Pages

Translate

Thursday, March 29, 2012

BM-Premium B IP BM-Premium C IP Ibu bapa bisu tapi anak cemerlang


KOTA BHARU, 29 Mac: Nur Baiti Mohd Farid, 18, bukan sahaja mengharumkan nama sekolah dalam pencapaian tertinggi SPM tahun lalu dengan keputusan 9A, sebaliknya telah berjaya memecah rekod baru sekolah tempatnya belajar.


Sekolah Menengan Agama (A) Tarbiah Mardhiah Panchor, Pengkalan Chepa juga turut menempa sejarah baru apabila buat julung kalinya mencapat keputusan 100 peratus SPM.

(Gambar: Nur Baiti menerima sumbangan daripada Wan Ubaidah sambil disaksikan ibu bapanya.)

Namun latar belakang Nur Baiti yang begitu menarik, beliau bukan sahaja dari keluarga yang sederhana, ayahnya kerja buruh biasa, sebaliknya kedua ibu bapanya cacat pendengaran (bisu).

Kerana keistimewaan Nur Baiti ini, menarik minat anggota exco kerajaan negeri Wan Ubaidah Omar untuk menziarahi keluarga istimewa ini, semalam.

Turut menziarahi Baiti dan keluarganya, Mudir MTM, Ustaz Tajuddin Mamat, tenaga-tenaga pengajar sekolah berkenaan, Nisa’ Pengkalan Chepa serta lain-lain pimpinan.

Dengan menggunakan bahasa isyarat, ibu Baiti, Suria Abdul Rahman, 41, memberitahu beliau sering mendoakan semua anak-anaknya termasuk Baiti agar cemerlang dalam pelajaran.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai Baiti begitu membanggakannya dan suami, Mohd Farid Abdul Rahman, 55.

Ubaidah ketika ditemui melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai Baiti.

“Dengan latarbelakang keluarga yang sederhana, mak dan ayah tidak mampu mendengar dan bercakap, ianya cukup mengujakan.

“Kita berharap ianya menjadi contoh pada pelajar lain terutama dari keluarga yang senang, mempunyai keluarga yang baik atau seumpamanya,” ujarnya.

Monday, March 26, 2012

Tempoh sah Baucar Buku 1Malaysia 30 April

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju melanjutkan tarikh tempoh sah penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) sehingga 30 April ini untuk dimanfaatkan lebih 30,000 pelajar baru kemasukan kedua ke institusi pengajian (IPT) di seluruh negara. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan itu dibuat kerana pelajar yang baru mendaftar di IPT antara Januari hingga Mac mendakwa mereka mungkin tidak dapat menggunakan baucar berkenaan kerana tarikh lupusnya terlalu hampir iaitu Sabtu ini.
“Saya ingin menegaskan hanya pelajar mendaftar sebelum 31 Mac layak mendapat kemudahan BB1M. Mereka yang mendaftarkan selepas tarikh itu tidak layak menerima BB1M.“Berdasarkan rekod kementerian, 1.27 juta pelajar sudah menerima 5.1 juta BB1M yang dianggar bernilai RM255 juta, termasuk mereka yang mendaftar sejak Januari lalu hingga sekarang. 

“Daripada 5.1 juta baucar BB1M yang diagihkan, hanya kira-kira 50 peratus sudah diterima balik oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) daripada kedai buku untuk ditukarkan dengan wang tunai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penghargaan Kursi Pengajian Melayu di Luar Negara di sini, semalam. 

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyerahkan watikah pelantikan pemegang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China, kepada Prof Dr Mohd Taib Dora. 

Katanya, BB1M selebihnya mungkin masih berada di tangan pelajar atau kedai buku yang belum menunaikannya dan beliau meminta kerjasama 292 kedai buku di seluruh negara yang menyertai program itu supaya menerima baucar berkenaan walaupun tarikh lupus yang dicetak padanya ialah 31 Mac ini. 
KPT juga akan mengeluarkan notis menerusi akhbar utama bagi memaklumkan kepada pemilik kedai buku dan pelajar IPT bahawa tarikh tempoh sah BB1M kini dilanjutkan sehingga 30 April ini. 

Terdahulu, Mohamed Khaled mengumumkan kementeriannya bercadang menubuhkan dua lagi Kursi Pengajian Melayu iaitu di Jerman dan Jepun tidak lama lagi. 

Katanya, Goethe-University of Frankfurt di Jerman turut menyatakan minat untuk mengembangkan Pengajian Melayu di universiti berkenaan. 

Katanya, penubuhan kursi berkenaan dicadangkan kerana Frankfurt adalah pusat perbankan serantau di Eropah, sekali gus menjadi langkah strategik bagi mempromosikan Malaysia sebagai pelopor bidang pengajian perbankan Islam pada peringkat global.

Biasiswa untuk lepasan SPM, STPM

Raja Azura
PETALING JAYA – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan) melalui program sulungnya, Peneraju Tunas Potensi, menyediakan biasiswa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti.

Sehubungan itu, lepasan SPM dan STPM digalakkan mengambil peluang ini yang terbuka kepada 100 pelajar menepati syarat kelayakannya iaitu Bumiputera, keputusan SPM, 5A ke atas dan bagi STPM, 2A ke atas, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pendapatan isi rumah bagi keluarga, RM3,000 ke bawah.

Objektif Peneraju Tunas Potensi adalah memastikan pelajar mendapat peluang pendidikan berdasarkan keperluan pembangunan individu.

Ketua Eksekutifnya, Raja Azura Raja Mahayuddin berkata, Peneraju Tunas Potensi menyediakan biasiswa pelbagai bidang, terutamanya kursus membawa kepada bidang kerja berpendapatan tinggi.

Katanya, seiring dengan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera, iltizam mempertingkat bilangan Bumiputera yang dapat berdaya saing di peringkat pengajian bertaraf global.

“Matlamat Peneraju Tunas Potensi adalah membangunkan dan membentuk modal insan daripada persekitaran yang mencabar.

“Justeru, potensi diri golongan pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan dapat digilap seterusnya dibantu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi serta mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Menurut Raja Azura, penekanan diberikan kepada golongan kurang berkemampuan, namun tidak terhad hanya di luar bandar sahaja.

Menerusi program ini katanya, pelajar mendapat tajaan sepenuhnya untuk melanjutkan pengajian dan pelajar akan ditempatkan di institusi menawarkan program seperti A-Levels dan International Baccalaurate serta universiti yang terpilih dengan program pembangunan berstruktur untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah.

Mereka yang ingin memohon boleh melayari www.penerajuedu.com untuk maklumat lanjut.

Permohonan dibuka mulai sekarang sehingga 6 April 2012.

Sebelum ini, pada pelancaran Transformasi Ekonomi Bumiputera, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Yayasan menyasarkan pembiayaan 12,000 pelajar dalam tempoh lima tahun ini.

Selain itu, tumpuan juga akan diberikan kepada pembiayaan kursus latihan dan profesional bagi tenaga kerja bumiputera untuk meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman kerja.

Yayasan, yang bakal meningkatkan taraf pendidikan dalam kalangan Bumiputera menyasarkan dana berjumlah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.

Setakat hari ini, Yayasan mendapat bantuan sokongan bernilai RM158 juta dari 21 buah syarikat dan institusi.

Antara syarikat yang memberi sumbangan besar kepada dana yayasan itu adalah CIMB Group Holdings, Felda Holdings, Maybank, Management Science University, University of Nottingham, Kumpulan Sapura, Sime Darby, Telekom Malaysia, UEM Group dan Yayasan Al-Bukhary, yang masing-masing menyumbang RM10 juta.

Kecewa tindakan Dong Zong

SHAH ALAM – Persatuan Jawatan­kuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) perlu bertanggungjawab terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong ditumbuk dalam perhimpunan pendidikan Cina di Kajang, kelmarin.

Presiden Gagasan Anti Pe­nyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin berkata, tindakan sedemikian bukan contoh yang baik dalam negara ini.

Menurutnya, hasrat Dong Zong menjadi pertubuhan pendidikan ekstrem cina di negara ini, tidak mencapai apa-apa matlamat, kecuali menjadikan bangsa Melayu dan India lebih berwaspada dengan corak politik pendidikan pertubuhan itu.

“Rentak perang dimainkan oleh mereka membawa maksud pelbagai dan tidak menguntungkan Cina keseluruhannya.

“Pertubuhan itu dilihat mahu mendekatkan sistem pendidikan negara ini menghampiri sistem aparteid yang dibuat dan ditolak oleh semua bangsa di dunia ini,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tegasnya, jurang besar pendidikan tidak menyumbang kepada negara aman, stabil dan makmur.

“Kaum Cina wajar mencari pendekatan lebih baik dan selamatkan dunia pendidikan negara ini daripada Dong Zong,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Loh Seng Kok berkata, tindakan peserta perhimpunan terhadap Wee mengecewakan dan menunjukkan tanda-tanda kesopanan rakyat di negara ini dirosakkan.

Menurutnya, tindakan sedemikian bertujuan melepaskan perasaan tidak berpuas hati mereka mengenai kekurangan guru sekolah Cina di di Sekolah Rendah Cina.

“Sebelum ini, mereka berjanji untuk mengadakan perhimpunan secara aman tetapi tindakan mereka pada hari tersebut berlandaskan emosi mencemarkan majlis itu.

“Sebagai rakyat di negara ini, kita harus bertoleransi dalam membantu menyelesaikan masalah yang menjejaskan pendidikan Cina,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini Wee, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, telah menyatakan kesediaannya untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

“Mereka tidak perlu terburu- buru kerana keganasan tidak membantu menyelesaikan masalah. Isu pendidikan bukanlah mudah kerana ia memerlukan masa dan usaha untuk menyelesaikannya,” katanya.

Loh berkata, penyokong pendidikan Cina perlu menunggu dengan sabar untuk melihat lapan pelan penyelesaian yang akan memberikan berita baik kepada mereka dalam masa terdekat.-SinarHarian

Thursday, March 15, 2012

Guru sekolah rendah dapat BITB

Rombakan menyeluruh termasuk sekolah rendah dan menengah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, pendidikan khas, vokasional

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.

Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.
Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, objektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979).

“Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.

“Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.
Muhyiddin berkata, sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan.

Katanya, penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Beliau berkata, laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa.

Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.  

Dasar pendidikan masa depan

Rombakan menyeluruh termasuk sekolah rendah dan menengah, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, pendidikan khas, vokasional

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan.

Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.
Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, objektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979).

“Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020.

“Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.
Muhyiddin berkata, sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan.

Katanya, penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Beliau berkata, laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa.

Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.  

Program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di semua IPT

Beri manfaat kepada 1.3 juta penuntut

BANGI: Program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) diperluaskan ke semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, bagi membolehkan 1.3 juta penuntutnya menikmati sarapan pagi pada harga serendah RM2 dan RM4 untuk hidangan tengah hari.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga mensasarkan lebih 250 produk jenama 1Malaysia di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dijual di premis dan koperasi di 20 universiti awam, 27 politeknik dan 78 kolej komuniti serta 500 IPT swasta dalam tempoh sama.
Sehingga 14 Mac lalu, sebanyak 1,480 premis, termasuk 103 kafeteria di 40 IPT menawarkan menu makanan itu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menetapkan sasaran 3,000 premis menawarkan menu itu menjelang akhir 2012, sejajar inisiatif berterusan kerajaan membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup yang meningkat, selain mengekalkan subsidi barang keperluan.

Katanya, sasaran itu juga selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahu menu makanan dan KR1M dinikmati segenap lapisan rakyat.

“Kita sudah bincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi. Malah ramai pelajar mahu MR1M dan KR1M dimulakan di IPT mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sin,i semalam.
Setakat ini, terdapat 26 KR1M dibuka di seluruh negara dan kerajaan mensasarkan membina 85 kedai rakyat menjelang akhir tahun ini.

Ismail Sabri berkata, UKM menjadi antara IPT awam yang menawarkan MR1M dengan 16 premis kafeteria menawarkan menu makanan rakyat itu.

Mengulas mengenai persidangan Gerakan Pengguna Siswa, Ismail Sabri berkata, persidangan tiga hari bermula kelmarin itu, menyaksikan perwakilan GPS dari 70 IPT berhimpun dan mengutarakan pandangan dan idea mereka dalam memperkasakan suara pengguna di kalangan mahasiswa.  

Keputusan SPM diumum 21 Mac

PUTRAJAYA - Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 21 Mac depan, menurut kenyataan Kementerian Pelajaran hari ini.

Sementara pengumuman analisis keputusan pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di sini, pukul 9 pagi pada hari yang sama.

Calon-calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi.

Bagi calon persendirian keputusan akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pelajaran Negeri.

Keputusan juga boleh disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SMS jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888.

Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac.

Seramai 468,808 calon mendaftar telah menduduki peperiksaan tersebut di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara tahun ini. - Bernama

Tuesday, March 13, 2012

Sistem pendidikan perlu dirombak

NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think  pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.
NAJIB diiringi Muhyiddin melawat pameran teknik program I-Think pada majlis pelancaran program berkenaan di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.


PM mahu perubahan aspek mengajar dan cara belajar sejajar tranformasi negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak kerana sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan perubahan terutama dalam aspek mengajar dan cara belajar.

Perdana Menteri berkata, langkah ini sejajar proses transformasi negara bagi melahirkan generasi muda yang mampu berfikir dan mempunyai kelebihan mengadaptasi ilmu bagi menghadapi cabaran masa akan datang.

“Transformasi ke arah negara bermaklumat, negara inovasi, berpendapatan tinggi dan berdaya saing memerlukan transformasi sistem pendidikan terutama mengenai cara kita belajar dan mengajar.
Beliau berkata, corak pendidikan sebelum ini yang menekankan kepada ‘hafalan’ perlu diubah dengan menekankan kepada kemahiran proses berfikir di kalangan pelajar supaya mereka mampu menggunakan ilmu yang dipelajari untuk kepentingan diri sendiri.

“Oleh kerana dunia sudah berubah, keperluan kita adalah menyediakan generasi hari ini untuk dunia yang akan datang,” katanya berucap pada majlis pelancaran Program I-Think, di dewan Bangkuasi Parlimen, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Perdana Menteri berkata, walaupun sistem pendidikan negara sudah banyak memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kejayaan negara, namun dunia akan datang berbeza dengan hari ini kerana banyak peluang pekerjaan pada masa depan masih belum wujud ketika ini.
"Saya difahamkan 70 hingga 80 peratus jenis pekerjaan pada hari muka belum wujud hari ini. Jadi bagaimana kita hendak menyediakan anak kita hari ini untuk masa depan kerana pekerjaan untuk mereka belum lagi wujud.

"Jadi kita memerlukan kaedah pembelajaran yang menekankan aspek bagaimana untuk menggunakan pengetahuan yang ada serta bagaimana untuk berfikir. Jika kita boleh fikir, maka ia memberi kelebihan untuk mengadaptasi sebarang situasi," katanya.

Najib turut memaklumkan bahawa Projek I-Think yang kini dilaksanakan di 10 sekolah akan diperluaskan ke kira-kira 1,000 lagi sekolah tahun depan dan kepada semua sekolah menjelang 2014.

Program I-Think adalah projek bersama Kementerian Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran yang tinggi dan inovasi di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pada awal tahun ini, sepuluh sekolah dipilih di seluruh negara untuk menjadi sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan memperkenalkan proses berfikir di kalangan pelajar sekolah.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kementerian dalam proses mentransformasi sistem pendidikan dengan meningkatkan mutu pembelajaran dan pengajaran.

“Menerusi program I-Think ini, kementerian berusaha menerap proses berfikir bagi membantu murid memahami sesuatu konsep dan aplikasi konsep itu dalam menyelesaikan segala permasalahan yang diberikan,” katanya.

Muhyiddin berkata, kemahiran itu juga akan menjadi sebahagian daripada modul di Institut Pendidikan Guru untuk memastikan bakal guru cukup terlatih dan bersedia menyampaikan teknik program I-Think selepas tamat pengajian mereka.

Katanya, langkah seumpama itu adalah satu permulaan penting dalam menaik taraf mutu sistem pendidikan negara agar aspirasi holistik Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai.

kaedah "Bubble Map"


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) tertarik melihat kaedah "Bubble Map" yang dilakukan oleh murid Sekolah Rendah Pusat Bukit Besar Kuala Terengganu berkenaan persamaan Datuk Seri Najib dan bapanya Tun Abdul Razak yang juga Perdana Menteri kedua ketika Majlis Program Rintis 'i-Think' di Bangunan Parlimen, hari ini. - Foto BERNAMA
Mar 13, 2012 4:04 pm

Monday, March 12, 2012

Pusat tuisyen ‘hidup’ kerana guru tidak berkualiti?

SHAH ALAM – Cuba luangkan masa melihat barisan kedai berhampiran tempat tinggal anda.

Kedai runcit, kedai gambar, pusat tuisyen, kedai fotostat, restoran, dan... pusat tuisyen lagi?

Cuba bertanya pula kepada orang sekeliling yang mempunyai anak bersekolah, adakah anak mereka ke tuisyen?

Pasti sembilan daripada 10 orang akan menjawab ya.

Mengapa fenomena ini berlaku?

Adakah kerana sistem pembelajaran di sekolah tidak berkesan, sehingga ibu bapa perlu menghabiskan ratusan ringgit bagi seorang anak untuk menghadiri kelas tambahan?

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim bersetuju dengan pendapat ini.

“Pembelajaran diterima di sekolah tidak mencukupi, jadi ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak ke tuisyen,” katanya.

Penulis bertanya lagi, adakah guru kita tidak berkualiti?

“Kita tidak boleh menyalahkan guru kerana latihan diberikan menentukan kebolehan mereka untuk mengajar.

“Guru patut memberi yang terbaik semasa me­ngajar, tetapi kini, kualiti guru menurun, mungkin kerana latihan diberikan tidak mencukupi,” katanya semasa pertemuan dengan Sinar Harian berhubung isu lambakan pusat tuisyen di negara ini.

Menurutnya, selain memperbaiki latihan guru, kerajaan juga perlu mengurangkan jumlah pelajar di dalam sebuah kelas dan menambah perbelanjaan pendidikan.

Noor Azimah berkata, lebih memburukkan keadaan adalah sikap menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan ter­akhir jika tidak mendapat kerja lain.

“Ibu bapa yang menyedari hal ini enggan mengambil risiko dan memperjudikan pendidikan anak mereka, sebab itu mereka menghantar anak ke kelas tuisyen,” katanya.

Penulis kemudian menyoal lagi, apa punca guru di sekolah tidak dapat menyampaikan pelajaran dengan baik?

“Memang sukar untuk cikgu memberi perhatian kepada setiap murid kerana kelas yang besar, selain masa pembelajaran singkat, jadi mereka terpaksa mencadangkan supaya pelajar ke pusat tuisyen,” jawabnya.

Menurutnya, lambakan pusat tuisyen ini juga berlaku kerana kemahuan pelajar sendiri yang tidak berpeluang berinteraksi secara dekat de­ngan guru di dalam kelas.

Selain itu, kos pengajian yang tinggi di peringkat universiti juga menyumbang kepada kewujudan banyak pusat tuisyen.

“Ramai ibu bapa berharap anak mereka mendapat biasiswa untuk ke universiti, sama ada di dalam atau luar negara jadi tuisyen menjadi seperti pelaburan jangka panjang,” katanya.

Namun, Noor Azimah mengakui, fenomena tuisyen ini ada baik dan buruknya.

“Di pusat tuisyen, anak-anak disuap dengan pelbagai maklumat. Ini menyebabkan mereka tidak tahu mencari maklumat dan hanya bergantung kepada orang lain. Selain itu, kita juga tidak tahu kualiti sesebuah pusat tui­syen,” katanya.

Beliau juga berpendapat peranan kelas tuisyen telah dicabuli, sehingga pelajar kini mengambil semua subjek, berbanding dahulu, iaitu pelajar hanya mengambil kelas tambahan untuk subjek yang mereka lemah sahaja.

Menyuarakan harapan­nya untuk sistem pendidikan negara, Noor Azimah berkata, ibu bapa mahukan perancangan masa panjang yang mapan dan berkesan.

“Antara masalah utama dalam sistem pendidikan adalah perubahan dasar setiap kali berlaku perubahan tampuk pimpinan. Apabila menteri lain dilantik, dasar sebelum ini dilupakan dan akhirnya, anak-anak menjadi mangsa,” katanya.

Sunday, March 11, 2012

Pendidik punya jawapan kepada masalah negara


Mohammad Syazwannuddin, 12 Mac 2012

Saya menyambut baik hasrat YAB TPM dalam usaha jelajah seluruh negara untuk mengumpul pandangan yang bernas dalam menaik taraf pendidikan. Pendidikan adalah asas kepada pembangunan negara. Kementerian sepatutnya membawa halatuju pendidikan kita ke arah yang memberi manfaat kepada semua pihak. Pendidikan yang murah daripada pra-sekolah sehingga menara gading adalah ciri utama sebuah sistem pendidikan yang merakyat. Kementerian perlu adil dalam pengagihan bantuan kepada sekolah-sekolah samada di bandar atau luar bandar. Bukan sekadar membantu sekolah yang sudah cemerlang tetapi juga berpandangan positif kepada sekolah yang punya rekod buruk. Guru yang mengajar di sekolah juga perlu dianggap sebagai individu yang sangat penting di sekolah, bukan sekadar kakitangan kerajaan. Taraf guru sepatutnya diangkat tinggi dan menjadi inspirasi kepada semua penggerak masyarakat. Kebajikan guru sepatutnya menjadi keutamaan, bukan mengejar bilangan A yang belum tentu menjamin kecemerlangan yang berkekalan. Guru yang tidak stabil emosinya akan memberi natijah yang buruk kepada perkembangan anak murid.


Selain itu, institusi pendidikan sepatutnya dipimpin oleh individu yang dihormati oleh semua guru. Jawatan guru, pengetua malah naib canselor adalah ketua kepada semua pendidik, bukan CEO kepada sesebuah syarikat. Untuk menjadi ketua pendidik, seseorang mesti sudah membuktikan kepakarannya dalam bidang kependidikan. Sukar untuk pelajar menghormati pengetua sekiranya pengetua itu sendiri tidak dihormati para guru. Urusan birokrasi pula sepatutnya dilaksanakan oleh kakitangan bukan akademik, bukan dibebankan kepada para pendidik. Akibat buruk daripada gejala ini akan menyebabkan pendidik melupakan tugas mereka yang hakiki iaitu mendidik anak murid menjadi manusia.

Silibus pelajaran kita juga sepatutnya dirombak supaya pelajar yang keluar daripada institusi pendidikan akan menjadi manusia yang berkhidmat kepada masyarakat, bukan sekadar pekerja kepada industri.  Fenomena pengindustrian pendidikan hanya memberi industri lebih kata putus dalam membentuk halatuju sesebuah institusi dan menyebabkan pandangan pendidik tidak diambil kira. Pendidik yang telah berkhidmat berpuluh tahun tentulah lebih arif tentang bidang masing-masing. Malah krisis kewangan yang dihadapi dunia hari ini membuktikan bahawa industri itu sendiri telah tersilap percaturan. Mengapa perlu mendengar kata mereka? Mungkinkah para pendidik kita punya penyelesaian yang lebih tuntas?

Sebagai penutup, kementerian perlu mendengar luahan hati daripada para pendidik. Malah tidak perlu jelajah seluruh negara. Yang penting hala tuju kementerian jelas dan menghormati status pendidik sebagai obor penerang bangsa.


Mohammad Syazwannuddin Shaharuddin ialah Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).