Pages

Translate

Sunday, July 1, 2018

Misi Maszlee sebagai menteri pendidikan

Wartawan Malaysiakini  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini
    WAWANCARA | Tidak melihatnya sebagai masalah yang perlu diselesaikan, Menteri Pendidikan baru Maszlee Malik percaya dengan kaedah memanfaatkan kekuatan sistem pendidikan sedia ada yang berbeza-beza.
Walaupun terlalu hijau dalam politik - bekas ahli akademik itu menyertai BERSATU hanya tiga bulan lalu - Maszlee yakin mampu menjaga sistem sekarang dan pada masa sama mengembangkan kaedah bagaimana sekolah yang pelbagai jenis dapat berkerjasama ke arah kebaikan.
Dalam wawancara pertamanya sejak dinamakan untuk portfolio itu Jumaat lalu, Maszlee menjelaskan rancangannya untuk "menghubungkan" aliran sekolah yang berlainan serta kaedah rundingan dalam aspek tadbir urus.
"Saya di sini bukan untuk memaksakan peraturan atau regimentasi terhadap sekolah.
"Apa saja aliran sekolah yang kita ada, visi saya adalah untuk cuba menghubungkan antara satu sama lain.
"Kita ingin meraikan perbezaan yang ada, jadikannya sebagai kekuatan bukan kelemahan, dan jadikannya faktor penyatuan bukan perpecahan," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di rumahnya.
Selain sekolah kebangsaan di mana bahasa Melayu menjadi medium pengajaran, sistem pendidikan Malaysia turut terdiri daripada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, pendidikan di rumah (homeschool) serta pelbagai sekolah antarabangsa dan swasta.
Berbanding memansuhkan sekolah vernakular seperti yang dicadangkan sesetengah pihak, Maszlee yakin cara yang lebih baik untuk memupuk semangat muhibah dan kesatuan adalah dengan mewujudkan kerjasama antara sekolah berbeza aliran.

"Misalnya, saya ingin melihat sekolah agama dan sekolah Cina mengadakan program bersama; sekolah Tamil menyertai acara sekolah mubaligh, sekolah antarabangsa berkerjasama dengan sekolah Orang Asal," katanya.

Beliau juga membangkitkan pewujudan masyarakat yang fasih banyak bahasa tetapi tidak menjelaskan sebarang kaedah secara spesifik.

"Salah satu kekuatan Malaysia adalah kita hidup dalam masyarakat pelbagai bahasa. Kita perlu raikannya dan gunakan sebagai kekuatan dan menyemai budaya masyarakat pelbagai bahasa.
"Untuk melakukannya, kita perlu jadikan pembelajaran bahasa sesuatu yang menyeronokkan," katanya lagi.

Maszlee yang berdarah Melayu-Cina menghantar anak-anaknya ke sekolah jenis kebangsaan Cina.

Pengajian Islam yang lebih moderat

Maszlee yang juga ilmuwan Islam mahu mereformasikan pengajian Islam di negara ini, bermula di sekolah Tahfiz.

"Kita perlu mengubahsuai wacana Islam arus perdana yang diamalkan umat Islam di Malaysia, kita perlu membawa unsur yang lebih moderat dan progresif.
"Kita akan cuba memastikan pelajar, bukan sahaja di tahfiz tetapi di semua sekolah, akan belajar untuk saling hormat-menghormati tanpa mengira kaum dan agama," katanya lagi.

Sebelum menyertai BERSATU, Maszlee merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIA di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Beliau mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti al-Bayt, Jordan dalam bidang fiqh dan usul fiqh, sebelum menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya untuk bidang yang sama.
Pada 2011, beliau mendapat ijazah kedoktoran di School of Governments and International Affairs (SGIA) di University of Durham, United Kingdom.

Beliau pernah terlibat dalam badan seperti institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS), Penang Institute dan menjadi felo di Institute of Southeast Asian Studies (Iseas) University of Singapore.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata sesetengah mata pelajaran, seperti Bahasa Malaysia dan Sejarah, akan diseragamkan untuk sekolah tahfiz, dan lepasan sekolah itu akan ditawarkan kursus dalam lapangan vokasional dan semivokasional agar mereka bersedia memasuki alam pekerjaan.
Soal pengawalan dan keselamatan di sekolah tahfiz - soal yang menjadi tumpuan seluruh negara selepas tragedi kebakaran di sebuah sekolah dan kematian seorang murid di sebuah lagi tahfiz akibat didera guru - juga akan diberi tumpuan.

"Infrastruktur sekolah tahfiz perlukan pengawalan, itu sudah ada...tetapi kita perlu penguatkuasaan.
"Penguatkuasaan sepatutnya bukan saja oleh Kementerian Pendidikan tetapi semua agensi, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya lagi.

Sumber : Malaysia Kini

No comments:

Post a Comment