Dr Raden Umar Sohadi, Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM).
S Boleh Prof jelaskan pencapaian UPM sepanjang 2011 dan pandangan terhadap perkembangan itu?
Kita juga akan memastikan UPM menjuarai agenda pertanian negara sebagai
pemangkin ekonomi pertanian berpendapatan tinggi. - Dr Raden Umar
Sohadi, Canselor Universiti Putra Malaysia.
S Apakah perincian pencapaian sektor akademik dan isu atau perkara yang perlu lebih diberi tumpuan pada tahun ini?J Bagi sektor akademik, pencapaian dalam skor kendiri Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA) sangat memberangsangkan apabila kita mencapai 84.6 peratus, mengatasi sasaran 82 peratus dan pencapaian 72.4 peratus pada 2010. Saya yakin jika pencapaian ini dapat ditingkatkan, kita mampu diiktiraf sebagai universiti terkemuka atau outstanding atau Tier 6 dalam penilaian SETARA 2011 berbanding kedudukan cemerlang atau Tier 5 pada 2009. Dalam komunikasi bahasa Inggeris di bawah My3S atau kemahiran insaniah, kita mencatat pencapaian 86.15 peratus berbanding 78.3 peratus pada 2010. Saya berpendapat inisiatif UPM melaksanakan Test on Communication in English (TOCIE) kepada mahasiswa mula membuahkan hasil dan tindakan intervensi yang dilakukan berupaya meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris mahasiswa. Apa yang menarik untuk dikongsikan ialah pencapaian 43.9 peratus kemasukan pelajar cemerlang peringkat Ijazah Sarjana Muda pada 2011 dengan Purata Nilai Gred Kumulatif 3.5, berjaya melebihi sasaran 40 peratus. Pencapaian ini satu lonjakan sekali gus membuktikan UPM sebagai destinasi pilihan bagi lulusan cemerlang. Di pentas pengajian siswazah pula, kita berjaya mengeluarkan 369 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan ini adalah jumlah graduan PhD tertinggi dihasilkan universiti di negara ini pada 2011. Saya yakin dengan potensi ini, kita mampu menyasarkan pengeluaran 400 graduan PhD pada tahun ini dan 500 pada 2014. Biarpun secara keseluruhan pencapaian sektor akademik adalah baik, namun ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi dan memerlukan tindakan bagi memperbaikinya. Antara perkara terbabit ialah enrolmen pelajar antarabangsa di peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mencapai hanya 1.18 peratus berbanding sasaran dua peratus. Begitu juga penjanaan pendapatan iaitu hanya RM51.96 juta berbanding sasaran RM90 juta.
S Bagaimana perkembangan UPM dalam bidang penyelidikan dan inovasi?
J Status UPM sebagai universiti penyelidikan, insya-Allah dapat dikekalkan bersandarkan prestasi pencapaian cemerlang apabila kita berjaya melepasi sasaran melebihi 120 peratus dalam penilaian kendiri Malaysia Research University Assesment (MyRA), berbanding 109 peratus pada 2010. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah pencapaian dalam penerbitan apabila kita mencapai faktor impak 1852.05 pada 2011 berbanding 1020 pada 2010. Jika kita mengambil kira penerbitan berstatus In-Press yang akan dimasukkan dalam penerbitan 2011, jumlah impak faktor melonjak kepada 2023.05. Pencapaian angka 2000 sangat penting kerana dari sudut psikologinya universiti sudah mencapai taraf setanding universiti terkemuka dunia. Dari sudut penyelidikan pula, kita sedia maklum Institus Biosains sudah dinaik taraf sebagai antara Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dalam bidang vaksin haiwan dan terapeutik. Mengambil kira pencapaian tahun lalu, saya akan membida empat lagi institut penyelidikan UPM iaitu Institut Pertanian Tropika, Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan, Institut Penyelidikan Produk Halal dan Institut Penyelidikan Matematik bagi memohon mendapatkan status HICoE.
S Kejayaan UPM dalam menyelesaikan beberapa isu tertangguh, boleh Prof jelaskan?
J Kita bersyukur kepada Allah SWT apabila beberapa isu yang sudah sekian lama tertangguh berjaya dan hampir diselesaikan. Antara isu terbabit ialah perjanjian perkhidmatan makanan dengan Desasiswa Catering Services Sdn Bhd, Hospital Serdang dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC). UPM bakal membuka satu dimensi baru dalam perkhidmatan makanan apabila satu persetujuan dicapai antara kedua belah pihak bagi menamatkan perjanjian kontrak lebih awal. Dengan persetujuan itu, perkhidmatan makanan bakal dikendalikan universiti sendiri menerusi UPM Holdings dengan jaminan penyediaan perkhidmatan dan mutu makanan yang lebih baik dengan harga yang setimpal. Dalam isu Hospital Serdang pula, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan kini dalam proses perbincangan bagi mencari penyelesaian terbaik menangani kemelut kedudukan hospital terbabit demi manfaat semua pihak. Kita sudah mengemukakan cadangan Strategi Lautan Biru bagi memanfaatkan Hospital Serdang dalam agenda pengajaran dan penyelidikan UPM di samping menekankan perkhidmatan cardiothorasic yang dilaksanakan pihak Kementerian Kesihatan. Strategi itu bukan saja mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua kementerian, malah satu perkongsian bijak sekali gus mampu mentransformasikan hospital terbabit sebagai hospital pengajaran berautonomi penuh. Dalam isu MTDC pula, kita berjaya memeterai perjanjian konsesi dengan pihak MTDC yang memberi faedah secara quick-win kepada universiti. Satu lagi kejayaan terbaru ialah penawaran program keusahawanan siswazah membabitkan 17 usahawan dengan 10 syarikat terbitan UPM bagi mengkomersialkan 13 teknologi universiti.
S Cabaran yang dijangka pada masa depan?
J Memasuki 2012, kita bakal berdepan dengan pelbagai cabaran dan antara yang akan diberi tumpuan ialah usaha mentransformasikan Sekolah Pengajian Siswazah Pengurusan sebagai Top Business School di peringkat antarabangsa dengan penubuhan Putra Business School. Selain itu, kita akan membangunkan setiap inci tanah universiti secara bersepadu bagi menjana pendapatan selain bertindak sebagai pertahanan kepada permintaan terhadap tanah UPM yang semakin agresif.
Turut menjadi tumpuan ialah usaha mentransfromasikan ladang UPM menjadi ladang contoh dan efisien, sekali gus menjana pendapatan yang lebih baik. Kita juga akan memastikan UPM menjuarai agenda pertanian negara sebagai pemangkin ekonomi pertanian berpendapatan tinggi, selain menginstitusikan inovatif dalam penyelidikan. Dari aspek kakitangan pula, kita akan menginstitusikan semangat Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam yang berteraskan prestasi tinggi dan organisasi yang kejat. Kelompok mahasiswa juga turut menjadi perhatian untuk memastikan mereka mampu menghayati semangat Akta Universiti dan Kolej Universiti selain menyahut cabaran menjadi sebagai sebuah universiti berstatus autonomi penuh
No comments:
Post a Comment