Pages

Translate

Wednesday, December 14, 2011

Alumni: Muhammad Zhariff sumber inspirasi

  • Foto
    MUHAMMAD Zhariff bersama ibunya Mariatul Akmar.
  • Foto
    Muhammad Zhariff bersama Ahmad Shabery pada majlis pelancaran BTB di Loundry The Curve.
  • Foto
    Muhamm ad Zhariff memasukkan kertas harapan ke dalam Secret Box.
"SEJAK kecil, Zhariff sudah menunjukkan kegigihan dan semangat kuatnya hingga ada kala saya lupa dia dilahirkan tanpa tangan. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan, ketika umur enam tahun dia menunjukkan keupayaan berdikari untuk bergerak dan mengurus diri kepada guru besar yang pada awalnya menolak permohonan masuk ke sekolah dengan alasan tiada kemudahan untuk orang kelainan upaya. 

“Saat itu saya sudah ‘nampak’ apa yang mampu dia lakukan pada masa depan,” kata Mariatul Akma Abdullah Shan, ibu kepada Muhammad Zhariff Afandi, 30.


Naluri keibuan itu ternyata benar. Muhammad Zhariff kini dikenali kerana pembabitan aktifnya dalam pelbagai program pembangunan masyarakat dan bantuan kemanusiaan dalam dan luar negara.
Antaranya, beliau menganjurkan program sukarelawan membantu mangsa tsunami di Acheh, Indonesia dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan bagi menyelaras dan membangunkan program bantuan serta pemulihan masyarakat wilayah itu selama sembilan bulan.

Lulusan Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) dan Universiti Griffith, Australia itu juga pernah menganjurkan siri acara persembahan muzik ‘The Burma Blaster Sound Sessions’ di Australia bagi mengumpul dana membantu mangsa bencana alam di Myanmar pada 2007.

Muhammad Zhariff turut aktif menyokong kempen kesedaran kanser payudara, Pink Ribbon Deeds selain menyumbang kepada pembangunan Kelab Rekreasi dan Berkuda Denai Alam, Selangor; sebagai pusat rekreasi mampu dinikmati pelbagai golongan masyarakat.

Keupayaan berdikari dan melakukan pelbagai inisiatif kemasyarakatan dengan pergerakan yang banyak bergantung kepada kakinya saja termasuk terbaru melengkapkan acara renang 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Marang, Terengganu dalam tempoh dua jam 47 minit saja pada April lalu menjadikan beliau sumber inspirasi terutama bagi golongan belia. 
Semangat kentalnya untuk berdikari juga terbukti apabila memilih menjalankan perniagaan sendiri, The Zhariff Initiative Sdn Bhd (TZI), sejak 2005 dengan sokongan keluarga bagi menawarkan perkhidmatan sesi perkongsian, The Giving a Hand with a Foot, untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemampuan diri serta menjalani hidup yang lebih bermakna.

Muhammad Zhariff berkata, antara pengisian program itu ialah perkongsian mengenai bagaimana beliau membina kekuatan minda bagi membolehkannya hidup berdikari dan menjalankan program kemasyarakatan. 

“Memiliki kelayakan pembangunan psikologi dan pendedahan menerusi pelbagai program kemasyarakatan, semuanya saya kongsi menerusi sesi ini dengan harapan dapat menyuntik semangat individu untuk keluar daripada zon selesa bagi memaksimumkan potensi diri.

“Selain pembangunan individu, pembangunan sosial dan masyarakat serta tanggungjawab sosial korporat antara aspek ditekankan dalam sesi perkongsian TZI. Sambutan orang ramai terhadap program TZI setakat ini memberangsangkan termasuk syarikat korporat, contohnya Bank Simpanan Nasional, Maybank, Kementerian Belia dan Sukan, Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Aids Malaysia serta Save The Children Australia,” katanya.

Muhammad Zhariff berkata, selain keyakinan diri yang tinggi dan mengamalkan minda positif, langkah awal membina rangkaian sejak pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) antara faktor kejayaannya kini.

Ketika mengikuti pengajian di KDU, beliau sering menganjurkan program kemasyarakatan termasuk menjadi ketua penyelaras Kempen Hari Aids Sedunia, Festival Seni dan Kempen Blankets for Life bagi menimba pengalaman serta mendapat pendedahan awal.

“Walaupun berbeza, saya tidak pernah mengasingkan diri, sebaliknya berkawan dengan seramai mungkin pelajar di KDU serta ketika melanjutkan pengajian di Australia. Rakan-rakan di IPT yang kini membina kerjaya dalam pelbagai bidang serta memegang jawatan tinggi dalam pelbagai organisasi adalah rangkaian saya yang memudahkan penganjuran program dirancang,” katanya.

Bantu kembangkan potensi generasi muda

PRIHATIN dengan pembangunan golongan belia, Ketua Pegawai Eksekutif The Zhariff Initiative Sdn Bhd (TZI), Muhammad Zhariff Afandi, melancarkan siri jelajah Breaking The Barrier (BTB), baru-baru ini dalam usaha menyuntik semangat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memaksimumkan potensi diri.

Kira-kira 3,500 pelajar di lima IPT akan mendapat manfaat menerusi program itu bermula Februari hingga April tahun depan tanpa dikenakan sebarang caj.

Lima IPT terbabit adalah Kolej SEGi Subang Jaya pada 8 Februari, Kolej Universiti Damansara Utama (15 Februari), Kolej Universiti HELP (14 Mac), Kolej Universiti SEGi (4 April) serta Universiti Putra Malaysia (28 Mac).

Muhammad Zhariff berkata, beliau dan beberapa selebriti tempatan termasuk Sazzy Falak, Harith Iskandar, Atilia dan usahawan Ellynita Lamin akan berkongsi pengalaman serta usaha mereka mencapai kejayaan.

“Saya pernah bergelar pelajar dulu dan saya faham banyak kebimbangan mereka, contohnya, mereka tidak tahu hendak buat apa selepas tamat pengajian serta bimbang masa depan mereka.

“Menerusi BTB, saya mahu memberi inspirasi kepada pelajar supaya jangan mengalah dengan halangan dan cabaran untuk mencapai kerjaya atau perkara yang ingin dilakukan sebaliknya berusaha tanpa mengenal jemu bagi menjayakannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jelajah BTB di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hadir menyempurnakan program berkenaan.

Acara sampingan pada majlis itu termasuk PostSecret Malaysia dan Million Happy Faces Project juga akan diadakan sempena siri jelajah itu.

Untuk keterangan lanjut, layari laman sesawang www.thezhariffinitiatives.com.my.

PROFIL: Muhammad Zhariff Afandi

Tarikh lahir: 7 Disember 1981

Akademik:

  • Ijazah Seni (Pengkhususan Sosiologi) KDU

  • Pembangunan Psikologi Universiti Griffith, Australia

    Kerjaya:

  • Ketua Pegawai Eksekutif The Zhariff Initiative Sdn Bhd (TZI), Muhammad Zhariff Afandi

    Pencapaian:

  • Anugerah Belia Perdana (Pencapaian Luar Biasa) 2011

  • Wakil Kementerian Belia dan Sukan dalam Majlis Pembangunan Belia Kebangsaan

  • Ahli Jawatankuasa Pemikir Program Transformasi Ekonomi - Pembangunan Belia
    Pengarah penganjuran Burma Blaster Sound Sessions

  • Anugerah Belia (Sosial dan Komuniti) Kementerian Belia dan Sukan 2006

  • Ketua Perhubungan Antarabangsa Sukarelawan GEMMA 9 di Acheh

  • Pemenang Pertandingan Video MTV Hari Aids Sedunia One World Org. 2004

  • Hos rancangan televisyen Rice Mice Kids Show- 1995

  • Kapas-Marang International Swimathon - 24 April 2011. 
  • Gaya Hidup: Ekstival KUIS dedah pengalaman berniaga

    • Foto
      Mohamad Naim (empat dari kiri) melayan pelanggan yang hadir digerainya.
    • Foto
      Pelajar KUIS sibuk melayan para pelanggan yang hadir ke gerai masing-masing.
    KEHIDUPAN di kampus menawarkan 1,001 peluang menimba pengalaman bagi pelajar yang bijak memanfaatkannya terutama apabila pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) kini banyak membuka peluang dan kepercayaan kepada mahasiswa untuk terbabit dalam penganjuran programnya. 

    Contohnya, Ekspo dan Festival (Ekstival) sempena konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) baru-baru ini meriah dengan penyertaan pelajar yang turut membuka gerai jualan.


    Selain menjual makanan dan minuman, pelajar IPT itu turut menawarkan pelbagai barangan termasuk buku, majalah, permainan, alat tulis, aksesori wanita dan pakaian.
    Penyertaan penuntut dalam program itu saluran berkesan bagi membudayakan keusahawanan serta sikap berani mengambil risiko apabila melaburkan sejumlah wang sebagai modal untuk menjayakan perniagaan yang berlangsung selama tiga hari saja.

    Persatuan Mahasiswa Akademi Islam antara kumpulan pelajar yang tidak ketinggalan memanfaatkan peluang itu dengan menjual makanan, aksesori wanita serta alat tulis.

    Ketua Lajnah (Unit) Ekonominya, Mohamad Naim Zahari, 20, berkata kira-kira 15 ahli persatuan itu bekerjasama membuat persediaan membuka gerai jualan berkenaan seminggu sebelum Ekstival berlangsung.

    Katanya, setelah tiga hari berniaga, mereka berjaya mendapatkan kembali modal dilaburkan berserta sedikit keuntungan, namun, pengalaman dan kemahiran dibangunkan menerusi penyertaan dalam Ekstival itu dianggap lebih berharga. 
    “Kami membahagikan tugasan mendapatkan barangan daripada pembekal, membangunkan gerai di tapak ekspo serta membeli buah menggunakan modal sendiri. 

    “Seronok apabila mendapat pendedahan pengalaman berniaga menerusi program IPT seumpama ini dan yang mencabar pastinya apabila rakan-rakan meminta diskaun tetapi kami tetap berpegang kepada prinsip perniagaan, tiada keistimewaan diberi kepada kenalan, harga ditawarkan sama dengan pengunjung lain,” katanya.

    Sementara itu, Kelab Perakaunan KUIS juga membuka gerai jualan yang menawarkan pelbagai buku ilmiah serta majalah lama untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pengunjung.

    Ahli kelab itu, Norhisham Suman, 20, berkata mereka memilih buku sebagai barangan jualan bagi membolehkan pengunjung mendapat kepelbagaian pilihan berbanding kebanyakan pelajar lain yang memilih penjualan barangan makanan, pakaian dan perhiasan.

    Katanya, kelebihan mempunyai ahli kelab yang mempunyai bapa peniaga buku memudahkan mereka mendapatkan bekalan barangan itu.

    “Kami memilih buku terbitan Telaga Biru bagi menarik pengunjung dan dengan niat menawarkan mereka peluang menambah pengetahuan bermanfaat selain mencipta kelainan berbanding peniaga lain.

    “Selain buku, kami turut menjual barangan permainan termasuk Dam Angry Bird yang mendapat sambutan hangat. Kami bukan saja dapat menambah duit poket dengan berniaga sempena program IPT ini tetapi turut memanfaatkan pengetahuan dipelajari dalam bidang kami termasuk penyediaan penyata untung rugi serta pengiraan nisbah keuntungan,” katanya.

    Walaupun tidak membuka gerai sendiri, pelajar program Komunikasi, Saidatun Najah Khairul Anuar, 19, menjadi pembantu jualan di gerai peniaga luar bagi menambah duit kocek selain meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

    “Upah diberi agak lumayan iaitu RM5 sejam dan pada masa sama membolehkan saya meningkatkan kemahiran berkomunikasi apabila membantu pelanggan memilih pakaian dan beg ditawarkan di gerai ini.

    “Pengalaman seumpama ini memberi saya keyakinan dan menyuntik minat membuka perniagaan pakaian sendiri pada masa depan,” katanya. 

    Sukan: Sepak takraw kembali popular di IPT

    GAMBAR atas, KERIS yang menggabungkan petugas akhbar, majalah, radio, TV dan laman web sekitar Lembah Klang, memeriahkan
Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-KPT Ketiga di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini. Gambar bawah, DAUD (dua dari kanan) menyerahkan Piala Sumbangsih Milo-Keris kepada wakil
pasukan UTHM.
    GAMBAR atas, KERIS yang menggabungkan petugas akhbar, majalah, radio, TV dan laman web sekitar Lembah Klang, memeriahkan Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-KPT Ketiga di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini. Gambar bawah, DAUD (dua dari kanan) menyerahkan Piala Sumbangsih Milo-Keris kepada wakil pasukan UTHM.
    UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, baru-baru ini membabitkan lima kategori iaitu Terbuka, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bawah 15 dan 18 tahun serta Wanita.

    UiTM dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut mengadakan pertandingan sepak takraw membabitkan Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (KERIS) dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan itu.


    Selepas empat jam mengharungi pertarungan format liga sepusingan, ‘jaguh’ dalam kalangan media akhirnya terjawab dan habuan juara RM1,000 menjadi milik regu Utusan-Astro yang diwakili Mohd Shuib Ab Latip, Muhamad Hairul Kusdi dan Alisaifuddin Kamis.
    Mantap di ketiga-tiga posisi tekong, pelibas dan pengumpan, mereka kekal tanpa kalah selepas mengharungi empat perlawanan sambil mengumpul lapan mata dengan mengatasi RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto 2-0.

    Gandingan eksekutif akaun Utusan Airtime Sdn Bhd, juruteknik Jabatan Pengeluaran Utusan dan penyelia Astro itu menewaskan RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto masing-masing dengan 2-0 (16-14, 15-12); (15-13, 15-7); (15-9, 15-13) dan (15-5, 15-10).

    Naib juara yang menawarkan hadiah tunai RM750 dimenangi RTM-Filem Negara yang diwakili Azmi Khamis, Manja Bah Lunggok dan Muhammad Haffizul Ibrahim, sementara tempat ketiga dengan nilai hadiah RM500 diraih MDAG-RTM menerusi Daud Abdullah, Mohamad Naquib Idris dan Wan Mohd Noraffandi Wan Mohd Ghazali.

    Blogger bolarotan.com, Mohsen Amdan yang membentuk regu Percetakan-Bolarotan di samping Akhrun Musa dan Nazizul Najhan Shaarani berada di tangga keempat, diikuti pasukan Media Prima-Moto yang diwakili Rahmad Abu Awang, Maznan Muhd Mapot Muhamad Mahfud dan Mohd Izzuddin Kamaruddin. 
    Hadiah karnival empat hari yang bernilai hampir RM15,000 turut ditaja Pallas Rejam itu disampaikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Abdul Rahman Palil. Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UiTM, Mustaza Ahmad.

    Sementara itu, di Batu Pahat, Johor, UTHM menganjurkan pertandingan sepak takraw dengan KERIS pada 12 November yang mempertandingkan Piala Sumbangsih Milo-KERIS yang akhirnya menjadi milik tuan rumah perlawanan persahabatan itu.

    UTHM yang memiliki beberapa bekas pemain negeri Johor, menang 3-2 dalam perlawanan format berpasukan (lima regu), sekali gus menebus kekalahan 3-4 mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum ini yang turut menjadi gelanggang sesi latihan mingguan Keris.

    Penolong Pengurus pasukan KERIS, Daud Abdullah, berkata lebih banyak pertandingan sepak takraw perlu dianjurkan bagi memastikan sukan tradisi itu tidak tenggelam di tengah-tengah kemunculan pelbagai sukan moden yang mengalih tumpuan generasi muda.

    “Ramai pemain handalan bertaraf negeri pernah mencipta nama di bandar ini dan diharap kehadiran perlawanan persahabatan UTHM-KERIS dapat membawa kesinambungan itu.

    “Namun seperti sukan lain yang sudah glamor, sepak takraw juga memerlukan suntikan penajaan, justeru ucapan terima kasih tidak lupa diucapkan kepada Milo selaku penaja hadiah dan cenderamata perlawanan ini,” katanya.

    Syarikat jenama minuman ringan berkarbonat, Pitaberry dan air minuman hidup pintar bertenaga gelombang, EVPi turut menyumbang tajaan bagi menjayakan pertandingan itu. 

    Tuesday, December 13, 2011

    Sekitar Kampus: Pameran tingkat kesedaran umat sejagat

    • Foto
      Abdul Elaziz (dua dari kiri) ketika merasmikan Zirkon @ 7 Pameran Seni Visual di Galeri Shah Alam, baru-baru ini.
    • Foto
      Abdul Elaziz (tiga dari kanan) tertarik dengan karya yang dipamerkan.
    UNIVERSITI Selangor (UNISEL) mengadakan Pameran Seni Visual, Zirkon@7 di Galeri Shah Alam baru-baru ini, bagi menzahirkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis menerusi lebih 200 karya seni bertema 'Derita Rasa Gaza'.

    Pameran hampir sebulan itu menggabungkan hasil seni barisan tenaga pengajar Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UNISEL serta Fakultas Seni Rupa dan Desain Universitas Trisakti, Jakarta, Indonesia.

    Duta Besar Palestin ke Malaysia, Abd Elaziz Abu Ghouse menyempurnakan upacara perasmian pameran itu. Hadir sama, Pemangku Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dr Anuar Ahmad.
    Kotak derma mengajak pengunjung melakukan amalan menderma, manakala kotak derita sentiasa penuh menterjemah rintihan penduduk Palestin yang membuak dan masih belum ada kesudahan. - Ellyna Hashim, Ketua Program Seni Reka Grafik Digital, Unisel
    Antara karya menarik perhatian pada pameran itu adalah hasil kreativiti Ketua Program Seni Reka Grafik Digital, Ellyna Hashim, yang meletakkan dua kotak yang dilabelkan Derma Gaza yang hampir kosong sementara satu lagi dinamakan Tabung Derita Gaza yang dipenuhi lebih 1,000 artikel berkaitan penderitaan masyarakat Palestin.

    Beliau mengetengahkan dua tabung derma itu sebagai simbolik mempersoalkan sumbangan kepada masyarakat Palestin yang tidak sampai kepada golongan sasarannya kerana disekat rejim Zionis sementara Tabung Derita Gaza terus diisi dengan kisah penderitaan masyarakat negara itu seperti dilaporkan akhbar Jerusalem Post dan Berita Harian.

    “Kotak derma mengajak pengunjung melakukan amalan menderma, manakala kotak derita yang sentiasa penuh menterjemah rintihan penduduk Palestin yang membuak dan masih belum ada kesudahan,” katanya ketika ditemui di pameran itu baru-baru ini.

    Sementara itu, pensyarah dari Indonesia, Agus Nugroho, menghasilkan lukisan akrilik untuk pameran itu dengan rupa bentuk kebebasan, garis keadilan serta warna ideologi disusun atur dalam ruang keamanan. 
    “Penggemblengan tenaga pensyarah Malaysia dan Indonesia bagi menjayakan pameran ini adalah inisiatif yang wajar dipuji kerana ia menggalakkan pertukaran idealisme antara kedua-dua universiti serta pengembangan pendidikan.

    “Ia juga memberi peluang kita sebagai bangsa serumpun untuk meluahkan pandangan dan berkongsi rasa terhadap apa yang berlaku di Gaza, Palestin seperti dipaparkan dalam media.

    “Karya seni yang diketengahkan menerusi pameran ini diharap membangkitkan kesedaran umat sejagat untuk membantu mereka yang teraniaya di Gaza,” katanya.

    Sejajar objektif pameran untuk tujuan amal itu, 50 peratus hasil jualan karya seni menerusi program itu akan disumbangkan kepada rakyat Palestin menerusi badan amal Palestin di negara ini.

    Kerjaya: Bakat rekaan fesyen pelajar Kolej Komuniti terserlah

    GAMBAR atas, Barisan pemenang
Pertandingan Busana Kontemporari Kolej Komuniti 2011 bergambar bersama peragawati. Gambar bawah, S
azlena meraih tempat pertama dalam Pertandingan Busana Kontemporari Kolej Komuniti 2011 baru-baru ini.
    GAMBAR atas, Barisan pemenang Pertandingan Busana Kontemporari Kolej Komuniti 2011 bergambar bersama peragawati. Gambar bawah, S azlena meraih tempat pertama dalam Pertandingan Busana Kontemporari Kolej Komuniti 2011 baru-baru ini.
    "Bagaikan pereka profesional". Itulah antara pendapat daripada sebahagian besar penonton yang hadir menyaksikan Pertandingan Busana Kontemporari Kolej Komuniti 2011 yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, baru-baru ini.

    Pujian harus diberikan kepada pelajar Sijil Fesyen dan Pakaian, Kolej Komuniti seluruh negara yang berjaya mempamerkan hasil rekaan tersendiri menggunakan idea kreatif masing-masing. Sebanyak 18 penyertaan daripada 15 Kolej Komuniti yang menjalankan program fesyen dan pakaian.


    Peserta terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Arau, Baling, Bukit Mertajam, Grik, Manjung, Selayang, Sabak Bernam, Bukit Beruang, Pagoh, Pasir Gudang, Mentakab, Raub, Kuala Terengganu, Jeli dan Kuching.
    Pertandingan ini juga dilihat satu landasan terbaik kepada peserta menunjukkan bakat mereka kepada pengamal fesyen terutama fesyen Muslimah yang kini semakin mendapat sambutan orang awam. - Rosli Idris, Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam.
    Bertemakan busana Muslimah Arab, pertandingan ini bertujuan memperagakan hasil kerja pelajar program terbabit sekali gus menyediakan satu peluang kerjaya terbaik kepada mereka.

    Selain itu, pertandingan ini turut memberi peluang kepada pelajar menggunakan segala kepakaran mereka dalam kursus pengajian yang diambil dengan peserta akhir perlu membuktikan keupayaan masing-masing dalam pertandingan itu.

    Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam, Rosli Idris yang mewakili Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi merasmikan pertandingan itu berkata, pertandingan seperti ini seharusnya digalakkan.

    “Kesungguhan yang ditunjukkan kesemua peserta dalam bidang fesyen berjaya membuktikan keupayaan masing-masing. 
    Pertandingan ini juga dilihat satu landasan terbaik kepada peserta menunjukkan bakat mereka kepada pengamal fesyen terutama fesyen Muslimah yang kini semakin mendapat sambutan orang awam,” katanya,

    Kesemua rekaan diadili oleh beberapa juri profesional yang mempunyai nama dalam bidang masing-masing iaitu Salikin Sidek, Adnan Hassan, Hamidah Suwal dan Farah Adeeba Mohd Ashraf.

    Pertandingan Busana Kontemporari Kolej Komuniti 2011 menyaksikan pakaian Muslimah Arab bertemakan ‘Sense Of Nabawi Arch’ hasil rekaan Sazlena Samad dari Kolej Komuniti Temerloh berjaya meraih tempat pertama mengalahkan 17 penyertaan lain.

    Sazlena, 20, menerima wang tunai RM500, plak dan sijil penyertaan. Tempat kedua disandang pelajar Kolej Komuniti Jeli, Ummu Radiah Ayub, 23, dengan tema ‘Flirting With Luxury’ yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM400, plak dan sijil penyertaan.

    Tempat ketiga dimenangi peserta dari Kolej Komuniti Sabak Bernam, Siti Rohayu Sani, 19, melayakkan beliau menerima wang tunai RM300, plak dan sijil penyertaan dan bagi penerima sagu hati masing-masing menerima RM50 berserta sijil penyertaan. 

    Inovasi & Kreatif: Kolagen kulit ikan tilapia untuk kosmetik, kesihatan

    GAMBAR atas, JAMILAH (tiga dari kanan) bersama wakil UPM dan Bionic Lifesciences dipameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Gambar bawah,  PENGUNJUNG pameran BioMalaysia melihat kolagen akuatik dihasilkan UPM.
    GAMBAR atas, JAMILAH (tiga dari kanan) bersama wakil UPM dan Bionic Lifesciences dipameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Gambar bawah, PENGUNJUNG pameran BioMalaysia melihat kolagen akuatik dihasilkan UPM.
    MASYARAKAT kini mula menyedari kepentingan kolagen bagi memelihara keremajaan dan keanjalan kulit serta mendapatkan bentuk badan menarik.

    Justeru, tidak hairan pelbagai rangkaian produk kesihatan dan kecantikan yang mengandungi protein itu mendapat sambutan memberangsangkan. Namun, kebanyakan produk berkenaan diimport dan dikhuatiri sumber kolagennya daripada khinzir atau haiwan lain yang diragui status halalnya


    Menyedari isu itu, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kajian menghasilkan kolagen daripada kulit ikan tilapia.
    Kami ialah yang pertama di rantau ini yang menghasilkan kolagen akuatik yang benar-benar diyakini status halalnya. - Prof Dr Jamilah Bakar
    Pengarah projek kajian itu, Prof Dr Jamilah Bakar, berkata kolagen akuatik berkenaan boleh digunakan dalam bentuk minuman atau makanan, contohnya, produk minuman burung walit. 

    Penyelidikan 12 tahun itu juga bakal dikomersialkan menerusi kerjasama antara UPM dengan Bionic Lifesciences Sdn Bhd (Bionic Lifesciences) yang antara lain membabitkan pembinaan kilang pengekstrak kolagen halal daripada kulit ikan tilapia yang pertama di rantau ini.

    Jamilah berharap hasil penemuan itu memberi perspektif baru kepada pengguna kolagen halal dalam produk kosmetik atau makanan tambahan selain menyokong industri halal negara. 

    “Masyarakat kini mula menyedari kepentingan kolagen yang berfungsi memelihara kecantikan kulit, mempercepatkan penyembuhan luka serta membantu memulihkan kekenyalan otot dan masalah sendi. 
    “Pelbagai rangkaian produk berasaskan kolagen dijual di pasaran, namun difahamkan tiada sumber kolagen yang dihasilkan dalam negara dan menyebabkan ia banyak diimport dari China dan Korea Selatan yang diragui status halalnya.

    “Kami adalah yang pertama di rantau ini yang menghasilkan kolagen akuatik yang benar-benar diyakini status halalnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan Bionic Lifesciences sempena Pameran BioMalaysia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    MoU itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Ir Dr Mohd Saleh Jaafar manakala Bionic Lifesciences diwakili Pengarahnya, Ir Mohd Salleh Yahya.

    Mengulas teknologi pengekstrakan kolagen akuatik itu, Jamilah berkata ia membabitkan empat peringkat iaitu pembersihan kulit ikan, pengekstrakan menghasilkan kolagen, pembersihan kolagen dan penghasilan serbuk kolagen.

    Katanya bagi peringkat pertama, kulit ikan dibersihkan untuk menghilangkan kotoran dan lendir menggunakan beberapa bahan kimia tidak berbahaya. 

    “Ketika proses pengekstrakan, ia juga menggunakan beberapa gabungan bahan kimia bergantung kepada kulit ikan dan kolagen yang ingin dihasilkan. Sesetengah kulit ikan akan menghasilkan kolagen yang bergred tinggi dan yang lainnya menghasilkan kolagen bergred sederhana dan rendah.

    “Kos untuk mengekstrak juga berbeza kerana menggunakan bahan kimia yang berbeza bergantung kepada jenis kulit ikan,” katanya. 

    Beliau berkata proses pembersihan bahan kolagen juga dilakukan dalam beberapa peringkat bagi meningkatkan peratus kandungan kolagen bergantung kepada produk yang ingin dihasilkan sama ada untuk makanan atau farmaseutikal. 

    “Kolagen untuk produk farmaseutikal agak remeh dan memerlukan tiga hingga empat proses berbanding makanan,” katanya.

    Jamilah berkata, peringkat terakhir membabitkan kaedah pengeringan dan pembekuan dan kebanyakan kolagen dihasilkan menggunakan kaedah pengeringan bagi menghasilkan serbuk kolagen sebelum dibungkus dan dikategorikan mengikut produk yang ingin dihasilkan.