Translate
Thursday, November 17, 2011
Rabun teruk tidak halang dapat 5A
JOHOR BAHRU 17 Nov. - Kekurangan diri tidak sedikit pun melunturkan semangat Muhammad Syakir Shamsudin, 12, dalam pelajaran sebaliknya dia yang rabun sejak di bangku sekolah mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2011 yang diumumkan hari ini.
Muhammad Syakir berkata, dia disahkan rabun oleh doktor setelah ibu bapanya menghantarnya ke hospital selepas menunjukkan kemerosotan di dalam pelajaran akibat masalah penglihatannya.
''Saya tidak pernah melihat kekurangan pada diri saya sebagai penghalang malah mahu membuktikan saya juga mampu berjaya seperti pelajar normal lain.
''Saya juga amat berterima kasih kepada para guru dan rakan-rakan yang banyak membantu saya di dalam pelajaran hinggalah saya mendapat 5A," kata anak keenam daripada tujuh beradik itu ketika ditemui selepas majlis pengumuman keputusan UPSR di Jabatan Pelajaran Johor di sini hari ini.
Dia yang juga pengawas Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani, Kota Tinggi, berhasrat untuk menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan bercita-cita untuk menjadi doktor haiwan.
Sementara itu, bagi Megan Soo Wei Wei, 12, yang menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Uda 2 di sini tidak menyangka untuk mendapat 5A.
Katanya, meskipun hanya dia seorang pelajar keturunan Cina yang mengambil peperiksaan UPSR di sekolah berkenaan, namun ia bukanlah masalah besar baginya.
''Sejak darjah satu lagi saya sudah bersekolah di sini dan saya sudah biasa berkawan dan mengulang pelajaran bersama-sama rakan yang majoritinya Melayu.
''Malah guru juga banyak membantu saya di dalam pelajaran dan hasilnya saya mendapat 5A," katanya.
Seramai 5,753 atau 9.76 peratus daripada 58,923 calon yang menduduki UPSR 2011 di negeri ini memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment