Pages

Translate

Thursday, December 1, 2011

Sekitar kampus: Kolej Consist tawar diploma DOSHM

SITI SHAIKA FATIMA bersama ibu dan abangnya di ISTAC Taman Duta, baru-baru ini.
SITI SHAIKA FATIMA bersama ibu dan abangnya di ISTAC Taman Duta, baru-baru ini.
GRADUAN Kolej Consist yang ditawarkan melanjutkan pengajian diploma dalam bidang Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan pekerjaan sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Kejayaan ini dibuktikan dengan 95 peratus graduan yang menamatkan pengajian di kolej terbabit mendapat pekerjaan dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan dan industri.

Sebagai kolej yang menyediakan satu saja pengkhususan diploma dalam bidang Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSHM), adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan memastikan graduan dilatih dengan pengetahuan dan kemahiran mencukupi bagi memenuhi permintaan industri.
Ketua Eksekutifnya, Ar Mior Zawari Hassan berkata, Kolej Consist sentiasa memastikan pengajian yang ditawarkan adalah berkualiti dan berdaya saing.

“Pihak kolej percaya, pendekatan yang diguna pakai itu dapat melahirkan graduan cemerlang dan pada masa sama memenuhi kehendak pasaran pekerjaan termasuk di luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Consist kali kedua yang diadakan di Dewan Utama, Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Taman Duta, Gombak, baru-baru ini.

Seramai 51 graduan kolej berkenaan menerima diploma masing-masing yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan Malaysia, Datuk Ir Dr Johari Basri.

Turut disampaikan tiga anugerah khas iaitu Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan, Anugerah Graduan Terbaik Projek Hazard Identification, Risk Assessment & Risk Control (HIRARC) dan Anugerah Terbaik setiap ambilan.
Bagi Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan, Kolej Consist menganugerahkannya kepada Siti Shaika Fatima Jamauddin yang turut menerima Anugerah Graduan Terbaik, ambilan ke-7 manakala penerima graduan terbaik projek HIRARC disandang Ng Yao Quan. Bagi graduan terbaik ambilan ke-6, dianugerahkan kepada Azhar Mohammad Azmin dan ambilan ke-8, Jazzeyqa Ahmad Jailani.

Sementara itu, Siti Shaika Fatima, 21, ketika ditemui melahirkan rasa terharu dan tidak menyangka akan menerima anugerah keseluruhan terbaik namun bersyukur atas usaha beliau selama ini membuahkan kejayaan.

Beliau yang ditemani ibunya, Zaiton Rajak, 64, dan abang, Norasazly Mohd Taha, 32, tidak menyangka kegagalan permohonan pada peringkat universiti satu ketika dulu membuahkan hasil sehingga beliau berjaya mengejar cita-cita untuk menjadi seorang eksekutif mengikut bidang pengajian selama tiga tahun di peringkat diploma.

“Tiga tahun lalu, saya begitu hampa kerana permohonan ke matrikulasi gagal. Namun selepas diberitahu ibu mengenai diploma yang ditawarkan oleh Kolej Consist, saya tidak menoleh ke belakang dan meneruskan pengajian di sini,” katanya.

Bagi penerima anugerah terbaik projek HIRARC, Ng Yao Quan, 21, walaupun bidang pengajian DOSHM tidak begitu terkenal jika dibandingkan bidang lain namun ia langsung tidak mematahkan semangat untuknya meneruskan pengajian sehingga tamat.

“Sebaik saja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak teragak-agak untuk memilih bidang ini. Walaupun pada awalnya, saya perlu menjelaskan apakah sebenarnya yang saya pelajari kerana ramai menyangka ia lebih kepada bidang kawalan keselamatan seperti menjadi pengawal keselamatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment