Pages

Translate

Wednesday, December 14, 2011

Alumni: Muhammad Zhariff sumber inspirasi

  • Foto
    MUHAMMAD Zhariff bersama ibunya Mariatul Akmar.
  • Foto
    Muhammad Zhariff bersama Ahmad Shabery pada majlis pelancaran BTB di Loundry The Curve.
  • Foto
    Muhamm ad Zhariff memasukkan kertas harapan ke dalam Secret Box.
"SEJAK kecil, Zhariff sudah menunjukkan kegigihan dan semangat kuatnya hingga ada kala saya lupa dia dilahirkan tanpa tangan. Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan, ketika umur enam tahun dia menunjukkan keupayaan berdikari untuk bergerak dan mengurus diri kepada guru besar yang pada awalnya menolak permohonan masuk ke sekolah dengan alasan tiada kemudahan untuk orang kelainan upaya. 

“Saat itu saya sudah ‘nampak’ apa yang mampu dia lakukan pada masa depan,” kata Mariatul Akma Abdullah Shan, ibu kepada Muhammad Zhariff Afandi, 30.


Naluri keibuan itu ternyata benar. Muhammad Zhariff kini dikenali kerana pembabitan aktifnya dalam pelbagai program pembangunan masyarakat dan bantuan kemanusiaan dalam dan luar negara.
Antaranya, beliau menganjurkan program sukarelawan membantu mangsa tsunami di Acheh, Indonesia dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan bagi menyelaras dan membangunkan program bantuan serta pemulihan masyarakat wilayah itu selama sembilan bulan.

Lulusan Kolej Universiti Damansara Utama (KDU) dan Universiti Griffith, Australia itu juga pernah menganjurkan siri acara persembahan muzik ‘The Burma Blaster Sound Sessions’ di Australia bagi mengumpul dana membantu mangsa bencana alam di Myanmar pada 2007.

Muhammad Zhariff turut aktif menyokong kempen kesedaran kanser payudara, Pink Ribbon Deeds selain menyumbang kepada pembangunan Kelab Rekreasi dan Berkuda Denai Alam, Selangor; sebagai pusat rekreasi mampu dinikmati pelbagai golongan masyarakat.

Keupayaan berdikari dan melakukan pelbagai inisiatif kemasyarakatan dengan pergerakan yang banyak bergantung kepada kakinya saja termasuk terbaru melengkapkan acara renang 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Marang, Terengganu dalam tempoh dua jam 47 minit saja pada April lalu menjadikan beliau sumber inspirasi terutama bagi golongan belia. 
Semangat kentalnya untuk berdikari juga terbukti apabila memilih menjalankan perniagaan sendiri, The Zhariff Initiative Sdn Bhd (TZI), sejak 2005 dengan sokongan keluarga bagi menawarkan perkhidmatan sesi perkongsian, The Giving a Hand with a Foot, untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemampuan diri serta menjalani hidup yang lebih bermakna.

Muhammad Zhariff berkata, antara pengisian program itu ialah perkongsian mengenai bagaimana beliau membina kekuatan minda bagi membolehkannya hidup berdikari dan menjalankan program kemasyarakatan. 

“Memiliki kelayakan pembangunan psikologi dan pendedahan menerusi pelbagai program kemasyarakatan, semuanya saya kongsi menerusi sesi ini dengan harapan dapat menyuntik semangat individu untuk keluar daripada zon selesa bagi memaksimumkan potensi diri.

“Selain pembangunan individu, pembangunan sosial dan masyarakat serta tanggungjawab sosial korporat antara aspek ditekankan dalam sesi perkongsian TZI. Sambutan orang ramai terhadap program TZI setakat ini memberangsangkan termasuk syarikat korporat, contohnya Bank Simpanan Nasional, Maybank, Kementerian Belia dan Sukan, Angkatan Belia Islam Malaysia, Majlis Aids Malaysia serta Save The Children Australia,” katanya.

Muhammad Zhariff berkata, selain keyakinan diri yang tinggi dan mengamalkan minda positif, langkah awal membina rangkaian sejak pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) antara faktor kejayaannya kini.

Ketika mengikuti pengajian di KDU, beliau sering menganjurkan program kemasyarakatan termasuk menjadi ketua penyelaras Kempen Hari Aids Sedunia, Festival Seni dan Kempen Blankets for Life bagi menimba pengalaman serta mendapat pendedahan awal.

“Walaupun berbeza, saya tidak pernah mengasingkan diri, sebaliknya berkawan dengan seramai mungkin pelajar di KDU serta ketika melanjutkan pengajian di Australia. Rakan-rakan di IPT yang kini membina kerjaya dalam pelbagai bidang serta memegang jawatan tinggi dalam pelbagai organisasi adalah rangkaian saya yang memudahkan penganjuran program dirancang,” katanya.

Bantu kembangkan potensi generasi muda

PRIHATIN dengan pembangunan golongan belia, Ketua Pegawai Eksekutif The Zhariff Initiative Sdn Bhd (TZI), Muhammad Zhariff Afandi, melancarkan siri jelajah Breaking The Barrier (BTB), baru-baru ini dalam usaha menyuntik semangat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) memaksimumkan potensi diri.

Kira-kira 3,500 pelajar di lima IPT akan mendapat manfaat menerusi program itu bermula Februari hingga April tahun depan tanpa dikenakan sebarang caj.

Lima IPT terbabit adalah Kolej SEGi Subang Jaya pada 8 Februari, Kolej Universiti Damansara Utama (15 Februari), Kolej Universiti HELP (14 Mac), Kolej Universiti SEGi (4 April) serta Universiti Putra Malaysia (28 Mac).

Muhammad Zhariff berkata, beliau dan beberapa selebriti tempatan termasuk Sazzy Falak, Harith Iskandar, Atilia dan usahawan Ellynita Lamin akan berkongsi pengalaman serta usaha mereka mencapai kejayaan.

“Saya pernah bergelar pelajar dulu dan saya faham banyak kebimbangan mereka, contohnya, mereka tidak tahu hendak buat apa selepas tamat pengajian serta bimbang masa depan mereka.

“Menerusi BTB, saya mahu memberi inspirasi kepada pelajar supaya jangan mengalah dengan halangan dan cabaran untuk mencapai kerjaya atau perkara yang ingin dilakukan sebaliknya berusaha tanpa mengenal jemu bagi menjayakannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jelajah BTB di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hadir menyempurnakan program berkenaan.

Acara sampingan pada majlis itu termasuk PostSecret Malaysia dan Million Happy Faces Project juga akan diadakan sempena siri jelajah itu.

Untuk keterangan lanjut, layari laman sesawang www.thezhariffinitiatives.com.my.

PROFIL: Muhammad Zhariff Afandi

Tarikh lahir: 7 Disember 1981

Akademik:

  • Ijazah Seni (Pengkhususan Sosiologi) KDU

  • Pembangunan Psikologi Universiti Griffith, Australia

    Kerjaya:

  • Ketua Pegawai Eksekutif The Zhariff Initiative Sdn Bhd (TZI), Muhammad Zhariff Afandi

    Pencapaian:

  • Anugerah Belia Perdana (Pencapaian Luar Biasa) 2011

  • Wakil Kementerian Belia dan Sukan dalam Majlis Pembangunan Belia Kebangsaan

  • Ahli Jawatankuasa Pemikir Program Transformasi Ekonomi - Pembangunan Belia
    Pengarah penganjuran Burma Blaster Sound Sessions

  • Anugerah Belia (Sosial dan Komuniti) Kementerian Belia dan Sukan 2006

  • Ketua Perhubungan Antarabangsa Sukarelawan GEMMA 9 di Acheh

  • Pemenang Pertandingan Video MTV Hari Aids Sedunia One World Org. 2004

  • Hos rancangan televisyen Rice Mice Kids Show- 1995

  • Kapas-Marang International Swimathon - 24 April 2011. 
  • No comments:

    Post a Comment