KLUANG - Sektor pendidikan agama menerima peruntukan tambahan sebanyak 12 peratus daripada Kerajaan Negeri pada tahun ini khusus untuk menggandakan lagi aktiviti-aktiviti keagamaan.
Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebelum bajet tambahan tersebut dimaklumkan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet sebanyak RM180 juta pada 2011 khusus untuk pengurusan pendidikan agama.
“Walau bagaimanapun, untuk portfolio agama, peruntukan yang diterima adalah peruntukan terbesar daripada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapannya sempena Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA), Sijil Intensif Bahasa (SIB), Sijil Darjah Enam Agama (SDEA) dan Penganugerahan Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2011 yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, dari segi pembinaan sekolah agama di negeri ini, Kerajaan Negeri tetap akan memberi keutamaan kepada pendidikan agama dengan menambahkan jumlah sekolah agama mengikut keperluan semasa.
Beliau berkata, setakat ini kerajaan sedang membina 121 sekolah agama. Ia dibina berikutan terdapat sekolah-sekolah agama yang menumpang.
“Pembinaannya dijangka siap selewat-lewatnya pada 2013 dengan kos lebih daripada RM200 juta.
“Dengan pembinaan tersebut ia menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam pembangunan pendidikan agama di negeri ini,” katanya.
Katanya, Majlis Agama Islam Johor (Maij) telah mengeluarkan RM61.9 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi pembangunan sekolah agama rakyat (SAR), Skim Wakaf Kitab, bantuan anak-anak yatim dan insentif untuk pelajar tahfiz.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memberi perhatian dan sokongan terhadap program pembangunan pendidikan agama di negeri ini, khususnya yang menjurus ke arah pembentukan dan perkembangan minda anak-anak.
“Malah, ianya bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu dan berpengetahuan menjelang 2020,” katanya.
No comments:
Post a Comment