Pages

Translate

Showing posts with label Sistem pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Sistem pendidikan. Show all posts

Thursday, March 15, 2012

Dasar pendidikan masa depan

Rombakan menyeluruh termasuk sekolah rendah dan menengah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, pendidikan khas, vokasional

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.

Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.
Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, objektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979).

“Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.

“Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.
Muhyiddin berkata, sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan.

Katanya, penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Beliau berkata, laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa.

Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.  

Wednesday, March 7, 2012

Sistem pendidikan terus diperkasa

ABDUL AZIZ   meniup lilin  pada   Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun  AUAM  Ke-35 sambil diperhatikan   Muhyiddin di ibu negara, malam tadi.
ABDUL AZIZ meniup lilin pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun AUAM Ke-35 sambil diperhatikan Muhyiddin di ibu negara, malam tadi.


Kerajaan pastikan rakyat mendapat pendidikan berkualiti, cemerlang

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan kepada sistem pendidikan negara bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan berkualiti, seterusnya cemerlang pada peringkat pengajian tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata negara tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian hebat masa lalu kerana generasi muda hari ini perlu dipersiapkan untuk menghadapi cabaran baru pada masa depan.
“Asas kuat kita dalam menyediakan pendidikan rendah dan menengah memberi kelebihan kepada kita menyediakan belia yang cemerlang pada peringkat pengajian tinggi tempatan dan luar negara. Kita adalah kita pada hari ini hasil sistem pendidikan yang diterima ketika muda.

“Inilah sebabnya baru-baru ini saya mengumumkan kajian komprehensif kepada sistem pendidikan. Kita perlu melihat semula pelbagai aspek dan menambah baik sistem ini kerana kita mahu ia menghasilkan sumber manusia yang berkemahiran dan berpengetahuan tinggi serta mampu menggerakkan negara ke fasa pembangunan ekonomi seterusnya.

“Menyedari matlamat ini, kita perlu memanfaatkan kekuatan sedia ada dan belajar daripada sistem pendidikan terbaik di dunia bagi memastikan kita memberikan yang terbaik,” katanya pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Alumni Universiti Amerika Malaysia (AUAM) Ke-35 di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Muhyiddin menerima pengiktirafan Anugerah Penghormatan Khas atas sumbangan beliau dalam bidang pendidikan negara.
Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan AUAM kepada lima tokoh korporat termasuk bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Kamaruzzaman Shariff; Pengerusi Top Glove Berhad, Tan Sri Lim Wee Chai; Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Datuk Ahmad Zaini Othman dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Tomei Consolidated Berhad, Ng Yih Chen.

Turut hadir Presiden AUAM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, Amerika Syarikat adalah antara negara yang sentiasa menyediakan pendidikan terbaik kepada rakyat Malaysia dan graduan yang pulang berjaya dalam bidang profesional, seterusnya memberikan impak besar kepada negara.

“Kita percaya transformasi negara di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membuahkan hasil pada masa depan daripada semua usaha yang sedang rancak dilaksanakan pada masa ini,” katanya.

Tuesday, November 22, 2011

Pandangan pakar semak sistem pendidikan negara

PUTRAJAYA 21 Nov. - Pandangan pakar-pakar pendidikan tempatan dan luar negara turut diambil kira bagi menyemak semula sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia sejajar dengan proses semakan semula sistem pendidikan kebangsaan selepas Laporan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib.
Muhyiddin berkata, sepanjang proses tersebut beberapa siri perbincangan akan dilakukan dan pihak berkepentingan turut dipelawa untuk berkongsi pandangan.
''Sudah lebih 40 tahun, saya rasakan ia sudah terlalu lama dan panel bagi mengkaji sistem pendidikan itu telah ditubuhkan dengan beberapa cadangan awal telah dibentangkan kepada saya.
''Laporan lengkap dijangka siap sebelum akhir. Panel itu diketuai Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sesi wawancara khas bersama pengacara Syed Munawar Syed Munawar Syed Arabi Idid pada majlis memperkenalkan buku berjudul Sudut Pandangan Muhyiddin Yassin yang dihasilkan Insitut Terjemahan Negara Malaysia di sini, hari ini.
Cadangan-cadangan penyemakan tersebut, kata beliau, bersifat menyeluruh mengenai sistem pendidikan kebangsaan memandangkan selepas Penyata Razak belum ada lagi laporan menyeluruh berhubung sistem pendidikan kebangsaan.
Muhyiddin berkata, sejak menerajui Kementerian Pelajaran, banyak usaha telah diambil untuk menambah baik sistem pendidikan kebangsaan sama ada dari aspek pengajaran dan pembelajaran, infrastruktur, kandungan dan mutu pelajaran.
"Usaha-usaha ini dilakukan secara berperingkat dan berasingan tetapi kali ini cadangan kajian yang lebih komprehensif perlu dibuat sejajar dengan peredaran semasa," katanya.
Buku setebal 265 muka surat berharga RM40 senaskhah itu menghimpunkan pandangan Muhyiddin mengenai dasar dan hala tuju pendidikan di Malaysia dan ia bertujuan menjelaskan kepada rakyat tentang hasrat murni kerajaan dalam melakukan transformasi pendidikan.