NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik
program I-Think pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan
Bangkuasi Parlimen, semalam.
PM mahu perubahan aspek mengajar dan cara belajar sejajar tranformasi negaraKUALA
LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu
dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan
terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar.
Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi
negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai
kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.
“Transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan
tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan
terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.
Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada
‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses
berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang
dipelajari untuk kepentingan diri sendiri.
“Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah
menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang,” katanya
berucap pada majlis pelancaran Program I-Think, di dewan Bangkuasi
Parlimen, semalam.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi,
Datuk Seri Maximus Ongkili.
Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah
banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara,
namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang
pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini.
"Saya difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari
muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak
kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi
wujud.
"Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek
bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk
berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk
mengadaptasi sebarang situasi," katanya.
Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini
dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi
sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.
Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan
Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang
tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara
untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan
memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses
mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran
dan pengajaran.
“Menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses
berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi
konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan,”
katanya.
Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian
daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru
cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas
tamat pengajian mereka.
Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam
menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.