Pages

Translate

Showing posts with label AUKU. Show all posts
Showing posts with label AUKU. Show all posts

Wednesday, February 15, 2012

Rang pindaan AUKU 1974 dibentangkan di Parlimen Mac ini

PULAU PINANG: Proses pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 hampir selesai dan rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Mac ini, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata maklumat terperinci berhubung perkara itu akan diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 
"Pindaan Seksyen 15 AUKU insyaAllah akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan Mac. Pada dasarnya ia memenuhi permintaan majoriti pihak berkepentingan yang inginkan supaya pindaan ini dibuat.

"Sekarang kita harus memikirkan apakah yang akan berlaku selepas pindaan dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada kemuncak pertandingan Debat Diraja 2012 kategori Bahasa Melayu (Utama) di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata pindaan yang dibuat diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan gerakan mahasiswa di tahun 60an dan 70an di mana mahasiswa dilihat sebagai pencetus idea untuk pembangunan negara.

"Saya fikir inilah cabaran yang harus dipikul oleh golongan mahasiswa hari ini, khususnya pimpinan mahasiswa mencetuskan idea-idea baru untuk masyarakat sama ada di dalam atau pun di luar kampus," katanya.

Saifuddin berkata pindaan AUKU ini bukan sekadar untuk melihat mahasiswa berpolitik semata-mata, tetapi bagaimana memberi ruang dan peluang kepada mereka menyuarakan idea sehingga dapat mempengaruhi pemikiran dan perbincangan masyarakat.

Katanya, masyarakat terutamanya ahli-ahli politik seharusnya memberi peluang kepada mahasiswa berfikir dan menyuarakan pandangan dalam pembangunan negara termasuk isu-isu politik dan ekonomi.

Saifuddin berkata dalam konteks ini debat dilihat bukan hanya untuk pertandingan tetapi menjadi antara medium terbaik bagi para mahasiswa mengasah pemikiran yang kritis dan kreatif.

Dalam debat itu Universiti Malaya dinobatkan sebagai johan utama manakala Universiti Sains Malaysia (USM), selaku tuan rumah naib johan, manakala kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi Universiti Teknologi Mara sebagai johan utama dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), naib johan.

Dalam kategori Bahasa Arab pula diungguli UIAM (Kumpulan A) yang muncul juara dan Universiti Sains Islam Malaysia sebagai naib juara dalam kumpulan itu.

Johan setiap kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan, manakala naib johan memenangi piala iringan, wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Seramai 500 pendebat daripada 21 institusi pengajian tinggi berkampung di USM sempena pertandingan itu, anjuran Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) yang bermula Sabtu lepas. -- BERNAMA

Sunday, January 22, 2012

Auku: Indoktinisasi terancang dan pembodohan berstruktur

Belum pun reda dengan kejayaan gerakan mahasiswa menekan Universiti Islam Antarabangsa untuk menarik balik penggantungan Prof. Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini. Mahkamah Rayuan telah mencatatkan satu lagi sejarah dalam gerakan mahasiswa apabila telah mengisytiharkan Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 bercanggah / ‘ultra-virus’ dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Dato’ Hishamudin Yunus di dalam penghakiman bertulisnya menyatakan peruntukan Seksyen 15(5)(a) akan memandulkan daya fikir kritikal dan sihat para mahasiswa. Universiti bukannya kilang untuk membiakkan para robot dan mesin pekerja, tetapi jauh lebih besar dari itu, ia adalah gedung melahirkan para pemikir dan reformis. Mahkamah Rayuan juga secara tidak langsung telah mengiktiraf hak-hak kebebasan asasi sebagai struktur asas dan roh di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mahasiswa telah melakar sejarah kegemilangannya satu ketika dahulu, sebagai agen pendesak dan pengimbang bagi pemerintah. Demonstrasi Baling, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya dan Kempen Anti-Tunku adalah antara kenangan manis dalam sejarah gerakan mahasiswa.
Bahkan ramai yang memegang tampuk kepimpinan negara hari ini datangnya dari gerakan mahasiswa. Merasakan mahasiswa dan gelombang kebangkitan mereka mampu menggugat dan mencabar kerajaan pemerintah, maka satu undang-undang digubal untuk mengawal dan menyekat pengaruh mahasiswa , dan itulah AUKU yang ada pada hari ini.
Universiti yang sepatutnya menjadi pusat pembiakan dan percambahan pemikiran telah terjejas teruk dan telah lari dari matlamat asalnya. Para ahli akademik dibisukan dan dijahit mulut mereka dari menjalankan tanggungjawab mereka. Kesan AUKU bukan sahaja dirasai oleh para mahasiswa bahkan keseluruhan warga universiti turut sama terjejas. Para ahli akademik dihilangkan taringnya.
Mana ‘speakers corner’? Mana demonstrasi mahasiswa? Semuanya hilang ditelan waktu. Para mahasiswa telah menjalani proses indoktinisasi terancang dan pembodohan berstruktur oleh pihak universiti dan parti pemerintah untuk satu jangka waktu yang cukup panjang.
Pemikiran kritis dan perbincangan tentang idea sudah hilang. Bagi mereka, mahasiswa yang baik dan berjaya ialah apabila dia dapat lulus dengan cemerlang, tidak melawan dasar universiti dan kerajaan dan mendapat pekerjaan yang baik. Mahasiswa yang sentiasa mencabar dasar universiti dan bersikap kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan adalah contoh mahasiswa yang gagal atau terlalu terpengaruh dengan pembangkang.
Mahasiswa adalah sub-set kepada satu kumpulan besar masyarakat. Setiap isu yang timbul, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kehidupan mereka. Dan selaku warga terpelajar, mereka sebenarnya menggalas tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dan negara. Tidak boleh dinafikan bahawa gerakan mahasiswa adalah agen semak dan imbang yang cukup berkesan.
Teori dan idea yang ditadah di dewan kuliah hanya berguna sekiranya berjaya diterjemahkan dalam tindakan. Bak kata Prof Ungku Aziz: “Belajar sambil mencabar. Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang. Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin. Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar”
Hidup Mahasiswa!

Auku: Penyelesaian bukan sekadar lepas batuk di tangga


Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod
Desakan banyak pihak yang meminta Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dimansuhkan menjadi isu panas kebelakangan ini. Perkara dalam Seksyen 15, yang menyekat kebebasan berpolitik di kalangan pelajar, menjadi tumpuan utama desakan tersebut. Keadaan semakin memuncak apabila beberapa siri demonstrasi dilakukan oleh sekumpulan pelajar yang kononnya menuntut hak kebebasan bersuara. Siri demonstrasi itu merebak ke beberapa tempat hingga mencetuskan perkara kurang enak yang memaksa campur tangan polis. Malah ada kes yang bersangkutan Auku ini turut diheret ke muka pengadilan. Pada masa yang sama, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pindaan Auku 2011 bagi melihat lebih terperinci berhubung desakan ini, Bersama Editor Sinar Harian, LAILATUN KHALILAH NASIR dan wartawan kanan, FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN, ikuti penjelasan pengerusi jawatankuasa itu Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod mengenai isu penting ini.

S: Apa perkara asas yang diambil kira jawatankuasa ini dalam proses pindaan Auku?
Pertama sekali, kami mengambil kira pendapat semua pihak sama ada Auku perlu dimansuhkan atau dipinda. Majoriti pendapat yang kita dengar melalui public consultation, meminta supaya Auku dipinda, bukan dimansuhkan. Ini kerana Auku itu bukan hanya mengenai Seksyen 15 (sekatan berpolitik) tetapi merangkumi semua aspek pentadbiran sesebuah universiti. Jadi kalau Auku dimansuhkan sama sekali, bagaimana kita hendak mentadbir universiti? Kerana itu, kerajaan mengambil keputusan untuk meminda Auku, dan bukan memansuhkannya secara total.  Cuma ada pendapat mengatakan kita hapuskan terus Seksyen 15, dan kita ambil kira pandangan itu. Pada tahap ini, saya tidak boleh berkata jawatankuasa akan ikut pendapat mana, atau ikut arah mana, kerana kami masih dalam proses perbincangan dan menerima maklum balas daripada semua pihak sebelum keputusan dibuat. 

S. Banyak beranggapan, apa pun pindaannya, selagi ia masih bernama ‘Auku’, ia masih tidak dapat diterima menuntut kebebasan ini. Fobia dengan nama Auku itu wujud. Bagaimana jawatankuasa ini hendak mengu bah persepsi itu? 
Mungkin kerajaan akan memikirkan mengenai rebranding (penjenamaan semula Auku). Kita (panel) boleh cadangkan supaya nama itu ditukar jika ia dirasakan tidak lagi sesuai. Kita belum bincang lagi hal itu. Tetapi tidak mustahil ia akan menjadi salah satu daripada cadangan yang kami akan kemukakan. Apa yang jelas adalah tugas utama jawatankuasa ini mengikut  (terms of reference) adalah untuk melihat Seksyen 15. Kalau ada bahagian (seksyen) lain dalam Auku yang berkaitan dengan Seksyen 15, barulah kami akan melihatnya. Kita akan bincang mengenai kesan yang akan berlaku jika Seksyen 15 dipinda. Kalau kita benarkan pelajar berpolitik di luar, bagaimana pula politik di dalam kampus, adakah kita akan benarkan? Ini yang akan dibincang.

S. Mengapa tidak diwujudkan satu mekanisme baru supaya pelajar/mahasiswa ini dapat berbincang mengenai dasar negara dengan cara lebih berhemah untuk mengelakkan siri demo jalanan sebagai bantahan atau tidak puas hati terhadap sesuatu itu?
Kita tidak boleh nafikan bahawa sekarang pun mereka dibenarkan untuk berbincang mengenai dasar dan hal-hal negara, mengikut cara mereka sendiri sama ada menerusi forum, konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau sebagainya. Mereka boleh berbincang apa sahaja tanpa ada sekatan, termasuk isu-isu politik. Tetapi perbincangan seperti ini belum benar-benar sampai ke tahap komuniti kampus, mungkin kerana wujudnya Auku jadi timbul perasaan takut dalam kalangan pelajar. Namun bagi saya ketakutan itu hanya tanggapan. Kita tahu pelajar memang ada terlibat dengan politik, walaupun tidak ramai. Kita tahu demonstrasi di kampus disokong sesetengah pihak atau orang luar. Jadi, kalau kita pinda Auku, katakanlah kita kata pelajar boleh berpolitik di luar kampus,  bagaimana pula dengan mereka di dalam kampus? Di sini kita perlu berhati-hati kerana kita tidak mahu jadikan kampus sebagai sebuah gelanggang politik. Pada masa yang sama, pendekatan yang saya rasa terbaik adalah memberi peluang kepada pelajar untuk bercakap mengenai isu-isu negara, bercakap tentang politik dalam suasana intelektual dan akademik.

S. Sejauh mana Auku sekarang menyekat kebebasan bersuara mahasiswa?
Kita perlu ingat bahawa pindaan Auku yang terbaru pada 2009 telah memberi ruang yang banyak kepada pelajar untuk aktif dalam aktiviti luar kampus walaupun ia masih tidak membenarkan pelajar berpolitik. Selepas pindaan itu, pihak pengurusan (Naib Canselor) universiti boleh membenarkan pelajar menyertai mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau persatuan di luar yang bukan politik. Jadi di situ sudah ada peluang untuk pelajar bersama-sama rakyat bergiat aktif mengenai isu sosial dan negara. Selain NGO yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan pelbagai golongan, ada juga NGO yang propolitik iaitu menyokong parti politik, dan ada pertubuhan mempunyai perjuangan sendiri. Jadi ada banyak jenis NGO yang boleh disertai pelajar, cuma yang kita larang jangan libatkan diri dalam parti politik. Jadi jika kita buka ruang nanti, katakan kita benarkan mereka berpolitik di luar, mereka harus menjaga universiti sebagai tempat di mana ilmu diperoleh dan tidak berpolitik di dalam kampus. Jika mereka datang dengan sentimen politik yang tinggi, maka tidak akan wujud satu perbincangan yang neutral. Itu yang dikatakan orang ramai semasa jawatankuasa membuat rundingan awam di Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak. Dan, kita mengambil kira isi perbincangan berkenaan dalam proses pindaan ini.
 
S. Setakat ini, apa yang menarik mengenai sesi rundingan pindaan Auku ini?
Sesuatu yang menarik semasa kita buat pendengaran awam di Kuala Lumpur adalah terdapat wakil parti politik sendiri menuntut supaya jangan benarkan pelajar berpolitik di dalam kampus atas alasan universiti adalah gedung ilmu dan tidak patut dikotorkan dengan sentimen politik yang bersifat berat sebelah. Pada masa sama, mereka menganggap pelajar universiti adalah golongan matang. Kita setuju dengan pendapat itu dan perlu iktiraf pelajar kita matang kerana mereka mendapat informasi lebih banyak daripada kita. Kita juga harus terima fakta bahawa media sosial tidak boleh mengekang aliran maklumat ke dalam kampus. Kalau kita kata tidak boleh berkempen secara fizikal di dalam kampus, pelajar tetap boleh menggunakan Internet dan media sosial untuk berpolitik. Jawatankuasa akan melihat pendekatan sesuai jika perbincangan memutuskan sekatan berpolitik dalam kampus akan dibuat. Kita juga akan melihat sama ada boleh memberi kuasa kepada universiti supaya mereka sendiri yang mengawal dalam peraturan dalaman mereka. Jawatankuasa akan lihat sama ada peruntukan jelas perlu dibuat mengenai peraturan dalaman kampus, atau serahkan kepada universiti untuk buat keputusan. Itu semua dalam perhatian kami sebelum pindaan atau memansuhan Seksyen 15 dibuat.
 
S. Bagaimana perkembangan proses pindaan berkenaan?
Kita kini berada di penghujung proses mendapat maklum balas dan proses ini telah pun berakhir. Ada cadangan supaya kita pergi ke negeri-negeri lain di Malaysia tapi kesuntukan masa menyebabkan rundingan awam hanya dibuat di Kuala Lumpur dan Kuching. Bagaimanapun banyak pihak yang turut mengadakan sesi percabahan idea dan mengumpul seberapa banyak maklumbalas untuk diserahkan kepada kami. Contohnya Sidang Meja Bulat Auku yang dibuat Kementerian Pengajian Tinggi melalui Timbalan Menteri Pengajian Tingginya, Datuk Saifudddin Abdullah sendiri. Banyak input yang kita dapat dari situ. Maklum balas menerusi laman web kementerian dan  laman Facebook juga banyak, selain kita galakkan setiap universiti atau kolej mengadakan perbincangan sesama mereka dan menyerahkan hasil perbincangan berkenaan kepada kami untuk diambil itipat-intipati yang berkaitan.

S. Bagaimana proses dan kronologi jawatankuasa pindaan ini dbuat?
Mula-mula, kami menerima terms of reference daripada pihak kementerian, melihat isu yang dibangkitkan. Kemudian  selepas ahli panel dilantik kami mengadakan mesyuarat pertama membincangkan modus operandi, iaitu apa langkah pertama yang harus dilakukan mengikut terms of reference. Dan, kita bersetuju untuk mula mengumpul maklumat, dengan mencari dan melihat semua pandangan yang telah diutarakan sebelum ini mengenai Auku.  Ianya memang mempunyai sejarah yang panjang, sehingga kami turut melihat dokumen lama sejak 1970-an, laporan-laporan akhbar dan pandangan orang ramai dalam surat khabar, dan Internet. Langkah kedua adalah mengadakan maklum balas melalui laman web KPT, Facebook, soal selidik dan e-mel. Ketiga, kita adakan pendengaran awam di tiga tempat. Di samping itu, KPT juga telah mengarahkan semua universiti awam dan swasta mengadakan perbincangan sendiri melalui meja bulat. Kita juga tidak melupakan perbincangan dengan  kumpulan khusus seperti Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, selain  wakil-wakil pelajar. Dan apa yang dibahaskan dalam Wacana Sinar yang bertajuk MASIH RELEVANKAH AUKU  yang akan berlangsung pada 26 Januari ini juga akan kita ambil kira sebelum penulisan draf pindaan Auku atau pemansuhan Seksyen 15 dibuat.

S. Apa yang diharapkan melalui jawatankuasa ini?
Kita harap dapat membuat satu keputusan yang tepat sesuai dengan keadaan semasa, dengan mengambil kira semua aspek. Dalam masa yang sama juga diharapkan keputusan yang bakal terhasil nanti akan memberi lebih ruang kepada pelajar untuk menzahirkan pendapat mereka dalam bidang apa pun tanpa rasa takut sebaliknya mengikut peraturan dan lebih bersifat intelek, sesuai dengan gelaran seorang mahasiswa dan juga menyanjung tinggi institusi ilmu yang mereka duduki. Dari sudut kebebasan akademik itu, ia harus difahami dengan jelas kerana banyak tafsiran dibuat mengenai kebebasan akademi. Kalau kita tafsirkan kebebasan akademi itu untuk mengatakan apa jua yang kita fikirkan betul tanpa mengira sensitiviti orang lain, itu tidak tepat. Kebebasan mesti datang bersama tanggungjawab.

Sunday, December 4, 2011

Pengiktirafan kepada orang muda

SISTEMATIK... mahasiswa perlu menunjuk dan membuktikan kepada masyarakat mereka golongan intelektual yang matang dan berwibawa biarpun ketika bergiat dalam lapangan politik kelak.
SISTEMATIK... mahasiswa perlu menunjuk dan membuktikan kepada masyarakat mereka golongan intelektual yang matang dan berwibawa biarpun ketika bergiat dalam lapangan politik kelak. 
 
 
AKHIRNYA Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sentiasa hangat dan kontroversi di kalangan mahasiswa dipinda bagi memberi kelonggaran golongan itu berpolitik.
Pindaan itu ibarat satu kemenangan peribadi kepada mahasiswa yang selama ini berjuang mendapat kebebasan berpolitik dan bersuara.

BUKAN BEGINI CARANYA...perjuangan mahasiswa perlu berlandaskan rasional akal biarpun dibelenggu perasaan tidak puas hati supaya masyarakat tidak melabelkan mereka dengan perspektif negatif.
 
BANTAHAN... terlalu banyak protes yang meminta AUKU dipinda, justeru pindaan yang dibuat wajar dihargai mahasiswa dengan menjadikannya sebagai platform untuk membuka minda dan belajar secara sihat serta tidak melalaikan pelajaran.
 
BELAJAR...banyak boleh dipelajari mahasiswa dengan pindaan AUKU sekali gus menjadikan mereka anggota masyarakat yang peka pada tanggungjawab perjalanan masa depan negara.
 
TENANG...jadikan kampus sebagai tempat yang tenang untuk belajar tanpa dicemari dengan keperluan kepartian politik
 
HANYA MAHUKAN HAK...jangan sekat mahasiswa untuk memperjuangkan hak mereka sebaiknya berikan bimbingan supaya tidak tergelincir serta dipengaruhi anasir luar yang bersifat negatif.
 
Apakah pindaan ini bakal membawa dimensi baru kepada golongan itu bagi memartabatkan peningkatan minda mahasiswa terhadap perjalanan politik negara atau sebaliknya?

Atau apakah pindaan AUKU mampu mengembalikan kegemilangan zaman mahasiswa era 70-an yang gah dengan pelbagai isu dan perjuangan?

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Zaid Ahmad, berkata pindaan itu mencerminkan keprihatinan pihak terbabit mahu melahirkan mahasiswa alaf baru yang peka, rasional, berani dan matang dalam menilai perjalanan politik.

Beliau berkata, meskipun pindaan itu bukan secara keseluruhan, ia cukup memberi kebebasan bersuara dalam menzahirkan sesuatu isu selain kepentingan memberi bimbingan secara betul.

“Pindaan itu ibarat bonus kerana selama ini berada dalam situasi dikongkong dan terikat jika mahu melahirkan pendapat mengenai sesuatu isu politik. Kini, halangan itu tiada menjadikan hak bersuara semakin bebas.

“Meskipun aspek kepartian di kampus masih tetap dilarang, pembaharuan ini permulaan yang baik bagi golongan itu mencerminkan tahap intelektual dalam isu politik berbangkit.

“Ia memberi senario sebenar mengenai politik dari kaca mata mahasiswa, masyarakat dan individu. Namun, lebih penting ia memberi bimbingan kepada golongan itu dengan cara betul dan teratur, “ katanya.

Pindaan itu membolehkan mahasiswa lebih terbuka dalam mengutara atau terbabit dalam perjalanan isu politik negara selain merealisasikan hasrat mereka menjadi sebahagian kelompok masyarakat sebenar.

AUKU yang digubal pada 1971 dijadikan ‘senjata’ untuk mendiamkan mahasiswa daripada terus lantang mengkritik kerajaan atau dijadikan kuda tunggangan golongan berkepentingan.

Akta ini diusulkan selepas kegagalan Akta Universiti Malaya 1961 bagi mengekang peranan pelajar terutamanya pembabitan mahasiswa dalam pilihan raya 1969.

Ironinya, AUKU sering kali dikaitkan dengan kebangkitan mahasiswa pada era 1960 an yang ketika itu terlalu lantang mengkritik dan berdemonstrasi.

Pada 1940-an, semangat berpolitik berpunca pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia Kedua yang turut ditempuhi Tanah Melayu manakala kelantangan mahasiswa era 1950-an akibat pengalaman era kemerdekaan.

Era 1960-an dan 1970-an pula menyaksikan kebang�kitan mereka didasari pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar sebelum melanjutkan pengajian di universiti hingga menimbulkan kesedaran nasional.

Ditanya adakah pindahan itu akan menyebabkan perkara sama berlaku, beliau berkata tidak boleh membandingkan senario mahasiswa dulu dan kini kerana mereka berbeza era serta ideologi.

“Dulu, kemungkinan untuk menyuarakan segala pendapat atau isu sangat terhad, hanya melalui medium tertentu saja mereka mampu menyampaikan idealisme.
Masyarakat pada waktu itu mungkin juga tidak terdedah seperti hari ini.

“Keadaan sekarang berbeza, masyarakat lebih terbuka manakala segala sumber maklumat bagaikan berada di hujung jari. Mahasiswa juga sudah semakin matang dan bijak menilai.

“Pendapat saya, apa yang diingini mahasiswa hanyalah pengiktirafan, justifikasi yang betul serta tidak keterlaluan dikongkong kerana mereka juga manusia.
Kongkongan itu hanya menyebabkan keadaan bertambah buruk,” katanya.

Secara amnya, katanya politik boleh dibahagikan kepada dua iaitu politik kuasa dan nilai yang sangat berbeza kepentingannya.

Politik kuasa merujuk kepada kekuasaan manakala nilai pula tidak mementing�kan kemuncak kekuasaan sebaliknya keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan.

“Mahasiswa kebiasaannya lebih tertumpu pada politik nilai kerana tahu di mana tahap kemampuan mereka. Malangnya masyarakat pula tidak tahu dan menganggap, jika terbabit dalam politik bermakna mereka menyebelahi parti tertentu.

“Stigma itu perlu diperbetulkan kerana bertenta�ngan dengan definisi politik sedangkan ia mencakupi makna luas bukan hanya mementingkan kekuasaan, keistimewaan atau kekebalan, sebaliknya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Merujuk kepada mahasiswa yang disifatkan sebagai bangsa terpelajar, mempu�nyai gagasan pemikiran dan tindakan, beliau berkata, pembabitan dalam politik adalah pembelajaran paling mudah membantu golongan terbabit memahami lebih mendalam proses serta struktur pentadbiran negara.

“Terbabit dengan politik bukan bermakna lantang menolak kepimpinan sedia ada atau menjadi orang te�ngah bagi pihak tertentu, ia turut menjurus kepada konsep pembelajaran sepanjang hayat dan lebih praktikal.

“Malah, ia lebih baik kerana mereka dapat merasai suasana sebenar. Perkongsian maklumat bersifat akademik dan tidak menggugat keamanan boleh melahirkan generasi cemerlang serta berwibawa pada masa depan.

“Justeru, tidak perlu disekat keterlaluan kerana ini akan ‘membunuh’ nilai kepimpinan mereka. Paling penting, berikanlah mereka bimbingan,” katanya.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Ahmad Muzzammil Muhd Hairi, berkata pindaan itu bakal melonjakkan lagi kewibawaan dan kualiti mahasiswa.

Sebagai golongan intelektual, katanya mereka mahukan kebebasan dalam melahirkan pendapat dan tidak disekat kerana boleh merencatkan pengembangan minda.

“Mahasiswa adalah barisan hadapan yang bakal mengemudi negara, mereka perlukan pengalaman bagaimana menjadi generasi pelapis. Jika semuanya disekat, ia sukar dicapai.

“Sekatan akan menjadikan mereka tambah ekstremis, bukan itu yang diperlukan negara. Pindaan dilakukan diharap mampu melahirkan mahasiswa cemerlang.

“Kami hanya mahu diiktiraf secara adil sebagai pemerhati dan memperjuangkan nilai positif di kalangan masyarakat terutama generasi muda,” katanya.

Bagaimanapun dia berharap pindaan itu bukan gimik semata - mata bagi mengaburi pihak tertentu.

“Kami adalah aset, jika diperkotak katikkan, sama seperti memusnahkan masa depan negara,” katanya.



INFO:

  • AUKU yang diwartakan pada 24 Februari 1971 dan diluluskan Parlimen pada 17 Mac 1971 sudah beberapa kali dipinda pada tahun berlainan seperti 1971 (Akta 80) , 1975 (Akta A295), 1983 (Akta A550), 1996 (Akta A496).

  • Bagaimanapun pindaan yang dibuat pada 1975 paling ketara kerana ia melarang sama sekali mahasiswa terbabit dalam politik.

  • Kali terakhir AUKU dipinda pada 2009.

  •  

    Thursday, December 1, 2011

    Wawancara: Pindaan AUKU tuntut kebijaksanaan pelajar

    Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
    Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak

    SELEPAS memperkenalkan semula Sudut Pidato pada awal tahun lalu, kerajaan sekali lagi membuktikan suara mahasiswa didengar dengan pengumuman hasrat meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974, baru-baru ini.

    Di sebalik keghairahan pelajar menyambut pindaan itu yang membenarkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik, timbul kebimbangan ia akan membawa perpecahan dalam kalangan masyarakat kampus dan melalaikan mereka daripada objektif utama iaitu menuntut ilmu.

     Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara merangkap Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkongsi pandangan dan saranan mengenai perkembangan terbaru itu seperti disampaikan kepada Wartawan Varsiti, ROSNIZA MOHD TAHA.
    Kalau sekadar mahu jadi ahli parti politik mungkin ia tidak begitu memudaratkan. Apa yang menjadi masalah apabila ideologi parti, agenda politik kepartian yang bersifat memihak atau 'partisan politics' menular di dalam kampus. Ini dikhuatiri menimbulkan masalah jika ia tidak terkawal. - Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak
    S Sebelum ini, Majlis Profesor Negara (MPN) antara golongan ilmuwan yang mahu sekatan mahasiswa berpolitik dikekalkan menerusi pengekalan Seksyen 15 AUKU. Apa reaksi dan respon MPN terhadap pengumuman terbaru kerajaan ini?

    J
    MPN tidak pernah kata mahasiswa harus disekat daripada berpolitik. Sebelum ini pun mahasiswa boleh terbabit dengan politik jika Naib Canselor memberi kebenaran.

    Isunya ialah maksud berpolitik itu sangat luas. Kalau mahu ikuti perkembangan dan berbahas mengenai keadaan politik negara dan dunia tiada sesiapa pun harus sekat mahasiswa kerana ini adalah aktiviti yang sangat digalakkan bagi menajamkan daya analisis dan pemikiran kritis pelajar.

    Apa yang menjadi isu ialah apakah mahasiswa wajar bawa politik kepartian ke kampus hingga ke bilik kuliah, tutorial, asrama serta dalam semua aktiviti dan persatuan pelajar dalam kampus?
    Apakah perkara seumpama ini sihat untuk kehidupan pelajar dalam kampus universiti? Apakah mahasiswa yang mahu terjebak dalam politik kepartian bersedia untuk menangani semua kesan dan implikasi politik kepartian yang dibawa dalam kampus?

    Juga, apakah mahasiswa harus dibenar menjadi aktivis politik sepenuh masa sehingga pengajian terjejas, matlamat belajar dan berjaya dengan cemerlang tak kesampaian dan akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran?

    Inilah perkara yang menjadi keprihatinan kita! Kita mahu semua orang berfikir mengenai hak berpolitik sesuai dengan peruntukan hak asasi dan perlembagaan, namun pada masa sama turut mempertimbangkan tanggungjawab universiti menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif untuk pelajar serta proses pembelajaran yang lancar dan tidak terganggu dengan politik kepartian serta politiking dalam kalangan pelajar yang keterlaluan.

    Biarlah pelajar dan anak-anak kita belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan hal politik yang berlebih-lebihan hingga pembelajaran mereka terganggu dan terjejas.

    S Apa antara senario positif atau negatif yang Datuk jangkakan bakal berlaku di kampus apabila pindaan akta itu diluluskan kelak dan pelajar mula bebas aktif dalam arena politik?

    J
    Kalau sekadar mahu jadi ahli parti politik mungkin ia tidak begitu memudaratkan. Apa yang menjadi masalah ialah apabila ideologi parti, agenda politik kepartian yang bersifat memihak atau ‘partisan politics’ menular dalam kampus. Ini dikhuatiri menimbulkan masalah jika ia tidak terkawal.

    Kampus akan jadi gelanggang politik dan bukan lagi medan menuntut ilmu. Apakah ini yang kita mahu hingga perkembangan budaya ilmu di universiti, kebebasan akademik, rasionaliti dan neutraliti serta sikap tidak memihak dalam memberikan sesuatu pandangan sudah tidak wujud lagi?

    Akhirnya pelajar mula berpuak-puak mengikut aliran politik dan kelompok yang mereka sokong. Inilah kekhuatiran yang ada. Kalau ini tidak berlaku syukurlah. Bermakna pelajar kita telah cukup matang dan mereka sudah ada kebijaksanaan.

    Justeru, gunakanlah peluang yang telah dibuka dan diberi oleh kerajaan ini dengan sebaik-baiknya untuk menunjukkan yang siswa siswi kita sudah cukup matang dan bersedia mengurus dan guna kebebasan yang diberi kepada mereka tanpa menjejaskan tugas serta tanggungjawab sebagai pelajar universiti yang berilmu dan berjaya.

    Justeru, kita harap mahasiswa bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan dan pilihan bagi memastikan mereka tidak mengabaikan tugas serta tanggungjawab utama, harapan ibu bapa, komitmen dengan penaja pengajian, keharmonian kampus dan hak pelajar lain yang ingin belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan politiking yang melampau dalam kampus.

    S Apa perlu dilakukan pihak pentadbiran universiti sebagai persediaan menghadapi perubahan di kampus apabila akta itu dipinda kelak?

    J
    Pentadbir universiti sebagai kakitangan kerajaan hanya mampu melaksanakan apa yang diarahkan mengikut undang-undang dan peraturan. Kita juga hanya dapat menasihatkan pelajar supaya menggunakan kebebasan yang diberi itu dengan sebaik-baiknya dan penuh tanggungjawab.

    Jangan sampai mereka menjadi alat kepada pihak tertentu atau mudah diperalatkan mana-mana pihak.

    S Larangan membawa politik kepartian kepartian ke kampus dilihat satu cabaran besar apabila pindaan akta ini diluluskan. Nasihat dan saranan Prof kepada pelajar dan pentadbiran universiti dalam memastikan hal ini?

    J
    Di dalam kampus cubalah elakkan daripada terlalu taksub dengan parti dan agenda atau ideologi parti yang disokong. Bersikap rasional, matang dan terbuka serta bebas dalam membuat sesuatu keputusan dan memberikan pandangan.

    Jangan terlalu dibelenggu dan terbelenggu dengan parti yang kita sokong sehingga kebenaran dan keadilan tidak dihiraukan. Tegakkan kebenaran dan yang hak serta keadilan berdasarkan landas ilmu dan pengetahuan yang luas.

    Dengar semua pandangan dan ambillah yang terbaik. Jangan hanya mahu dengar pandangan puak yang kita sokong saja hingga pendapat pihak lain diremehkan dan ditolak mentah-mentah.

    Ini tidak sihat dan tidak cocok dengan budaya ilmu yang kita ingin tegakkan. Insya-Allah kalau perkara ini dapat ditangani sebaiknya, universiti dan peranannya tidak akan terjejas dan pelajar juga yang akan untung pada akhirnya.

    S Mungkin Prof ingin mencadangkan perincian aspek lain dalam pindaan akta itu supaya ia lebih jelas dan tidak disalah guna?

    J
    Saya fikir kerajaan tahu apa yang mereka lakukan demi masa depan negara dan universiti serta masa depan anak-anak kita di universiti. Perdana Menteri sudah berikan jaminannya dan kita harap semua pihak dapat beri kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan menguruskan perkara ini dengan sebaik-baiknya.
    Kita doakan semoga keputusan ini adalah sesuatu yang baik untuk semua pihak terutama pelajar kita kerana merekalah yang terbabit secara langsung dengan perkara ini. Mereka yang akan dapat faedahnya atau menjadi mangsa kepada sesuatu keadaan yang berlaku.