SEJAK cadangan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diutarakan, pelbagai pihak memberikan pandangan masing-masing. Ada yang setuju dan ada juga yang melahirkan kebimbangan bahawa pindaan itu akan menyebabkan parti politik memperalatkan mahasiswa selain menjadi punca pelajar lupa tujuan asal ke menara gading. Minggu lalu, Bagi mengenal pasti hala tuju Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mengadakan perbincangan bagi melahirkan pandangan siswa. Wartawan Varsiti, Rosniza Mohd Taha mempunyai butirannya.
Resolusi meja bulat MPP
Bagi mengekang gejala pihak luar yang cuba menjadi juara dalam isu membabitkan mahasiswa, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 20 institusi pengajian tinggi (IPT) awam seluruh negara mengadakan program Meja Bulat Bersama MPP bermula akhir bulan lalu.
Program itu dijadikan wadah menyalur hasrat dan aspirasi penuntut IPT berkaitan pindaan AUKU dan memastikan kerajaan membuat keputusan membabitkan nasib mahasiswa berdasarkan maklum balas golongan terpelajar itu sendiri.
Kebanyakan cadangan dikemukakan memberi penekanan terhadap usaha memastikan kampus kekal neutral dan aman bagi pelajar memberi keutamaan terhadap tanggungjawab menuntut ilmu.
Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga Jurucakap MPPK, Wan Ahmad Hazman Wan Daud, berkata enam cadangan perincian pindaan Seksyen 15 AUKU dihasilkan pada sidang meja bulat barisan kepemimpinan pelajar universiti itu 25 Disember lalu.
Enam cadangan itu ialah pertama, penegasan hanya mahasiswa yang mencapai umur 21 tahun dan layak mengundi saja dibenarkan menyertai parti politik sementara pelajar lain masih boleh mengambil tahu dan memberikan pandangan secara ilmiah mengenai hal ehwal politik negara serta dunia.
Kedua, bagi mengekalkan suasana aman dan mengelak provokasi kepartian diadakan di dalam kampus, masyarakat kampus dilarang memakai, mengguna dan mempamerkan lambang parti politik masing-masing ketika berada dalam kampus.
Ketiga, mengenakan tindakan terhadap warga IPT yang menyebarkan ideologi, risalah dan bahan bacaan parti politik dalam kampus.
Keempat, menetapkan bahawa setiap mahasiswa bertanggung jawab terhadap penulisan mereka dalam sebarang media, terutama media baru, sekali gus, bersedia untuk tampil memberikan penjelasan jika bahan atau artikel dilaporkan pihak lain mengandungi perkara dicurigai.
Kelima, mensyaratkan mahasiswa menyertai parti politik atas kapasiti individu dan tidak dibenarkan menggunakan nama IPT selain memastikan tiada cawangan atau bahagian sesebuah parti dikhususkan mengikut IPT.
Wan Ahmad Hazman berkata, akhir sekali, MPM UTM mencadangkan mahasiswa yang ingin memegang jawatan dalam parti politik perlu mendapat kebenaran Naib Canselor atau pegawai pengurusan IPT berkaitan dalam tempoh 14 hari sebelum undian jawatan diadakan sementara pihak IPT perlu memaklumkan jawapan pada hari ketiga setelah permohonan dihantar.
“Kami di peringkat MPM UTM berharap agar pindaan yang bakal dibuat akan mencerminkan budaya demokrasi dan politik baru yang subur selain mengangkat dan mengiktiraf peranan mahasiswa sebagai kuasa ketiga dalam sesebuah negara,” katanya.
MPM UTM turut mengemukakan beberapa cadangan semakan semula akta lain dalam AUKU iaitu menggantikan istilah pelajar kepada mahasiswa [Seksyen 2(D)] dan tiada campur tangan ahli politik dalam pemilihan Naib Canselor iaitu penentuannya 60 peratus daripada warga universiti dan 40 peratus keputusan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (Seksyen 3).
Perkara lain dicadangkan termasuk mewartakan kewujudan Parlimen Mahasiswa dalam AUKU dan peruntukan khas bagi menyubur budaya demokrasi, selain membenarkan wakil mahasiswa terbabit dalam mesyuarat Senat atau Lembaga Pengarah IPT.
Sementara itu, lebih 60 ahli MPP Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bersidang pada 27 Disember lalu menyatakan sokongan AUKU distruktur semula dengan menyemak keseluruhan Akta itu dan tidak memfokuskan kepada satu aspek saja.
Yang Dipertuanya, Iqbal Ismat Nordin, berkata AUKU bukan saja menetapkan perkara berkaitan pelajar, tetapi turut merangkumi hal ehwal pentadbiran IPT termasuk pelantikan Naib Canselor.
Katanya, antara lain, pelajar mahu jaminan diberikan hak dan kebebasan dalam membuat keputusan sendiri untuk menyertai parti politik serta kematangan mahasiswa tidak hanya dinilai melalui penyertaan dalam parti politik saja.
Pelajar UPM juga meminta ahli parti politik dibenarkan masuk ke kampus bagi mengadakan perbincangan secara intelek dengan mahasiswa mengenai isu negara.
Turut dicadangkan, pendidikan awal mengenai politik sebagai pendedahan kepada pelajar dan mewujudkan sikap keterbukaan dalam politik.
Iqbal Ismat berkata, MPP UPM juga berharap ada jaminan daripada pihak universiti untuk mengawal kegiatan politik dalam kampus yang mungkin dijalankan secara rahsia.
“Kesimpulannya, kesepakatan dalam persidangan ini dicapai dengan menyatakan bahawa perlunya penstrukturan semula AUKU oleh pihak kerajaan yang perlu menitikberatkan keperluan persekitaran sekarang dan akta itu tidak harus dimansuhkan,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Presiden Kolej-Kolej Kediaman Universiti Malaya, Marwan Kahar, berkata pindaan AUKU diharap mampu benar-benar mengekang politik luar masuk ke kampus.
“Apabila pindaan akta ini diluluskan kelak, mahasiswa mungkin akan mengemukakan tuntutan tambahan termasuk permohonan membuka meja atau cawangan parti politik dalam kampus bagi memudahkan mereka aktif berpolitik,” katanya.
No comments:
Post a Comment