ZULFAHMI pelajar Bachelor Hortikultur UPM.
Pemilihan lokasi berkenaan sebagai tempat menjalani latihan praktikal itu dibuat bagi memudahkan beliau mengembangkan kemahiran berkomunikasi dalam bidang hortikultur di samping mendapat pendedahan kaedah pengurusan pokok seni hiasan dalam keadaan sebenar.
Berkongsi pengalaman menjalani latihan sejak Februari lalu, Zulfahmi berkata, perbezaan antara mengikuti pengajian secara teori dan melakukan secara langsung membuatkan beliau perlu sentiasa peka sebelum membuat keputusan.
Katanya, proses pengajian perlu berpandukan manual ditetapkan iaitu satu persatu, namun apabila praktikal, meskipun masih perlu mengikut garis panduan ditetapkan, pelajar perlu berani membuat keputusan bagi memastikan hasil kerja dapat memuaskan hati orang ramai.
“Latihan praktikal ini banyak membantu proses mematangkan saya. Sepanjang di Pusat Maritim Putrajaya ini, saya yang diberi tanggungjawab sebagai Penyelia Landskap berdepan tekanan untuk menangani masalah pokok hiasan yang diserang penyakit dan mengenali jenis penyakit serta kaedah bagi memulihkannya.
“Selain itu saya dilatih bekerja sebagai satu pasukan memandangkan ia paling utama bagi memastikan setiap tanggungjawab diberikan dapat disempurnakan dalam tempoh ditetapkan. Ia berkaitan dengan komitmen semua dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.
Sepanjang menjalani latihan praktikal dari Februari hingga Jun depan di Pusat Maritim Putrajaya, Zulfahmi akan diselia oleh pensyarahnya daripada Jabatan Perniagaan Tani dan Maklumat, Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Nitty Hirawaty Kamarulzaman.
Beliau yang menyifatkan bertuah kerana mendapat pensyarah yang amat komited, yakin akan dapat melakukan tugasannya dengan lebih baik sepanjang di situ.
“Dr Nitty (Hirawaty) selalu memberikan bantuan dan khidmat nasihat apabila saya memerlukan. Jadi, ia benar-benar membantu saya lebih selesa melaksanakan tanggungjawab di sini. Hubungan baik bersama kakitangan tanpa mengira umur juga memberikan kelebihan kepada saya untuk mengutip pengalaman daripada mereka.
“Apapun, paling penting pelajar kena fokus, kena tahu arah tujuan mereka. Saya jelas dengan impian dan matlamat saya jadi ia membantu saya buat pilihan untuk menjalankan latihan di sini. Pelajar juga kena pandai memilih lokasi untuk praktikal dan kalau boleh biarlah ia dapat membantu kita membina kerjaya apabila menamatkan pengajian kelak,” katanya.
Zulfahmi berkata, pengurusan masa dan kewangan juga penting untuk memberikan keselesaan kepada pelajar yang menjalani latihan praktikal agar tidak timbul masalah.
“Kebanyakan pelajar yang mengikuti praktikal diberikan wang elaun, jadi kenalah urus betul-betul supaya semuanya berjalan lancar. Kena ambil kira semua benda, kos ulang-alik dari tempat tinggal ke pejabat dan belanja makan minum. Seperti saya yang tinggal di Seri Kembangan, perlu pandai urus masa bagi memastikan dapat tiba pada masa yang ditetapkan di pejabat (Putrajaya).
“Ini akan membentuk disiplin diri kita, dan apabila sudah ada dalam diri, sudah pasti kita tidak akan berdepan masalah dalam mengejar cita-cita. Saya mempunyai impian yang besar dalam bidang ini, dan saya akan pastikan ia bukan sesuatu yang hanya sekadar impian saja,” katanya.
PROFIL: Zulfahmi Ahmad Saibi
Adik beradik: Bongsu daripada enam adik beradik
Asal: Taiping, Perak
Jurusan: Ijazah Sarjana Muda Hortikultur Jabatan Perniagaan Tani dan Maklumat, Fakulti Pertanian UPM
Pencapaian: Exco Komunikasi Korporat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM pada tahun 2010/2011, Presiden Persatuan Kebajikan Anak Negeri Perak (PERKASA PERAK) UPM, AJK Program Mahasiswa Satu Malaysia peringkat kebangsaan 2009.
No comments:
Post a Comment