Pages

Translate

Monday, October 8, 2012

Murid, guru sertai bengkel tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris


SEBAHAGIAN peserta bengkel Membaca Tambahan melibatkan 30 murid dan 10 guru bersama Natalie Hommerton (duduk tengah) bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, di Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 25 Sept. - Kementerian Pelajaran mengambil inisiatif menganjurkan bengkel Membaca Tambahan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid di negeri itu.
Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Noor Salwara Khairullah berkata, bengkel itu merupakan kerjasama antara Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D); Osaka Gas Foundation for International Cultural Exchange (OGFICE) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Katanya, bengkel bermula semalam sehingga Khamis ini membabitkan 10 guru dan 30 murid dari seluruh negeri ini.
“Bengkel Membaca Tambahan ini dianjurkan sejak 2004 dan sebanyak 40 sekolah di seluruh Sarawak mengambil bahagian.
“Ini merupakan inisiatif kementerian dan badan korporat dalam meningkatkan sistem pendidikan negara agar seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Antara sekolah yang terlibat dalam bengkel itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Binyo; SK Rumah Barrau; SK Entayan; SK Sageng dan SK Tangjung Apong.
Beberapa pengisian lain turut diadakan antaranya sesi motivasi bersama angkasawan negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, melawat Pustaka Negeri dan persembahan drama.
Sementara itu, Pengurus Besar, Operasi dan Kewangan UP&D, Rozita Yusoff berkata, pihaknya bertanggungjawab menjemput ahli panel dari luar negara memberi taklimat kepada guru dan murid-murid.
“Kita membawa seorang guru berpengalaman dari United Kingdom, Natalie Hommerton bagi menunjukkan kaedah betul mengajar dan belajar subjek Bahasa Inggeris.
“Guru tersebut mengendalikan bengkel menggunakan buku cerita bahasa Inggeris yang mana kaedah itu turut digunakan di sekolah-sekolah di London," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120926/pe_01/Murid-guru-sertai-bengkel-tingkatkan-penguasaan-bahasa-Inggeris#ixzz28lFrkE7s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

80 peratus guru amal budaya penyayang di sekolah


KUALA LUMPUR 26 Sept. - Hasil kaji selidik Indeks Persepsi Murid (IPM) yang dijalankan Bahagian Pendidikan Kementerian Pelajaran mendapati lebih 80 peratus guru di negara ini mengamalkan budaya kasih sayang di sekolah.
Menurut Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman, peratusan itu hasil maklum balas lebih 2,000 murid sekolah di seluruh negara yang melaksanakan Program Guru Penyayang sejak Februari lalu.
Beliau berkata, kira-kira 87.5 peratus murid mendapati guru-guru di sekolah adalah penyayang dan mengambil berat terhadap mereka.
“Ia sesuatu yang positif terhadap pengukuhan dan menambah baik Program Guru Penyayang yang sedang dilaksanakan ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Tambah Ab. Rahim, peratusan tersebut bukanlah bermakna bilangan guru selebihnya tidak penyayang tetapi belum mengamalkan sepenuhnya budaya tersebut yang ditekankan menerusi program berkenaan.
“Kami berharap peratusan itu akan meningkat dengan kesemua guru di negara ini mengamalkan budaya penyayang kerana ia merupakan aset dan sifat profesional yang perlu ada pada seorang guru," jelasnya.
Mengulas mengenai konvensyen tersebut, Ab. Rahim berkata, program selama tiga hari bermula semalam itu bertujuan mendapat maklum balas dan pandangan di peringkat sekolah yang melaksanakan program berkenaan bagi mencari kaedah penambahbaikan.
“Ia melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin Jabatan Pelajaran Negeri serta wakil persatuan guru," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120927/pe_01/80-peratus-guru-amal-budaya-penyayang-di-sekolah#ixzz28lFiDipp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

RM100j bantu kecemerlangan SABK


KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Sebanyak 169 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara bakal mendapat manfaat daripada peruntukan RM100 juta melalui Bajet 2013 bagi meningkatkan pembangunan dan tahap pendidikannya.
Timbalan Pengarah Pengurusan Dakwah dan Syiar Islam, Kementerian Pelajaran, Wan Ramdzan Wan Mamat berkata, bajet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sesuatu yang cukup menggembirakan kerana banyak usaha boleh dilaku untuk memacu SABK ke arah lebih cemerlang.
“Alhamdulillah, bajet yang diumumkan itu adalah berita gembira buat semua SABK di mana Bajet disediakan itu secara kasarnya akan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan dan pendidikan SABK," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan majlis penutup program Nadwah Kepemimpinan Islam SABK Kementerian Pelajaran Peringkat Kebangsaan kali ke-2 di sini hari ini.
Program yang bertujuan memantapkan kepimpinan pelajar itu disertai oleh 300 pelajar dan 32 guru pengiring daripada SABK seluruh negara.
Menurut Wan Ramdzan, pihak kementerian berharap lebih banyak sekolah menengah agama berdaftar di bawah SABK bagi memudahkan mereka mendapat bantuan daripada kerajaan.
“Kita akan pujuk sekolah-sekolah yang ada di bawah kerajaan negeri untuk masuk dan berdaftar di sekolah-sekolah kementerian. Misalnya, Julai lalu, sebanyak 25 buah sekolah agama di Johor telah daftar di bawah SABK.
“Ada lagi beberapa negeri lain yang akan mengikut jejak langkah Johor seperti Perak dan Pahang. Di Terengganu, semua Sekolah Menengah Imtiaz telah berada di bawah SABK, cuma namanya masih dikekalkan.
“Apabila berada di bawah SABK, ada peruntukan kerajaan yang besar melibatkan pembangunan. Kita juga ada menempatkan guru-guru terlatih dan memberi latihan kepada guru yang tidak terlatih," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_04/RM100j-bantu-kecemerlangan-SABK#ixzz28lFafmL8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konsep guru penyayang tangani masalah disiplin pelajar


Sebahagian daripada guru yang mengikuti Konvensyen Guru Penyayang 2012 memberi tumpuan kepada ceramah oleh ahli panel dalam program itu di Hotel Ancasa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian Pelajaran merancang membudayakan konsep Guru Penyayang di setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara kerana pelaksanaannya terbukti berkesan dalam menangani gejala disiplin di kalangan pelajar.
Ketua Unit Kaunseling, Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Ab. Rahim Othman berkata, program yang diperkenalkan sejak Februari lalu itu terbukti memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran pelajar.
"Impaknya, pelajar lebih berminat untuk datang ke sekolah setiap hari tanpa berasa sebarang tekanan serta mempunyai hubungan akrab dengan guru dan pihak sekolah.
"Minat itu didorong oleh rasa selesa dengan guru yang sebelum ini dikatakan bersikap garang atau terlalu tegas dengan anak murid mereka,'' katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Guru Penyayang Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Konvensyen itu melibatkan 200 peserta terdiri daripada pengetua dan guru besar, guru kaunseling, guru disiplin, pegawai kaunseling dan disiplin jabatan pelajaran negeri serta wakil persatuan guru.
Menurut Ab. Rahim, konsep Guru Penyayang bertujuan membudayakan sikap kasih sayang di kalangan guru terhadap murid di sekolah dengan harapan besar bahawa murid merupakan aset yang perlu diberi perhatian dan disayangi setiap masa.
Konsep tersebut dilaksanakan melalui tiga amalan iaitu dengan guru-guru mengalu-alukan kehadiran murid ke sekolah, memberi penghargaan kepada murid seperti sambutan hari jadi dan program mentor mentee.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_03/Konsep-guru-penyayang-tangani-masalah-disiplin-pelajar#ixzz28lFP2f78
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Iltizam pecutan akhir hadapi peperiksaan SPM


PARA peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi anjuran Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) bersama Utusan Malaysia begitu teruja dengan suntikan semangat saat akhir menjelang 34 hari Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan rata-rata bersetuju ia mampu menyegarkan semula iltizam masing-masing untuk menggapai kejayaan cemerlang.
Program dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
Pelajar SMK Seri Nibong, Fairuza Nur Syahira Md Idris berkata program itu sangat bermanfaat dan telah menyuntik semangat kepadanya menjel Anak pesara Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang bercita-cita menjadi doktor itu akan memegang kata-kata Dr. Ismail Zain - penceramah Motivasi Utusan Malaysia - bahawa dalam masa 34 hari ini, pelbagai perkara boleh berlaku dan calon masih boleh melakukan perubahan dalam diri masing-masing.
Berbekalkan keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Fairuza yakin mampu mencatat keputusan cemerlang pada SPM nanti.
Rakannya, Umi Raihanah Che Muhamad Nor, bersyukur kerana diberi peluang mengikuti program berkenaan, dan pesan Dr. Ismail bahawa semua orang perlu ada matlamat dalam hidup, membakar semangatnya untuk mengejar cita-citanya.
Muhamad Najwan Hamidi, pelajar Sains Tulen berkata program itu banyak manfaatnya dan tidak membosankan.
Antara inti pati yang menjadi pegangan motivasi kepadanya ialah tiada pelajar yang pandai dan tiada pelajar yang bodoh.
"Kata-kata Dr. Ismail itu akan menjadikan saya lebih bestari, iaitu bestari ketika belajar dan dalam hidup,'' kata anak pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
Muhamad Safwan Mohamad Fakharurazi, peserta dari SMK Jawi memberitahu, program itu menarik perhatiannya kerana kini dia boleh berfikir di luar kotak yang sempit.
"Setiap kali menghadiri program seperti ini, akan menjana pemikiran saya untuk memikirkan perkara- perkara baharu,'' katanya.
Pelajar yang bercita-cita menjadi jurutera bidang teknologi maklumat dan komunikasi itu memuji cara Dr. Ismail menyampaikan ceramahnya yang tidak mengantuk dan mudah difahami.
Nur Syahirah Mohd Fisol juga mengakui suntikan semangat Dr. Ismail banyak memberi suntikan semangat kepadanya pada saat-saat akhir menjelang peperiksaan.
Kata anak seorang peguam itu, masih belum terlewat untuk menambah baik kekurangan diri dalam tempoh sebulan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_02/Iltizam-pecutan-akhir-hadapi-peperiksaan-SPM#ixzz28lFIE2kf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Perlu diperluas ke seluruh negara

Sesi melukis bersama Kartunis Utusan Malaysia, Khazim Sulaiman menjadi salah satu tarikan utama kepada peserta program Kecemerlangan akademik dan Motivasi SMP - Utusan Malaysia di SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin.



Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong di Nibong Tebal, Hasruldani Husain, meyakini program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin - Utusan Malaysia memberi impak besar dari segi meningkatkan motivasi peserta.
Terdapat kewajaran untuk mengembangkan program itu ke seluruh negara, khususnya dalam kalangan pelajar Melayu.
Ketika ini, program berkenaan diadakan di Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan.
Ujarnya, ketika tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya tinggal 34 hari, maka keperluan untuk memberi fokus kepada teknik menjawab soalan akan menjadi faktor kritikal kepada calon.
Kepada beliau, gabungan kemantapan motivasi oleh pakar Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan pengalaman guru-guru pakar subjek merupakan ramuan yang cukup serasi untuk melonjakkan pelajar ke satu tahap baharu yang lebih baik.
"Pelajar selalu menyangka mereka telah cukup bersedia, tetapi setelah mengikuti program seperti ini, mereka mengubah fikiran, sebenarnya masih banyak yang mereka perlu kuasai kalau hendak mendapat semua A,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Teknik menjawab yang betul sepertimana skema pemarkahan adalah satu contoh pengetahuan yang perlu dikuasai pelajar.
Di sekolah, katanya, guru menggandakan usaha menjelang peperiksaan, dan pada setiap hujung minggu pihak sekolah akan menjemput penceramah luar.
Bagi beliau, program pendidikan yang diatur dan dianjurkan oleh pihak Utusan Malaysia memang diikutinya sejak sekian lama, dan apabila wakil SMP menghubungi pihaknya berhubung penganjuran program itu, beliau tidak berpaling lagi.
"Saya sentiasa menggalakkan calon untuk mencuba soalan-soalan yang disediakan oleh Portal Pendidikan Utusan yang mempunyai reputasi yang baik,'' katanya.
SMK Seri Nibong merupakan sekolah kawalan yang terkenal dalam melahirkan atlet acara sukan memanah sebagai sukan berprestasi tinggi.
Bidang kokurikulum turut mengharumkan nama sekolah itu seperti terpilih ke peringkat akhir Forum Remaja Peringkat Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sekolah itu juga muncul selama tiga tahun berturut-turut sebagi terbaik di Seberang Prai Selatan dan lapan yang terbaik di Pulau Pinang.
Antara yang membantu meletakkan sekolah di atas podium termasuklah guru sekolah sendiri yang mempraktikkan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan dan berstamina.
"Sebagai contoh, jika ada program akademik, mereka akan menunggu sehingga habis program,'' ujar beliau yang mula mengajar di situ sejak 1999.
SMK Seri Nibong mula beroperasi pada 1998.
Peratus lepasan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) turut membanggakan, sambil memberi contoh kalau 170 calon lepasan SPM, 120 berjaya melanjutkan pelajaran.
Beliau memberitahu, pada tahun ini, seramai 177 pelajar sekolah itu menduduki kertas SPM, dan 80 daripadanya menghadiri program anjuran SMP-Utusan Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121001/pe_01/Perlu-diperluas-ke-seluruh-negara#ixzz28lF3auqa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pendekatan kreatif cetus minat


Guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd. Isa menggunakan pendekatan inovatif dan kreatif untuk mengajar teknik menjawab soalan peperiksaan SPM dalam Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi SMP-Utusan Malaysia di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.



PELBAGAI kaedah penyampaian inovatif dan kreatif oleh para penceramah profesional menjadikan Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin dan Utusan Malaysia berada dalam kelasnya tersendiri - selain tidak membosankan.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal dekat Kota Bharu, Kelantan, penceramah subjek kertas Bahasa Malaysia, Marzuki Mohd Isa menselangselikan penyampaiannya dengan lawak jenaka, persembahan multimedia dan paling istimewa, secara spontan menyanyikan lagu ciptaan asal Freddie Aguilar iaitu 'Anak' secara minus one.
Marzuki, dengan pakaian kasual santai, memakai reben hitam, berseluar jeans dan kemeja merah, membuka lantai dengan pantun, perumpamaan, pepatah yang menarik sehingga sesi sebelah petang menjadi hidup dan berkesan.
Sebagai guru pakar Bahasa Malaysia, Marzuki menurunkan segala ilmu tentang persiapan yang sewajarnya ada pada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menduduki kertas Bahasa Malaysia dan seterusnya mendapat A+.
Antaranya, beliau mencadangkan calon menjawab Bahagian B yang memberi 100 markah berbanding bahagian A yang berupa karangan berdasarkan bahan rangsangan.
Beliau mengupas secara terperinci semua aspek penting dalam kertas Bahasa Malaysia, dan sebahagiannya perlu dihafal supaya calon tidak membuang masa sepanjang 90 minit nanti.
Program kali ini dihadiri oleh 200 calon SPM daripada sembilan buah sekolah iaitu SMK Cengal, SMU (A) Al-Kauthar, SMK Kadok, SMK Long Ghaffar, SMK Pangkal Kalong, SMK (A) Melor, SMK Kok Lanas, SMK Ketereh dan SMK Melor.
Sekretariat Malaysia Prihatin merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang aktif menjalankan aktiviti kesukarelawanan, khususnya dalam kalangan pendidikan.
Lebih 30,000 pelajar sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program berkenaan sejak lebih tiga tahun lalu.
Sementara itu, penyelaras program yang juga penceramah motivasi Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain menasihati pelajar agar terus berusaha tanpa jemu dan dalam masa yang sama meminta ibu dan bapa mendoakan kejayaan menjelang peperiksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121008/pe_01/Pendekatan-kreatif-cetus-minat#ixzz28lEm9Sh2
© Utusan Melayu (M) Bhd