Pages

Translate

Thursday, March 8, 2012

RM800,000 BB1M digunakan di ekspo buku


Pelajar IPT memanfaatkan BB1M di Ekspo Buku Islam Putrajaya, baru-baru ini.
Pelajar IPT memanfaatkan BB1M di Ekspo Buku Islam Putrajaya, baru-baru ini.
PUTRAJAYA: Menjelang tarikh akhir penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) pada hujung Mac ini, sebanyak RM800,000 nilai baucar berkenaan ditebus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi Ekspo Buku Islam Putrajaya di Dewan Cempaka Sari, Precint 3, di sini, baru-baru ini. 

Pengarah Urusan Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd (Sinergi Ilmu), Mohd Jaini Mohd, berkata jualan menggunakan BB1M ialah penyumbang utama perolehan keseluruhan lebih RM1 juta dicatat sepanjang 10 hari acara berlangsung.
Katanya, selain lokasi strategik ekspo berhampiran institusi pengajian tinggi (IPT), kepelbagaian buku rujukan, motivasi dan bahan bacaan ringan ditawarkan lebih 100 penerbit yang menjayakan ekspo itu menjadi tarikan bagi mahasiswa mengunjunginya.
“Sambutan pengunjung terutama pelajar IPT bagi ekspo ini sememangnya di luar jangkaan. Maklum balas kami terima daripada penerbit menyatakan kira-kira suku daripada hasil jualan di gerai mereka menerusi penebusan BB1M, membolehkan kebanyakannya memperoleh pulangan modal dan untung seawal hari ketiga pameran. 

“Hal ini membuktikan isu pelajar IPT salah guna BB1M dilaporkan sebelum ini ialah kes terpencil kerana majoriti mahasiswa sebenarnya bijak memanfaatkan kemudahan diberikan kerajaan ini,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 

Gerai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia antara yang mendapat perhatian penuntut IPT kerana menawarkan diskaun sehingga 40 peratus khusus bagi pelajar yang menggunakan baucar BB1M dan berjaya mencatat jualan lebih RM10,000 menggunakan baucar itu. 

Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pemasarannya, Zam Zarizal Mad Ariffin, berkata dua buku yang mendapat sambutan hangat mahasiswa ialah Sirah Nabawiyyah dan Membumikan Erti Kasih. 
“Kita menawarkan diskaun hebat sehingga 40 peratus bagi Sirah Nabawiyyah yang menjayakan kempen Satu Sirah Satu Rumah. Sambutan amat memberangsangkan, malah 60 peratus hasil jualan kami diperoleh menerusi BB1M, manakala 40 peratus lagi tunai,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Jasmine Enterprise, Hyder Ali, berkata 50 peratus daripada hasil jualan gerainya yang menawarkan kitab agama diperoleh menerusi BB1M dan mencatat hasil jualan RM6,000 pada dua hari pertama ekspo dianjurkan. 

Beliau berkata, kebanyakan pelanggannya daripada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mendapatkan buku rujukan agama terjemahan bahasa Melayu termasuk Ensiklopedia Sejarah Islam, Fiqah Lengkap, Wasiat dan Biografi Rasulullah. 

Pelajar Universiti Teknologi Mara Segamat, Noor Hidayah Roslan, 24, antara pelajar yang memanfaatkan BB1M untuk membeli buku motivasi dan novel terkini pada ekspo itu dengan membelanjakan RM150 daripada peruntukan diterima. 

“Saya membeli buku Motivasi Aliran Pelajar untuk dikongsi bersama adik beradik yang masih bersekolah bagi mendapatkan panduan teknik belajar berkesan dan beberapa novel untuk bacaan santai. RM50 lagi akan saya gunakan untuk membeli keperluan alat tulis,” katanya. 

Pelajar Pengajian al-Quran dan Sunnah USIM, Mohd Juhairee Mohd Junaidie Khan, 22, pula berkata beliau memang merancang membelanjakan BB1M di ekspo itu untuk mendapatkan lebih banyak pilihan buku rujukan agama terkini. 

“Saya membeli buku Ensiklopedia Solat untuk dihadiahkan kepada ibu dan beberapa buku rujukan agama berkaitan bidang pengajian. Dengan membelanjakan BB1M di ekspo ini, lebih banyak buku dimiliki kerana ia ditawarkan pada harga diskaun,” katanya. 

Sementara itu, pelajar KUIS, Muhammad Syahmi Sukarno, 22, berkata pelajar wajar memanfaatkan ekspo buku itu bagi memupuk minat membaca buku rujukan agama yang kini lebih menarik dan segar kerana dilengkapi ilustrasi berkaitan.

No comments:

Post a Comment