Pages

Translate

Monday, January 30, 2012

BB1M: UUM panggil 113 pelajar

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memanggil 113 pelajarnya yang disyaki terbabit dengan kes penjualan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada sepasang suami isteri untuk siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Naib Canselor UUM, Datuk Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata semua pelajar terbabit yang sudah dikenal pasti identitinya itu akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak universiti sejurus semester baru bermula pada 18 Februari ini.

 Beliau berkata, UUM kesal dengan tindakan pelajar terbabit yang menyalahgunakan baucar diberikan kerajaan untuk meringankan beban pelajar membeli buku akademik, dengan menjualnya kepada pihak lain.
“Justeru, kita akan panggil semua yang terbabit yang mana majoritinya pelajar lelaki sejurus tamat cuti semester ini, untuk memberi penjelasan berhubung kes berkenaan dan akan mengambil tindakan jika perlu.

“Bagaimanapun, kesalahan ini tidak boleh diletakkan di atas bahu pelajar semata-mata kerana ia tidak akan berlaku jika tidak ada pihak yang menawarkan perkhidmatan membeli baucar buku berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di UUM, semalam.

Beliau mengulas kes penjualan BB1M membabitkan 113 pelajar UUM kepada pasangan suami isteri dengan harga RM180 sebagai pertukaran bagi baucar bernilai RM200, dengan RM20 adalah keuntungan suspek.

Pasangan berkenaan berusia lewat 30-an yang dikatakan memiliki kedai buku di ibu negara ditahan polis malam kelmarin selepas siasatan mendapati mereka mendalangi kegiatan yang didedahkan media sebelum ini.
Mengulas mengenai tangkapan itu, Mohamed Mustafa berkata, pihak pengurusan UUM mengesan mengenai kegiatan pasangan terbabit pada 9 Januari lalu, selepas suspek dikatakan menampal poster iklan berhubung perkhidmatan pembelian baucar berkenaan di sekitar kampus sebelum menjalankan siasatan.

Katanya, pasangan suami isteri itu dikatakan menyewa di sebuah apartmen milik UUM untuk memudahkan urus niaga penjualan baucar itu dengan pelajar universiti terbabit.

“Kita sudah bertindak awal dengan melaporkan kes ini kepada bahagian keselamatan UUM untuk siasatan sebelum berjaya memberkas pasangan berkenaan dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa, berkata pihaknya menyifatkan ia adalah kes terpencil memandangkan jumlah pelajar UUM yang terbabit dengan kes berkenaan adalah terlalu kecil iaitu 113 orang, berbanding 30,000 pelajar universiti itu yang mendapat BB1M.

“Saya percaya semua pelajar terbabit menyesal dengan perbuatan mereka selepas terpedaya dengan tawaran diberikan individu yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bahagian keselamatan UUM pada 15 Januari lalu kira-kira jam 3 petang di dalam apartmen yang disewa mereka.

Sunday, January 29, 2012

Memahami nilai kebebasan orang muda

ANAK muda dikatakan berdarah panas dan sering mempunyai pemikiran tersendiri, memberontak dan enggan menerima nilai dan norma.
Dengan istilah lain, mereka mempunyai hasrat, keinginan dan kepercayaan sendiri terhadap banyak perkara. 
Hal ini terus diperdebatkan kerana jurang usia dan generasi sering menjadikan golongan lebih berusia payah untuk memahami corak pemikiran, kehidupan dan keinginan mereka hari ini.

Contoh mudah ialah bagaimana kitaran masa yang berkualiti berubah sepenuhnya.

Anak muda hari ini bersengkang mata hingga pagi untuk ‘berborak’ di alam maya atau melakukan aktiviti termasuk rekreasi dan sukan.
Ramai yang bermain pada waktu malam dan siang dihabiskan sebahagiannya untuk tidur atau melakukan kerja rutin.

Ibu bapa atau mereka lebih berusia mula merungut dan membebel dengan alasan ‘mereka terlebih dulu memakan garam’, sekali gus mendorong krisis nilai antara ibu bapa dan anak-anak.

Masalah yang timbul boleh menjurus kepada hal yang boleh memudaratkan sama ada kepada anak-anak yang ingin ‘difahami’ dengan ibu bapa, keluarga dan orang dewasa yang ingin ‘dihormati’.

Contohnya dalam pengurusan anak muda hari ini, khususnya mahasiswa di universiti, mereka memang berbeza berbanding yang memasuki universiti pada era 60-an, 80-an atau 90-an.

Tanyalah mereka yang bertugas di Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengenai pengalaman ini. Pengurus mahasiswa yang bersikap ego, serba tahu dan ‘memerintah’ akan berhadapan dengan pelbagai kerenah dan cabaran.

Bagi anak muda ini, jika tidak dilakukan secara berhadapan, mereka bertindak dalam diam yang mendorong lahirnya kumpulan dianggap ‘penentang’ dan dikatakan ‘antiestablishment’ atau label lain yang sebenarnya tidak membantu dalam menangani jiwa muda ini.

Mereka yang menguruskan anak muda ini harus memahami segenap proses perubahan yang berlaku dalam masyarakat, daripada kecanggihan teknologi sehingga peranan media sosial.

Ada meminta dengan keras menyekat media sosial, menyalahkan kebebasan sedia ada dan menuduh anak muda tidak memahami akar umbi sejarah.

Malah, lebih banyak yang menuding jari daripada berusaha memahami dan meletakkan dirinya dalam nilai baru dengan penuh kebijaksanaan, berhemah dan menghormati anak muda ini.

Sebenarnya, anak muda ini bukanlah begitu sukar untuk difahami. Mereka lahir dalam zaman teknologi maklumat, kesenangan hidup yang paling tidak mempunyai kemudahan asas cukup dan kehidupan boleh dianggap senang.

Berbanding generasi sebelumnya yang walaupun ada yang hidup gelandangan, melalui kepayahan dan sebagainya, tetapi sentiasa mempunyai jalan keluar tersendiri bagi memastikan kelangsungan hidupnya.

Pendedahan kepada media dan pengaruhnya tidak harus diketepikan walaupun tidak semestinya benar. Malah, kesibukan ibu bapa, kesenangan rakan sebaya, keinginan untuk berjaya dan berseronok menjadi antara tarikan termasuk dalam kalangan mereka di universiti.

Malah, bukan perkara luar biasa apabila dana pinjaman untuk mengikuti pengajian digunakan bagi memenuhi tuntutan ini berbanding membeli buku atau melabur untuk masa depan.

Mengambil kira semua faktor ini, kebebasan menjadi teras dan asas utama dalam banyak tindakan mereka. Cara berfikir dan bertindak jauh berbeza.

Walaupun sesetengahnya mungkin agak perlahan, sebahagian besarnya menolak segala bentuk birokrasi, peraturan dan perkara yang menyekat apa yang ingin dilakukan.

Mereka kaya dengan idealisme dan sentiasa percaya boleh dilakukan walaupun ada ketikanya tindakan itu boleh dianggap menentang arus.

Adakah kita bersedia menghadapi segala kerenah ini? Bersediakah kita untuk menangani keperluan dan keinginan yang ada ini serta membuat ubah suai terhadap segala peraturan dan nilai yang ada.

Malah, mampukah kita menjadi seorang yang lebih banyak mendengar dan bertindak sebagai fasilitator daripada seorang pentadbir orang muda yang hanya berlandaskan kertas dan peraturan yang ada dalam buku?

Bagaimanakah pentadbir dan pengurus anak muda ini berfikir di luar kotak atau jauh ke hadapan bagi memudahkan golongan ini melaksanakan idealisme mereka?

Bagaimana pemikiran universal dan sejagat yang menolak nilai yang berasaskan kelompok tertentu dapat digunakan untuk memajukan bangsa dan negara dalam konteks lebih luas dan tanpa sempadan tertentu?

Inilah yang harus difahami dan difikirkan semua pihak terutama di institusi ilmu. Bersikap menyalahkan mereka semata-mata tidak akan menyelesaikan apa-apa, tapi berusaha memahami dan bersikap empati akan banyak membantu dalam kerangka kebebasan yang didambakan.

Ini termasuk kebebasan berfikir dan menentukan apa yang harus dicapai dan disumbangkan. Mereka inginkan cabaran dan bersedia berhadapan dengan risiko walaupun ini amat menggusarkan ibu bapa dan mereka yang dewasa.

Anak muda ini ingin melepaskan kemarahan dan tekanan hidup yang dilalui dengan cara sendiri. Mereka ingin menabur bakti dalam konsep yang lebih terbuka dan tanpa ada sempadannya.

Mereka tidak mudah percaya kepada retorik, tapi cepat menerima apa yang tampak nyata, apatah lagi jika ada yang cuba bersikap defensif dan memujuk secara membuta tuli.

Memahami inilah, maka kebebasan harus dilihat dan dinilai dalam konteks jelas dan terbuka. Berikan saja mereka ruang untuk bereksperimen dari seni dan budaya, muzik dan fesyen hinggalah menjalankan perniagaan dengan pemikiran tersendiri.

Membiarkan ruang yang ada kosong tanpa tindakan akan memudaratkan. Apatah lagi adanya pihak yang secara sengaja membakar semangat, mengapi-apikan dengan nilai kebencian dan mempengaruhi dengan tindakan tidak wajar termasuk membenci orang lain, mempersendakan keselamatan awam dan sebagainya kononnya atas prinsip kebebasan.

Oleh itu, sesiapa saja yang terbabit dalam pembangunan anak muda, harus membuka ruang yang seluasnya untuk mereka berkarya.

Biarkan kreativiti mereka berjalan tanpa sekatan tapi dipandu secara logik dan realistik. Cabar mereka dengan aktiviti yang berfaedah dalam bentuk material mahupun kejiwaan secara bijaksana dan kreatif.

Lihat saja pensyarah dan penceramah agama dengan cara bersahaja dan mengikut lenggok anak muda dengan cepat saja menawan hati mereka bukannya berbahasa basi dengan ayat berjela-jela, bercakap dalam nada ‘membaca’ dan memberikan arahan atau teguran secara keras dan ancaman yang akhirnya makin menjadikan mereka menjauhkan diri.

Inilah yang harus difahami, termasuklah apabila dikaitkan dengan politik kampus, mewujudkan budaya ilmu, perdebatan dan wacana yang berteraskan fakta dan ilmu juga usaha lain yang harus selari dengan perubahan sedia ada.

Jika kita serius ingin memahami dan membantu, selain memanfaatkan anak muda untuk pembangunan negara, perkara paling penting ialah berusaha memahaminya dan lebih banyak mendengar, lebih banyak bertindak dengan akal budi tinggi, memudahkan proses kerja dalam membantu menjalankan aktiviti mereka dan jadilah idola yang dihormati dan disayangi, bukan seorang yang ditakuti kerana kuasa dimiliki.

Kebebasan ini harus difahami dan ditangani secara terbuka dan matang tanpa sama sekali memperlekeh atau memandang rendah keupayaan mereka. Lihatlah keupayaan mereka termasuk mahasiswa dalam kaca mata zaman semasa, bukannya dengan nilai tidak difahami sebagai asas untuk membangunkan potensi.

Mereka adalah pemimpin masa depan dengan nilai dan kekayaan ilmu dalam konteks hari esok yang bermula hari ini. Hanya dengan memahami dan bersedia menerima kekurangan sebagai sebahagian daripada proses pendidikan, ia membuka lebih banyak ruang untuk terus diteroka dalam memberi makna kepada kebebasan orang muda menabur baktinya. Hormati dan sayangi mereka.


  • Penulis Timbalan Pendaftar, Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
  • Program gapai aspirasi

    PROGRAM Menggapai Aspirasi-Persediaan Awal Peperiksaan anjuran Good Grade Consultant (GGC) membantu pelajar menjadi lebih cemerlang, bermotivasi, seronok dan berkeyakinan belajar terutama ketika peperiksaan.
    Program itu terbahagi kepada tiga slot iaitu motivasi diri, keupayaan meningkatkan minda dan memori serta teknik menjawab soalan dan strategi belajar. 
    Ia masih menggunakan pakar motivasi, Fadzli Yusof yang akan memberi tunjuk ajar teknik seronok belajar dan mudah menghafal dengan sokongan elemen imaginasi.

    Pengarah Urusan GGC, Mohd Farhan Johari berkata, program itu menjadi platform asas membantu pelajar teknik betul boleh diguna pakai sewaktu mengulang kaji.

    Beliau berkata, dengan kaedah mudah, ia bukan saja membantu mereka lebih memahami malah mencetuskan rasa seronok belajar berbanding sebelumnya.

    “Menjadi bijak dan cemerlang bukanlah hanya bersandarkan pada kurniaan semata-mata, sebaliknya perlu berusaha memperolehnya.

    “Jika tahu teknik betul, pasti mencetuskan keseronokan berganda untuk belajar dan mencipta kejayaan,” katanya.

    Program tahun ketiga ini membabitkan beberapa lokasi, antaranya Melaka, Pahang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

    Di Kuala Lumpur, program diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor; Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor; Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang; Universiti Teknikal Melaka dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan, Pahang.

    Kursus terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan rendah manakala yuran meliputi nota, fail dan sijil berserta minum pagi, makan tengah hari dan minum petang.

    Semua program yang dianjurkan GGC akan bermula Februari hingga Julai 2012.

    Hubungi 012-3902959 atau 012-2475389 atau laman web, www.goodgrade.com.my untuk maklumat lanjut.

    Tip Belajar: Fokus sepenuhnya ketika menghafal

    BELAJAR bukan saja memerlukan tumpuan penuh namun pemahaman mendalam mampu melonjakkan prestasi pencapaian, sekali gus membantu pelajar menjadi lebih cemerlang.
    Antara aspek penting perlu diberi tumpuan ialah teknik belajar yang betul seperti membuat peta belajar, diskusi berkumpulan atau catatan fakta. 
    Satu lagi kaedah digemari ialah melalui hafalan namun jika tidak dilakukan dengan cara betul akan menyebabkan pelajar mudah lupa dan bertambah pening. 

    Justeru, cara hafalan yang betul ialah:

  • Menggunakan gambar sebagai memori

    Tukarkan maklumat diperoleh dalam kelas atau kuliah kepada gambar dan membuatkan anda lebih ingat berbanding mendengar saja. Ketika guru sedang mengajar, gunakan minda anda untuk menukarkan apa yang diperkatakan kepada gambar. Ini akan menjadikan anda lebih mudah mengingati.

    Berikan tumpuan penuh semasa menghafal.

    Jangan alihkan tumpuan dengan melakukan perkara sampingan seperti menonton televisyen, mendengar radio, menghantar khidmat pesanan ringkas dan sebagainya ketika menghafal. Anda hanya membazir masa kerana akan hilang fokus.


  • Buat berulang-kali agar hafalan menjadi menjadi mantap.

    Anda perlu membuat hafalan berulang kali hingga faham. Jika masih samar, ulang semula hingga benar-benar ingat dan mendapat gambaran jelas. Selepas itu tulis apa yang dihafal itu bagi memastikannya berkekalan di minda.


  • Mula belajar sejak awal.

    Belajar pada saat akhir bukan saja akan membebankan otak malah membuatkannya tidak mampu menerima maklumat secara berkekalan. Anda juga akan berasa tertekan menyebabkan hafalan bercelaru.


  • Mengulang kaji sedikit-sedikit.

    Hafalan tidak boleh dilakukan dalam kuantiti banyak kerana daya mengingat manusia adalah terhad. Lebih baik fokus pada sesuatu dalam kuantiti kecil selain membuat ulang kaji secara berterusan.


  • Buat nota ringkas.

    Sediakan nota ringkas yang menarik serta dihiasi gambar untuk membantu anda ‘gembira’ ketika meng�ulang kaji.
  • Bangkit semangat perjuangan


    BERJAYA...kekaguman terhadap kejayaan idola mampu menjadi antara penyumbang kejayaan 
mahasiswa.
    BERJAYA...kekaguman terhadap kejayaan idola mampu menjadi antara penyumbang kejayaan mahasiswa.
    SEWAKTU di bangku sekolah, antara topik wajib ditanya guru kepada pelajar ialah azam dan cita-cita namun jarang mahu bertanyakan idola mereka.
    Ketika di tingkatan empat, barulah guru kelas ada ber tanyakan mengenai idola pujaan dan penulis yang tidak mempunyai idola ketika itu hanya menjawab ‘tidak tahu’.

     TERBAIK...kehebatan ibu boleh menjadikannya sebagai idola terbaik kepada anak.
     BUKAN BEGINI...janganlah kerana terlalu taksub terhadap seseorang mengakibatkan orang lain menerima padahnya.
     PELBAGAI PILIHAN...setiap individu mempunyai pilihan sendiri dalam menentukan idola masing - masing dan tiada siapa berhak mempertikaikannya.
    BERTENAGA...ciri, kualiti, imej dan nilai kepemimpinan ditonjolkan memainkan peranan penting untuk menjadikan diri sebagai ikutan ramai.

    Mungkin berpendapat topik idola tidak relevan, ia seakan-akan dipinggirkan sedangkan hakikatnya, idola membantu memacu kecemerlangan individu.

    Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, idola didefinisikan sebagai orang yang sangat diminati, memiliki aura dan dikagumi.

    Justeru, sejauh mana idola mampu mempengaruhi ke hidupan individu terutama golongan muda yang mencari seseorang untuk dikagumi?

    Kaunselor Pusat Perkhidmatan Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Kuala Lumpur, Nordinah Mohd Kassim berkata, keinginan untuk menjadikan seseorang sebagai idola adalah proses normal dalam kehidupan manusia.

    Malah, ada idola yang membantu melonjakkan pencapaian dan memperbaiki kelemahan individu, malah ada yang sebaliknya.

    “Asasnya, pemilihan idola disebabkan rasa kagum seseorang kepada individu lain manakala pilihan itu juga bukan di lakukan secara rambang, sebaliknya faktor tertentu sebagai daya tarikan.

    “Idola selalunya tergolong daripada kalangan mereka yang mempunyai nilai kualiti, istimewa, ikon, terkenal dan me miliki kejayaan peribadi,” katanya.

    Berdasarkan temu bual rambang penulis dengan mahasiswa di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT), baru-baru ini, kebanyakan mereka memilih ahli politik dan sukan sebagai idola berbanding artis.

    Antara ahli sukan paling diminati dan menjadi idola di kalangan pelajar IPT ialah Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei, Ronaldo dan Khairul Fahmi Che Mat manakala ahli politik ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Pemilihan itu mengambil kira kepemimpinan dan karisma, keyakinan diri, bebas kontroversi serta rekod kejayaan diraih.

    Senario ini agak mengejutkan kerana golongan itu lebih menonjol di media massa, memiliki kehidupan glamor, selain sering menjadi tumpuan lensa kamera.

    Mengulasnya, beliau berkata, banyak faktor perlu dipertimbangkan sebelum pemilihan dibuat dan tidak hanya tertumpu pada kejayaan fizikal semata-mata, sebaliknya pe nonjolan imej melalui faktor dalaman juga diambil kira.

    “Jika dulu, mungkin golongan artis mendapat tempat di hati masyarakat, khususnya golongan muda, hari ini budaya itu mungkin berubah kerana pelbagai pilihan idola muncul selain pakej lebih menarik.

    “Bagaimanapun, ia tetap subjektif berdasarkan cita rasa individu yang berbeza, namun faktor penarik tetap ada. Perubahan minda, pandangan, isu, imej dan sebagainya juga boleh menjadikan pemilihan idola turut berubah.

    “Namun, terpulang kepada individu mentafsirkan keistimewaan idola masing-masing,” katanya yang mengakui golongan mahasiswa juga mula melakukan anjakan paradigma dalam membuat pemilihan idola bersesuaian status mereka.

    “Ia bukannya sesuatu yang janggal kerana mereka adalah golongan terpelajar, jadi pemilihan idola pasti ada impak kejayaan peribadi atau kualiti tersendiri yang boleh mem bantu proses kecemerlangan akademik.

    “Bukanlah idola lain tidak bagus, namun jika pemilihan itu boleh menjuruskan individu berusaha lebih keras untuk menjadi seperti idola pilihan, apa salahnya,” katanya memberi contoh ibu bapa antara idola terbaik untuk dijadikan panduan.

    “Ramai memilih orang luar, namun terlupa ibu bapa se dangkan mereka adalah idola pertama dan terbaik biarpun mungkin tidak mempunyai kemasyhuran atau terkenal.

    “Ibu bapa mempunyai nilai kualiti dan kehebatan yang boleh dijadikan rujukan serta panduan. Kekuatan jalinan emosi antara mereka mampu mewujudkan satu tarikan hebat untuk lebih berjaya,” katanya.

    Beliau turut menegaskan, pemilihan idola tidak bergantung pada gender semata-mata, namun mengakui lelaki lebih menguasai carta.

    “Dalam ilmu psikologi, individu selalunya mengagumi gender berlawanan namun pada masa sama memberi sokongan kuat sesama gender secara diam-diam.

    “Lelaki banyak menjadi pilihan kerana nilai kepemimpinan ditonjolkan lebih ketara namun tidak bermakna perempuan tiada kualiti itu.

    “Daripada kaca setiap individu, penilaian diberi berbeza, jadi terpulanglah untuk memilihnya,” katanya.

    Beliau mengakui, ada keburukan jika terlampau mengagumi idola kerana boleh mengakibatkan mereka bertindak di luar batas kewarasan atau ‘mengubah diri menjadi orang lain’.

    Ketaksuban itu, katanya, boleh meninggalkan kesan psikologi negatif yang bukan saja mengganggu penampilan fizikal, malah menyebabkan daya berfikir juga seperti mereka.

    “Mengagumi seseorang tiada salahnya, namun tetap salah jika cuba menjadi seperti idola pujaan hingga boleh meng ganggu proses perkembangan psikologi normal dan sihat.

    “Mana mungkin kita mengubah diri menjadi orang lain hanya kerana taksub pada seseorang?

    “Justeru, jangan mengubah diri hanya kerana mahu secocok seperti idola.
    Ketaksuban melampau boleh memudaratkan diri sendiri juga mengganggu ketenteraman awam,” ka tanya.

    Mahasiswa Management and Science University, Nur Fa tinah Mohd Isa berkata, dia memilih Datuk Nicol David sebagai idolanya kerana kagum dengan gadis itu yang gah dalam sukan skuasy di peringkat dunia.

    “Dulu, saya tiada idola tapi sejak melihat kejayaan Nicol, satu semangat baru timbul kerana mengagumi kehebatannya. Sejak itu, saya menjadikannya idola walaupun ada rakan mengatakan pilihan itu agak janggal.

    “Saya berharap pemilihan itu mampu menjadikan saya bersemangat sepertinya dalam perjuangan menuntut ilmu,” katanya.

    Rakannya, Muhammad Zakir Muhammad memilih mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai idolanya.

    “Sejak kecil saya meminatinya terutama apabila melihat kelantangan dan keberaniannya bersuara. Saya selalu berlatih untuk mengikuti caranya bercakap kerana ia sangat mengujakan.

    “Menjadikannya idola satu kepuasan, malah keluarga juga memberi sokongan. Saya bangga dengan pilihan saya,” katanya.

    Majlis Agama Islam Negeri perlu tangani isu pelajar tahfiz kutip derma

    YAN: Majlis Agama Islam Negeri (Main) diminta mengambil tindakan drastik bagi menangani isu memperalatkan pelajar sekolah tahfiz untuk mengutip derma. 

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Main perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan fenomena itu kerana ia merupakan satu penipuan kepada ibu bapa.


    "Sebab kutipan derma yang dibuat semacam satu penipuan kepada pihak ibu yang meyakini anak-anak mereka ini datang (ke sekolah tahfiz) untuk menghafal Al-Quran dan belajar agama tapi lain yang dibuatnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar di sini hari ini.
    Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa pelajar sebuah pusat tahfiz dikerah mengutip derma bagi membiayai aktiviti menghidupkan kembali ajaran sesat Azhar Wahab yang berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara. 

    Jamil Khir berkata Main wajar mengenalpasti sekolah tahfiz yang terlibat dan membuat perbincangan secara terus berhubung permasalahan itu dengan pihak sekolah terbabit untuk menyekat aktiviti mereka dengan lebih berkesan. - BERNAMA

    Saturday, January 28, 2012

    Pas: 'Hukum' MB Kedah tak timbul, fokus mansuh Auku


    Salahuddin Ayub
    SHAH ALAM - Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub  (gambar) berkata, gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari agar kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengambil tindakan ke atas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak timbul dan ia juga bukan formula penyelesaian.
    Sebaliknya menurut beliau, PR perlu memberi tumpuan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan membentuk kerajaan peringkat persekutuan pada pilihan raya umum akan datang.
    "Pakatan akan mengambil tindakan maksimum untuk memansuhkan Auku," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.
    Salahuddin berkata, semua pihak perlu melihat bahawa masalah semasa ini berpunca daripada kewujudan Auku itu sendiri.
    "Seharusnya jangan kita mengalihkan senapang, tembakan ke arah pihak (kumpulan sasaran) yang salah. Apa yang penting, kita memaksimumkan serangan ke arah BN (Barisan Nasional), tindakan untuk memastikan Auku ini dihapuskan," kata Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
    Sehubungan itu, Salahuddin berkata, pendekatan mengambil tindakan ke atas Azizan tidak akan menyelesaikan kontroversi semasa, sebaliknya isu yang timbul memerlukan penyelesaian menyeluruh dengan memansuhkan Auku.
    "Saya tidak fikir ia akan menyelesaikan masalah (dengan mengambil tindakan ke atas Menteri Besar)," katanya.
    Ditanya sama ada PR akan membincangkan perkara itu, Salahuddin berkata, "tidak dalam keadaan untuk dibincangkan."
    Dalam temu bual dengan Sinar Harian semalam, Menteri Besar Kedah berkata, orang luar tidak perlu masuk campur urusan pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk isu Kuin kerana pihaknya lebih tahu situasi yang berlaku berbanding pihak-pihak lain.
    Mengulas gesaan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, pakar perlembagaan itu sepatutnya lebih mengetahui selok-belok undang-undang dan keputusan mahkamah dan oleh itu, tokoh akademik berkenaan tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan pengurusan Kuin menggantung lima pelajarnya.
    “Kita tidak akan layan segala desakan untuk menarik balik keputusan yang sudah dibuat. Lagipun isu ini sudah lama,” kata beliau.
    Azizan mencadangkan PR agar mengambil tindakan terhadap Azizan kerana menggunakan Auku untuk menggantung enam pelajarnya sedangkan perikatan itu mendesak akta tersebut dimansuhkan.
    Sebelum ini, dalam perbicaraan pada 25 Mei lalu, enam pelajar kolej universiti itu digantung pengajian dan seorang dikehendaki membayar denda.
    Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Muhamad Aiman Che Abd Razak, Zukhilatif Marzuki, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Mohd Arof digantung satu semester dan diberi surat amaran.
    Seorang lagi, Mohamad Farhan Mohamad Baharin juga diberi surat amaran dan didenda RM100.
    Mereka didakwa mengikut kesalahan di bawah Auku kerana menyertai demonstrasi, memberi ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang media.
    Mereka didapati terlibat dalam demonstrasi bertujuan menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari.
    Azizan yang juga Pengerusi Kuin turut menganggap kes enam pelajar terbabit selesai setelah mereka dikenakan tindakan tata tertib termasuk digantung pengajian manakala seorang lagi dikehendaki membayar denda.
    Dalam pada itu, ketika bercakap kepada Sinar Harian di Padang Besar hari ini, Salahuddin berkata, mana-mana pihak termasuk tokoh akademik tidak wajar menuding jari terhadap Azizan yang menyokong tindakan Kuin menggunakan Auku untuk menggantung lima pelajarnya dalam perbicaraan 25 Mac lalu.
    Menurut Salehuddin, gesaan itu dibuat disebabkan Kuin itu sendiri menjadi mangsa kepada pelaksanaan Auku yang diwajibkan ke atas seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
    Menurutnya, sebagai sebuah institusi yang terikat kepada undang-undang ditetapkan, Kuin tidak boleh sewenang-wenangnya melanggar peraturan semata-mata untuk memenuhi perjuangan Pakatan Rakyat(PR) yang mahukan Auku dimansuhkan.
    "Sebagai pemimpin utama Kuin, Datuk Seri Azizan(Abdul Razak) harus akur pada peraturan ditetapkan dan tidak sewenang-wenangnya melanggar peraturan itu semata-mata memenuhi tuntutan kepartian demi masa depan institusi itu sendiri.
    "Justeru, konflik melibatkan Auku hanya berakhir setelah akta itu 'dibunuh' dan semua rakyat negara ini perlu bersatu menumbangkan Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional(BN) untuk memastikan akta itu benar-benar dimansuhkan," katanya pada program perasmian Sambutan Jubli Perak Pasti Nurul Hayah, Santan, Padang Besar.

    Baucar BR1M: 2 kedai buku disiasat


    Baucar BR1M: 2 kedai buku disiasat
    SHAH ALAM - Dua kedai buku di Kota Bharu dikenal pasti terbabit dalam aktiviti menawarkan ‘perkhidmatan’ menukar baucar Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) bernilai RM200, yang diberikan kepada penuntut institusi pengajian tinggi.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan awal menunjukkan kedai buku terbabit bertindak menawarkan penukaran baucar itu dalam bentuk wang tunai kepada pelajar di sekitar daerah tersebut.

    “Kertas siasatan berhubung kes ini dibuka mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyeleweng harta dengan curang.

    “Selain itu, kegiatan sama turut dilakukan oleh sepasang suami isteri di sebuah universiti di utara tanah air, manakala aktiviti mengiklankan penjualan baucar BB1M itu menerusi internet pula dikesan berlaku di dua lagi unversiti tempatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Majalah Auto Maskulin sempena Karnival Buku Karangkraf 2012 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

    Beliau berkata, semua penuntut termasuk pihak yang bersubahat diingatkan agar tidak menjalankan kegiatan haram itu kerana jika didapati bersalah, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

    “Penerima baucar serta pihak yang terbabit perlu ingat baucar yang diberikan adalah untuk meringankan beban kewangan pelajar. Jangan ambil kesempatan dan menyalahgunakan kemudahan yang diberikan,” katanya.

    Sebelum ini polis menegaskan akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang menjual baucar BR1M untuk mendapatkan wang tunai, ekoran terdapat beberapa laporan berhubung tindakan segelintir penuntut menjual atau melelong baucar itu menerusi internet pada harga lebih murah.

    'Boleh hancur ekonomi negara

    NAJIB bersalaman dengan orang ramai ketika melawat Pasar Sehari Behor Lateh, Kangar, semalam.
    NAJIB bersalaman dengan orang ramai ketika melawat Pasar Sehari Behor Lateh, Kangar, semalam.
    Janji ditabur pembangkang tidak realistik untuk jangka panjang: PM

    KANGAR: Datuk Seri Najib Razak, berkata tindakan pembangkang menabur janji manis, termasuk menghapuskan tol dan bayaran balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga minyak jika menang pilihan raya adalah resipi yang akan membawa kehancuran ekonomi negara.


    Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bijak menilai kerana kerajaan yang bertanggungjawab perlu memikirkan kesan jangka panjang ekonomi negara dan bukannya menawarkan pelbagai janji manis bagi meraih undi untuk jangka masa pendek.
    Kita perlu lihat kesan dalam jangka panjang dan apa yang boleh kita bantu kurangkan beban rakyat dalam jangka pendek. Tidak bererti semua untuk masa akan datang, tetapi membantu meringankan beban rakyat yang tidak merugikan negara untuk jangka panjang. - Datuk Seri Najib Razak
    Katanya, pengalaman negara rantau Eropah adalah contoh terbaik dijadikan pengajaran apabila mereka terjerumus dalam ekonomi yang hina dari segi maruah dan berlaku dalam masa sekelip mata.

    “Kita perlu lihat kesan dalam jangka panjang dan apa yang boleh kita bantu kurangkan beban rakyat dalam jangka pendek. Tidak bererti semua untuk masa akan datang, tetapi membantu meringankan beban rakyat yang tidak merugikan negara untuk jangka panjang. 

    “Adalah tidak realistik nak hapuskan tol dan hutang PTPTN sebanyak RM40 bilion kerana pada masa akan datang semua pelajar yang dapat pinjaman PTPTN akan tuntut kerajaan lupuskan pinjaman... ini resipi untuk kemusnahan ekonomi,” katanya selepas program Tinjauan Mesra Rakyat di Simpang Empat, di sini semalam.

    Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan bekas Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim. 
    Perdana Menteri juga menjelaskan, bantuan kepada rakyat yang dilaksanakan kerajaan bukan untuk meraih undi atau sokongan semata-mata, sebaliknya berdasarkan pertimbangan mendalam mengikut kemampuan ekonomi negara.

    Beliau juga berkata, kerajaan mampu menunaikan janji memberikan wang RM500 melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) disebabkan perolehan hasil kerajaan meningkat RM26 bilion tahun lalu.

    Perdana Menteri yang meninjau pasar sehari Bohor Lateh juga mengumumkan peruntukan RM1.1 juta untuk membina bumbung bagi memudahkan peniaga di situ mencari rezeki.

    Katanya, ketika bersalaman dengan masyarakat di pasar itu, ramai berterima kasih kepada kerajaan kerana menghulurkan bantuan RM500 melalui BR1M selain RM100 kepada pelajar kerana mereka menikmatinya secara terus.

    Sementara itu, ketika berucap sempena Program Tinjauan Mesra di FELDA Chuping, di Padang Besar, Najib memberi jaminan nasib semua warga FELDA akan terus dibela walaupun selepas penyenaraian anak syarikatnya, FELDA Global Venture Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia yang dijangka April atau Mei ini.

    “Pada saya FELDA tidak ubah seperti lombong emas yang menunggu masa untuk mengeluarkan jongkongnya. Justeru, kita sedang berusaha mencari jalan untuk melonjakkan potensi FELDA ke tahap maksimum, bukan saja sebagai badan yang berjaya dalam negara, tetapi pada peringkat antarabangsa,” katanya.

    Perdana Menteri turut mengumumkan berita gembira kepada warga FELDA Perlis apabila meluluskan peruntukan RM900,000 untuk menaik taraf masjid dan longkang di tiga kawasan FELDA, iaitu di Rimba Mas, Chuping dan Mata Ayer.

    Sementara itu, Najib yakin Perlis akan kekal menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) jika tokoh politik utama di negeri itu dapat mengekalkan suasana harmoni dan perpaduan di kalangan mereka.

    Justeru, beliau berkata, hubungan baik Md Isa dengan Shahidan dan seorang lagi bekas Menteri Besar yang juga veteran UMNO Perlis, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawan Teh memberi gambaran positif kepada masa depan BN di negeri ini.

    Di KUALA KETIL, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad menafikan dakwaan FELDA akan menanggung defisit pendapatan antara RM1.2 bilion hingga RM1.5 bilion apabila menyenaraikan FGVH.

    Thursday, January 26, 2012

    Guru perkosa murid dijel 12 tahun, 7 sebatan

    KOTA BHARU: Seorang guru sekolah rendah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah terhadap dua tuduhan merogol dan mencabul murid tahun enam di makmal sains sekolah itu, pada 2009.
    Hakim Rafeah Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Yek Hock Soon, 29, berasal dari Sitiawan, Perak selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

    Dalam penghakimannya, Rafeah berkata, tertuduh sepatutnya menjaga hubungan antara murid dan guru yang dianggap suci serta bertanggungjawab.

    Berdasarkan tuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa antara jam 8 pagi hingga 3 petang, pada awal Ogos 2009 di makmal sains sekolah itu di Pasir Puteh, dekat sini.

    Yek didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Bagi tuduhan kedua, Yek didakwa mencabul kehormatan mangsa, kira-kira jam 12.15 tengah hari di tempat sama, pada 17 Ogos 2009.



    Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau sebatan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan mangsa ketika kejadian hanya berusia 12 tahun tiga bulan.

    Beliau memberitahu mahkamah bahawa tertuduh sebagai guru sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada murid.

    Tertuduh yang diwakili Rosmizan Sulaiman memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan anak guamnya yang baru berkahwin pada 2010 dan mempunyai anak berusia dua bulan.

    Rafeah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan lima sebatan bagi tuduhan pertama dan penjara tiga tahun serta dua sebatan bagi tuduhan kedua.

    Semua hukuman itu diarahkan berjalan berasingan berkuat kuasa semalam.

    Rafeah turut membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman hingga rayuan selesai sebelum tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM12,000.

    “Tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan perlu menyerahkan pasport sekiranya ada,” katanya.

    Pelajar dibelasah 5 lelaki

    ALOR SETAR: Seorang pelajar Kolej Poly Tech Mara (KPTM), Jalan Putra, di sini, mendakwa dibelasah lima lelaki termasuk tiga pelajar sebuah kolej di Jitra dalam kejadian di asrama KPTM Al-Ligori, Jalan Langgar, di sini, malam kelmarin.
    Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam, mangsa, Mohamad Asyraf Mohamad Fauzi, 18, cedera di mulut, kening sebelah kanan, kaki kiri, kepala dan punggung selepas dibelasah dan ditumbuk tanpa belas kasihan.
    Difahamkan, motif dendam berlarutan ketika mangsa menuntut di sebuah kolej di Jitra dipercayai menjadi punca kumpulan lelaki berkenaan menyerang mangsa di asramanya.

    Mohamad Asyraf berkata, dia mendaftar masuk ke kolej berkenaan yang terletak di Jitra pada 18 Julai tahun lalu kerana berminat mengambil jurusan seni bina yang ditawarkan.



    “Sejak memasuki ke kolej itu, seorang pelajar dipercayai tidak berpuas hati dengan saya dan sentiasa mencari punca supaya kami bergaduh. Ada satu masa kami pernah berselisih faham sehingga membuatkan dia marah dan bertindak di luar batasan.

    “Sedangkan saya tidak pernah mencampuri urusannya. Saya selalu dibuli ketika berada di sana termasuk dibelasah pelajar terbabit. Saya sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak pengurusan, tetapi tiada tindakan sehingga ibu bapa saya mengambil keputusan mengeluarkan saya daripada kolej itu.

    “Saya keluar dari kolej berkenaan pada Oktober tahun lalu kerana tidak tahan selalu dibuli,” katanya yang mengunjungi pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

    Kepler sah 26 planet baru

    WASHINGTON: Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) hari ini mengesahkan bahawa misi Teleskop Kepler berjaya mengesan 26 planet baru di luar sistem solar bumi.

    Agensi berkenaan berkata, semua planet itu mengelilingi orbit sangat rapat dengan pusat bintang untuk meneruskan hayat.
    Kebanyakannya bertaburan di semua 11 sistem planet di angkasa lepas tetapi suhu planet itu mungkin terlalu panas untuk diduduki kerana mengelilingi pusat bintang yang dekat dengan Zuhrah - planet kedua terletak dari Matahari yang mempunyai suhu permukaan 464 darjah Celsius.
    Saintis NASA masih gembira meneruskan misi berkenaan sambil mengesahkan jumlah dua kali ganda bilangan planet sejak mula menjalankan misi itu pada 2009. - AFP

    Temu duga olok-olok bantu mahasiswa baiki kekurangan diri

    pix_gal0
    PENGANGGURAN dalam kalangan lepasan mahasiswa sering dikaitkan dengan peluang pekerjaan yang sedikit tanpa menyedari kekurangan diri dalam melakukan persiapan menghadapi temu duga sehingga menyebabkan mereka gagal memperoleh pekerjaan.

    Sebahagian besar lepasan mahasiswa melakukan kesilapan apabila beranggapan kelulusan akademik semata-mata adalah mencukupi tanpa perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan etika temu duga.

      Ini menyebabkan mereka berasa kurang yakin ketika berhadapan panel penemuduga yang juga bakal majikan sehingga gagal meyakinkan pihak syarikat untuk mengambil mereka bekerja.
    Justeru aktiviti temu duga olok-olok yang diadakan dalam Seminar Bimbingan dan Kerjaya di Karnival Taha@U anjuran Lembaga Tabung Haji dan Berita Harian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok, baru-baru ini ternyata memberi pengalaman baru kepada mahasiswa institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mengikuti program itu.

    Karnival Taha@U yang julung kali diadakan di Kelantan disertai 180 mahasiswa dari lima institusi iaitu Politeknik Kota Bharu, Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kota Bharu dan mahasiswa dari UMK sendiri.

    Hadir sama bagi memberi maklumat dan tips berkaitan persediaan menghadapi temu duga ialah Pengarah Lembaga Tabung Haji (LTH) negeri, Mohd Nasir Mohd Yusoff, Pengarang Berita, Unit Pendidikan Berita Harian, Ridzuan Yop dan serta kakitangan LTH.

    Temu duga olok-olok itu cuba mewujudkan suasana sebenar dalam temu duga. Setiap mahasiswa perlu memilih syarikat yang menawarkan pekerjaan dan berjumpa penemuduga di bilik yang dikhaskan mengikut giliran seperti kebanyakan gerak kerja yang biasa diamalkan dalam sesi temu duga.
    Pelajar KIST, Mohd Noor Anas Nazaruddin, 19, ternyata teruja dengan pengalaman baru yang dialaminya malah menganggap penyertaannya mengikuti program itu ketika rakan yang lain sedang bercuti sebagai berbaloi kerana banyak ilmu diperolehnya.

    "Program ini bukan saja meningkatkan keyakinan diri, tetapi juga dapat menambah ilmu mengenai cara komunikasi, etika berpakaian dan penulisan resume yang sangat penting dalam menentukan kejayaan mendapat pekerjaan nanti," katanya yang menyertai semua temu duga olok-olok itu membabitkan syarikat yang disediakan dalam karnival itu.

    Rakannya, Siti Mustafian Maaruf, 18, berkata aktiviti seperti itu adalah yang kedua disertainya kerana berpendapat mahasiswa perlu memahirkan diri mengenai cara menghadapi temu duga yang sering dianggap remeh sedangkan kesilapan gerak tubuh juga boleh menyebabkan mereka tidak diambil bekerja oleh majikan yang menemuramah.

    Pelajar tahun akhir UMK, Nur Suhadah Jamaludin, 23, berkata aktiviti temu duga olok-olok ini paling menarik minatnya kerana dapat merasai sendiri pengalaman berhadapan dengan penemuduga dan dapat memperbaiki kesilapan yang dibuat melalui penerangan yang diberikan oleh penemuduga.

    Antara aktiviti lain yang diadakan sempena karnival sehari itu ialah ceramah kerjaya dan motivasi, cara penulisan resume, pendaftaran dan pembukaan akaun baru Taha@U, forum santai bertajuk ‘memahami kedudukan graduan baru dari perspektif majikan’ serta ceramah teknologi IBS oleh Pengurus Primeworks Tecnology Solutions, Mohd Izany Yusri.

    Sempena karnival itu juga berjaya mendaftarkan sejumlah ahli kelab Taha@U dan sehingga kini mengumpul lebih 10,000 ahli di seluruh Kelantan.

    Pelajar UiTM jayakan program motivasi bersama Orang Asli

    PELAJAR UiTM bersama sebahagian murid anak Orang Asli Sekolah Kebangsaan Anak Asli Bukit Cheeding, Banting, Hulu Langat.
    PELAJAR UiTM bersama sebahagian murid anak Orang Asli Sekolah Kebangsaan Anak Asli Bukit Cheeding, Banting, Hulu Langat.
    MENJAYAKAN program motivasi di perkampungan Orang Asli Bukit Cheeding, Banting, Kuala Langat, Selangor menjadi pengalaman berharga kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Akyda Radzi.

    Pelajar Semester Dua jurusan Penyiaran, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media berjaya mendekatkan diri dengan anak etnik pribumi yang selama ini dianggap masih ketinggalan zaman.

      “Pada mulanya saya beranggapan anak Orang Asli tidak seperti kanak-kanak lain, tetapi apabila sudah sampai di Bukit Cheeding dan mengadakan program motivasi ternyata generasi muda itu cepat mesra serta mudah menerima apa juga mesej yang disampaikan,” katanya kepada Varsiti di Shah Alam, baru-baru ini.
    Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu membantu menjayakan program gaya hidup sihat meliputi ceramah motivasi iaitu nyanyian, permainan dalam kelas dan sesi menguji minda.

    Seramai 25 pelajar UiTM mengambil bahagian dalam program untuk semua kelas dari tahun satu hingga tahun enam. Kehadiran mereka menceriakan suasana sekolah dengan gelak tawa dan sorakan murid.

    Bagi Raudah Murad, peluang yang diperoleh sewaktu menjalankan aktiviti bersama anak Orang Asli ialah yang pertama dalam hidupnya.

    Sebagai pelajar komunikasi beliau menerapkan ilmu komunikasi yang dipelajari di universiti sebagai satu cara memujuk kanak-kanak memberi maklum balas kepada aktiviti yang dijalankan.
    Katanya, anak Orang Asli mempunyai kreativiti yang tinggi, namun bakat mereka perlu diasah dan diberi bimbingan supaya kebolehan dan kesungguhan yang ada dalam diri tidak terbiar serta terhenti begitu saja.

    Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang program itu kanak-kanak berkenaan pada mulanya tampak sungguh pemalu, tetapi jika orang luar memulakannya dan memberi motivasi secara bersungguh-sungguh golongan itu dengan mudah mengikutinya serta akhirnya dapat bersama menjalani kegiatan dengan baik dan penuh semangat.

    “Tanpa disedari sebenarnya pelajar universiti kurang berinteraksi dengan etnik Orang Asli dan ia antara punca mereka merasa tersisih serta takut berhadapan dengan masyarakat luar.

    “Saya juga mendapati anak Orang Asli ini amat sensitif, oleh itu pendekatan lemah lembut dan penuh berbahasa berjaya memberikan keyakinan kepada mereka untuk bergaul dengan orang luar,” katanya.

    Bagi Nurul Syamim Mohd Zubit pula, pergaulan dengan anak Orang Asli memberi keyakinan kepada golongan itu bahawa mereka tidak disisihkan sebaliknya diberi peluang mempelajari perkara baru terutama perkongsian pengalaman belajar di universiti.

    Beliau juga berpendapat walaupun negara sudah merdeka anak Orang Asli masih ramai yang kurang pendedahan mengenai kepentingan akademik dan melalui program yang dijalankan mereka mendapati ramai anak etnik itu suka kepada pendekatan baru dalam pembelajaran.

    “Etnik ini masih merasa rendah diri, bimbang jika berada jauh daripada kelompok mereka. Ini kerana mereka beranggapan, jika berjumpa dengan golongan bukan Orang Asli, mereka akan dipulaukan dan sukar untuk bersosial.

    “Itu adalah antara punca kami kesan, mengapa ramai anak Orang Asli yang tidak mahu meneruskan pelajaran ke peringkat sekolah menengah,” katanya.

    Seorang lagi peserta, Muhammad Ifwath Mohammad Yafith mengakui, beliau tidak mengetahui mengenai masyarakat Orang Asli Temuan sehingga mereka menjalankan aktiviti berkenaan.

    Katanya, hasil program yang diadakan mereka dapat menyelami perasaan anak Orang Asli yang kebanyakannya suka kepada hiburan.

    Beliau berkata, menerusi program berkenaan mereka mendapati anak etnik berkenaan amat sukar untuk keluar daripada kampung mereka kerana dunia mereka hanya di sekitar sekolah dan perkampungan berkenaan.

    “Dalam sesi wawancara dan suai kenal, kami mendapati kanak-kanak itu ada yang bercita-cita menjadi guru, mekanik, jurutera dan polis. Ini menunjukkan mereka mempunyai impian, tetapi kurang mendapat motivasi kerana masalah tersendiri,” katanya.

    Pelajar UNITEN anjur Seminar Pendidikan 1Malaysia

    ANTARA barisan panel yang terbabit dalam Seminar Pendidikan 1Malaysia di UNITEN, baru-baru ini.
    ANTARA barisan panel yang terbabit dalam Seminar Pendidikan 1Malaysia di UNITEN, baru-baru ini.
    KONSEP 1 Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak menerajui negara ini sejak 2009 mungkin hanya berlegar pada slogan saja tanpa penghayatan kukuh dari semua ahli masyarakat khususnya golongan belia.

    Dalam usaha mendalami pengertian 1 Malaysia, ramai yang memberi definisi melalui fahaman masing-masing mengenai konsep 1 Malaysia antaranya meletakkan hak sama rata, perpaduan dan sebagainya terjemahan pemahaman tanpa menghayati erti sebenar slogan yang sentiasa dilaungkan itu.

       Menyedari hakikat itu, sekumpulan pelajar tahun pertama yang mengikuti Program Persediaan untuk Pelajar Cemerlang (PPES), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kampus Putrajaya menganjurkan Seminar Pendidikan 1 Malaysia, baru-baru ini.
    Bertemakan Persepsi, Kesedaran, dan Penerimaan terhadap Konsep 1 Malaysia, seminar yang dihadiri lebih 200 peserta itu bukan saja dihadiri oleh pelajar UNITEN malah turut mendapat sambutan pelajar dari institut pengajian tinggi awam di sekitar Kuala Lumpur.

    Projek yang diusahakan pelajar Pengajian Malaysia itu membabitkan 45 pelajar kursus berkenaan yang berjaya memainkan peranan menganjurkan seminar berkenaan dalam memastikan mahasiswa memahami penerapan konsep 1 Malaysia dengan lebih mendalam.

    Seminar yang mendapat sokongan penuh pihak universiti itu menampilkan beberapa ahli panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing selain memberi pendedahan baru kepada mahasiswa terutama mencanai pemikiran secara kritis dan kreatif.

    Bersempena dengan program itu, turut diadakan pameran fotografi yang bertemakan Warna Warni 1 Malaysia oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta mengambil peluang mengetengahkan bakat masing-masing.
    Ia diikuti dengan ucapan perasmian oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan diteruskan sesi ucaptama oleh Pakar Sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang mengetengahkan perpaduan dalam sistem pendidikan di negara.

    Menariknya, seminar ini bukan saja menjemput pembentang dari UNITEN, malah menampilkan jurucakap daripada sektor berkaitan serta beberapa ahli akademik antaranya Timbalan Pengarah Institusi Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Profesor Dr Teo Kok Seong yang mengetengahkan kepentingan bahasa kebangsaan sebagai alat penyatuan pelbagai kaum menerusi forum 1 Malaysia.

    Sesi pertama yang berlangsung selama satu jam diteruskan lagi dengan wakil Universiti Putra Malaysia, Dr Sarjit Darshan yang berkongsi mengenai kepentingan setiap kaum untuk saling kenal mengenali sebagai langkah untuk mengukuhkan perpaduan.

    Pengarah program Zainal Aiman Zainal Abidin, ketika ditemui berkata Seminar Pendidikan 1 Malaysia dianjurkan bagi memberi penerangan lebih jelas mengenai gagasan 1 Malaysia yang lazimnya dikaitkan dengan perpaduan antara kaum di negara ini.

    “Slogan 1 Malaysia sudah sinonim dengan rakyat negara ini tapi ramai yang masih kabur mengenai apakah sebenarnya gagasan 1 Malaysia yang sememangnya perlu difahami oleh masyarakat khususnya mahasiswa.

    “Jadi, seminar ini menjadi medan untuk mahasiswa mendapatkan fahaman lebih jelas mengenai gagasan berkenaan menerusi perbincangan dan pendapat yang diutarakan oleh pelbagai tokoh yang berwibawa dalam hal ini,” katanya.

    4 lagi universiti dapat autonomi | Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing

    pix_gal0
    Langkah wujud IPTA jadi institusi taraf antarabangsa, berdaya saing

    PUTRAJAYA: Selepas Universiti Teknologi Malaysia (UTM), empat lagi universiti, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi autonomi semalam, bagi membolehkan pusat pengajian terbabit membuat perancangan sendiri dalam usaha menjadi institusi bertaraf antarabangsa.

    Pemberian autonomi itu hanya diberikan dalam empat bidang iaitu tadbir urus institusi, kewangan dan penjanaan kekayaan; pengurusan sumber manusia dan pengurusan akademik serta kema-sukan pelajar.
    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang lebih berdaya saing, kreatif dan anjal.

    “Universiti selalu menyatakan mereka tidak mendapat kecemerlangan kerana wujud halangan dan kekangan akibat terikat dengan kaedah dan polisi kerajaan, jadi pemberian autonomi dengan penurunan kuasa bermakna tiada lagi alasan untuk mereka mencapai kecemerlangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baru 2012 yang bertemakan ‘Berfikiran Global Bertindak Glokal’ di sini, semalam.

    Pemberian autonomi kepada lima universiti itu dibuat selepas melaksanakan proses audit menggunakan instrumen ‘Tadbir Urus Baik Universiti’ dan ‘Petunjuk Tadbir Urus Baik Universiti’.

    Beliau berkata, walaupun lima universiti diberikan autonomi dalam kemasukan pelajar, pelajar tetap perlu memohon kemasukan universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).
    “Bagaimanapun, lima universiti akan dapat memilih dulu mana-mana pelajar yang memohon menerusi UPU dan mereka sendiri yang akan menentukan kesesuaian kursus kepada pelajar berkenaan serta pemberitahuan mengenai kemasukan ke lima universiti itu dibuat oleh pihak universiti sendiri,” katanya.

    Mengenai Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Mohamed Khaled berkata, ia bukan tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan pelajar melakukan aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam.

    Beliau berkata, pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik.

    “Kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

    Mohamed Khaled juga melahirkan kebimbangan dengan kurangnya pelajar yang berminat mengikuti aliran sains di sekolah dan universiti yang semakin kritikal.

    “Tahun ini, hanya 29 peratus pelajar jurusan sains di sekolah. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti yang mana hanya 40 peratus pelajar bidang sains sedangkan sasaran kita adalah 60 peratus. Jika ini berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah tranformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.     

    Pelajar jual Baucar Buku 1Malaysia boleh dipenjara

    PUTRAJAYA: Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang menjual dan melelong Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) termasuk menerusi laman web boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun, selain denda dan sebat.

    Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid, berkata pihaknya menerima laporan daripada pegawai kanan Kementerian Pengajian Tinggi berhubung kes itu malam kelmarin dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

    3,996 lulus 10 subjek STAM

    MOHAMMAD Azrul  (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid  berkongsi kejayaan  ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman
    MOHAMMAD Azrul (kiri) meraih keputusan 10A+ (Mumtaz Sofi) dalam keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 bersama rakannya, Muhammad Irfansyah Mahdi Farid berkongsi kejayaan ketika ditemui di Maahad Johor, semalam. Untuk berita lanjut, dapatkan akhbar Berita Harian hari ini. - Foto Dazar Suarman
    Kelulusan 60.7 peratus melayakkan calon lanjut pelajaran di universiti

    PUTRAJAYA: Seramai 3,996 atau 60.7 peratus calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2011 memperoleh sijil dengan sekurang-kurangnya pangkat Maqbul (Lulus) dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil pada peperiksaan itu, tahun lalu

    Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia, Dr Na'imah Ishak, berkata daripada jumlah itu, 326 calon mendapat pangkat Mumtaz (Cemerlang), 529 pula Jayyid Jiddan (Sangat Baik), 1,602 Jayyid (Baik) dan selebihnya, Maqbul.
    Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menambah baik penguasaan bahasa Arab calon. - Dr Na'imah Ishak, Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Malaysia
    “Seramai 6,584 calon menduduki peperiksaan itu pada tahun lalu di 108 pusat peperiksaan berbanding 6,537 orang pada tahun sebelumnya, ” katanya ketika mengumumkan keputusan STAM 2011, di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.
    Na'imah berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2011 turut menunjukkan peningkatan 0.04 peratus berbanding 3.23 pada 2010.

    Peperiksaan STAM yang mula dilaksanakan sejak 2000 melayakkan pelajar yang memperoleh sijil itu untuk memohon mengikuti program ijazah pertama di Universiti Al-Azhar, Mesir dan universiti tempatan dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan masing-masing.

    Mengenai prestasi mata pelajaran, Na'imah berkata, enam mata pelajaran iaitu Fiqh, Balaghah, Hadith dan Mustolah, Insya' dan Mutala'ah, Tafsir dan Ulumuhu serta 'Arudh dan Qafiyah mencatatkan peningkatan calon lulus (Mumtaz hingga Maqbul) lebih tinggi berbanding 2010.
    Selain itu, katanya, empat mata pelajaran lagi mencatatkan penurunan peratusan kelulusan calon iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Nahu dan Sarf, Adab dan Nusus serta Tauhid dan Mantiq.

    Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki untuk meningkatkan peratusan calon lulus pada semua mata pelajaran untuk peperiksaan akan datang.

    “Antara yang boleh dikaji mungkin aspek pengajaran dan pembelajaran, lokasi atau faktor calon sendiri yang menjadi punca penurunan empat subjek itu dan peningkatan jumlah calon yang mencatat semua Rasib (gagal).

    “Lembaga akan cari mekanisme terbaik untuk menangani perkara ini, termasuk menambah baik penguasaan bahasa Arab dalam kalangan calon.

    “Calon yang kurang berjaya boleh menduduki semula atau memperbaiki pencapaian mata pelajaran yang kurang memuaskan dalam tempoh tiga tahun sebelum melanjutkan pengajian mereka ke universiti,” katanya.     

    Tuesday, January 24, 2012

    Lebih 2,000 TASKA tidak berdaftar dengan JKM

    KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,077 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di seluruh negara belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir tahun lalu.

    Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Noraini Mohd Hashim, berkata sehingga kini hanya 770 TASKA di seluruh negara yang berdaftar dengan jabatan dan angka itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah yang belum berdaftar.

    "Kami tidak faham kenapa ramai pengusaha tidak mahu mendaftar dengan JKM sedangkan mereka tahu banyak faedah akan diperoleh jika berdaftar dengan jabatan," katanya di sini.
    Noraini berkata, pendaftaran dengan JKM bukan sahaja memudahkan penyaluran bantuan daripada kerajaan, tetapi memastikan semua pengasuh mempunyai latihan yang sewajarnya terutama dalam menjaga kanak-kanak.

    "Sebab itu kalau kita tengok kebanyakan kes kanak-kanak meninggal dunia dan kes keganasan adalah daripada TASKA yang tidak berdaftar sebab pengasuhnya ada yang tidak terlatih," katanya.

    Sementara itu, Noraini berkata masyarakat harus berhenti menyalahkan JKM kerana tidak meluluskan pendaftaran sesebuah TASKA sehingga menyebabkan banyak yang beroperasi tanpa kelulusan.

    Katanya, sesebuah TASKA yang ingin berdaftar dengan JKM perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
    "Kebanyakannya sangkut di peringkat PBT kerana kawasan yang dipilih tidak sesuai maka kami tidak boleh luluskan pendaftaran mereka sebab ini soal keselamatan kanak-kanak, jadi kami tidak akan kompromi," katanya.

    Noraini turut menasihatkan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke TASKA supaya memeriksa status pusat berkenaan sama ada ia berdaftar dengan JKM atau sebaliknya.

    "TASKA yang berdaftar dengan JKM kita bagi sijil untuk mereka pamer, jadi ibu bapa perlu periksa terlebih dahulu supaya kalau terjadi perkara tidak diingini, kita boleh ambil tindakan," katanya. - BERNAMA 

    Asrama lelaki SMA Nahdzah di Yan, Kedah terbakar

    YAN: Sebuah bilik asrama lelaki Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah, Bukit Besar dekat sini musnah dalam satu kebakaran pada jam 12.40 tengah hari tadi dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000. 

    Pengetua sekolah, Adnan Osman, berkata pihak sekolah menyedari kejadian itu selepas seorang jiran yang tinggal berdekatan sekolah memaklumkan kepada pengawal keselamatan mengenai asap tebal dari arah kawasan blok asrama lelaki sekolah berkenaan.
    Bercakap kepada pemberita di tempat kejadian, Adnan berkata, ketika kejadian berlaku tiada pelajar berada di sekolah kerana semua sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina.
    "Saya sangat bersyukur semasa kejadian ini berlaku sekolah masih bercuti dan tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku, cuma yang terbakar adalah katil, tilam serta buku sekolah saja," katanya. 

    Katanya, blok asrama lelaki sekolah itu mempunyai 14 buah bilik iaitu tujuh bilik di tingkat atas manakala tujuh lagi di tingkat bawah dan bilik asrama lelaki yang terbakar itu menempatkan 10 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga dan Empat. 

    Sekolah itu adalah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan mempunyai 710 pelajar. 

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Abdul Muin Ayob yang mengetuai operasi memadam kebakaran berkata, bomba menerima panggilan pada jam 12.40 tengah hari dan 11 anggota bomba bersama dua jentera tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian. 
    Katanya, api dapat dipadam sepenuhnya pada jam 1.30 tengah hari dan punca kejadian sedang disiasat. 

    Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah, yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, yang melawat kawasan kejadian menghulurkan sumbangan kepada pengetua sekolah bagi meringankan beban pihak sekolah untuk membaik pulih asrama itu. - BERNAMA