Kejadian jenayah membabitkan warga asing semakin banyak dilaporkan di seluruh negara, seiring dengan peningkatan masalah sosial di kawasan yang dihuni mereka.
Bagi mengurangkan risiko keselamatan yang membabitkan unsur asing, sudah sewajarnya kerajaan mengambil langkah membendung kemasukan mereka melalui peraturan yang lebih ketat. Tindakan kerajaan untuk memperkenalkan sistem tapisan bagi menyaring kemasukan pelajar asing ke institusi pengajian tinggi tempatan, ter-utama pelajar ‘palsu’ dari Afrika sememangnya dinanti-nantikan. Sepatutnya sudah lama kita memperketatkan peraturan mengenai kemasukan mereka ke negara ini atas alasan untuk belajar.
Institusi pengajian tinggi (IPT) kita sama ada awam (IPTA) atau swasta (IPTS) harus mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih pelajar berkualiti atau yang benar-benar datang ke sini untuk belajar. IPT tempatan tidak harus memandang ringan soal ini semata-mata kerana ingin menarik pelajar ke institusi mereka. Soal mengaut keuntungan tidak seharusnya mengatasi kepentingan negara.
Justeru, kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam, kelmarin bahawa KDN sedang memperhalusi cadangan pelaksanaan sistem tapisan itu adalah satu langkah yang ditunggu-tunggu rakyat negara ini. Kita harus mencontohi pusat pengajian tinggi di beberapa negara maju termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang hanya menerima pelajar yang sudah pun mendapat tempat di institusi masing-masing, selain ditaja kerajaan atau pihak swasta. Malah, negara terbabit juga mengawal kemasukan pelancong dengan teliti sehingga kadangkala dianggap merumitkan pengunjung yang tiba di pintu masuk masuk negara mereka, sama ada di pelabuhan atau lapangan terbang.
Kita berharap langkah yang diumumkan KDN itu dapat memberi isyarat awal kepada kakitangan Imigresen yang menjaga setiap pintu masuk ke negara ini supaya memperketatkan peraturan ke atas rakyat asing, termasuk menghalang mereka yang disyaki pelajar ‘palsu’ memasuki negara ini.
No comments:
Post a Comment