripada pelbagai kisah hidup bagi dikongsikan.

    5. Anak-anak mempunyai model ikutan yang boleh diikuti.

    Bagi mencapai kejayaan anak-anak perlu mengikuti jejak langkah mereka yang berjaya. Oleh itu ikuti jejak-jejakini agar kejayaan lebih mudah dicapai dan kesilapan mereka yang terdahulu tidak diulangi.

    Biasanya mereka yang terbabit dalam memberikan motivasi memiliki pengalaman dan ilmu yang boleh dikongsikan bagi mendorong peserta kursus. Mereka ini yang dijadikan model ikutan anak-anak.

    Oleh itu, amatlah penting agar anak-anak mendapat model ikutan yang baik dan mampu membantu mereka mencapai kejayaan.

    6. Anak-anak tahu cara yang betul bagi mencapai kejayaan.

    Ada ketikanya anak-anak gagal mencapai kecemerlangan bukan disebabkan kurang usaha sebaliknya berusaha dengan cara salah.

    Rajin belum tentu membuahkan kejayaan jika rajin itu tidak dengan ilmu yang betul. Belajar itu ada caranya. Mahu cemerlang itu ada strateginya. Membaca itu ada tekniknya dan menghafal itu ada kaedahnya.

    Kasihan kepada anak-anak yang rajin belajar tetapi tidak tahu cara yang betul. Sebab itu ibu bapa usah sayangkan duit hingga berkira-kira bagi memberikan anak-anak peluang menghadiri program motivasi.

    Pelaburan kecil yang kita lakukan mampu memberikan pulangan besar kepada anak-anak dari segi pembentukan diri mereka.

    Menyedari perlunya program yang mantap lagi menyeluruh, kami mengadakannya di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru dan Melaka.

    Anak hebat perlukan satu program yang hebat dan insya-Allah, MAP adalah jawapannya. Oleh itu, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anak mereka lebih berani selepas ini.

    Hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar iaitu 03-22734622, 016-5580719, 05-3134622, 016-5580619 atau layari laman web di www.laman-map.com untuk maklumat lanjut.

    Tugas sampingan hilang fokus guru

    NOSTALGIA...tanpa mengira zaman, jasa guru dalam memberi pendidikan tidak pernah terbatas dan hilang.
    NOSTALGIA...tanpa mengira zaman, jasa guru dalam memberi pendidikan tidak pernah terbatas dan hilang.
    SAMBUTAN Hari Guru 16 Mei setiap tahun menjadi simbolik pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik yang tidak jemu melahirkan insan berjaya dan terbilang.
    Sama ada pengetua, pensyarah atau guru semuanya berjasa biarpun zaman sudah menjengah alaf baru dengan pelbagai tanggung jawab yang kian sukar serta mencabar.

     TERIMA KASIH...kejayaan guru dalam melahirkan insan terbilang sukar dipertikaikan.
     JANJI KAMI...jadikan ikrar guru sebagai pemangkin semangat dalam melaksanakan tanggungjawab.
     GEMBIRA...kegembiraan guru cukup telus apabila melihat pelajarnya berjaya.
    KAMI BERJAYA...di sebalik kejayaan pelajar, guru antara golongan yang bertanggungjawab membentuk kecemerlangan ilmu




















    Malangnya, di tengah kelelahan golongan terbabit mendidik anak bangsa, masih ramai yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru hingga mencemarkan imej mereka.

    Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan, guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia pendidikan global zaman millennium.

    Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan terbabit mengharungi dunia pendidikan era baru?

    Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor Mohmad Taib, berkata, guru zaman millennium perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan.

    Beliau berkata, itulah cabaran utama yang perlu diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai kerenah tidak terjangka dunia pendidikan global.

    “Sebagai guru alaf baru, kerenah bukan saja merang�kumi aspek pematuhan tugas dan dasar malah mengawal selia pelajar selain memastikan standard ditetapkan tercapai.

    “Aspek itu bukan mudah kerana penanda arasnya sentiasa berubah selain menguji sejauh mana ketahanan guru.

    “Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal,” katanya.

    Tahun ini, tema ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara’ menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan guru menjana transformasi pendidikan selari tuntutan semasa.

    Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini juga terpalit dengan isu luar jangkaan.

    Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas menyebabkan ada menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan semata-mata tanpa sokongan komitmen tinggi.

    Beliau berkata, biar apapun tohmahan dilemparkan, guru perlu meletakkan rasa tanggungjawab di tangga tertinggi selain memperlengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran.

    “Ini membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus, pembentuk, pengajar dan pendidik kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara idola yang baik dan sering menjadi rujukan?

    “Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan sabar menangani keadaan.

    “Kebijaksanaan dalam berfikir dan menentukan tindakan perlu kerana masyarakat masa kini sangat peka,” katanya.

    Guru, katanya ada pelbagai kategori. Pertama, memang mahu menjadi guru dan mampu memberikan komitmen diri yang baik terhadap tugasan. Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan tidak mengharapkan balasan.

    “Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat awal namun tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan profesion ini sebagai pilihan terakhir,” katanya.

    Pendapatan guru di negara ini juga, akuinya, tidak setimpal dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di negara maju.

    “Ini juga salah satu sebab mengapa ada kurang bermotivasi menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di luar negara, mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang profesional.

    “Bagaimanapun jangan jadikan ia alasan bertugas sambil lewa. Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan jujur dan ikhlas,” katanya.

    Guru juga, akuinya, tidak boleh membandingkan kegemilangan zaman pendidikan dulu dan masa kini.

    Menurutnya, setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan pengisian peristiwa serta cabaran berbeza.

    “ Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih baik berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan mengikut kesesuaian.

    “Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza ialah bentuk cabaran perlu dihadapi.

    “Setiap cabaran itu pula memerlukan formula dan pendekatan berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang sentiasa ber�kembang sekali gus membantu pelajar berjaya,” katanya.

    Mantan pengetua SMK Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun Mohd Hashim, bersetuju peranan guru hari ini semakin mencabar dan memerlukan kudrat tinggi untuk melaksanakan setiap tugas.

    Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan peraturan sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur tangan masyarakat juga ibu bapa.

    “Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses pendidikan dijalankan.

    “Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar menjadi insan baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala hubungan juga mesra.

    “Kini sudah berbeza dan menye�dihkan. Guru, pelajar dan masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri,” katanya.

    Manakala mantan pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman (SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman millennium sangat mencabar kerana turut terpaksa memikul beban sampingan.

    “Dulu guru hanya mengajar dan memantau masalah pelajar, tapi hari ini terpaksa berdepan ‘permintaan lain seperti kerja perkeranian, kursus dan sebagainya.

    “Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki akan terjejas sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati. Ini lari dari konsep pendidikan dan tanggungjawab guru.

    “Sekali gus semakin menyu�karkan usaha menjadi guru yang baik dan berkaliber,” katanya.

    Sunday, May 6, 2012

    Pelajar UiTM Khalid bebas dengan jaminan polis


    Pelajar UiTM Khalid dibebas jam 3 petang
    Khalid Ismath (tengah) memperkatakan sesuatu kepada rakannya yang menunggu pembebasan beliau di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
    [TERKINI JAM 5.30 PETANG] KUALA LUMPUR - Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Khalid Ismath, 22, yang ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur semalam, dibebaskan dengan jaminan polis petang ini.
    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
    Menurutnya, Khalid dilepaskan kira-kira jam 2 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
    “Kita dah selesai jalankan siasatan terhadap dia mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda awam,” katanya.
    Khairi berkata, beliau difahamkan bahawa Khalid sudah diambil oleh polis Selangor untuk membantu siasatan berhubung kes lain.
    Ketika ditanya sama ada kes itu ada kaitan dengan kenyataan Khalid di laman sosial Facebooknya, yang dikatakan menyokong tindakan supaya semua anggota polis dibunuh, Khairi bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
    “Saya tidak boleh komen tentang perkara itu, lebih baik rujuk dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor untuk pengesahan,” katanya.
    Semalam, Khalid yang hadir ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kenyataan di facebook miliknya, ditahan polis sebelum dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.
    Penahanan dibuat kerana Khalid adalah antara 91 individu dikehendaki polis dan disyaki melakukan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis trafik ketika perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.
    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, setakat jam 4 petang tadi belum ada penahanan dibuat oleh pihaknya ke atas Khalid.
    Sementara itu, Khalid yang memakai baju merah gelap kelihatan keluar dari IPD Dang Wangi dengan ditemani bapa, ahli keluarganya dan rakan mahasiswa lain yang menunggu sejak jam 10.30 pagi.
    Sejurus keluar dari pintu IPD itu, seorang lelaki, dipercayai polis tidak beruniform,  dilihat cuba menghalang Khalid, menyebabkan berlaku sedikit kekecohan antara bapa Khalid, Mohd Ismath Habib Mohamad dan lelaki terbabit.
    Bapanya menuntut penjelasan sebab anaknya dihalang keluar dari pekarangan IPD.
    Khalid tidak bercakap kepada pemberita ketika dibawa keluar oleh dua rakannya dari pekarangan IPD, sebaliknya terus menaiki sebuah kereta yang menunggu di hadapan pintu masuk IPD Dang Wangi.
    Setelah Khalid dibawa masuk ke dalam kereta, ia memecut laju ke lokasi yang tidak diketahui.
    Mohd Ismath berkata anaknya sepatutnya dibebaskan jam 10 pagi, tetapi hanya keluar dari IPD petang ini.
    Sementara itu, peguam Latheefa Koya ketika dihubungi berkata, sepatutnya polis membebaskan Khalid jam 10 pagi tadi.
    "Pagi tadi saya masih menunggu penjelasan polis yang tidak membebaskan Khalid jam 10 pagi tadi kerana perintah majistret itu tamat jam 10.45 pagi hari ini," katanya.
    Difahamkan penahanan Khalid dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda
    Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh mengesahkan penahanan tiga individu termasuk Khalid, yang didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang anggota polis trafik ketika perhimpunan Bersih 3.0.

    "Tangkapan dilakukan selepas 42 keping lagi gambar individu yang disyaki terlibat dalam kejadian merusuh di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini, diedarkan semalam.

    "Kita juga sudah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dan sedang menjejaki mereka. Kita harap orang awam dapat terus memberikan kerjasama dan segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan," katanya.
    Difahamkan penahanan Khalid dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ketika rusuhan serta memusnahkan harta benda awam.

    Wednesday, May 2, 2012

    R&D kuasa solar UTAR tarik minat KeTTHA

    CHIN dan delegasi daripada KeTHHA serta wakil UTAR melawat tapak projek penyelidikan yang menempatkan Solar Concentrator with a Sun-Tracking.
    CHIN dan delegasi daripada KeTHHA serta wakil UTAR melawat tapak projek penyelidikan yang menempatkan Solar Concentrator with a Sun-Tracking.
    KEMENTERIAN Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) meluluskan geran berjumlah RM3,246,400 bagi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan penyelidikan teknologi hijau. 

    Presiden UTAR, Prof Datuk Ir Dr Chuah Hean Teik, berkata geran berkenaan ialah bagi projek Pre-Commercialised Project on Grid-Connected Dense Array Concentrator Photovoltaic System membabitkan jumlah RM1,988,000 dan RM1,258,400 bagi projek Development of a Cost Effective and Intelligent Active Management System for Micro-Grid with Renewable Energy.“Kami amat berterima kasih kepada pihak Kementerian di atas kepercayaan ini. pemberian geran berkenaan membuktikan kerajaan yakin dengan kepakaran yang ada di universiti ini.“Sokongan ini telah menyemarakkan semangat warga UTAR untuk lebih bekerja keras dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi hijau,” katanya ketika delegasi lawatan daripada kementerian berkenaan ke Fakulti Kejuruteraan dan Sains Kampus Kuala Lumpur UTAR, di Setapak, baru-baru ini. 

    Delegasi berkenaan diketuai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui selain diiringi Timbalan Ketua Setiausaha KeTHHA, Badarudin Mahyudin; Pengerusi Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) dan Ahli Majlis UTAR, Tan Sri Dr Fong Chan Onn; Pengarah Institut Pengajian Siswazah dan Penyelidikan UTAR, Prof Dr Faidz Abd Rahman serta Pemangku Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Prof Madya Dr Goi Bok Min. 

    Delegasi berkenaan turut melawat tapak projek penyelidikan yang menempatkan Solar Concentrator with a Sun-Tracking dibina oleh universiti hasil dana yang disumbangkan kementerian. Sistem yang lebih besar akan dibina di Kampus Perak UTAR di Kampar, Perak.

    Hutan Simpan UPM pusat rujukan R&D

    SULTAN Sharafuddin Idris Shah menandatangani plak perasmian SISFEC sambil diperhatikan Prof Radin Umar (tengah) dan Mohamed Khaled di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong.
    SULTAN Sharafuddin Idris Shah menandatangani plak perasmian SISFEC sambil diperhatikan Prof Radin Umar (tengah) dan Mohamed Khaled di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong.
    PUCHONG: Universiti Putra Malaysia (UPM) yakin mampu menjadikan Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong sebagai pusat rujukan perhutanan tropika tersohor di rantau antarabangsa. 

    Keyakinan itu bersandarkan kejayaan UPM menjadikan hutan berkenaan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) sebagai pelengkap usaha dan aktiviti pembelajaran serta penyelidikan sektor perhutanan negara.Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Ir Radin Umar Radin Sohadi, berkata SISFEC menyediakan pendekatan penyelidikan dan pembangunan bercorak bersepadu merangkumi pelbagai disiplin perhutanan.Katanya, pusat berkenaan terbuka kepada aktiviti penyelidikan berkaitan asas atau operasi, kajian untuk abiotik, biotik, sosial, ekonomi, pengurusan taman rekreasi dan eko-pelancongan. 

    “Dengan kemudahan penginapan, capaian internet dan makmal, SISFEC membuka peluang kepada penyelidik tempatan mahupun luar negara melakukan aktiviti penyelidikan di hutan berkenaan. 

    “Setakat ini, sejumlah 50 jurnal dan lima judul buku berkaitan penyelidikan di Hutan Simpan Ayer Hitam berjaya diterbitkan dan 52 projek penyelidikan peringkat doktor falsafah (PhD), sarjana dan ijazah sarjana muda dihasilkan,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian SISFEC yang disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

    Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Penasihat Landskap Malaysia. 
    Beliau berkata, mahasiswa perhutanan UPM turut mendapat manfaat SISFEC yang menyediakan pendekatan experimental learning menerusi latihan amal secara individu mahupun berkumpulan dalam situasi pembelajaran berpusatkan pelajar. 

    Sesuai dengan fungsinya sebagai makmal luar, katanya, mahasiswa berpeluang mendalami pengetahuan dan kemahiran termasuk mengecam pokok dan daun, sains tanah, inventori pokok, ekologi dan hidupan liar. 

    “Kita yakin SISFEC bakal menjadi mercu tanda dan komitmen semua pihak dalam memelihara khazanah hutan yang tidak ternilai untuk kepentingan generasi dan kelestarian alam sekitar akan datang,” katanya.

    UNiSZA, UiTM Kuantan juara debat

    DATUK Saifuddin (tengah) bergambar bersama peserta pertandingan debat Piala Pantai Timur antara pasukan UiTM, Kuantan dan UNiSZA Terengganu.
    DATUK Saifuddin (tengah) bergambar bersama peserta pertandingan debat Piala Pantai Timur antara pasukan UiTM, Kuantan dan UNiSZA Terengganu.
    KUANTAN: Pengalaman menjadi kelebihan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) untuk muncul juara kategori bahasa Melayu pertandingan debat Piala Pantai Timur di Dewan Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) kampus Kuantan, baru-baru ini. 

    Pertandingan julung kali anjuran Kelab Bahasa Melayu IIUM dengan kerjasama universiti berkenaan disertai 26 pasukan yang mewakili 10 universiti di Pantai Timur termasuk lima sekolah menengah terpilih menawarkan hadiah wang tunai dan piala pusingan.Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata penuntut pusat pengajian tinggi di negara ini digalakkan terbabit dengan aktiviti seperti debat, pidato dan forum yang dapat meningkatkan minda golongan remaja."Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada pihak universiti bagi menganjurkan pertandingan seperti debat, pidato dan forum sebagai usaha sokongan kepada penganjuran yang dapat meningkatkan minda. 

    "Saya yakin dengan adanya program seperti ini dapat mencungkil bakal penuntut berhujah di depan penonton sambil menyuarakan isi hati masing-masing," katanya dalam majlis penyampaian hadiah debat berkenaan. 

    Turut hadir Timbalan Pengarah Kampus IIUM, Prof Dr Muhammad Noor Omar. 

    Peserta UNiSZA, Wan Zanuddin Ali Aspar, berkata pengalaman dan persiapan secara berpasukan sebelum menyertai pertandingan itu menjadi kelebihan kepada mereka untuk muncul juara kategori bahasa Melayu. 
    "Pengalaman menyertai pertandingan debat peringkat negeri dan universiti seluruh negara sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk kami menyekat hujah peserta UiTM Jengka selaku pembangkang. 

    "Saya bersyukur dengan kejayaan ini yang diharap menjadi pendorong kepada lebih ramai lagi penuntut UNiSZA terbabit dengan aktiviti debat yang berupaya mencambahkan lagi minda," katanya yang muncul pendebat terbaik pertandingan akhir. 

    Beliau berkata, selepas kejayaan itu pasukannya akan mengadakan persiapan bagi menyertai pertandingan debat Diraja anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) bulan depan. 

    Sementara itu, kategori bahasa Inggeris berpihak kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuantan yang diwakili Jainah Jaafar, Aifa Azmi dan Nurhanan Kamalia berjaya menewaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membawa pulang hadiah RM800 dan piala, manakala naib johan menerima RM500 dan piala. 

    Ketua pasukannya, Aifa yang juga muncul pendebat terbaik pertandingan akhir berkata, persiapan selama seminggu menjadi bekalan menyertai pertandingan kali ini yang akan menjadi landasan menguji kebolehan masing-masing. 

    Beliau berkata, tajuk perbahasan `Mahasiswa berpolitik meningkat nilai kepimpinan' menjadi kelebihan kepada mereka selaku pencadang mengutarakan pelbagai hujah bernas yang gagal disangkal pihak pembangkang. 

    "Kami berpuas hati sasaran penyertaan hanya untuk melangkah ke peringkat separuh akhir, namun sebaliknya apabila bersaing pada peringkat akhir seterusnya berjaya dinobatkan sebagai juara kategori bahasa Inggeris. 

    "Kejayaan di luar dugaan ini bukan saja menggembirakan kami selaku peserta, tetapi juga turut dapat meningkatkan imej UiTM di mata masyarakat," katanya