Pages

Translate

Showing posts with label IPT. Show all posts
Showing posts with label IPT. Show all posts

Thursday, December 1, 2011

Minda Intelek: Membudaya Penggunaan Bahasa Inggeris di IPT

MAHASISWA harus berani berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sekali gus dapat membina keyakinanyang tinggi.-Gambar hiasan
MAHASISWA harus berani berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sekali gus dapat membina keyakinanyang tinggi.-Gambar hiasan
 
 


PELBAGAI usaha dilaksanakan pihak berwajib untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Tidak dinafikan, semua usaha ini adalah ke arah penambahbaikan tetapi untuk mencapai tahap penguasaan, ilmu mengenai bahasa Inggeris saja tidak memadai jika tidak diamalkan dalam aktiviti kehidupan seharian pelajar.

Umumnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pendedahan mengenai bahasa Inggeris merangkumi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Melalui kursus wajib kefasihan bahasa Inggeris di IPT contohnya, pelajar diajar mengenai tatabahasa, kosa kata, dan bahasa Inggeris komunikasi. Pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah ini tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya jika ia tidak digunakan di luar bilik kuliah.

Kemahiran bahasa Inggeris hanya akan dapat ditingkatkan jika kita menggunakannya dalam kehidupan seharian. Dalam erti kata lain, usaha ke arah membudaya penggunaan bahasa Inggeris itu adalah sangat penting dan perlu menjadi amalan secara meluas dan berterusan.
Inisiatif membudaya penggunaan bahasa Inggeris boleh dilakukan pelajar sendiri. Sesuai peranan sebagai mahasiswa, inisiatif harus diambil untuk menggunakan bahasa antarabangsa itu sebagai bahasa pertuturan ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka.

Hakikatnya kesedaran mengenai pentingnya bahasa Inggeris sudah lama wujud dalam kalangan pelajar. Namun, apa usaha yang diambil pelajar itu sendiri untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka? Sebagai pelajar, mereka harus berani berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sekali gus dapat membina keyakinan yang tinggi terhadap penggunaan bahasa berkenaan.

Program berkaitan contohnya, penempatan pelajar bersama mahasiswa luar negara dapat menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi. Program mobiliti pelajar dengan kerjasama IPT luar negara juga boleh mendorong pelajar untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Pengalaman melaksanakan program pertukaran pelajar dengan Korea, contohnya, membuktikan kepentingan komunikasi dalam bahasa Inggeris supaya dapat difahami rakan pelajar dari negara itu.
Hasil program berkenaan menunjukkan berlaku peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terbabit. Mereka pulang dengan keyakinan tinggi untuk membudaya penggunaan bahasa Inggeris itu.

Program mobiliti ini juga boleh juga dikembangkan ke peringkat sekolah menengah. Melalui program pertukaran dengan negara luar dapat memberi kesedaran yang tinggi kepada pelajar sekolah mengenai pentingnya penguasaan bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dan bertukar idea dengan rakan pelajar antarabangsa.

Pengalaman ini sangat berharga kepada pelajar dan mempunyai impak positif dan tinggi terutama bagi meningkatkan motivasi dan keyakinan diri. Kesannya, negara dapat menghasilkan generasi yang mampu bersaing di peringkat global sesuai dengan konsep pengantarabangsaan yang disarankan kerajaan.

Selain itu, pihak IPT juga perlu mewujudkan kerjasama dan jaringan kerja yang erat dengan pihak sekolah mahupun komuniti untuk merealisasikan program pembudayaan penggunaan bahasa Inggeris.

Antaranya, program bersama anak orang asli, guru dan pelajar sekolah yang mampu memotivasikan mereka untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih yakin. Kesedaran harus diberikan mengenai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang penting dikuasai oleh generasi masa kini.

Membudaya penggunaan bahasa Inggeris ini tidak sukar jika semua pihak memberikan komitmen dan kerjasama yang tinggi untuk menjayakannya. Pihak berwajib perlu menyediakan lebih banyak ruang dan peluang untuk merealisasikan perkara ini.

Kempen menggunakan bahasa Inggeris boleh juga digerakkan secara besar-besaran di peringkat IPT, sekolah mahupun komuniti.

Galakan untuk membudaya penggunaan bahasa Inggeris ini harus diberikan kepada semua pihak terbabit. Apabila penggunaan bahasa Inggeris ini dijadikan amalan secara menyeluruh, semua akan terpanggil untuk berusaha meningkatkan kemampuan berbahasa Inggeris sesuai dengan cabaran globalisasi dan konsep pengantarabangsaan secara keseluruhannya.

Sama-samalah kita berusaha ke arah memperkasakan bahasa Inggeris selaras dengan hasrat mengukuhkan ilmu dalam pelbagai bidang kehidupan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Idris (UPSI), Tanjong Malim.

Thursday, November 17, 2011

Semua IPT perlu sistem akreditasi yang menarik



Muhyiddin Yassin dan Saifuddin Abdullah (kanan) melihat laman web Agensi Kelayakan Malaysia sewaktu majlis pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif



KUALA LUMPUR 14 Nov. - Semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu mempunyai sistem akreditasi yang mampu menarik minat orang ramai yang sudah bekerja untuk menyambung pelajaran bagi menjayakan program pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini hanya Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang telah mengorak langkah mengadakan kerangka akreditasi sendiri dengan mengambil kira pengalaman seseorang bagi mengikuti kursus yang ditawarkan.
Menurut beliau, inisiatif seperti itu sebenarnya sudah lama dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) serta Kanada yang dipercayai dapat merapatkan jurang perbezaan modal insan antara Malaysia dengan negara maju.
"Ini merupakan inisiatif yang dapat menggalak orang dewasa untuk terus belajar bagi tujuan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerja masing-masing," katanya semasa merasmi pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden serta Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.
Mengulas lanjut mengenai Pelan Induk PSH, Muhyiddin berkata, penyertaan awam terhadap program itu dijangka meningkat daripada 10 peratus kepada 50 peratus bagi golongan penduduk berusia 15 tahun ke atas menjelang 2020.
Bagaimanapun jelas Timbalan Perdana Menteri, kejayaan program tersebut turut bergantung kepada akreditasi serta pengiktirafan yang diterima pada masa ini.
Sehubungan itu katanya, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK) berperanan menyelaras penilaian berdasarkan pencapaian.
Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin memberitahu, Malaysia memerlukan satu pelan komprehensif serta menyeluruh dengan penglibatan semua pihak bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan generasi modal insan bertaraf dunia.
Tambah beliau, kerajaan meletakkan pembangunan modal insan yang kreatif serta inovatif sebagai satu agenda nasional dan untuk memastikan agenda tersebut mencapai kejayaan, ia menuntut kerjasama menyeluruh setiap peringkat umur rakyat Malaysia.
"Pelan induk ini akan memperkasa mekanisme yang telah digaris dan mempertingkatkan lagi kesedaran awam untuk menyertai pembelajaran sepanjang hayat. Malah di peringkat kerajaan sendiri, kita telah menyediakan dana bagi menyokong usaha tersebut," katanya.