Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

UTM lancar sistem rangkaian pengecas kenderaan elektrik

SALLEH Mohd. Nor (dua dari kiri) melakukan gimik pelancaran mengecas kereta elektrik dengan mengunakan MyEV Charger Network System di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Norbik Bashah Idris (kiri) dan Timbalan Naib Canselor UTM, Prof Ir Dr. Mohd. Azraai Kassim (tiga dari kiri).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20121009/ka_01/UTM-lancar-sistem-rangkaian-pengecas-kenderaan-elektrik#ixzz28lJ0zKDX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Memartabat muzik gamelan, caklempong


Juara keseluruhan caklempong, pasukan SMS Tuanku Munawir membuat persembahan dalam pertandingan Muzik Gamelan Melayu dan Caklempong SBP 2012 di Bahagian Teknologi Pendidikan, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_03/Memartabat-muzik-gamelan-caklempong#ixzz28lIhQIrV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Membetulkan persepsi konsep sekolah asrama


SEORANG pakar akademik pendidikan, John Beamish daripada Linden Boarding Schools menyarankan agar konsep sekolah berasrama di negara ini dinilai dengan skop yang lebih luas dan berhenti mengaitkannya dengan tanggapan lapuk.
Menurutnya, gambaran tradisi yang mengaitkan sekolah berasrama dengan aktiviti buli perlu dikikis dan masyarakat perlu menilai kewujudan sekolah berasrama dari sudut positif.
''Imej sekolah berasrama yang digambarkan sebagai tempat pelajar dibuli oleh pelajar senior perlu dibetulkan kerana aktiviti ini suatu kegiatan yang tidak baik dan perlu dihapuskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya, biarpun gejala buli sering berlaku di sekolah asrama namun keistimewaan dan kebaikan konsep sekolah berasrama tidak harus dipinggirkan malah perlu dipermoden.
''Apa yang harus dilakukan sekarang adalah kita perlu melakukan perubahan yang lebih moden terhadap sistem sekolah berasrama agar tidak lagi dilihat sebagai satu perkara tradisi.
''Hakikatnya, konsep sekolah berasrama ini banyak kebaikan berbanding keburukan jika kita melihat skop pelaksanaannya secara lebih luas," katanya.
Malah, tegasnya, kajian turut membuktikan pelajar yang tinggal dalam persekitaran sekolah berasrama lebih berdisiplin dan berwawasan tinggi.
Selain itu, ujar beliau, konsep sekolah berasrama sering disalah ertikan dengan menganggap kemudahan itu disediakan khusus untuk membantu membaiki masalah disiplin di kalangan pelajar bermasalah.
''Hakikatnya, banyak kelebihan jika membesarkan anak-anak di sekolah berasrama selain anggapan hanya untuk memisahkan hubungan anak dan ibu bapa serta menekankan konsep memaksa pelajar mencapai keputusan peperiksaan cemerlang," tegasnya.
Namun, kata beliau, konsep pendidikan sekolah berasrama banyak mengkhususkan kepada 'kehidupan untuk belajar' dalam kehidupan harian dan menjadikan pembelajaran sebagai budaya hidup.
''Sekolah berasrama membentuk kehidupan pelajar menjadi lebih baik malah mereka yang pernah mengikuti pembelajaran di sekolah asrama mengakui sanggup mengulangi pembelajaran secara sekolah berasrama," kata beliau.
Pada perkembangan yang sama, Beamish memberitahu, pihaknya berhasrat menganjurkan persidangan pameran menggabungkan beberapa sekolah berasrama berprestij di seluruh dunia November depan di Kuala Lumpur.
Negara yang akan terlibat dalam persidangan itu ialah Kanada, Jordan, Sweden, Switzerland dan Jerman.
Antara objektif utama penganjuran termasuklah menyedarkan masyarakat umum mengenai konsep modenisasi yang perlu diterap dalam penambahbaikan konsep sekolah berasrama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_02/Membetulkan-persepsi-konsep-sekolah-asrama#ixzz28lIZRhZf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

481,424 calon duduki PMR hari ini


KUALA LUMPUR 8 Okt. - Seramai 481,424 calon di seluruh negara akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai esok hingga 16 Oktober ini.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), daripada jumlah tersebut, 448,436 ialah calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
"Sebanyak 10,051 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, sebanyak 3,560 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121009/pe_01/481424-calon-duduki-PMR-hari-ini#ixzz28lIQpnbB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

274 pelajar sekolah menengah uji ketahanan diri


KUANTAN 3 Okt. - Seramai 274 pelajar sekolah menengah dari seluruh negara mengikuti Karnival Pendidikan Luar Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan di Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah di sini yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.
Urus Setia karnival tersebut, Norzaini Azlina Zainuddin berkata, setiap negeri akan memilih para pelajar sekolah terbabit untuk menghadiri program itu dengan menyertai pelbagai aktiviti lasak sebagai medan mencabar minda, emosi dan fizikal.
Menurutnya, antara aktiviti yang dijalankan adalah ikhtiar hidup, kembara, paintball, berbasikal, lawatan ke Sungai Lembing dan aktiviti air yang menguji ketahanan diri para peserta.
"Remaja yang berusia 16 tahun sangat gemar dengan aktiviti mencabar, menguji kesabaran dan kecekalan mereka dalam membentuk personaliti masing-masing.
"Sepanjang program itu, mereka diberi peluang menonjolkan bakat dan kebolehan masing-masing dalam aktiviti yang dipertandingkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, program berkenaan bermatlamat memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam mengikuti aktiviti pendidikan luar secara terancang.
Jelasnya, ia bermanfaat kepada peserta untuk memperoleh kemahiran baru selain menimba pengalaman baru melakukan aktiviti berkenaan di negeri ini.
"Program tersebut secara tidak langsung akan melatih dan memupuk nilai murni para peserta sepanjang aktiviti serta pertandingan yang dijalankan di sini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121004/pe_03/274-pelajar-sekolah-menengah-uji-ketahanan-diri#ixzz28lIJIU3d
© Utusan Melayu (M) Bhd 

200 sertai bengkel ADaP persiap murid tahun enam ke sekolah menengah Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121004/pe_02/200-sertai-bengkel-ADaP-persiap-murid-tahun-enam-ke-sekolah-menengah#ixzz28lHyPGDh © Utusan Melayu (M) Bhd

SEBAHAGIAN murid tahun enam dan guru menunjukkan akhbar Utusan Malaysia ketika menyertai Bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek, Melaka, semalam.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121004/pe_02/200-sertai-bengkel-ADaP-persiap-murid-tahun-enam-ke-sekolah-menengah#ixzz28lI3Puzk
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Expoconvo UMP mulai Sabtu hingga 14 Okt.


KUANTAN 4 Okt. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Kumpulan Utusan buat julung-julung kalinya bekerjasama menganjurkan Expoconvo 2012 sempena Majlis Konvokesyen UMP ketujuh yang akan diadakan di kampus universiti itu di Gambang dan Pekan dekat sini, bermula Sabtu ini hingga 14 Oktober ini.
Penolong Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP, Prof. Dr. Yuserrie Zainuddin (gambar) berkata, program terbesar yang pernah dianjurkan UMP itu disasarkan dikunjungi seramai 30,000 orang.
“Dengan publisiti yang diberikan Kumpulan Utusan, saya berharap program ini mampu menarik lebih ramai pengunjung terutamanya penduduk di sekitar Pekan, Gambang dan Lepar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Yuserrie, pembukaan Expoconvo akan dimulakan dengan penganjuran Karnival Sukan Expoconvo yang berlangsung di UMP kampus Pekan pada Sabtu dan Ahad ini.
Katanya, aktiviti lain yang turut diadakan termasuk ceramah kerjaya, senamrobik, bual bicara, aktiviti kerohanian, pertunjukan seni mempertahankan diri dan gerai jualan.
Pengunjung juga katanya, akan dihiburkan dengan persembahan artis seperti Ainan Tasneem; Kumpulan Hijjaz, Khalifah; Nash; Rosma (AF1) dan Shuib Sepah.
“Orang ramai turut berpeluang menyaksikan Cabaran Malaysia Book of Records Kayuhan 111 jam tanpa henti melibatkan seramai 111 mahasiswa UMP secara berganti-ganti," ujarnya.
Menurut Yuserrie, penganjuran Expoconvo kali ini diadakan secara gilang-gemilang bagi meraikan sambutan 10 tahun penubuhan UMP tahun ini.
Katanya, majlis perasmian Expoconvo akan diadakan pada 10 Oktober ini di UMP kampus Gambang di sini, oleh Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh yang juga Ahli Lembaga Pengarah UMP.
Majlis Konvokesyen UMP pula jelas beliau, akan disempurnakan Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 13 dan 14 Oktober di Kompleks Sukan UMP.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Expoconvo 2012, Saiful Bahri Ahmad Bakarim berkata, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti berselawat bersama Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid dan Kumpulan Al-Mawlid.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121005/pe_02/Expoconvo-UMP-mulai-Sabtu-hingga-14-Okt#ixzz28lHodH00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pencarian Ikon Utusan-UUM bermula


MOHAMED Mustafa Ishak (dua dari kiri) menandatangani plak pelancaran Pencarian Ikon Utusan-Universiti Utara Malaysia sambil diperhatikan oleh Noor Azman Yusuf (kanan) di UUM, Sintok, Kedah, semalam.
KUBANG PASU 4 Okt. - Pencarian Ikon Utusan-Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi mengetengahkan pemimpin dalam kalangan mahasiswa di universiti tersebut kini bermula.
Majlis pelancaran program anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Pusat Penginapan Pelajar (SAC) UUM itu disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak di kampus itu, dekat sini hari ini.
Menurut Mohamed Mustafa, inisiatif akhbar itu mengadakan program tersebut sangat baik kerana dapat memberi peluang kepada penuntut universiti menyerlahkan ketokohan mereka.
"Saya percaya universiti bukan sahaja gedung ilmu tetapi sebagai platform kepada mahasiswa menggilap bakat dan ketokohan mereka termasuk menerusi program Pencarian Ikon Utusan-UUM ini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran tersebut.
Yang turut hadir, Pengarah SAC, Noor Azman Yusuf.
Menurut Mohamed, beliau berharap, ikon yang bakal dinobatkan kelak mampu menjadi contoh kepada mahasiswa khususnya serta generasi muda amnya.
"Ikon yang dicari tentunya bukan seseorang yang cemerlang dalam akademik semata-mata, tetapi dalam perkara lain termasuk kegiatan persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan sumbangan kepada universiti ini," katanya.
Dalam pada itu, Noor Azman berkata, seramai 10 mahasiswa akan dipilih ke peringkat akhir program itu dalam majlis pada 9 Oktober ini.
"Kita menjangkakan menerima sehingga 100 pencalonan namun hanya 10 calon terbaik akan ke peringkat akhir," katanya.
Menurut beliau, pelbagai hadiah menarik ditawarkan bagi pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu seperti wang tunai, plak dan sijil.
Katanya, peserta yang layak ke peringkat akhir tersebut akan mewakili UUM ke peringkat kebangsaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121005/pe_01/Pencarian-Ikon-Utusan-UUM-bermula#ixzz28lHdxenI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Program Iqra' perkasa akademik


YAYASAN Telekom Malaysia (Yayasan TM) dan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) melancarkan Program Iqra' - sebuah program ilmiah bertujuan memperkasa murid melalui pencapaian akademik yang lebih baik di samping menitikberatkan pembangunan modal insan secara menyeluruh, termasuk aspek sahsiah serta kerohanian.
Pengerusi TM, Datuk Dr Halim Shafie berkata, selaras dengan tujuan utamanya iaitu pembangunan modal insan secara menyeluruh, pelbagai program ilmiah berteraskan al-Quran dan as-Sunnah telah dirangka dengan kerjasama Yayasan Sofa.
"Kami harap, usaha ini dapat membantu pihak sekolah dan ibu bapa untuk memperkukuh jati diri, keperibadian dan sifat kepimpinan murid agar menjadi 'role model' kepada murid lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran program itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Laksamana Nasir, Seri Menanti, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Fasa pertama Program Iqra' di SK Tunku Laksamana Nasir akan berlangsung untuk tempoh dua tahun bermula dari tahun 2012 sehingga 2014 dan TM telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk pihak sekolah menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah seminar, kelas-kelas ICT serta kursus motivasi untuk manfaat pelajar, guru-guru dan masyarakat setempat.
Selain penyediaan perkakasan, Yayasan TM turut melengkapkan murid dengan kemahiran asas melalui kelas-kelas latihan IT bermula pada bulan September, khusus kepada pelajar tahun 3, 4 dan 5.
Kelas latihan tersebut merangkumi pemasangan dan penyelenggaraan komputer, aplikasi dan pembangunan laman web.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_04/Program-Iqra-perkasa-akademik#ixzz28lHIXKq8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

SMK Sultanah Asma rai ulang tahun ke-90


Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma meraikan sambutan ulang tahun ke-90 penubuhannya pada tahun ini dengan mengadakan satu majlis pertemuan semula bekas pelajarnya di Hotel PJ Hilton, Selangor pada 25 November depan.
Menurut Pengerusi untuk majlis sambutan itu, Datuk Rahmah Abdul Hamid, ia lebih kepada perjumpaan di kalangan bekas penuntut untuk mengeratkan semula hubungan.
"Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk mengutip dana bagi tabung kebajikan sekolah melalui jualan meja sempena majlis ulang tahun ke-90 tersebut," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
SMK Sultanah Asma yang pada awalnya dikenali dengan nama Kampong Baharu Girls School (KBGS) kini terletak di Jalan Langgar setelah berpindah dari lokasi asal di Kampung Bahru, Alor Setar, Kedah.
Perpindahan lokasi turut melibatkan perubahan nama dan sekolah baru ini telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 21 Julai 1957.
Mulai 1959, sekolah rendah dan menengah telah diasingkan.
Sementara itu, Presiden Alumni sekolah berkenaan, Nasriah Maghribi berkata, sambutan ulang tahun ke-90 bermula dengan Pameran Sejarah KBGS/ SMK Sultanah Asma pada April lalu dan disusuli dengan aktiviti lain seperti pertandingan menulis esei serta skrip drama berkaitan sekolah tersebut.
"Pertandingan terbuka kepada staf, bekas pelajar dan pelajar sekolah ini," ujarnya.
Beliau menegaskan, dengan adanya aktiviti tersebut, ia mampu menyemai perasaan sayang dan cinta pada sekolah serta guru-guru yang pernah berbakti di sekolah berkenaan.
"Tradisi menganjurkan majlis ulang tahun ini adalah bukti kami sayangkan sekolah dan cara kami mengukuhkan nilai silaturahim di kalangan pelajar dan juga bekas kakitangan sekolah," jelas Nasriah.
Untuk makluman lanjut dan pembelian meja sila hubungi Nasriah di talian 019-3677116.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120924/pe_03/SMK-Sultanah-Asma-rai-ulang-tahun-ke-90#ixzz28lGvvg7j
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Koperasi SMK (P) St. George diiktiraf Komanwel


Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George (SMKPSG) Pulau Pinang telah diiktiraf Sekretariat Komanwel apabila berjaya meraih tempat kedua Pertandingan Amalan Baik Koperasi Institusi Pendidikan Negara-Negara Komanwel di Mauritius, baru-baru ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan koperasi sekolah berkenaan dan wajar dijadikan contoh oleh pihak pengurusan sekolah lain.
Menurutnya, kejayaan sekolah terbabit membuktikan pelajar berminat menceburi bidang perniagaan tanpa mengganggu waktu persekolahan.
"Pengurusan koperasi sekolah itu terbukti berkesan apabila berjaya menambahkan keuntungan tahunan mereka daripada RM6,788 pada 2005 kepada RM131,915 tahun lalu," katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini.
Mohd. Ali menambah, selain menguruskan kedai buku dan alat tulis, koperasi sekolah berkenaan turut terlibat dengan perniagaan lain seperti kafeteria, kedai mini, kafe siber, pusat kecergasan, khidmat katering, hotel bajet serta pertanian.
Selain itu, menurut beliau, Angkasa akan menambah peruntukan menguruskan koperasi di sekolah-sekolah seluruh Malaysia kepada RM13 juta pada tahun depan berbanding RM9 juta tahun ini.
Ujarnya, peruntukan itu bertujuan memperkasakan koperasi sekolah agar tidak hanya tertumpu pada penjualan alat tulis dan buku sahaja.
Menurutnya, koperasi sekolah mampu menjadi platform menanam minat generasi muda untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan khususnya peruncitan.
Pada masa yang sama, kata beliau, Angkasa mempunyai pasukan khas bertujuan membimbing koperasi sekolah negara ini bagi melebarkan sayap perniagaan mereka melibatkan pelbagai perniagaan lain.
Sementara itu, Pengetua SMKPSG, Shariffah Afifah Syed Abbas berkata, pada Februari lalu, pihaknya dimaklumkan oleh Sekretariat Komenwel bahawa amalan baik yang dilaksanakan koperasi sekolah itu telah disenarai pendek dalam 20 amalan terbaik di bawah program The School Cooperatives: A Training Ground for Future Entrepreneurs.
Katanya, pada Mei lalu, SMKPSG dipilih ke pertandingan akhir menerusi 10 daripada 123 amalan baik yang disenaraikan dalam peringkat itu.
Beliau serta seorang pelajar tingkatan empat, Sharifah Musaisha Aina Syed Mustafa dijemput membuat pembentangan di Mauritius pada 24 Ogos lalu atas tajaan Angkasa.
"Pada pertandingan itu, SMKPSG berjaya meraih tempat kedua daripada puluhan peserta yang mengambil bahagian," katanya.
Beliau berkata, pelajar yang terlibat kini lebih yakin dan dapat berkomunikasi, kreatif serta berinovatif manakala prestasi koperasi juga bertambah baik dari setahun ke setahun dan keuntungan bertambah daripada lebih RM6,000 pada 2005 kepada lebih RM131,000 pada tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120924/pe_02/Koperasi-SMK-P-St-George-diiktiraf-Komanwel#ixzz28lGiwa00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pecutan akhir kecemerlangan PMR


SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin - Utusan Malaysia di SMK Abu Bakar Al-Baqir, Bagan Serai, Perak semalam.


Lebih 200 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) mengikuti program pecutan akhir Kecemerlangan Akademik dan Motivasi menghadapi peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir di Bagan Serai, Perak - yang akan diharungi dalam 15 hari lagi.
Program dianjurkan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP)dan Utusan Malaysia, dihoskan Pengetua SMK Abu Bakar Al-Baqir, Abd Kadir Jalani Mohamad.
Tujuh buah sekolah sekitar Bagan Serai mendapat sentuhan motivasi oleh Dr. Ismail Zain serta guru-guru pakar mata pelajaran yang menurunkan teknik menjawab soalan yang betul supaya tidak tersasar.
Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alang Iskandar, SMK Abu Bakar Al-Baqir, SMK Bagan Serai, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Ar-Ridhwan, SMK Mudzaffar Shah, SMK Gunung Semanggol dan SMK Selinsing.
Abd Khadir memberitahu Utusan Malaysia, beliau berasa bertuah kerana sekolahnya terpilih sebagai hos.
''Kita tahu program ini sangat berfaedah kepada pelajar, terutamanya pada saat-saat genting - iaitu 15 hari lagi - dan boleh menggunakan apa yang diperoleh untuk dilaksanakan semasa peperiksaan.
"Kedua, program ini berjaya mendedahkan sesuatu yang baru berdasarkan pengalaman penceramah dan pergaulan sesama pelajar dari pelbagai sekolah," katanya.
Menurut beliau, peserta program merupakan yang terpilih dan terbaik di sekolah masing-masing
"Mereka merupakan yang cemerlang atau berpotensi cemerlang, ditambah lagi dengan program motivasi pecutan akhir, maka kita berharap hasilnya memberi impak yang besar kepada pelajar cemerlang untuk diri dan sekolah masing-masing," tambahnya.
Beliau memberitahu, asas pemilihan ialah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) zon Bagan Serai.
Sementara itu, Dr Ismail berkata, setiap program yang dijalankan oleh Utusan Malaysia selari dengan aspirasi transformasi kerajaan untuk mengembangkan potensi pelajar.
Laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) juga menyatakan pendidikan di Malaysia akan lebih mencabar dengan memberi penekanan kepada kualiti, dan modul program memang menekankan kualiti diri, penonjolan, potensi diri dan sebagainya, kata Dr. Ismail.
Tambah beliau: ''Pemilihan beberapa buah sekolah luar bandar juga sejajar dengan penekanan kepada kesaksamaan pendidikan di bawah laporan itu."
Dalam pada itu, program ini akan diteruskan di beberapa lokasi untuk memberi motivasi kepada calon PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Lokasi bagi program berikutnya di SMK Machang Bubuk, Bukit Mertajamdan SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 29-30 September.
Seterusnya, program akan diadakan di SMK Tanah Merah, Chuah, Negeri Sembilan pada 20-21 Oktober untuk slot SPM.
Bagi rancangan akan datang, SMP merancang untuk memperluaskan program itu ke negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Pahang bagi kawasan Pantai Timur, Johor, Melaka dan seterusnya ke Sabah dan Sarawak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120924/pe_01/Pecutan-akhir-kecemerlangan-PMR#ixzz28lGNzWbc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Murid, guru sertai bengkel tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris


SEBAHAGIAN peserta bengkel Membaca Tambahan melibatkan 30 murid dan 10 guru bersama Natalie Hommerton (duduk tengah) bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, di Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 25 Sept. - Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menganjurkan bengkel Membaca Tambahan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid di negeri itu.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Noor Salwara Khairullah berkata, bengkel itu merupakan kerjasama antara Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D); Osaka Gas Foundation for International Cultural Exchange (OGFICE) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Katanya, bengkel bermula semalam sehingga Khamis ini membabitkan 10 guru dan 30 murid dari seluruh negeri ini.
“Bengkel Membaca Tambahan ini dianjurkan sejak 2004 dan sebanyak 40 sekolah di seluruh Sarawak mengambil bahagian.
“Ini merupakan inisiatif kementerian dan badan korporat dalam meningkatkan sistem pendidikan negara agar seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Antara sekolah yang terlibat dalam bengkel itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Binyo; SK Rumah Barrau; SK Entayan; SK Sageng dan SK Tangjung Apong.
Beberapa pengisian lain turut diadakan antaranya sesi motivasi bersama angkasawan negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, melawat Pustaka Negeri dan persembahan drama.
Sementara itu, Pengurus Besar, Operasi dan Kewangan UP&D, Rozita Yusoff berkata, pihaknya bertanggungjawab menjemput ahli panel dari luar negara memberi taklimat kepada guru dan murid-murid.
“Kita membawa seorang guru berpengalaman dari United Kingdom, Natalie Hommerton bagi menunjukkan kaedah betul mengajar dan belajar subjek Bahasa Inggeris.
“Guru tersebut mengendalikan bengkel menggunakan buku cerita bahasa Inggeris yang mana kaedah itu turut digunakan di sekolah-sekolah di London," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120926/pe_01/Murid-guru-sertai-bengkel-tingkatkan-penguasaan-bahasa-Inggeris#ixzz28lFrkE7s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

80 peratus guru amal budaya penyayang di sekolah


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Hasil kaji selidik Indeks Persepsi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran mendapati lebih 80 peratus guru di negara ini mengamalkan budaya kasih sayang di sekolah.
Menurut Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman, peratusan itu hasil maklum balas lebih 2,000 murid sekolah di seluruh negara yang melaksanakan Program Guru Penyayang sejak Februari lalu.
Beliau berkata, kira-kira 87.5 peratus murid mendapati guru-guru di sekolah adalah penyayang dan mengambil berat terhadap mereka.
“Ia sesuatu yang positif terhadap pengukuhan dan menambah baik Program Guru Penyayang yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahim, peratusan tersebut bukanlah bermakna bilangan guru selebihnya tidak penyayang tetapi belum mengamalkan sepenuhnya budaya tersebut yang ditekankan menerusi program berkenaan.
“Kami berharap peratusan itu akan meningkat dengan kesemua guru di negara ini mengamalkan budaya penyayang kerana ia merupakan aset dan sifat profesional yang perlu ada pada seorang guru," jelasnya.
Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Ab. Rahim berkata, program selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan mendapat maklum balas dan pandangan di peringkat sekolah yang melaksanakan program berkenaan bagi mencari kaedah penambahbaikan.
“Ia melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin Jabatan Pelajaran Negeri serta wakil persatuan guru," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120927/pe_01/80-peratus-guru-amal-budaya-penyayang-di-sekolah#ixzz28lFiDipp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

RM100j bantu kecemerlangan SABK


KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Sebanyak 169 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 bagi meningkatkan pembangunan dan tahap pendidikannya.
Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Kementerian Pelajaran, Wan Ramdzan Wan Mamat berkata, bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuatu yang cukup menggembirakan kerana banyak usaha boleh dilaku untuk memacu SABK ke arah lebih cemerlang.
“Alhamdulillah, bajet yang diumumkan itu adalah berita gembira buat semua SABK di mana Bajet disediakan itu secara kasarnya akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan pendidikan SABK," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan majlis penutup program Nadwah Kepemimpinan Islam SABK Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan kali ke-2 di sini hari ini.
Program yang bertujuan memantapkan kepimpinan pelajar itu disertai oleh 300 pelajar dan 32 guru pengiring daripada SABK seluruh negara.
Menurut Wan Ramdzan, pihak kementerian berharap lebih banyak sekolah menengah agama berdaftar di bawah SABK bagi memudahkan mereka mendapat bantuan daripada kerajaan.
“Kita akan pujuk sekolah-sekolah yang ada di bawah kerajaan negeri untuk masuk dan berdaftar di sekolah-sekolah kementerian. Misalnya, Julai lalu, sebanyak 25 buah sekolah agama di Johor telah daftar di bawah SABK.
“Ada lagi beberapa negeri lain yang akan mengikut jejak langkah Johor seperti Perak dan Pahang. Di Terengganu, semua Sekolah Menengah Imtiaz telah berada di bawah SABK, cuma namanya masih dikekalkan.
“Apabila berada di bawah SABK, ada peruntukan kerajaan yang besar melibatkan pembangunan. Kita juga ada menempatkan guru-guru terlatih dan memberi latihan kepada guru yang tidak terlatih," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_04/RM100j-bantu-kecemerlangan-SABK#ixzz28lFafmL8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konsep guru penyayang tangani masalah disiplin pelajar


Sebahagian daripada guru yang mengikuti Konvensyen Guru Penyayang 2012 memberi tumpuan kepada ceramah oleh ahli panel dalam program itu di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian Pelajaran merancang membudayakan konsep Guru Penyayang di setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara kerana pelaksanaannya terbukti berkesan dalam menangani gejala disiplin di kalangan pelajar.
Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman berkata, program yang diperkenalkan sejak Februari lalu itu terbukti memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran pelajar.
"Impaknya, pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah setiap hari tanpa berasa sebarang tekanan serta mempunyai hubungan akrab dengan guru dan pihak sekolah.
"Minat itu didorong oleh rasa selesa dengan guru yang sebelum ini dikatakan bersikap garang atau terlalu tegas dengan anak murid mereka,'' katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konvensyen itu melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin jabatan pelajaran negeri serta wakil persatuan guru.
Menurut Ab. Rahim, konsep Guru Penyayang bertujuan membudayakan sikap kasih sayang di kalangan guru terhadap murid di sekolah dengan harapan besar bahawa murid merupakan aset yang perlu diberi perhatian dan disayangi setiap masa.
Konsep tersebut dilaksanakan melalui tiga amalan iaitu dengan guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_03/Konsep-guru-penyayang-tangani-masalah-disiplin-pelajar#ixzz28lFP2f78
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Iltizam pecutan akhir hadapi peperiksaan SPM


PARA peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) bersama Utusan Malaysia begitu teruja dengan suntikan semangat saat akhir menjelang 34 hari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan rata-rata bersetuju ia mampu menyegarkan semula iltizam masing-masing untuk menggapai kejayaan cemerlang.
Program dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
Pelajar SMK Seri Nibong, Fairuza Nur Syahira Md Idris berkata program itu sangat bermanfaat dan telah menyuntik semangat kepadanya menjel Anak pesara Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bercita-cita menjadi doktor itu akan memegang kata-kata Dr. Ismail Zain - penceramah Motivasi Utusan Malaysia - bahawa dalam masa 34 hari ini, pelbagai perkara boleh berlaku dan calon masih boleh melakukan perubahan dalam diri masing-masing.
Berbekalkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Fairuza yakin mampu mencatat keputusan cemerlang pada SPM nanti.
Rakannya, Umi Raihanah Che Muhamad Nor, bersyukur kerana diberi peluang mengikuti program berkenaan, dan pesan Dr. Ismail bahawa semua orang perlu ada matlamat dalam hidup, membakar semangatnya untuk mengejar cita-citanya.
Muhamad Najwan Hamidi, pelajar Sains Tulen berkata program itu banyak manfaatnya dan tidak membosankan.
Antara inti pati yang menjadi pegangan motivasi kepadanya ialah tiada pelajar yang pandai dan tiada pelajar yang bodoh.
"Kata-kata Dr. Ismail itu akan menjadikan saya lebih bestari, iaitu bestari ketika belajar dan dalam hidup,'' kata anak pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Muhamad Safwan Mohamad Fakharurazi, peserta dari SMK Jawi memberitahu, program itu menarik perhatiannya kerana kini dia boleh berfikir di luar kotak yang sempit.
"Setiap kali menghadiri program seperti ini, akan menjana pemikiran saya untuk memikirkan perkara- perkara baharu,'' katanya.
Pelajar yang bercita-cita menjadi jurutera bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu memuji cara Dr. Ismail menyampaikan ceramahnya yang tidak mengantuk dan mudah difahami.
Nur Syahirah Mohd Fisol juga mengakui suntikan semangat Dr. Ismail banyak memberi suntikan semangat kepadanya pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan.
Kata anak seorang peguam itu, masih belum terlewat untuk menambah baik kekurangan diri dalam tempoh sebulan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_02/Iltizam-pecutan-akhir-hadapi-peperiksaan-SPM#ixzz28lFIE2kf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perlu diperluas ke seluruh negara

Sesi melukis bersama Kartunis Utusan Malaysia, Khazim Sulaiman menjadi salah satu tarikan utama kepada peserta program Kecemerlangan akademik dan Motivasi SMP - Utusan Malaysia di SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.



Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di Nibong Tebal, Hasruldani Husain, meyakini program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin - Utusan Malaysia memberi impak besar dari segi meningkatkan motivasi peserta.
Terdapat kewajaran untuk mengembangkan program itu ke seluruh negara, khususnya dalam kalangan pelajar Melayu.
Ketika ini, program berkenaan diadakan di Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan.
Ujarnya, ketika tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya tinggal 34 hari, maka keperluan untuk memberi fokus kepada teknik menjawab soalan akan menjadi faktor kritikal kepada calon.
Kepada beliau, gabungan kemantapan motivasi oleh pakar Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan pengalaman guru-guru pakar subjek merupakan ramuan yang cukup serasi untuk melonjakkan pelajar ke satu tahap baharu yang lebih baik.
"Pelajar selalu menyangka mereka telah cukup bersedia, tetapi setelah mengikuti program seperti ini, mereka mengubah fikiran, sebenarnya masih banyak yang mereka perlu kuasai kalau hendak mendapat semua A,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Teknik menjawab yang betul sepertimana skema pemarkahan adalah satu contoh pengetahuan yang perlu dikuasai pelajar.
Di sekolah, katanya, guru menggandakan usaha menjelang peperiksaan, dan pada setiap hujung minggu pihak sekolah akan menjemput penceramah luar.
Bagi beliau, program pendidikan yang diatur dan dianjurkan oleh pihak Utusan Malaysia memang diikutinya sejak sekian lama, dan apabila wakil SMP menghubungi pihaknya berhubung penganjuran program itu, beliau tidak berpaling lagi.
"Saya sentiasa menggalakkan calon untuk mencuba soalan-soalan yang disediakan oleh Portal Pendidikan Utusan yang mempunyai reputasi yang baik,'' katanya.
SMK Seri Nibong merupakan sekolah kawalan yang terkenal dalam melahirkan atlet acara sukan memanah sebagai sukan berprestasi tinggi.
Bidang kokurikulum turut mengharumkan nama sekolah itu seperti terpilih ke peringkat akhir Forum Remaja Peringkat Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sekolah itu juga muncul selama tiga tahun berturut-turut sebagi terbaik di Seberang Prai Selatan dan lapan yang terbaik di Pulau Pinang.
Antara yang membantu meletakkan sekolah di atas podium termasuklah guru sekolah sendiri yang mempraktikkan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan berstamina.
"Sebagai contoh, jika ada program akademik, mereka akan menunggu sehingga habis program,'' ujar beliau yang mula mengajar di situ sejak 1999.
SMK Seri Nibong mula beroperasi pada 1998.
Peratus lepasan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut membanggakan, sambil memberi contoh kalau 170 calon lepasan SPM, 120 berjaya melanjutkan pelajaran.
Beliau memberitahu, pada tahun ini, seramai 177 pelajar sekolah itu menduduki kertas SPM, dan 80 daripadanya menghadiri program anjuran SMP-Utusan Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_01/Perlu-diperluas-ke-seluruh-negara#ixzz28lF3auqa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pendekatan kreatif cetus minat


Guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd. Isa menggunakan pendekatan inovatif dan kreatif untuk mengajar teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dalam Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.



PELBAGAI kaedah penyampaian inovatif dan kreatif oleh para penceramah profesional menjadikan Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin dan Utusan Malaysia berada dalam kelasnya tersendiri - selain tidak membosankan.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal dekat Kota Bharu, Kelantan, penceramah subjek kertas Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd Isa menselangselikan penyampaiannya dengan lawak jenaka, persembahan multimedia dan paling istimewa, secara spontan menyanyikan lagu ciptaan asal Freddie Aguilar iaitu 'Anak' secara minus one.
Marzuki, dengan pakaian kasual santai, memakai reben hitam, berseluar jeans dan kemeja merah, membuka lantai dengan pantun, perumpamaan, pepatah yang menarik sehingga sesi sebelah petang menjadi hidup dan berkesan.
Sebagai guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki menurunkan segala ilmu tentang persiapan yang sewajarnya ada pada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menduduki kertas Bahasa Malaysia dan seterusnya mendapat A+.
Antaranya, beliau mencadangkan calon menjawab Bahagian B yang memberi 100 markah berbanding bahagian A yang berupa karangan berdasarkan bahan rangsangan.
Beliau mengupas secara terperinci semua aspek penting dalam kertas Bahasa Malaysia, dan sebahagiannya perlu dihafal supaya calon tidak membuang masa sepanjang 90 minit nanti.
Program kali ini dihadiri oleh 200 calon SPM daripada sembilan buah sekolah iaitu SMK Cengal, SMU (A) Al-Kauthar, SMK Kadok, SMK Long Ghaffar, SMK Pangkal Kalong, SMK (A) Melor, SMK Kok Lanas, SMK Ketereh dan SMK Melor.
Sekretariat Malaysia Prihatin merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang aktif menjalankan aktiviti kesukarelawanan, khususnya dalam kalangan pendidikan.
Lebih 30,000 pelajar sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu.
Sementara itu, penyelaras program yang juga penceramah motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain menasihati pelajar agar terus berusaha tanpa jemu dan dalam masa yang sama meminta ibu dan bapa mendoakan kejayaan menjelang peperiksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_01/Pendekatan-kreatif-cetus-minat#ixzz28lEm9Sh2
© Utusan Melayu (M) Bhd