Pages

Translate

Showing posts with label IPTA. Show all posts
Showing posts with label IPTA. Show all posts

Thursday, November 17, 2011

Semua IPT perlu sistem akreditasi yang menarik



Muhyiddin Yassin dan Saifuddin Abdullah (kanan) melihat laman web Agensi Kelayakan Malaysia sewaktu majlis pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2020 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif



KUALA LUMPUR 14 Nov. - Semua institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu mempunyai sistem akreditasi yang mampu menarik minat orang ramai yang sudah bekerja untuk menyambung pelajaran bagi menjayakan program pembelajaran sepanjang hayat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini hanya Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang telah mengorak langkah mengadakan kerangka akreditasi sendiri dengan mengambil kira pengalaman seseorang bagi mengikuti kursus yang ditawarkan.
Menurut beliau, inisiatif seperti itu sebenarnya sudah lama dilaksanakan di negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia, United Kingdom (UK) serta Kanada yang dipercayai dapat merapatkan jurang perbezaan modal insan antara Malaysia dengan negara maju.
"Ini merupakan inisiatif yang dapat menggalak orang dewasa untuk terus belajar bagi tujuan peningkatan ilmu dan kemahiran dalam bidang kerja masing-masing," katanya semasa merasmi pelancaran Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Peringkat Nasional di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden serta Naib Canselor OUM, Prof. Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin.
Mengulas lanjut mengenai Pelan Induk PSH, Muhyiddin berkata, penyertaan awam terhadap program itu dijangka meningkat daripada 10 peratus kepada 50 peratus bagi golongan penduduk berusia 15 tahun ke atas menjelang 2020.
Bagaimanapun jelas Timbalan Perdana Menteri, kejayaan program tersebut turut bergantung kepada akreditasi serta pengiktirafan yang diterima pada masa ini.
Sehubungan itu katanya, Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MVLK) berperanan menyelaras penilaian berdasarkan pencapaian.
Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin memberitahu, Malaysia memerlukan satu pelan komprehensif serta menyeluruh dengan penglibatan semua pihak bagi menjayakan hasrat kerajaan melahirkan generasi modal insan bertaraf dunia.
Tambah beliau, kerajaan meletakkan pembangunan modal insan yang kreatif serta inovatif sebagai satu agenda nasional dan untuk memastikan agenda tersebut mencapai kejayaan, ia menuntut kerjasama menyeluruh setiap peringkat umur rakyat Malaysia.
"Pelan induk ini akan memperkasa mekanisme yang telah digaris dan mempertingkatkan lagi kesedaran awam untuk menyertai pembelajaran sepanjang hayat. Malah di peringkat kerajaan sendiri, kita telah menyediakan dana bagi menyokong usaha tersebut," katanya.

IPTA, IPTS perlu tawar banyak kursus minyak, gas



TUN Ahmadshah Abdullah (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Akademi TAS kepada Dani Shamsuddin di Kota Kinabalu, baru-baru ini.



KOTA KINABALU 15 Nov. - Institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di negeri ini disaran menawarkan lebih banyak kursus kemahiran dalam bidang minyak dan gas.
Bekas Yang Dipertua negeri, Tun Ahmadshah Abdullah berkata, langkah itu penting memandangkan jumlah tenaga mahir tempatan dalam industri berpotensi itu masih berkurangan.
"Penemuan beberapa buah telaga minyak baru di perairan Sabah dijangka memberi perubahan dan impak yang besar dalam memacu dan meningkatkan perkembangan ekonomi Sabah.
"Malah, pembangunan projek terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis yang dijangkakan pada 2013 merupakan contoh pembangunan industri minyak dan gas di Sabah yang harus dibanggakan semua lapisan rakyat negeri ini," katanya.
Beliau berucap pada majlis penyampaian sijil graduan Akademi Tun Ahmadshah Abdullah dan Pusat Pembangunan Profesional UMS Link di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, keperluan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas di negara ini termasuk Sabah meningkat dengan mendadak di mana industri berkenaan memerlukan 21,000 pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2020.
Dalam pada itu, beliau yang juga Penaung Akademi TAS berkata, penubuhan akademi itu sejak 2008 amat bertepatan dalam melengkapi keperluan potensi perkembangan industri minyak dan gas di Sabah.
Katanya, sebagai pusat latihan profesional minyak dan gas pertama di Sabah, Akademi TAS memberi peluang kepada anak-anak Sabah menceburi industri minyak dan gas.
"Jadi saya percaya ini akan menjadikan peranan Akademi TAS bersama-sama Pusat Pembangunan Profesional UMS Link sebagai penyedia latihan penting dalam sektor ini," ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang Akademi TAS, Dani Shamsuddin, 26, berkata, keputusannya mengikuti pengajian di TAS amat tepat memandangkan pelajar institut itu sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada syarikat minyak dan gas.