Pages

Translate

Tuesday, January 3, 2012

Insiden UPSI: Bebas buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) hari ini  membuat laporan polis berhubung dakwaan keganasan pihak polis ketika menyuraikan himpunan kebebasan akademik di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Sabtu lalu.

Laporan itu dibuat oleh Jurucakap Bebas, Haziq Abdullah Abdul Aziz di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Dalam laporan berkenaan, Bebas mendakwa pihak polis melakukan provokasi dan memukul mahasiswa agar mereka bersurai, meskipun berkali-kali mereka memberi jaminan himpunan akan berlangsung aman.

"Kami menyaksikan Safwan Anang mengadu kesakitan akibat ditumbuk dan dipukul sehingga cedera," kata Haziq dalam memetik laporan tersebut.

Bercakap pada sidang media selepas laporan dibuat, Haziq berkata, Bebas menggesa soal siasat dan tindakan diambil terhadap anggota polis yang terlibat dalam insiden itu.

"Kami mendesak tindakan diambil terhadap anggota polis berkenaan kerana kalau dibiarkan, kejadian sebegini akan terus berulang," kata beliau yang ditemani peguam, Fadiah Nadwa Fitri.

Sementara itu, Fadiah berkata, tindakan polis itu jelas berunsur jenayah kerana mahasiswa yang berhimpun tidak membawa sebarang senjata yang membahayakan.

"Dari segi undang-undang, tindakan polis ini berunsur jenayah kerana mahasiswa dikasari, diterajang, ditumbuk sehingga cedera," katanya.

Safwan yang terpaksa dirawat di hospital beberapa hari turut hadir memberikan sokongan bersama isterinya, Masturah Abu Bakar dan kira-kira 20 wakil daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Tuntut polis mohon maaf
Sementara itu, Gerakan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) pada sidang media berlainan selepas itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perak bertanggungjawab terhadap insiden yang disifatkan sebagai pencemaran imej polis.

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, Gamis sekali lagi mendesak pihak polis membuat permohon maaf terbuka memandangkan tempoh 24 jam yang diberikan kepada mereka untuk berbuat demikiian telah berlalu.

"Sebelum ini Gamis menuntut pihak polis membuat permohonan maaf segera tapi sampai sekarang belum dibuat.

"Jadi sekali lagi kami tuntut mereka mohon maaf dan kami pandang serius perkara ini kerana melibatkan timbalan presiden Gamis sendiri, Safwan Anang," katanya.

Pengerusi SMM, Ahmad Shukri Razab pula mengecam tindakan polis membuat penafian awal sedangkan siasatan belum pun dilakukan.

"Polis awal-awal lagi nafi tiada kekasaran walaupun belum buat soal siasat lagi.

"Kami juga kesal polis mengambil keterangan Safwan secara terburu-buru walaupun beliau masih belum pulih dan dipaksa mengaku cedera kerana terjatuh," katanya. HARAKAHDAILY

Nik Aziz lahir simpati dengan mahasiswa

(Nik Aziz menerima memorandum dari mahasiswa di pejabatnya)
KOTA BHARU, 3 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa simpati terhadap golongan mahasiswa yang dicengkam kebebasannya melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971).

Katanya kedudukan pencabulan pihak atasan terhadap kemampuan, kebolehan mahasiswa di negara ini telah dilalui oleh kerajaan Kelantan sejak 21 tahun lalu.

“Saya selaku Menteri Besar Kelantan sejak 21 tahun lalu tidak pernah diundang menghadiri sekolah mereka,”ujarnya.
(Hafizuddin sedang menyampaikan ucapan sambil didengar oleh Nik Aziz)
Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan 10 orang wakil Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (Gempur), yang menyerahkan memorandum Menuntut Penolakan Auku 1971 dan Pengembalian Autonomi Kampus dan Mahasiswa.

Penyerahan itu diserahkan oleh wakil Gempur yang juga jurucakapnya, Mohamad Hafizudin Mohd Nasaruddin, di pejabat rasmi Menteri Besar, Kota Darulnaim.

Sambungnya, ia adalah antara kezaliman serta ketidakadilan kerajaan Pusat terhadap kerajaan negeri.

Tambahnya, malah  dirinya sebagai orang politik yang diberi kuasa oleh rakyat secarah sah dalam pilihanraya umum sejak 21 tahun lalu turut dinafikan banyak haknya sebagai ketua kerajaan di negeri itu.

Katanya, menyentuh akta ini semua golongan mahasiswa tidak boleh bebas dalam menyatakan pandangan, kritikan kepada mana-mana individu.

Jelasnya, golongan terpelajar ini bukan sahaja belajar di universiti, sebaliknya juga di luar seperti berhimpun sebagaimana Islam sendiri mengajar umatnya berhimpun lima kali sehari untuk menunaikan solat.

“Pergi solat berjemaah nak sebut berhimpun ke, demontrasi ke sama saja, sebab demontrasi ni maksudnya berhimpun di masjid beramai-ramai di masjid, Arafah setahun sekali  dan ianya ada asas dalam Islam.

“Kerana itu demontrasi ni adalah hak manusia, hak pelajar di mana mereka (pelajar) bakal menjadi pemimpin di suatu hari nanti,”ujarnya.

Katanya, semua pemimpin dan menteri yang ada sekarang ini akan meninggal dunia suatu hari nanti dan golongan pelajar hari ini bakal menggantikan mereka.

Sehubungan itu, beliau  begitu bersetuju sekiranya pelajar bermula di peringkat bawah hingga ke peringkat paling atas diajar bagaimana untuk berurusan dengan rakyat.

“Pelajar universiti ni belajar bukan untuk menjadi orang kaya semata-mata, jadi menteri ke, bukan sebaliknya mereka perlu dilatih bagaimana menjadi seorang pemimpin,”ujarnya.

Beliau bagaimanapun menyatakan memorandum yang diserahkan padanya untuk meminta kerajaan negeri bersuara berhubung AUKU agar dimansuhkan, ianya tidak boleh dilakukan.

Jelasnya, kerajaan negeri tidak ada hak untuk berbuat demikian, kecuali sekiranya perkara yang sama berlaku dalam Yik ianya akan ditangani mengikut cara Islam. HARAKAH

Mahasiswa sertai demonstrasi tidak waras

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Golongan mahasiswa yang menyertai demonstrasi adalah kumpulan yang mahu mengejar populariti sehingga sanggup mengikut telunjuk pihak tertentu.
Selain itu, mereka juga disifatkan golongan tidak waras kerana rela menggadaikan masa depan dan menghancurkan keharmonian negara.
Menurut tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, golongan tersebut tidak ramai tetapi pengaruhnya amat besar terhadap pelajar yang kurang pengetahuan tentang isu semasa.
''Mereka pandai memanipulasi keadaan untuk menarik perhatian mahasiswa lain dan amat menyedihkan mereka ini adalah golongan Melayu yang lazimnya pengakhiran pengajian mereka amat lemah,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas sikap segelintir mahasiswa yang menyertai perhimpunan haram anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini.
Dalam pada itu, tokoh akademik, Prof. Madya Dr. Za'faran Hassan menegaskan, mahasiswa sekarang amat mudah diperalatkan oleh pihak tertentu kerana tidak memiliki ilmu pengetahuan tinggi dan tidak mahu berfikir panjang.
''Jika ada sebarang berita disampaikan oleh kawan-kawan mereka ataupun daripada laman blog, mereka tidak akan selidik sumbernya sebaliknya terus mempercayainya.
''Malah mereka ini mempunyai sikap angkuh, tidak suka ditegur kerana beranggapan golongan muda lebih mempunyai maklumat apabila menguasai teknologi berbanding golongan tua,'' katanya.
Kata beliau, golongan tersebut juga adalah mereka yang mahu popular dan dilihat sebagai juara walaupun mereka tahu kesan negatif yang akan dihadapi sama ada dalam pengajian, keluarga dan negara.

7,000 graduan ISMP ditemuduga

Lulusan ijazah perguruan ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan nasib kira-kira 7,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) termasuk 5,000 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang belum ditempatkan akan ditemuduga bulan ini, sebelum mereka yang layak ditempatkan di sekolah terpilih bermula Mac depan.

Bagaimanapun, penempatan lepasan ISMP yang belum menjalani proses temu duga dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) tertakluk kepada kekosongan, opsyen dipilih dan cukup syarat kelayakan.
Difahamkan, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat Kementerian Pelajaran minggu lalu selepas kerajaan menyelesaikan isu membabitkan lebih 13,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dengan 60 peratus darinya bakal diserapkan ke jawatan guru tetap selepas ditawarkan mengikuti kursus perguruan, juga mulai bulan ini.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi ketika mengesahkan penempatan graduan ISMP, meminta lepasan guru itu bersabar kerana proses berkaitan sedang berjalan.

“Kita minta yang belum dapat penempatan kerja supaya bersabar kerana SPP sudah mendapat senarai semua IPTA untuk dipanggil temu duga. Apapun pelantikan itu akan dibuat berasaskan kepada kekosongan (di sekolah seluruh negara), opsyen dan cukup syarat kelayakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas kedudukan 7,000 lepasan ISMP yang belum ditawarkan tempat menyebabkan ada di kalangan mereka menganggur kerana sukar mendapatkan pekerjaan sesuai.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memberi jaminan untuk menyerap 7,079 GSTT ke jawatan tetap di seluruh negara selepas menawarkan pihak terbabit peluang mengikuti kursus dalam bidang perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan IPTA terpilih, dengan sebilangan daripada mereka ditawarkan menjadi guru kontrak yang dibayar gaji mengikut hari, bermula tahun ini.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata kira-kira 3,000 graduan termasuk lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL dan lepasan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang sudah ditemuduga bermula November lalu, dijangka ditempatkan di sekolah terpilih bermula bulan ini.

Sementara itu, Penyelaras Gabungan Graduan ISMP Malaysia, Abdul Rahman Usman menyambut baik jaminan kerajaan dan berharap masalah itu diselesaikan dengan segera kerana ada di kalangan lepasan ISMP yang menganggur sejak empat tahun lalu.

Katanya, kebanyakan majikan tidak berani mengambil graduan ISMP sebagai pekerja kerana khuatir mereka akan meninggalkan syarikat selepas menerima tawaran mengajar.

Tujuh sekolah di Kelantan ditutup esok kerana banjir

KOTA BHARU: Tujuh sekolah di Kelantan, iaitu tiga di Tumpat dan masing-masing dua di Rantau Panjang dan Gua Musang terpaksa ditutup esok berikutan bencana banjir.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussin Awang, berkata penutupan itu yang membabitkan lebih 2,000 pelajar susulan sekolah dilanda banjir, khususnya di Rantau Panjang yang dibanjiri limpahan air Sungai Golok.
Tiga sekolah rendah di Tumpat itu terpaksa diberhentikan sesi persekolahan sehingga 12.30 tengah hari ini kerana air mula menggenangi bangunan sekolah berkenaan, katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pak Yong, SK Telok Jering dan SK Simpangan.

Hussin berkata guru besar sekolah berkenaan telah mengumpul semua murid dan memberi taklimat mengenai keselamatan dan ibu bapa telah dihubungi untuk mengambil anak-anak mereka.

Dua sekolah di Gua Musang ialah SK Bihai dan SK Balar manakala di Rantau Panjang ialah Sekolah Agama Al-Falah dan Sekolah Agama Al-Dinniah.

"Pihak sekolah telah diminta memantau keselamatan murid bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini," katanya.
Beliau berkata semua sekolah terlibat akan memulakan persekolahan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - BERNAMA

Sunday, January 1, 2012

17 mahasiswa ditahan demonstrasi

TANJUNG MALIM: Polis menahan 17 mahasiswa, termasuk seorang penuntut wanita kerana menyertai demonstrasi haram dengan membawa keranda, tidur di atas jalan dan cuba memanjat pagar kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, awal pagi semalam.

Demonstrasi itu diadakan atas alasan menuntut kebebasan akademik dengan mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan ‘membebaskan’ pelajar UPSI, Adam Adli yang disiasat kerana menurunkan bendera dengan wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada 17 Disember, daripada dikenakan tindakan tatatertib.
Turut ditahan pada perhimpunan haram yang dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu ialah Adam, 21. Adam ketika ini disiasat UPSI dengan pendengaran tatatertib ditetapkan 9 Januari ini, selain polis.
Demonstrasi itu disertai kira-kira 70 penuntut universiti, kebanyakannya pelajar UPSI, Universiti Industri Selangor (UNISEL), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Management and Science University (MSU). Dua penuntut, termasuk Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Safwan Anang turut cedera ketika polis menyuraikan demonstrasi itu.

Safwan dikatakan cedera, termasuk patah gigi selepas merempuh dinding kaca sebuah klinik 24 jam di hadapan UPSI ketika kumpulan terbabit bertempiaran lari apabila polis cuba menahan mereka selepas amaran bersurai tidak diendahkan.

Seorang lagi mahasiswa yang tidak dikenal pasti identitinya, juga cedera di kepala.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan, yang mengesahkan penahanan itu berkata, polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar kampus UPSI seawal 5 petang kelmarin selepas mendapat maklumat awal mengenai perhimpunan haram dianjurkan sebuah pertubuhan tidak berdaftar, SMM.
Beliau yakin SMM mengambil kesempatan mengadakan perhimpunan haram ekoran penganjuran dua acara iaitu konsert ambang tahun baru dan perlumbaan ‘mountain bike’ oleh UPSI, petang kelmarin.

“Polis mengambil pendekatan berhemah untuk menangani insiden itu. Malah, Ketua Polis Daerah (OCPD) Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan, sendiri turun ke lokasi untuk berunding dengan mereka supaya bersurai secara aman jam 1 pagi.

“Bagaimanapun, keadaan menjadi tidak terkawal apabila kira-kira 70 mahasiswa, termasuk penuntut wanita mula menjerit dan merentangkan beberapa kain rentang dan poster menyebabkan polis terpaksa memberikan amaran supaya mereka bersurai.

“Namun keadaan menjadi semakin tegang apabila pelajar mara ke depan dengan memprovokasi polis. Mereka mula baring di atas jalan raya menghalang lalu lintas serta mengganggu keselamatan awam. Selain itu, ada pelajar yang menggoncang dan cuba memanjat pagar kampus UPSI.

“Apabila keadaan menjadi tegang dan pelajar tidak mematuhi nasihat, kita ambil tindakan menangkap. Mereka lari bertempiaran dan merempuh kedai berdekatan, termasuk sebuah klinik berdinding kaca yang pecah, menyebabkan dua orang cedera,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim di sini, semalam. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof dan Othman.

Sementara itu, kira-kira 100 orang, termasuk pemimpin pembangkang antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan berkumpul di hadapan IPD Tanjung Malim tengah hari semalam menuntut pembebasan terbabit.

Mohd Shukri berkata, semua 17 mahasiswa itu berusia 19 hingga 24 tahun yang ditahan di Balai Polis Tanjung Malim direkodkan keterangan mereka dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam, Seksyen 145 Kanun Keseksaan kerana memasuki atau berada dalam perhimpunan yang tidak dibenarkan, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat (merempuh klinik) dan Seksyen 27(5) Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram tanpa permit.

Bagaimanapun, semua mereka dibebaskan petang semalam dengan jaminan polis.
Polis turut merampas pembesar suara dan beberapa kain rentang serta poster wajah Perdana Menteri yang digunakan dalam perhimpunan itu.

Mohd Shukri juga menafikan laporan blog dan portal yang mendakwa polis bertindak ganas dengan memukul pelajar terbabit, termasuk sehingga seorang nazak.

“Ini semua, termasuk dakwaan polis kerah FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) adalah pembohongan untuk memburukkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Polis tidak kerahkan FRU, hanya anggota tugas am yang mengawal keadaan,” katanya.

Beri saingan di peringkat global

WAJAH ANAK BANGSA...pelbagai perubahan dilaksanakan bagi  melahirkan pelajar cemerlang sahsiah diri dan akademik sekali gus melonjakkan lagi prestasi dunia pendidikan negara termasuk peningkatan kredibiliti guru.
WAJAH ANAK BANGSA...pelbagai perubahan dilaksanakan bagi melahirkan pelajar cemerlang sahsiah diri dan akademik sekali gus melonjakkan lagi prestasi dunia pendidikan negara termasuk peningkatan kredibiliti guru.

MESKIPUN masih awal untuk menjang­ka peristiwa yang mewarnai dunia pendidikan negara sepanjang 2012, masyarakat mengharapkan ia mampu membawa sinar lebih baik demi menjana usaha bersepadu pembangunan negara.
Biarpun tahun lalu ada beberapa isu kontroversi, institusi pendidikan negara masih relevan dan positif.
   
BANTUAN...pemberian wang bantuan persekolahan RM100 sebagai tanda prihatin kerajaan untuk meringankan bebanan ibu bapa.


 MUKTAMAD...isu PPSMI akhirnya menemui titik noktah apabila kerajaan muktamad dengan keputusan tidak lagi menggunakannya sekali gus menamatkan kontroversi yang melanda.



Pastinya, wacana dunia pendidikan berharap institusi pengajian tinggi mampu melonjakkan pencapaiannya melahirkan ahli akademik berwibawa manakala graduannya lebih cemerlang untuk mencipta nama sebaris dengan institusi ternama dunia.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata dunia pendidikan perlu melakukan anjakan paradigma lebih positif dan konsisten untuk memasuki satu frasa baru yang mencabar.


Dengan meletakkan sasaran agar institusi pengajian tinggi mampu bersaing lebih hebat dalam bentuk akademik dan penyelidikan, beliau berkata institusi perlu melipatganda­kan usaha mencapai wawasan ditetapkan.

“Dalam mengemudi dunia pendidikan tinggi hari ini, banyak perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi ini terus gagah dan memberi persaingan kepada institusi di peringkat global.

“Ia bukan mudah, namun boleh dilakukan dengan kesung­guhan dan iltizam tinggi malah sejarah juga membuktikan institusi tempatan mampu melahirkan pakar akademik serta hasil penyelidikan berwibawa,” katanya.

Institusi pengajian juga bakal berdepan cabaran sengit terutama memenuhi harapan masyarakat meng­hasilkan hasil produk berkualiti, menepati piawaian antarabangsa dan paling utama tersenarai dalam kedudukan prestij dunia.

Beliau mengharapkan hasrat mewujudkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial menjadi kenyataan bagi mengangkat taraf institusi lain setara lima universiti pe­nyelidikan sedia ada.

Bagi mahasiswa, mereka pasti mengharapkan tahun baru membawa anjakan lebih dinamik selepas tahun lalu dipenuhi beberapa insiden memalukan terutama membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AuKu).

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin, berkata mereka mengharapkan isu sensitif dan salah faham itu selesai bagi memberi peluang menonjolkan kewibawaan sebagai bakal pemimpin.

Menurutnya, pindaan AuKu juga bakal membawa perubahan besar terhadap dunia pendidikan negara kerana universiti serta mahasiswa bakal melangkah ke frasa lebih terbuka dalam menangani isu politik.

“Sebelum ini, universiti menjadi tempat larangan keras berpolitik bagi mahasiswa, namun dengan pindaan itu, ia satu pembaharuan yang baik.

“Bagaimanapun, pindahan itu diharap tidak menjadikan mahasiswa cenderung keterlaluan terhadap politik hingga melupakan tanggungjawab sebenar,” katanya.

Beliau turut menjangka kerajaan mengambil langkah proaktif sebagai jaminan institusi pengajian tinggi tidak tercemar dengan pengaruh dan budaya politik luar.

“Keseluruhannya, kami mengharapkan dunia pendidikan tinggi tidak lagi tercemar dengan insiden memalukan yang bukan saja boleh meng­gugat kewibawaan jati diri serta institusi selain mengikis persepsi negatif dilemparkan,” katanya.

Manakala sektor pendidikan sekolah juga menjangkakan institusi pendidikan akan menjadi lebih komprehensif dengan pelbagai pelaksanaan dasar yang menekankan peranan guru sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar.

Guru sekolah di ibu kota, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata pendekatan mesra pelajar yang dibangun­kan merangkumi aspek fizikal dan mental dapat mencungkil potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum, antara­nya melalui pengenalan ‘Satu Murid Satu Sukan’.

Menurutnya, keseimbangan itu menjadi wadah terbaik membentuk peribadi dan
jati diri generasi muda selain memberi peluang guru memperkasakan kemahiran mendidik.

“Meskipun dunia pendidikan sering dibayangi polemik terutama isu berkaitan guru, itu bukan alasan kami tidak mampu memberikan yang terbaik kepada pelajar.

“Kami berharap pengorbanan ini mendapat perhatian pihak terbabit dengan pemberian insentif tertentu bagi menaikkan lagi semangat guru dan meng­iktiraf pengorbanan mereka,” katanya

Sepanjang tahun lalu, pelbagai rentetan peristiwa mewarnai perjalanan dunia pendidikan negara dengan polemik serta kejutan tersendiri.

Antara pendekatan paling ‘mengejutkan’ ialah bantuan RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi meringankan bebanan ibu bapa selain pemansuhan yuran sekolah.

Ini menjadikan Malaysia negara pencipta sejarah di kalangan negara Asean melaksanakan pendekatan berkenaan.

Golongan mahasiswa juga memperoleh habuan sama apabila menerima bantuan baucar RM200 untuk diagih­kan kepada pelajar yang layak untuk tempoh tiga bulan dari 1 Januari sehingga 31 Mac depan.

Isu percanggahan mengenai kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menemui noktah akhirnya apabila kerajaan muktamad menamatkannya dengan pengumuman pada 4 November lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021.

Biarpun ada segelintir pihak beranggapan ia masih relevan terutama dalam memartabatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kala­ngan pelajar, dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) menggantikan PPSMI adalah kekal.

Manakala antara catatan kontroversi yang menjadi bualan panas ialah pindaan seksyen 15 AuKu yang dianggap segelintir pihak sebagai ‘kemenangan peribadi’ kepada mahasiswa.

Mahkamah Rayuan pada 31 November lalu memutuskan peruntukan dalam AuKu yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam serta luar negara, adalah tidak sah dan bercang­gah dengan Perlembagaan Persekutuan