Pages

Translate

Friday, June 15, 2012

DBP anjur muzakarah pendidikan kebangsaan

KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Muzakarah Pendidikan Kebangsaan (MPK) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Isnin (18 Jun).
   
Menurut kenyataan DBP hari ini, muzakarah yang akan diadakan di Menara DBP itu bertujuan mendapatkan pandangan dan cadangan pelbagai pihak dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara.
   
"Siri dialog ini antara lain bertujuan meningkatkan kualiti semua sekolah termasuk sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina/Tamil, mubaligh dan sekolah agama bantuan kerajaan," menurut kenyataan itu.
   
Muzakarah itu bakal mengumpulkan NGO dari pelbagai pertubuhan berteraskan bahasa, sastera dan budaya dengan draf memorandum tentang hala tuju pendidikan kebangsaan pertubuhan masing-masing akan dibincangkan.
   
Kenyataan itu menyebut hasil muzakarah akan dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Bernama

Thursday, June 7, 2012

KLMU serah tajaan biasiswa RM1.56j

KOLEJ Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) menyumbangkan RM1,560,000 untuk membantu pelajar yang layak pada Hari BiasiswaKongres India Se-Malaysia (MIC), baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan ketika Seminar Hala Tuju Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Naib Canselor KLMU, Profesor Datuk Dr Hashim Yaacob menyampaikan cek kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk SK Devamany.

“KLMU melihat ia sebagai satu peluang terbaik menyumbang kepada masyarakat dengan menyediakan peluang kepada pelajar cemerlang.


“Mereka boleh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membantu KLMU memenuhi wawasan korporat iaitu menyumbang kepada kemajuan masyarakat dengan pengukuhan ilmu pengetahuan,” katanya.

Pelajar boleh memohon Biasiswa MIC mulai 24 Mac lalu pada Seminar Hala Tuju Lepasan SPM yang bakal diadakan di Seremban, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Kedah dan Selangor.

Biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar lepasan SPM melanjutkan pengajian mereka dan ia usaha sama Biro Pendidikan Tinggi Pemuda MIC Kebangsaan bersama Pergerakan Pelajar India 1Malaysia (1MISM).

Sempena pengambilan pelajar bagi Mac hingga Jun tahun ini, KLMU melaksanakan ujian ‘Discover U Personality’ bagi membantu pelajar lepasan SPM mengenal pasti personaliti dan kerjaya idaman mereka.

Pelajar boleh menyertai peraduan ‘Life’s a Trip’ di laman sesawang KLMU http://www.discoveru.com.my/ untuk maklumat lanjut.

Terkini, KLMU menawarkan lebih 50 kursus yang berbeza di bawah tujuh fakulti dan pelajar boleh melanjutkan pengajian dalam pengajian media, persekitaran binaan, sains kesihatan, seni lukis & seni reka, kejuruteraan & teknologi maklumat, perniagaan & pengurusan juga hospitaliti & pelancongan.

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi KLMU melalui SMS dengan menaip KLMU MAGN NAMA NEGERI dan hantarkan ke 36600 atau hubungi talian bebas tol di 1800-88-5568 selain laman sesawang www.klmu.edu.my.

Pelajar dekati masyarakat

DALAM memperkasakan pelajarnya menguasai hubungan dengan komuniti setempat, Kolej PTPL cawangan Sungai Petani menganjurkan program gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Masjid Muhibuddin, Sungai Pasir, Kedah, baru-baru ini.
Program membabitkan 20 pelajar kolej itu adalah acara bulanan dengan menyasarkan pusat hentian penduduk setempat mengikut keutamaan.

Pengarah program, Hasbullah Azizan berkata, setiap pelajar perlu didedahkan dengan aktiviti sebegitu bagi membentuk pelapis kepemimpinan negara pada masa depan.

“Bermula dengan program kemasyarakatan sebegini, kami berharap mempunyai semangat kekitaan bagi mendisiplinkan setiap peserta mengenai hubungan dengan masyarakat luar.


“Ia juga menghindarkan kami daripada terkurung dalam dunia akademik semata-mata kerana program ini dilihat mampu memberi impak positif terhadap pemikiran pelajar apabila berada dalam kelompok berbilang komuniti,” katanya.

Program ini juga diharap dapat memotivasikan pelajar terbabit untuk menjadi insan berguna dan dihormati serta pandai bergaul dengan masyarakat.

Ia turut memberi pendedahan berkenaan adab dan disiplin ketika berada dalam sesuatu komuniti untuk dipraktikkan dalam urusan sebagai pelajar.

“Malah mereka boleh mengaplikasikan asas kebersihan di penempatan masing-masing untuk memberi suasana kondusif.

“Kebersihan antara faktor menyumbang kepada proses pembelajaran yang baik.
Justeru, usaha ini turut menanam sikap pentingkan keselesaan demi pembelajaran,” katanya.

Seorang pelajar bukan Islam berketurunan Siam, Surapishang Kiew Wang berkata, dia tidak janggal menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran masjid berkenaan.

“Setiap agama mementingkan kebersihan. Saya suka melakukannya kerana mengajar menjaga adab sopan ketika berada di mana-mana penempatan sesuatu komuniti.

“Paling penting, program ini juga berupaya membentuk tahap disiplin saya ketika bergaul dengan rakan berlainan bangsa dan agama,” katanya.

Hikmah kursus berbayar

BARU-baru ini seorang ibu yang menghantar anaknya ke program motivasi yang saya anjurkan berkata, alangkah baiknya jika program itu diadakan secara percuma.
Komitmen mereka yang menganjurkan kursus secara percuma tidak sama dengan kursus berbayar. Apabila seseorang menerima bayaran bagi khidmatnya, dia pasti ada rasa bertanggungjawab membalasnya dengan nilai yang sama atau lebih.

Pastikan tidak banyak masalah timbul sepanjang program berlangsung termasuk tempat seminar selesa, makanan, modul berkualiti dan mempunyai pasukan yang dedikasi.

Pepatah Inggeris ada me-ngatakan ‘If you pay peanuts, you get monkeys’.

Maknanya, jika kita mahu meminta perkhidmatan secara percuma, kita pasti dapat mereka yang tidak berpengalaman atau berkebolehan melakukan pekerjaan itu.

Menganjurkan seminar atau program pembangunan insan bukan sesuatu yang mudah.
Apa yang kita sampaikan dipercayai. Apa yang kita kata dipegang.

Orang yang menyampaikan ceramah pula menjadi model ikutan. Kita bertanggungjawab atas sebuah kehidupan.

Bukan menidakkan prinsip Islam untuk berbakti dan beramal jariah tetapi semua yang mahu disediakan termasuk dewan, kerusi, meja, komputer, kru, modul dan bahan tidak datang secara percuma.

Ada juga menyindir, kalau bayar di mana keikhlasannya? Ikhlas itu bukankah kerja hati. Allah yang mengukur keikhlasan itu, bukannya manusia.

Fokus penganjur dan penceramah pasti lebih baik. Mereka hanya perlu risaukan kalau orang yang membayar untuk hadir ke program anjurannya itu tidak dapat yang terbaik.

Lantaran syarikat motivasi yang baik adalah yang memberi peluang dan memudahkan peserta merujuk selepas tamatnya program. Inilah yang dikatakan khidmat selepas jualan.

Jika ada yang mahu menaja pastinya boleh diberikan percuma. Saya seru kepada badan kerajaan dan swasta serta mereka yang mempu-nyai tabungan bagi tujuan kebajikan supaya menaja anak miskin atau tidak berkemampuan supaya dapat peluang mengikuti program terbaik.

Kami di MAP Training & Consultancy Sdn Bhd sendiri ada kuota bagi yang tidak berkemampuan untuk turut serta dalam program dianjurkan. Asal saja kes dibawa itu benar, kami bantu.

Menyedari perlunya ada satu program yang mantap lagi menyeluruh, MAP Training memulakan usaha ini seawal 1995 lagi. Kini ramai pelajar sudah menghadiri program motivasi yang kami jalankan.

Pada masa terdekat ini, kami bakal adakan program di Rumah Media (MITC), Ayer Keroh, Melaka; Wisma Belia (MAYC), Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang.

Malah pada 17 Jun ini nanti, kami adakan seminar satu hari ‘Positive Parenting’ khusus untuk ibu bapa.

Anak hebat perlukan satu program yang hebat dan insya-Allah, MAP adalah jawapannya. Tidak sama anak-anak yang sering menghadiri program motivasi berbanding mereka yang tiada pendedahan langsung.

Bagi mengetahui lokasi serta tarikh seminar terkini, hubungi pejabat Motivasi Alihan Pelajar 03-22734622/016-5580719 atau 05-3134622/016-5580619 atau layari laman web kami, www.laman-map.com.

Kedua-dua aliran bersifat subjektif

LANDASAN...gabungan ilmu sains dan sastera bukan saja berjaya melahirkan inovasi baru malah menjana pembangunan kemanusiaan generasi muda. - Gambar hiasan
LANDASAN...gabungan ilmu sains dan sastera bukan saja berjaya melahirkan inovasi baru malah menjana pembangunan kemanusiaan generasi muda. - Gambar hiasan




ENTAH mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah.
Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing.

 BINCANG...pelajar sains atau sastera perlu fokus dalam pelajaran untuk mencapai kejayaan.
 DIDIK...tidak salah memberi didikan awal kepada pelajar menghargai kepentingan sains namun jalan lupakan juga kepentingan sastera. - Gambar hiasan
 BERJAYA...matlamat utama dunia pendidikan negara melahirkan pelajar yang baik dan cemerlang tanpa mengira aliran diikuti. - Gambar hiasan
CEMERLANG...kejayaan bukan saja boleh dicapai melalui reka cipta berlandaskan sains semata-mata malah perlu disokong nilai estetika sastera. - Gambar hiasan



Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara.


Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar.

“Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak.

Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan,” katanya.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain.

Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni.

“Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti.

“Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan,” katanya.

Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan.

Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia - mesin’.

“Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama.

“Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan.

“Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal.

“Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material.

“Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu.

“Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak.

Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera.
“Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera.
Mengapa?

“Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi.

“Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya.

“Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu,” katanya.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama.

Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan.

“Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini.

“Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain.

“Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan,” katanya.

Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya.

Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah.

“Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan.

“Justeru, saya bersetuju biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara,” katanya.

Wednesday, June 6, 2012

Personaliti: Latihan praktikal mematangkan Zulfahmi

ZULFAHMI pelajar Bachelor Hortikultur UPM.
ZULFAHMI pelajar Bachelor Hortikultur UPM.
KEUNIKAN reka landskap Putrajaya mendorong pelajar Ijazah Sarjana Muda Hortikultur Universiti Putra Malaysia (UPM), Zulfahmi Ahmad Saibi, memilih untuk menjalankan latihan praktikal di Pusat Maritim Putrajaya, bersesuaian dengan bidang pengajiannya yang membabitkan ilmu pertanian lebih menjurus ke arah landskap.

Pemilihan lokasi berkenaan sebagai tempat menjalani latihan praktikal itu dibuat bagi memudahkan beliau mengembangkan kemahiran berkomunikasi dalam bidang hortikultur di samping mendapat pendedahan kaedah pengurusan pokok seni hiasan dalam keadaan sebenar.
“Putrajaya bukan sebuah bandar biasa, ia mempunyai kelas tersendiri. Landskapnya memang menarik dan ia dilakukan oleh mereka yang pakar dan kreatif.
“Paling membanggakan saya ialah kepandaian menggabungkan pembangunan bandar moden secara konsisten tanpa meminggirkan unsur-unsur alam semula jadi,” katanya.

Berkongsi pengalaman menjalani latihan sejak Februari lalu, Zulfahmi berkata, perbezaan antara mengikuti pengajian secara teori dan melakukan secara langsung membuatkan beliau perlu sentiasa peka sebelum membuat keputusan.

Katanya, proses pengajian perlu berpandukan manual ditetapkan iaitu satu persatu, namun apabila praktikal, meskipun masih perlu mengikut garis panduan ditetapkan, pelajar perlu berani membuat keputusan bagi memastikan hasil kerja dapat memuaskan hati orang ramai.

“Latihan praktikal ini banyak membantu proses mematangkan saya. Sepanjang di Pusat Maritim Putrajaya ini, saya yang diberi tanggungjawab sebagai Penyelia Landskap berdepan tekanan untuk menangani masalah pokok hiasan yang diserang penyakit dan mengenali jenis penyakit serta kaedah bagi memulihkannya.
“Selain itu saya dilatih bekerja sebagai satu pasukan memandangkan ia paling utama bagi memastikan setiap tanggungjawab diberikan dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan. Ia berkaitan dengan komitmen semua dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Sepanjang menjalani latihan praktikal dari Februari hingga Jun depan di Pusat Maritim Putrajaya, Zulfahmi akan diselia oleh pensyarahnya daripada Jabatan Perniagaan Tani dan Maklumat, Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Nitty Hirawaty Kamarulzaman.

Beliau yang menyifatkan bertuah kerana mendapat pensyarah yang amat komited, yakin akan dapat melakukan tugasannya dengan lebih baik sepanjang di situ.

“Dr Nitty (Hirawaty) selalu memberikan bantuan dan khidmat nasihat apabila saya memerlukan. Jadi, ia benar-benar membantu saya lebih selesa melaksanakan tanggungjawab di sini. Hubungan baik bersama kakitangan tanpa mengira umur juga memberikan kelebihan kepada saya untuk mengutip pengalaman daripada mereka.

“Apapun, paling penting pelajar kena fokus, kena tahu arah tujuan mereka. Saya jelas dengan impian dan matlamat saya jadi ia membantu saya buat pilihan untuk menjalankan latihan di sini. Pelajar juga kena pandai memilih lokasi untuk praktikal dan kalau boleh biarlah ia dapat membantu kita membina kerjaya apabila menamatkan pengajian kelak,” katanya.

Zulfahmi berkata, pengurusan masa dan kewangan juga penting untuk memberikan keselesaan kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal agar tidak timbul masalah.

“Kebanyakan pelajar yang mengikuti praktikal diberikan wang elaun, jadi kenalah urus betul-betul supaya semuanya berjalan lancar. Kena ambil kira semua benda, kos ulang-alik dari tempat tinggal ke pejabat dan belanja makan minum. Seperti saya yang tinggal di Seri Kembangan, perlu pandai urus masa bagi memastikan dapat tiba pada masa yang ditetapkan di pejabat (Putrajaya).

“Ini akan membentuk disiplin diri kita, dan apabila sudah ada dalam diri, sudah pasti kita tidak akan berdepan masalah dalam mengejar cita-cita. Saya mempunyai impian yang besar dalam bidang ini, dan saya akan pastikan ia bukan sesuatu yang hanya sekadar impian saja,” katanya.

PROFIL: Zulfahmi Ahmad Saibi
Adik beradik: Bongsu daripada enam adik beradik
Asal: Taiping, Perak
Jurusan: Ijazah Sarjana Muda Hortikultur Jabatan Perniagaan Tani dan Maklumat, Fakulti Pertanian UPM
Pencapaian: Exco Komunikasi Korporat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM pada tahun 2010/2011, Presiden Persatuan Kebajikan Anak Negeri Perak (PERKASA PERAK) UPM, AJK Program Mahasiswa Satu Malaysia peringkat kebangsaan 2009.

Berita Siswa: Bakal doktor ungguli pertandingan debat

PROF MUHAMMAD menyampaikan piala kepada wakil pendebat FPSK yang
menjuarai Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012.
PROF MUHAMMAD menyampaikan piala kepada wakil pendebat FPSK yang menjuarai Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012.


NILAI: Dominasi baru dalam arena perdebatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya membuktikan bahawa bakal doktor juga mampu bergelar pendebat berkaliber yang petah berkata-kata dengan hujah dan fakta yang boleh mematahkan pihak lawan.

Buktinya, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) buat julung kalinya muncul juara keseluruhan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012 yang berlangsung di kampus Nilai, baru-baru ini.
FPSK mendominasi dua daripada tiga kategori yang dipertandingkan iaitu kategori bahasa Inggeris dan bahasa Arab, masing-masing mengalahkan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, manakala kategori bahasa Melayu dimenangi Pusat Tamhidi yang berjaya mengalahkan FSU.
Pendebat terbaik kategori bahasa Arab disandang Muhamad Harith Abdul Rani, manakala Muhammad Alif Md Salleh (kategori bahasa Inggeris).

Muhammad Alif menyifatkan kemenangan itu di luar jangkaannya kerana arena debat di Malaysia semakin berkembang, malah beliau yakin banyak ilmu baru dapat diperoleh menerusi pertandingan debat termasuk membentuk keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi yang sedia ada.

“Debat juga satu medium untuk menyampaikan mesej agama dan mengangkat imej Islam dan insya-Allah saya akan teruskan pembabitan dalam arena ini bagi mengangkat semula imej Islam,” katanya.

Beliau yang juga pelajar pertukaran antarabangsa dari Brunei berazam mempraktikkan ilmu debat yang diperoleh dalam arena debat tanah airnya nanti.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Muhamad Muda ketika berucap merasmikan kejohanan itu berkata, arena debat ialah antara bentuk latihan awal mempersiapkan diri sebelum bakal graduan dapat menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Debat juga platform terbaik bagi membangunkan jati diri ke arah pembinaan mahasiswa yang cemerlang selain memperoleh pengalaman yang cukup bermanfaat kepada mahasiswa.

“Saya yakin golongan pelapis debat yang berjaya dilahirkan pada hari ini mampu mengulangi kejayaan yang ditempa pendebat terdahulu untuk terus mengukir nama universiti di persada debat antarabangsa,” katanya.

PTPTN: Tak wajar sekat pelajar Unisel, kata MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan tidak ada hak untuk menyekat permohonan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar di Universiti Selangor (Unisel).

Sehubungan itu tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tidak wajar mengheret pelajar yang tidak bersalah ke kancah politik.

"Debat politik itu cerita lain tapi kalau sampai sekat ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak prihatin kerana Unisel adalah sebuah universiti tempatan yang kebanyakan pelajar adalah dari kawasan luar bandar termasuk dari Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak, mereka mahu belajar, kenalah bantu," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Exco petang tadi.

Menurut beliau, ini bukan soal pinjaman tetapi tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyat."
Pagi tadi, pemimpin-pemimpin PKR yang lain juga mengecam tindakan PTPTN itu.

PTPTN: PKR dakwa Khaled sekat pelajar Unisel


PKR dakwa Khaled sekat pelajar Unisel terima PTPTN
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin menyekat kemudahan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada penuntut-penuntut Universiti Selangor (Unisel).

"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Rafizi berkata, beliau terkejut dengan satu mesej menerusi oleh Khaled yang menyatakan 'Unisel boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan  percuama PTPTN yang dilaungkan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Pakatan (Rakyat)'.
"Saya lihat Khaled seolah-olah raikan kepayahan ribuan pelajar dan amalkan politik dendam.
"Adakah beliau sendiri yang arahkan PTPTN menyekat pinjaman kepada pelajar Unisel sebagai mainan politik dendam Braisan Nasional (BN)-Umno?" kata beliau lagi.
Rafizi berkata, Khaled sepatutnya menjadi pemimpin yang baik untuk mempertahankan model pendidikan tinggi yang mendahulukan swasta pada masa sekarang, bukannya bersikap kebudak-budakan yang memberi kesan kepada pelajar.
Malah kata beliau, polemik tawaran pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN adalah perkembangan yang sihat dan wajar.
Mengulas lanjut isu itu, Rafizi mencabar Khaled untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan itu adalah arahannya.
"Jika benar, beliau perlu letak jawatan kerana amalkan politik dendam.
"Jika tidak beliau perlu bertanggungjawab dan pastikan tindakan zalim ini tidak berlaku lagi," katanya lagi.
Rafizi turut memuji Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang jelas lebih profesional menghadapi isu itu.
"Saya harus puji Khairy yang lebih profesional dan beliau sepatutnya dilantik menjadi Menteri Pelajaran Tinggi Malaysia yang baru," katanya yang menyertai Debat Sinar mengenai isu PTPTN bulan lalu.

PTPTN-Unisel: Khaled dakwa Pakatan 'tukar belang'

Malaysia belum mampu beri pendidikan percuma IPT
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

SHAH ALAM - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, pihak pembangkang yang sebelum ini bersuara mahu menyediakan pendidikan percuma dengan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kini  seolah-olah "mendesak" mahukan kemudahan itu dikekal dan diteruskan.

"Sekarang mereka bising mahukan PTPTN, dalam sekelip mata mereka tukar belang," kata beliau menerusi mesej Twitter lewat malam tadi.

Sehubungan itu kata Khaled, kini kelihatan semua pihak mahu PTPTN diteruskan dan mengambil pinjaman daripada perbadaan tersebut.

"Nampaknya boleh dikatakan semua nak PTPTN dan mahu pinjam dari PTPTN.

"Mengapa mereka berubah? Sebab mereka populis," kata beliau lagi.

Khaled menjawab menerusi Twitter beberapa jam selepas pemimpin-pemimpin PKR termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengecam tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman kepada pelajar-pelajar Universiti Selangor (Unisel).

Unisel terletak di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Mereka mendakwa PTPTN mengambil tindakan itu atas arahan Khaled.

Pagi tadi, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa Khaled menyekat kemudahan PTPTN kepada penuntut-penuntut Unisel.

"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau.

Selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, Khalid berkata, Kerajaan Persekutuan tidak ada hak untuk menyekat permohonan pinjaman Perbadanan PTPTN pelajar-pelajar baru yang akan mendaftar di Unisel.

Sehubungan itu tegas Menteri Besar, tidak wajar mengheret pelajar yang tidak bersalah ke kancah politik.

PTPTN-Unisel: Jangan perjudi nasib pelajar

ABIM Selangor memandang serius dengan dakwaan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggantung bantuan pinjaman pendidikan kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel). Jika benar dakwaan ini, ia amat merugikan dan sekali gus meletakkan masa depan pelajar terbabit dalam keadaan yang tidak menentu.

Abim Selangor berpandangan pihak PTPTN tidak wajar bertindak sedemikian, memandangkan ia menafikan hak para pelajar pembiayaan yang layak untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepertimana yang termaktub dalam objektif penubuhan badan tersebut - memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di IPT selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar-pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.

Abim Selangor berpandangan selaku IPTS yang menawarkan kursus yang diiktiraf dan mendapat perakuan akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Unisel pasti telah memenuhi syarat asas menerima pembiayaan PTPTN dari badan berkenaan.

Bahkan Abim Selangor juga berkeyakinan para pelajar yang ingin memohon telah pun memenuhi prasyarat mengikuti pengajian di Unisel. Menilai implikasi besar (jika pembiayaan ditarik balik) terhadap masa depan sistem pendidikan di negara ini, Abim mendesak penyelesaian segera dicapai oleh pihak-pihak terbabit.

Abim Selangor juga memuji tindakan pentadbiran Unisel yang berbincang dengan pihak PTPTN serta menilainya sebagai satu tindakan yang wajar. Dalam hal ini masa depan serta kebajikan pelajar mesti diletakkan sebagai keutamaan penting.

Adalah amat mendukacitakan sekiranya polemik ini terjadi akibat dari amalan budaya politik tidak matang serta menggambarkan mentaliti politik yang rendah serta memualkan. Oleh yang demikian, Abim Selangor menggesa pihak PTPTN agar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan dakwaan penggantungan dan menyatakan dengan jelas sebab munasabah di sebalik isu ini.

Kami juga mendesak pihak-pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian untuk memelihara kebajikan dan masa depan pelajar di masa depan. Mengambil kesempatan ini, Abim Selangor juga menyeru agar Kerajaan Negeri Selangor agar mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini daripada berlarutan, memandangkan ia menyentuh secara langsung imej Unisel selaku IPT utama di negeri Selangor di samping menyentuh secara langsung kesinambungan masa depan para pelajar.

"Menegakkan Kebenaran dan Keadilan".



* Khairuddin Abas, Yang Dipertua Abim Selangor