Pages

Translate

Thursday, March 8, 2012

Personaliti: Pablo kagumi budaya unik Malaysia


pix_gal0
KESIBUKAN menelaah pelajaran dan pada masa sama terikat dengan jadual waktu kuliah yang padat bukan alasan bagi Ahmed Mechail Ahmed atau lebih senang dikenali dengan nama Pablo Ahmed Sanches untuk mempelajari dan mendalami budaya hidup Malaysia yang bersifat multibudaya. 

Dalam diam, sudah dua tahun beliau berada di Malaysia dan sepanjang tempoh itu, pelbagai pengalaman menarik dilaluinya dengan penuh ketabahan tanpa keluarga di sisi.
Mengakui cukup kagum dengan kepelbagaian budaya masyarakat negara ini, beliau menyifatkan Malaysia negara yang begitu unik kerana mempunyai pelbagai kaum dengan budaya hidup yang berbeza.
“Awalnya, belajar di Malaysia bukanlah pilihan hati saya, tetapi dipaksa ayah atas cadangan sahabatnya bahawa belajar di sini bagus. Jujur saya katakan, pada permulaannya saya rasa amat bosan dan tidak semangat belajar di Malaysia, namun atas desakan keluarga, saya terpaksa ikut. 

“Sebaik menjejakkan kaki di Malaysia, apa yang saya bayangkan sebelum ini nyata jauh berbeza. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata, namun saya amat gembira dan ingin terus berada di sini,” katanya. 

Beliau menyifatkan pilihan untuk menyambung pengajian ke negara ini tepat kerana tidak perlu bersusah payah memikirkan persekitaran di sini yang cukup baik untuknya dan rakan lain. 

Bukan bermaksud di tempat lain tidak selamat, tetapi bagi Pablo, Malaysia cukup seronok untuk didiami selain setimpal dengan mutu pendidikan tinggi yang berkualiti. 
“Saya mempelajari pelbagai budaya dalam negara ini. Contohnya bagi orang Melayu dan India mereka lebih gemar menggunakan tangan ketika makan, sementara masyarakat Cina pula menggunakan penyepit. 

“Saya juga datang ke sini bukan untuk bercuti, tetapi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan memperoleh ilmu pengetahuan yang cukup sebelum pulang ke tanah air,” katanya. 

Berasal dari Ohio, Amerika Syarikat, Pablo juga serius mempelajari dan menguasai bahasa Melayu sehingga akhirnya mampu bertutur dengan baik, malah beliau tidak pernah menghadapi kesukaran sepanjang bergelar mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana sentiasa dibantu rakan-rakan lain jika memerlukan pertolongan. 

“Sikap ramah, sopan dan budi bahasa rakan dengan orang asing seperti saya menyebabkan saya tidak kekok untuk bergaul. Apatah lagi bidang pengajian saya, komunikasi korporat yang menuntut kebijaksanaan dalam berkomunikasi selain keyakinan tinggi apabila berdepan dengan masyarakat. 

“Malah pelajar asing juga tidak terkecuali berpeluang menikmati segala kemudahan dan keselesaan yang disediakan universiti dan tidak hairanlah jika Malaysia terus menjadi antara negara pilihan pelajar asing masa kini,” katanya. 

Menyifatkan pengalaman belajar di negara ini sebagai mencabar, Pablo kini lebih berdikari dan mampu mematangkan diri dalam melakukan banyak perkara. 

“Nasihat saya kepada rakan lain, belajar dan rebutlah peluang yang diberikan ketika berada di universiti kerana ia tempoh terbaik untuk kita merancang kehidupan yang lebih baik pada masa depan”, katanya. 

“Selain itu, saya juga amat bersyukur kepada Allah kerana diberi peluang sebegini bagi menentukan masa depan saya. Kesempatan bergaul dengan pelajar dari pelbagai negara, bukan saja memberi peluang kepada saya mempelajari budaya mereka, tetapi juga perbezaan dalam pemikiran. 

“Malah, mempelajari kepelbagaian dalam pemikiran orang ramai adalah satu tahap ke arah pemikiran lateral atau berfikir di luar kotak, kemahiran yang dicari kebanyakan majikan bagi calon pekerja,” katanya. 


PROFIL: Ahmad Mecail Ahmed 
Umur: 22 tahun 
Asal: Ohio, Amerika Syarikat 
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Korporat, UPM 
Hobi: Bersukan dan melayari internet.

No comments:

Post a Comment