Pages

Translate

Thursday, November 17, 2011

Anak peniaga laksa Sarawak dapat 5A dalam UPSR

KUCHING 17 Nov. - Jerih-perih Rusmiaddy Hardi berniaga laksa Sarawak setiap hari demi menanggung keluarga berbaloi apabila anak sulungnya, Aniamirul Sofia mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
Perasaan bangga dan terharu jelas terbayang di wajah Rusmiaddy apabila menatap slip keputusan peperiksaan anak perempuannya itu.
Rusmiaddy, 37, berkata, kejayaan Aniamirul Sofia bukan sahaja membanggakan mereka sekeluarga malah menjadi pembakar semangat kepada tiga adiknya untuk mengikut jejak langkahnya.
"Ketika peperiksaan percubaan, Sofia sekadar mendapat 4A 1B, namun semangatnya yang tidak mudah mengalah dan terus tekun belajar akhirnya membuahkan hasil," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Merdeka, di sini hari ini.
Sementara itu, Aniamirul Sofia bersyukur kerana dapat menghadiahkan keputusan cemerlang kepada bapanya dan seluruh ahli keluarga.
"Susah payah bapa berniaga setiap hari hingga lewat malam menjadi penguat semangat untuk saya terus belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti," katanya.
Aniamirul Sofia merupakan antara 11 murid Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Jalan Astana, di sini yang memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang keputusannya diumumkan hari ini.

No comments:

Post a Comment