Pages

Translate

Showing posts with label IPTS. Show all posts
Showing posts with label IPTS. Show all posts

Tuesday, December 6, 2011

IPTS perlu bertanggungjawab


MOHAMED Khaled Nordin bersama wakil-wakil industri di Kementerian Pengajian Tinggi selepas merasmikan Program Latihan Graduan Industri Tinggi di Putrajaya, semalam.



PUTRAJAYA 6 Dis. - Kementerian Pengajian Tinggi memberi amaran kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) supaya bertanggungjawab terhadap setiap pelajar asing yang menuntut di institusi masing-masing.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini banyak masalah ditimbulkan pelajar terbabit dan IPTS perlu memainkan peranan dalam membendung gejala yang tidak sihat di kalangan mereka.
Menurutnya, setiap masalah yang timbul boleh dielakkan jika IPTS terbabit memberi taklimat khas kepada pelajar asing bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang negara.

Pada masa sama, tegasnya, IPTS mesti memastikan segala dokumen membabitkan pelajar terbabit sah di sisi undang-undang sebelum menerima mereka belajar di institusi masing-masing.

"Sebagai institusi yang dibenarkan untuk mengambil pelajar warga asing, IPTS perlu bertanggungjawab untuk melihat segala dokumen mereka termasuk visa dan dokumen-dokumen lain.

"Dari segi visa, IPTS perlu tahu bila tarikhnya akan tamat dan menasihatkan pelajar berkenaan memperbaharui visa bagi mengelakkan timbul masalah berbangkit," katanya selepas merasmikan Program Latihan Graduan Industri Tinggi (HEIGIP) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Jabatan Imigresen menahan beberapa pelajar asing baru-baru ini kerana melanggar undang-undang negara termasuk visa yang tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini.

Pada 22 November lalu pula, polis yang menahan 75 warga Afrika kerana disyaki terlibat dengan penipuan dalam talian mengesahkan kesemua mereka adalah pelajar kolej swasta.

Menurut Mohamed Khaled, IPTS yang gagal mengawal pelajar asing di institusi masing-masing boleh ditarik balik kebenaran untuk mengambil pelajar antarabangsa.

"Bagaimanapun kita tidak mengambil tindakan drastik tersebut demi untuk melihat mereka lebih bertanggungjawab dalam membendung masalah yang ditimbulkan pelajar asing," katanya.

Thursday, December 1, 2011

Kerjaya: Graduan pendidikan IPTS bimbang tiada kerja

RAMAI graduan IPTS dalam bidang pendidikan gagal menjadi guru yang memerlukan pembelaan. - Gambar hiasan
RAMAI graduan IPTS dalam bidang pendidikan gagal menjadi guru yang memerlukan pembelaan. - Gambar hiasan
 
 


SEGELINTIR pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), kini mula tertekan gagal memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Kebimbangan itu berikutan keputusan Kementerian Pelajaran hanya menerima permohonan daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seperti dihantar kepada graduan program itu yang memohon menjadi guru di sekolah kerajaan.

Pelajar terbabit turut tertekan pengambilan pelajar IPTS dalam program itu kemungkinan tidak mengambilkira unjuran pengambilan guru ditetapkan Kementerian Pelajaran yang dengan sendirinya menutup peluang mereka menjadi guru.
Ini ditambah dengan pelanjutan usia persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun seperti diumumkan dalam Bajet 2012 yang dikhuaitiri menutup peluang graduan kolej dan universiti swasta menceburi profesion keguruan.

Exco Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar berkata, pergerakan itu menerima beberapa aduan dan maklumat daripada pelajar dan graduan IPTS mengenai kebimbangan mereka gagal memperoleh pekerjaan dalam bidang pendidikan di negara ini dengan mereka kini mula tertekan.

Katanya, ini termasuk 152 graduan Unversiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dari Sabah yang masih menunggu penempatan selepas menamatkan pengajian masing-masing pada 2009 dan tahun lalu.

Beliau berkata, dilema graduan terbabit sudah disampaikan kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran yang memberi alasan kementerian itu hanya mengambil dan menempatkan graduan IPTA dan IPGM.
“Graduan terbabit terutama dalam kalangan keluarga miskin menjadi harapan keluarga untuk membantu menyekolahkan adik beradik mereka dan kita harap kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran mempertimbangkan permohonan graduan IPTS untuk berkhidmat dengan kementerian terbabit.

“Sekiranya kelonggaran tidak dapat diberikan, Pergerakan Pemuda Umno mahu pengurusan unversiti dan Kementerian Pengajian Tinggi menggugurkan program pendidikan di IPTS bagi mengelak masalah ini berpanjangan yang merugikan generasi muda berpendidikan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, seorang graduan UNIRAZAK yang hanya mahu dikenali Floria dari Miri, Sarawak mendakwa sudah menerima surat daripada Bahagian Pengurusan sumber Manusia, Kementerian Pelajaran mengenai penolakan permohonannya untuk menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Katanya, alasan diberikan dalam sepucuk surat kepadanya yang bertarikh 20 Oktober 2010 ialah permohonan untuk menjadi guru termasuk GSTT terhad kepada graduan IPTA dan IPGM iaitu mengikut unjuran ditetapkan kementerian itu.

“Ini amat mengecewakan kerana graduan IPTS mempunyai kualiti sama dengan graduan IPTA yang sepatutnya kami diberi peluang berkhidmat kepada negara yang dicintai,” katanya.

Thursday, November 17, 2011

Semua IPT perlu sistem akreditasi yang menarik



Muhyiddin Yassin dan Saifuddin Abdullah (kanan) melihat laman web Agensi Kelayakan Malaysia sewaktu majlis pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif



KUALA LUMPUR 14 Nov. - Semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu mempunyai sistem akreditasi yang mampu menarik minat orang ramai yang sudah bekerja untuk menyambung pelajaran bagi menjayakan program pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini hanya Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang telah mengorak langkah mengadakan kerangka akreditasi sendiri dengan mengambil kira pengalaman seseorang bagi mengikuti kursus yang ditawarkan.
Menurut beliau, inisiatif seperti itu sebenarnya sudah lama dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) serta Kanada yang dipercayai dapat merapatkan jurang perbezaan modal insan antara Malaysia dengan negara maju.
"Ini merupakan inisiatif yang dapat menggalak orang dewasa untuk terus belajar bagi tujuan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerja masing-masing," katanya semasa merasmi pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden serta Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.
Mengulas lanjut mengenai Pelan Induk PSH, Muhyiddin berkata, penyertaan awam terhadap program itu dijangka meningkat daripada 10 peratus kepada 50 peratus bagi golongan penduduk berusia 15 tahun ke atas menjelang 2020.
Bagaimanapun jelas Timbalan Perdana Menteri, kejayaan program tersebut turut bergantung kepada akreditasi serta pengiktirafan yang diterima pada masa ini.
Sehubungan itu katanya, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK) berperanan menyelaras penilaian berdasarkan pencapaian.
Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin memberitahu, Malaysia memerlukan satu pelan komprehensif serta menyeluruh dengan penglibatan semua pihak bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan generasi modal insan bertaraf dunia.
Tambah beliau, kerajaan meletakkan pembangunan modal insan yang kreatif serta inovatif sebagai satu agenda nasional dan untuk memastikan agenda tersebut mencapai kejayaan, ia menuntut kerjasama menyeluruh setiap peringkat umur rakyat Malaysia.
"Pelan induk ini akan memperkasa mekanisme yang telah digaris dan mempertingkatkan lagi kesedaran awam untuk menyertai pembelajaran sepanjang hayat. Malah di peringkat kerajaan sendiri, kita telah menyediakan dana bagi menyokong usaha tersebut," katanya.

IPTA, IPTS perlu tawar banyak kursus minyak, gas



TUN Ahmadshah Abdullah (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Akademi TAS kepada Dani Shamsuddin di Kota Kinabalu, baru-baru ini.



KOTA KINABALU 15 Nov. - Institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di negeri ini disaran menawarkan lebih banyak kursus kemahiran dalam bidang minyak dan gas.
Bekas Yang Dipertua negeri, Tun Ahmadshah Abdullah berkata, langkah itu penting memandangkan jumlah tenaga mahir tempatan dalam industri berpotensi itu masih berkurangan.
"Penemuan beberapa buah telaga minyak baru di perairan Sabah dijangka memberi perubahan dan impak yang besar dalam memacu dan meningkatkan perkembangan ekonomi Sabah.
"Malah, pembangunan projek terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis yang dijangkakan pada 2013 merupakan contoh pembangunan industri minyak dan gas di Sabah yang harus dibanggakan semua lapisan rakyat negeri ini," katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian sijil graduan Akademi Tun Ahmadshah Abdullah dan Pusat Pembangunan Profesional UMS Link di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, keperluan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas di negara ini termasuk Sabah meningkat dengan mendadak di mana industri berkenaan memerlukan 21,000 pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.
Dalam pada itu, beliau yang juga Penaung Akademi TAS berkata, penubuhan akademi itu sejak 2008 amat bertepatan dalam melengkapi keperluan potensi perkembangan industri minyak dan gas di Sabah.
Katanya, sebagai pusat latihan profesional minyak dan gas pertama di Sabah, Akademi TAS memberi peluang kepada anak-anak Sabah menceburi industri minyak dan gas.
"Jadi saya percaya ini akan menjadikan peranan Akademi TAS bersama-sama Pusat Pembangunan Profesional UMS Link sebagai penyedia latihan penting dalam sektor ini," ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang Akademi TAS, Dani Shamsuddin, 26, berkata, keputusannya mengikuti pengajian di TAS amat tepat memandangkan pelajar institut itu sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada syarikat minyak dan gas.