Pages

Translate

Monday, September 17, 2012

Motivasi pecutan akhir sebelum peperiksaan


Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dengan kerjasama Utusan Malaysia menumpukan kepada slot motivasi pecutan akhir dalam setiap Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi yang digerakkan bermula bulan ini.
Pengurus Besar SMP, Noraini Nordin berkata, langkah itu bersesuaian dalam membantu pelajar meningkatkan motivasi diri mereka sebelum menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sebenar.
Malah, menurutnya, kebanyakan sekolah telah mengadakan peperiksaan percubaan dan pelajar hanya memerlukan rangsangan motivasi yang tinggi.
''Apa yang diperlukan oleh pelajar sekarang adalah program motivasi yang tinggi bagi meningkatkan fokus mereka sebelum peperiksaan nanti," katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat Damansara, Selangor baru-baru ini.
Kata beliau, atas permintaan ibu bapa, pihaknya turut bercadang memperkenalkan modul pendidikan motivasi kepada golongan itu bagi membantu mereka menangani permasalahan yang berkaitan persiapan pelajar menduduki peperiksaan.
''Kebanyakan ibu bapa tidak memahami dan kurang pendedahan mengenai teknik motivasi yang sewajarnya dipraktikkan bagi membantu mental anak-anak yang bakal menjalani peperiksaan," katanya.
Ujar Noraini, selain slot motivasi, program lain berjalan seperti biasa seperti aktiviti mendekati kehidupan pelajar yang kurang berkemampuan bagi mengetahui kedudukan keluarga mereka sekali gus menilai tahap pencapaian akademik pelajar terlibat.
''Hal ini kerana berdasarkan kajian SMP, didapati pencapaian pelajar dipengaruhi keadaan persekitarannya. Jika persekitarannya baik maka bolehlah pelajar itu menjalani persekolahan dengan sempurna," jelasnya.
Menurut Noraini, SMP merancang untuk memperluaskan program itu ke negeri-negeri lain seperti Terengganu dan Pahang bagi kawasan Pantai Timur, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment