Pages

Translate

Sunday, February 19, 2012

Sekolah Menengah Gajah Berang

AHLI Pandu Puteri (dari kiri), Karen Hong, Tong Seng Yie dan Moo Yi Zhi dari Sekolah Menengah Gajah Berang menunjukkan bebola lumpur yang digunakan untuk menjernihkan air pantai pada Program Khidmat Masyarakat Pandu Puteri Turun Padang oleh Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Cawangan Negeri Melaka di Perkampungan Ikan Bakar Terapung, Umbai di Jasin, hari ini. Program itu dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto BERNAMA
Feb 19, 2012 8:17 pm

Wednesday, February 15, 2012

Rang pindaan AUKU 1974 dibentangkan di Parlimen Mac ini

PULAU PINANG: Proses pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 hampir selesai dan rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Mac ini, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata maklumat terperinci berhubung perkara itu akan diumumkan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 
"Pindaan Seksyen 15 AUKU insyaAllah akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan Mac. Pada dasarnya ia memenuhi permintaan majoriti pihak berkepentingan yang inginkan supaya pindaan ini dibuat.

"Sekarang kita harus memikirkan apakah yang akan berlaku selepas pindaan dilaksanakan," katanya kepada pemberita pada kemuncak pertandingan Debat Diraja 2012 kategori Bahasa Melayu (Utama) di sini, malam tadi.

Saifuddin berkata pindaan yang dibuat diharap dapat mengembalikan zaman kegemilangan gerakan mahasiswa di tahun 60an dan 70an di mana mahasiswa dilihat sebagai pencetus idea untuk pembangunan negara.

"Saya fikir inilah cabaran yang harus dipikul oleh golongan mahasiswa hari ini, khususnya pimpinan mahasiswa mencetuskan idea-idea baru untuk masyarakat sama ada di dalam atau pun di luar kampus," katanya.

Saifuddin berkata pindaan AUKU ini bukan sekadar untuk melihat mahasiswa berpolitik semata-mata, tetapi bagaimana memberi ruang dan peluang kepada mereka menyuarakan idea sehingga dapat mempengaruhi pemikiran dan perbincangan masyarakat.

Katanya, masyarakat terutamanya ahli-ahli politik seharusnya memberi peluang kepada mahasiswa berfikir dan menyuarakan pandangan dalam pembangunan negara termasuk isu-isu politik dan ekonomi.

Saifuddin berkata dalam konteks ini debat dilihat bukan hanya untuk pertandingan tetapi menjadi antara medium terbaik bagi para mahasiswa mengasah pemikiran yang kritis dan kreatif.

Dalam debat itu Universiti Malaya dinobatkan sebagai johan utama manakala Universiti Sains Malaysia (USM), selaku tuan rumah naib johan, manakala kategori Bahasa Inggeris pula dimenangi Universiti Teknologi Mara sebagai johan utama dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), naib johan.

Dalam kategori Bahasa Arab pula diungguli UIAM (Kumpulan A) yang muncul juara dan Universiti Sains Islam Malaysia sebagai naib juara dalam kumpulan itu.

Johan setiap kategori membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan, manakala naib johan memenangi piala iringan, wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan.

Seramai 500 pendebat daripada 21 institusi pengajian tinggi berkampung di USM sempena pertandingan itu, anjuran Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) yang bermula Sabtu lepas. -- BERNAMA

DBP audit bahasa Melayu

pix_gal0
Garis panduan hampir siap, kemuka kepada kerajaan Jun 

PETRA JAYA: Masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam dokumen urusan rasmi masing-masing, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris, termasuk dalam surat pekeliling dan minit mesyuarat bulanan.


Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan itu setakat ini.
Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, berkata ia berlaku kerana ada pegawai atasan dan penjawat awam tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan. 

Katanya, setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi. 

"Pada masa sama, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa dokumennya, iaitu surat pekeliling dan laporan tahunan. 

"Cara terbaik meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam adalah mengadakan audit bahasa dari semasa ke semasa," katanya selepas menyampaikan ucaptama Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam Kepada Seluruh Warga Negara, di DBP Cawangan Sarawak, di sini semalam. 
Ia dianjurkan DBP Cawangan Sarawak dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sempena Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Negeri Sarawak 2012. 

Awang berkata, mungkin ada pihak yang ketawa dengan langkah itu, tetapi DBP beriltizam melaksanakannya kerana ia bukan satu kesalahan, malah dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan penjawat awam di negara ini. 

Katanya, cara kerajaan memperbaiki pencapaian dalam pengurusan dan pentadbiran adalah menerusi proses audit, termasuk aspek kewangan. 

“Jadi, dalam penggunaan bahasa Melayu, wajar juga dilaksanakan audit. DBP kini dalam peringkat akhir menyediakan garis panduan untuk digunakan dalam audit berkenaan dan jika semua berjalan lancar, garis panduan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Jun ini,” katanya.

Friday, February 3, 2012

14 sekolah lagi dapat taraf SBT

MUHYIDDIN bergambar bersama pengetua, guru besar dan pelajar serta murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas menyampaikan watikah pengiktirafan SBT di Auditorium Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.
MUHYIDDIN bergambar bersama pengetua, guru besar dan pelajar serta murid Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas menyampaikan watikah pengiktirafan SBT di Auditorium Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.
Perisytiharan angkat mutu pendidikan, beri autonomi laksana inovasi pengurusan

PUTRAJAYA: Sebanyak 14 sekolah lagi, iaitu 10 sekolah rendah dan empat sekolah menengah, diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan SBT sehingga ini ialah 66.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu meletakkan Malaysia di landasan yang sepatutnya supaya negara setanding dengan pendidikan di negara maju, selaras wawasan kerajaan mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau, yang juga Menteri Pelajaran, menjangkakan selepas fasa penilaian semula dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang dipikul warga SBT akan lebih mencabar. 

"Perisytiharan sebagai SBT ini bertujuan mengangkat mutu sekolah terbaik menerusi peningkatan pencapaian institusi pendidikan dengan memberi lebih autonomi dan tanggungjawab serta membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.

"Ini mampu menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang dan bertaraf antarabangsa selain menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.

"Seterusnya, kita mahu SBT memainkan peranan sebagai sumber inspirasi dan rujukan kepada sekolah lain, sekali gus merapatkan jurang antara mereka menerusi jaringan dan bimbingan dalam kalangan sesama sendiri," katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan SBT Kohort 3 bagi tahun 2012, di sini semalam. 
Sebelum ini, 20 sekolah diumumkan sebagai SBT bagi Kohort 1/2010 manakala 23 sekolah lagi disenaraikan dalam Kohort 2/2011 disusuli sembilan lagi sekolah yang diumumkan sebagai tambahan kepada senarai SBT Kohort 2/2011.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Infant Jesus, SK (P) Sultan Ibrahim, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Foon Yew 2, Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor dan SMS Kota Tinggi di Johor serta SK Ibrahim, SJKC Keat Hwa (H) dan SMS Sultan Mohamad Jiwa di Kedah.

Sekolah lain termasuk SK Minden Heights dan SJKC Kwang Hwa di Pulau Pinang; SK Sultan Sulaiman 1 dan SK Tengku Mahmud di Terengganu; SK Assunta Convent di Pahang serta SMS Tuanku Jaafar di Negeri Sembilan.

Setiap sekolah terbabit masing-masing menerima peruntukan RM700,000 sebagai insentif menambah baik kecemerlangan pada masa depan. 

Muhyiddin berkata pengiktirafan SBT, yang juga sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Kementerian Pelajaran, bertujuan meningkatkan pencapaian pelajar secara keseluruhan dengan meningkatkan akses kepada pendidikan bermutu

SMM protes jika MB Kedah sokong Auku, Akta IPTS


SHAH ALAM - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menegaskan pihaknya sudah bersiap untuk menggerakkan protes besar-besaran di hadapan Wisma Darul Aman Alor Setar pada 19 Februari ini jika Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak terus mempertahankan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, yang didakwa mengekang kebebasan pelajar.
Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, pergerakan itu mengharapkan agar kepimpinan tertinggi Pas dapat menimbang tara dengan sebaik mungkin tuntutan yang dikemukakan oleh mahasiswa.
Hari ini SMM meletakkan tiga tuntutan berhubung isu membabitkan Kolej Universiti Insaniah (Kuin).
"SMM juga mengharapkan agar pertemuan antara pimpinan tertinggi Pas dan MB Kedah nanti bakal menghasilkan keputusan yang positif," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pertemuan Pas Pusat dengan Azizan dijangka berlangsung 12 Februari ini bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu semasa. Pada tarikh itu juga Pas Pusat akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja.
Ahmad Shukri berkata, SMM menyambut baik kesungguhan pimpinan tertinggi Pas yang akan memanggil Azizan bagi mencari solusi terbaik terhadap isu semasa.
"SMM tegaskan bahawa mahasiswa masih berpegang pada premis perjuangan yang sama iaitu menentang akta zalim Auku dan sebarang akta yang serupa seperti Akta 555, Akta 174, dan Akta 173.
"Kesemua akta ini bersifat menyekat peluang aktivisme mahasiswa seperti yang terkandung dalam Seksyen 15 Auku dan Seksyen 47 Akta 555.
"Akta ini juga menjadikan IPT seolah-olah hamba pemerintah apabila bidang kuasa yang dimiliki oleh menteri adalah terlalu besar," katanya lagi.
Sehubungan itu kata beliau, mahasiswa menyokong penuh inspirasi Buku Jingga yang menyatakan hasrat pemansuhan Auku sebagai manifesto Pakatan Rakyat (PR) apabila berjaya memerintah persekutuan.
Dalam isu lima pelajar Kuin, katanya, sejak Mei lalu, SMM telah menuntut agar pengurusan kolej selaku IPT milik penuh Kerajaan Negeri Kedah itu tidak menggunakan Akta IPTS, yang serupa seperti Auku, dalam menghukum lima pemimpin mahasiswa yang terlibat dalam konflik Kolej Tahfiz Ar-Razi.
"Namun tuntutan itu tidak diterima, bahkan lima mahasiswa tersebut digantung pengajian sehingga dua semester, hanya kerana mempraktikkan hak yang dijamin perlembagaan iaitu berhimpun secara aman dan mengeluarkan pandangan secara terbuka.
"Perkara ini telah kami bawa kepada pihak yang lebih berautortiti iaitu Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Dato Seri Azizan Razak," katanya lagi.
Katanya, asas tuntutan yang diberikan kepada Azizan ialah supaya beliau memberi konsultasi kepada Kuin agar tidak mengguna pakai akta 'zalim' dalam melayani kebangkitan mahasiswa Kuin.
"Mahasiswa menuntut agar Kuin menggunakan budi bicara dengan tidak menghukum mahasiswa yang terbabit.
"Keadaan tambah keruh apabila MB Kedah bukan sekadar tidak menunjukkan protes terhadap akta zalim ini, bahkan beliau sendiri mengeluarkan kenyataan-kenyataan pro-Auku dan Akta 555," katanya sambil menambah, kenyataan-kenyataan itu mempamerkan seolah-olah Menteri Besar Kedah tidak menghormati agenda perjuangan mahasiswa yang selama ini turut diperjuangkan oleh gerakan rakyat lain termasuk parti-parti politik.
Tambah beliau, hukuman dikenakan terhadap lima mahasiswa tersebut merupakan satu pencabulan hak asasi yang perlu diperbetulkan pada masa akan datang.
Kes pelajar-pelajar terbabit sudah difailkan di mahkamah.
"Apa yang lebih penting ialah akta yang menjadi punca kepada penganiayaan terhadap mahasiswa ini perlu ditentang oleh semua pihak bagi memastikan tragedi Kuin lima tidak berulang.
"Oleh itu, menyambut inisiatif Pas, SMM ingin mengemukakan beberapa tuntutan dengan harapan pimpinan tertinggi Pas boleh menerima idea pandang yang diutarakan oleh mahasiswa," katanya lagi.
Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan ialah:
- SMM mengharapkan agar pimpinan tertinggi Pas turut melibatkan wakil mahasiswa dalam pertemuan dengan MB Kedah kelak.
- SMM menuntut agar MB Kedah bersedia untuk menarik balik semua kenyataan beliau yang memihak kepada akta zalim Auku dan Akta 555.
- Mahasiswa menutut agar MB Kedah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Kedah menjamin hak aktivisme mahasiswa dan rakyat secara keseluruhannya seperti mana yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Wednesday, February 1, 2012

Perang Facebook, pelajar perempuan dibelasah

MANGSA  menunjukkan kesan lebam akibat dibelasah  15 pelajar perempuan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, semalam. - Foto Shamsul Munri Safini
MANGSA menunjukkan kesan lebam akibat dibelasah 15 pelajar perempuan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, semalam. - Foto Shamsul Munri Safini
KANGAR: Akibat perang Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun dibelasah, termasuk dipijak dan ditendang sekumpulan kira-kira 15 pelajar perempuan dari sekolah sama berhampiran sebuah sekolah menengah di sini, petang kelmarin. 

Mangsa dipercayai diserang berikutan beberapa komennya di dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini, yang dikatakan mengeluh kerana asyik dibuli sejak lebih sebulan berpindah ke sekolah itu, awal tahun ini.
Anak sulung daripada dua beradik itu cedera di tangan dan badan, selain lebam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, berikutan muntah dan mengadu sakit dada.
Dalam kejadian itu, mangsa yang baru berpindah dari Sungai Petani, Kedah, dikatakan dikerumuni kira-kira 15 pelajar perempuan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebaik selesai menjalani latihan sukan di sekolah kira-kira jam 6.30 petang. 

Mangsa yang menaiki basikal seorang diri dikatakan dikepung dan basikalnya ditendang tiga hingga empat daripada 15 pelajar berkenaan, sebelum terjatuh di kawasan taman perumahan di belakang sekolahnya di Jalan Raja Syed Alwi di sini.

Apabila terjatuh, seorang pelajar lain memijak dan memukul mangsa sebelum disertai pelajar lain yang turut sama memukul dan menendang kepala mangsa selain menarik rambutnya.

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Latifah, 30-an, berkata dia sedih dan kesal kerana tiada seorang pun pelajar yang menyaksikan kejadian berani membantu anaknya yang ketika itu menjerit meminta tolong. 
Anak saya dibelasah teruk berdekatan sekolah, namun, tiada seorang pun berani membantunya. Malah, dua pelajar lelaki dari sekolah sama yang menyaksikan kejadian itu hanya ketawa melihat anak saya dibelasah.

Dia (mangsa) yang lemah tidak berdaya selepas dibelasah. Dalam kesakitan, dia berjalan sendiri untuk pulang ke rumah selepas ditinggalkan kumpulan pelajar terbabit, katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Kangar.

Mangsa yang dibenarkan pulang selepas diberi rawatan pesakit luar, bagaimanapun dihantar ke HTF semalam dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut selepas mengadu sakit dada serta muntah di rumah.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superintendan Ismail Che Isa, mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

Kita sedang menyiasat jumlah pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan sudah kenal pasti empat pelajar perempuan berusia 15 tahun daripada sekolah sama yang disyaki terbabit, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, selain Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah. 

Monday, January 30, 2012

BB1M: UUM panggil 113 pelajar

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memanggil 113 pelajarnya yang disyaki terbabit dengan kes penjualan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada sepasang suami isteri untuk siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Naib Canselor UUM, Datuk Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata semua pelajar terbabit yang sudah dikenal pasti identitinya itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak universiti sejurus semester baru bermula pada 18 Februari ini.

 Beliau berkata, UUM kesal dengan tindakan pelajar terbabit yang menyalahgunakan baucar diberikan kerajaan untuk meringankan beban pelajar membeli buku akademik, dengan menjualnya kepada pihak lain.
“Justeru, kita akan panggil semua yang terbabit yang mana majoritinya pelajar lelaki sejurus tamat cuti semester ini, untuk memberi penjelasan berhubung kes berkenaan dan akan mengambil tindakan jika perlu.

“Bagaimanapun, kesalahan ini tidak boleh diletakkan di atas bahu pelajar semata-mata kerana ia tidak akan berlaku jika tidak ada pihak yang menawarkan perkhidmatan membeli baucar buku berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di UUM, semalam.

Beliau mengulas kes penjualan BB1M membabitkan 113 pelajar UUM kepada pasangan suami isteri dengan harga RM180 sebagai pertukaran bagi baucar bernilai RM200, dengan RM20 adalah keuntungan suspek.

Pasangan berkenaan berusia lewat 30-an yang dikatakan memiliki kedai buku di ibu negara ditahan polis malam kelmarin selepas siasatan mendapati mereka mendalangi kegiatan yang didedahkan media sebelum ini.
Mengulas mengenai tangkapan itu, Mohamed Mustafa berkata, pihak pengurusan UUM mengesan mengenai kegiatan pasangan terbabit pada 9 Januari lalu, selepas suspek dikatakan menampal poster iklan berhubung perkhidmatan pembelian baucar berkenaan di sekitar kampus sebelum menjalankan siasatan.

Katanya, pasangan suami isteri itu dikatakan menyewa di sebuah apartmen milik UUM untuk memudahkan urus niaga penjualan baucar itu dengan pelajar universiti terbabit.

“Kita sudah bertindak awal dengan melaporkan kes ini kepada bahagian keselamatan UUM untuk siasatan sebelum berjaya memberkas pasangan berkenaan dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa, berkata pihaknya menyifatkan ia adalah kes terpencil memandangkan jumlah pelajar UUM yang terbabit dengan kes berkenaan adalah terlalu kecil iaitu 113 orang, berbanding 30,000 pelajar universiti itu yang mendapat BB1M.

“Saya percaya semua pelajar terbabit menyesal dengan perbuatan mereka selepas terpedaya dengan tawaran diberikan individu yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bahagian keselamatan UUM pada 15 Januari lalu kira-kira jam 3 petang di dalam apartmen yang disewa mereka.