Pages

Translate

Thursday, November 17, 2011

88 sekolah di Sarawak lulus 100%

KUCHING 17 Nov.- Sebanyak 88 daripada 1,282 sekolah di negeri ini mencatatkan keputusan lulus 100 peratus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini berbanding hanya 65 sekolah pada tahun lalu.
Bagaimanapun, peratusan calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.52 peratus apabila hanya 1,835 calon atau 4.18 peratus mendapat 5A berbanding 2,035 calon atau 4.7 peratus tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 1,319 calon merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) manakala baki 516 ialah murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Pengarah Pelajaran negeri, Abdillah Adam berkata, seramai 24,344 atau 55.52 peratus daripada 43,849 calon yang menduduki UPSR tahun ini mendapat sekurang-kurangnya C bagi semua mata pelajaran yang diambil.
Sementara itu katanya, sebanyak 28 sekolah mencatat pencapaian antara 90 hingga 99.9 peratus lulus dan 128 lagi mencatat pencapaian antara 80 hingga 89.9 peratus lulus.
Tambahnya, dari segi pencapaian penguasaan minimum gred C, calon SK menunjukkan peningkatan dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu Pemahaman sebanyak 0.44 peratus, Bahasa Melayu Penulisan (2.64 peratus) dan Matematik (0.85 peratus).
"Calon SJKC pula menunjukkan peningkatan dalam tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Cina Pemahaman sebanyak 3.72 peratus, Bahasa Cina Penulisan (0.23 peratus) dan Matematik (0.44 peratus).
"Kedua-dua jenis sekolah menunjukkan penurunan ketara dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris apabila SK menurun sebanyak 3.59 peratus manakala SJKC menurun sebanyak 4.1 peratus," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurut Abdillah, keputusan UPSR 2011 telah dihantar kepada semua guru besar sekolah di seluruh negeri.
"Pihak sekolah, calon dan ibu bapa diingatkan bahawa permohonan untuk semakan semula perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan dan perlu dihantar terus kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia sebelum 17 Disember ini," katanya.

No comments:

Post a Comment