Pages

Translate

Thursday, December 1, 2011

Dana Impian

SEBAHAGIAN peserta yang terpilih mengikuti pemilihan akhir HDF menjalankan kegiatan sukan.
SEBAHAGIAN peserta yang terpilih mengikuti pemilihan akhir HDF menjalankan kegiatan sukan.

SEJAK diperkenalkan lima tahun lalu, Dana Impian Honda (HDF) berjaya merealisasikan cita-cita 100 pelajar daripada keluarga miskin yang hampir gagal melanjutkan pengajian ke universiti dan kini sebahagian besarnya berjaya dalam pelbagai kerjaya.

Honda bantu realisasikan impian pelajar miskin

KEKANGAN kewangan sering kali menjadi punca ramai pelajar gagal mengejar impian menggenggam segulung ijazah, sekali gus meranapkan cita-cita yang dibina sejak kecil untuk memohon kerja dalam bidang tertentu.
Honda Malaysia mengadakan siri penjelajahan merentasi kawasan terpencil untuk mencari penerima HDF di seluruh negara sepanjang Januari hingga Mac lalu dan dalam tempoh itu 1,700 permohonan diterima sebelum memilih 20 peserta terbaik. - KYoichiro Ueno, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda Malaysia Sdn Bhd
Namun, sejak 2007 seramai 100 pelajar daripada keluarga miskin terpilih menerima biasiswa Dana Impian Honda (HDF) untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara.

Tahun ini, 20 pelajar bertuah terpilih menerima dana berkenaan dan seorang daripadanya ialah orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan, Lok Weng Hang. Menerusi dana yang diberikan itu, anak muda berusia 20 tahun berkenaan berpeluang mengikuti pengajian dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain beliau, tiga pelajar pribumi dari Sabah dan Sarawak juga terpilih menerima dana berkenaan iaitu Dona Bernadette Peter, 19, berbangsa Kadazandusun yang bercita-cita menjadi pemuzik; James Kathor Supes Jr, 20, berbangsa Bidayuh yang menyimpan impian menjadi juruterbang helikopter dan pelajar etnik Iban, Raphael Lasun Juwen, 20, (pembantu perubatan).

Penerima lain ialah Ahmad Shahide Ruslan, 20; K Ananthanraj, 20; Chew Boon Kheng, 18; Darshini Balan Pillai, 20; Gerald Andrew Pang Hin Kong, 20; Melati Tabri, 18; Muhammad Kamarul Setapa, 19; Mok Yi Lin, 19; Mukhvinder Singh Sermen Singh, 19; dan Nurul Amalina Mohd Kamal, 19.
Turut menerima biasiswa itu ialah Nur Zakiah Kamelah Yusof, 22; Nuryn Sorfena Saupi, 19; Priyadarshini Maganathan, 20; Salini Kanapathy, 23; Sim Jun Nie, 20; dan Siva Malar Ganasen, 22.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia), Yoichiro Ueno, berkata beliau yakin semua penerima biasiswa itu mampu membina kerjaya cemerlang kelak.

“Tahun ini, kita menyambut peristiwa penting kejayaan menaja 100 penerima biasiswa HDF sejak diperkenalkan lima tahun lalu. Bagaimanapun, kita bukan saja meraikan nombor, sebaliknya kehidupan anak muda dari seluruh pelusuk Malaysia yang mampu meningkatkan ekonomi keluarga hasil biasiswa ini.

“HDF berkembang dan menjelajah pelusuk negara ini untuk mencari penerima berkelayakan terutama dalam kalangan keluarga miskin sejak 2007,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Varsiti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ueno berkata, konglomerat itu berusaha menyediakan anak muda kepada persekitaran yang berdaya saing menerusi cara hidup lebih baik untuk diri dan keluarga pada masa depan.

“Honda Malaysia mengadakan siri penjelajahan merentasi kawasan terpencil untuk mencari penerima HDF di seluruh negara sepanjang Januari hingga Mac lalu dan dalam tempoh itu 1,700 permohonan diterima sebelum memilih 20 peserta terbaik,” katanya.

Proses pemilihan penerima biasiswa HDF diuruskan oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang sekali gus membuktikan program pembasmian kemiskinan menerusi pendidikan itu diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Tindakan Wanita (AWAM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bersama Honda Malaysia turut menjadi panel penasihat bebas untuk membuat pemilihan pelajar dan laporan itu kemudian diserahkan kepada UNDP.

Sejak diperkenalkan, HDF memberi biasiswa kepada pelajar pelbagai kaum sejajar gagasan 1Malaysia dan pelajar berkenaan mengikuti pengajian antaranya dalam profesion juruterbang, jurutera, guaman, pensyarah, pertanian moden dan bioteknologi.

Dua penerima sebelum ini, iaitu Jaswant Singh, 23, kini menjadi juruterbang di syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, manakala Ahmad Azuan Ton Mohamed, 22, juruterbang pesawat Firefly, anak syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Dalam pada itu, UNDP terus komited untuk menyokong usaha membantu masyarakat yang terpinggir dan kurang bernasib baik, selaras dengan matlamat `Millennium Development Goal 1’ ke arah `membasmi kemiskinan dan kelaparan’.

Wakil UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei, Kamal Malhotra, berkata pendidikan boleh menyumbang kepada matlamat itu kerana generasi muda yang berpendidikan tinggi mampu membentuk kerjaya sekali gus mengubah sosioekonomi keluarga.

“Honda Malaysia menerusi HDF melakukan yang terbaik untuk membentuk kerjaya generasi muda menerusi penganugerahan biasiswa konglomerat itu kepada pelajar miskin.

“HDF ialah akses kepada pendidikan untuk mengubah kehidupan yang selayaknya kepada pelajar yang kurang bernasib baik,” katanya.

Malhotra berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dijalankan konglomerat itu, seharusnya menarik minat sektor swasta di Malaysia untuk menjadi ejen perubahan positif bagi membantu mewujudkan peluang baru ke arah masyarakat yang lebih inklusif.

“HDF selaras dengan objektif padat PBB di peringkat global yang menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menangani pembangunan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment