Pages

Translate

Monday, November 28, 2011

Tarikan gedung ilmu

PERPUSTAKAAN Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor milik Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) mencipta keunikan tersendiri dengan menawarkan kemudahan bertaraf dunia kepada masyarakat.
Antara paling menarik perhatian ialah teater enam dimensi (6D) menjadikan satu-satunya perpustakaan di dunia yang memiliki kemudahan itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad, berkata kelainan itu menarik minat orang ramai mengunjungi perpustakaan itu sebagai gedung ilmu.

Beliau berkata, pendekatan berkenaan bagi meningkatkan minat membaca dan mensasarkan agar kemudahan itu dinikmati semua pihak.

“Kami berusaha keras menjadikannya gedung ilmu yang bukan saja menjanjikan penambahan pengetahuan malah mempunyai pelbagai tarikan penuh keseronokan,” katanya.

Perpustakaan itu turut menyediakan kemudahan tempat pembacaan kanak-kanak, ruangan teknologi maklumat dan multimedia.

“Perpustakaan ini memiliki mini gimnasium bagi memberi peluang pengunjung membaca sambil beriadah selain dikelilingi pemandangan menghijau yang mendamaikan jiwa. Tidak ketinggalan, peralatan teknologi canggih seperti komputer, auditorium dan peralatan serba mewah demi keselesaan pengunjung,” katanya.

Mastura, berkata perpustakaan Raja Tun Uda sangat menekankan aspek ‘santai’ untuk memberi sentuhan baru kepada pengunjung, justeru ia digelar ‘Rumah Keduaku’.

“Justeru, perpustakaan ini memberi penekanan santai kepada setiap pengunjung ibarat seperti di rumah sendiri. Antaranya, mereka perlu membuka kasut sebelum dibenarkan masuk. Setakat ini tiada rungutan malah mereka melakukan dengan gembira,” katanya.

Perpustakaan ini menyediakan pelbagai bahan bacaan merangkumi kesihatan, sukan dan kejuruteraan. Kemudahan menjadi ahli adalah percuma.

No comments:

Post a Comment