Pages

Translate

Thursday, December 1, 2011

Inovasi & Kreatif: POU hebat dalam Pertandingan IID ASEAN

POLITEKNIK Ungku Omar memenangi pingat emas menerusi inovasi 'Automatic Observer Vehicle' pada ASEAN IID 2011 di UiTM Kedah di Merbok.
POLITEKNIK Ungku Omar memenangi pingat emas menerusi inovasi 'Automatic Observer Vehicle' pada ASEAN IID 2011 di UiTM Kedah di Merbok.
 


JABATAN Kejuruteraan Mekanikal (JKM), Politeknik Ungku Omar (PUO) Perak memenangi masing-masing sebutir pingat emas dan perak pada pertandingan Ciptaan, Inovasi dan Rekacipta (IID) ASEAN 2011 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah di Merbok, baru-baru ini.

Projek yang memenangi pingat emas itu adalah ‘Automatic Observer Vehicle’ manakala `Clamp Monoshock’ meraih pingat perak, yang dihasilkan oleh pelajar semester akhir jabatan itu di bawah bimbingan Zulkarnain Jamak, Jumari Ab Hamid dan Ooi See Onn.

Kumpulan pelajar kreatif dan inovatif terbabit menghasilkan projek berkenaan dalam tempoh setahun atau dua semester sebagai projek akhir mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
PUO yang menurunkan dua pasukan bersaing sengit dengan UiTM Shah Alam, UiTM Puncak Alam (Shah Alam), Kolej Matrikulasi, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Shah Alam, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Sekolah Berasrama Penuh.

Pertandingan itu mendapat pengiktirafan daripada badan inovasi negara seperti Majlis Rekabentuk Malaysia dan Persatuan Rekacipta dan Rekabentuk Malaysia (MINDS).

Zulkarnain yang juga Pensyarah Penasihat Pertandingan PUO berkata, dua pelajarnya iaitu Mohd Zamharizwan Saidin dan Mohammad Faizal Jamil berjaya meyakinkan juri mengenai ciptaan, inovasi dan rekacipta projek mereka dengan berkesan untuk menggondol pingat emas.

Katanya, mereka berpuas hati dan bangga dengan pencapaian pelajar mengambil bahagian serta berazam untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang demi kepentingan industri penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi negara.
Beliau berkata, pada pertandingan itu, mereka menghantar dua pasukan untuk dinilai juri termasuk dalam kalangan pensyarah berpengalaman dari UiTM Kedah yang ternyata kagum dengan teknologi dihasilkan JKM PUO.

“Pelajar memiliki motivasi tinggi mengaplikasi segala kemahiran yang dipelajari dalam bilik kuliah serta ketika latihan amali dan ternyata kesungguhan dan kreativiti mereka diiktiraf juri,” katanya kepada Varsiti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zulkarnain berkata, dalam pertandingan yang berlangsung dua hari itu gerai pameran produk politeknik itu turut mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang mahu menyaksikan lebih dekat kreativiti pelajar dan pensyarah.

Katanya, pelajar PUO juga berpeluang melihat pelbagai rekaan dan ciptaan terkini yang dipamerkan oleh pelajar dan penyelidik institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang mengambil bahagian.

“Pertandingan ASEAN IID 2011 ini memberi manfaat dan pengetahuan dalam memberi perspektif yang lebih luas kepada pelajar PUO di dalam dunia inovasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment