Pages

Translate

Wednesday, December 21, 2011

Mahasiswa hina PM tak cermin status intelektual

Sikap kurang ajar diserlah pelajar IPT wajar dibendung elak jadi ikutan generasi akan datang

SELURUH negara digemparkan dengan kejadian seorang bakal guru Bahasa Inggeris berusia 23 tahun yang didakwa bersikap biadab menurunkan bendera memaparkan gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dalam kejadian di Dataran Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, Sabtu lalu.

  Kejadian itu dikatakan berlaku apabila kumpulan mahasiswa membabitkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) berhimpun semata-mata mahu menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
SMM dan SMKA, dua pertubuhan yang hingga kini tidak diketahui statusnya pula sering dikaitkan dengan pembangkang kerana kerap menyokong atau menyertai kegiatan anjuran pembangkang, khasnya dalam demonstrasi menentang kerajaan.

Kejadian yang berlaku itu ternyata menimbulkan pelbagai persoalan, sejauh mana nilai ketimuran, adab sopan dan menghormati orang lain walaupun berbeza pendapat yang selama ini sebati dengan jiwa orang Melayu, masih mengalir dalam diri orang Melayu generasi baru.

Pelbagai pihak meluahkan rasa terkejut, terkilan dan marah dengan tindakan mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Bukan kerana ia isu politik yang mungkin menyentuh maruah seorang presiden sebuah parti memerintah kerajaan, sebaliknya ia adalah isu nasional membabitkan maruah dan jati diri masyarakat Malaysia yang dilihat tidak lagi sensitif dengan budaya dan maruah bangsa sendiri.
Namun, ia sebenarnya bukan perkara baru, sebaliknya kejadian menghina maruah negara pernah dicetuskan mahasiswa yang menuntut di Taiwan dengan menghina lagu Negaraku menerusi klip video disiarkan di laman web YouTube.

Wee Meng Chee atau Namewee, bekas penuntut Universiti Ming Chuan dalam jurusan Komunikasi Massa berasal dari Muar, Johor pernah menghina lagu Negaraku, tidak menghormati kerajaan dan menyentuh sensitiviti umat Islam negara ini.

Tindakannya itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak dan mendesak supaya Namewee memohon maaf kerana tindakan biadab menghina lagu kebangsaan serta sensitiviti masyarakat Melayu beragama Islam.

Walaupun akhirnya pelajar terbabit mengaku kesilapannya dan memohon maaf terbuka kepada masyarakat negara ini, perkara itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat untuk lebih menghormati perkara yang ada kaitan dengan semangat kebangsaan.

Keberanian didasari sikap kurang ajar di kalangan mahasiswa ini perlu dibendung kerana kita tidak mahu generasi pemimpin pelapis ini akan mempromosi budaya negatif kepada rakyat dan generasi akan datang.

Jelas sekali, apa yang berlaku itu sebenarnya memberi petunjuk jelas kepada kita semua bahawa sistem pengurusan kebebasan mahasiswa di negara ini menerusi AUKU masih relevan bagi mengekang kebebasan mahasiswa khasnya bagi menangani kejadian seperti yang berlaku Sabtu lalu tidak berulang pada masa depan kerana kesannya, ia kini menjejaskan reputasi mahasiswa dan universiti pada kaca masyarakat.

Masyarakat mula memperkata dan mempersoalkan adakah mahasiswa yang ada di institusi pengajian tinggi (IPT) sekarang begitu dangkal fikiran mereka hingga sanggup melakukan perbuatan yang langsung tidak mencerminkan status intelektual mereka.

Seorang rakan yang juga kerani kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meluahkan perasaannya kepada penulis dengan berkata: “Dia orang (mahasiswa) macam tak tahu diuntung. Kerajaan dah bagi duit PTPTN, belajar di universiti yang kerajaan bina, tapi masih lagi nak buat benda bodoh. Tak ada otak punya budak. Duduk universiti belajarlah betul-betul.”

Rasanya bukan penulis seorang saja akan rasa terpukul dengan kata-katanya itu, tetapi bekas pelajar universiti juga pasti akan tersentak mendengarnya kerana di kalangan kita ramai yang pernah bergelar mahasiswa, tetapi masih mampu berfikir dan bertindak dengan rasional apabila timbul isu membabitkan kepentingan mahasiswa.

Mengulas insiden itu, Presiden Persatuan Belia FELDA Malaysia, Anuar Abd Manap berpendapat, perbuatan itu sebagai tidak wajar apatah lagi jika ia dilakukan mahasiswa kerana ia mencerminkan pelajar terbabit tidak matang kerana pada zaman ini, banyak saluran boleh digunakan untuk menegur kerajaan dan Perdana Menteri (PM).

“Kalau tidak puas hati, kita mempunyai banyak saluran untuk berhubung dengan PM. PM hari ini bukan macam PM dulu yang perlu buat temujanji kalau hendak berjumpa.

“Sekarang PM gunakan Twitter dan Facebook untuk berinteraksi dengan rakyat. Mengapa tidak gunakan saja saluran ini untuk meluahkan rasa tidak puas hati,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Majlis Belia Johor (MBJ) turut kesal dengan sikap pertubuhan mewakili mahasiswa yang tergelincir daripada landasan utama perjuangan untuk menuntut kebajikan mereka lebih dibela kerajaan seperti menuntut asrama yang mencukupi dan selesa, meningkatkan pemberian bantuan biasiswa dan nilai baucar buku.

Jelasnya, apa yang dapat dilihat kini, mahasiswa khasnya Melayu lebih sibuk berpolitik berbanding menumpukan perhatian terhadap pembelajaran, sedangkan kaum lain bertungkus-lumus belajar dan hanya bergiat aktif berpolitik selepas tamat pengajian atau sudah bekerja.

Beliau turut menyarankan supaya pertubuhan belia seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), biro IPT di dalam sayap parti seperti UMNO dan kementerian berkaitan untuk memanggil mahasiswa terbabit meluahkan rasa tidak puas hati mereka dan kemudian bersama-sama mencari jalan mengatasinya.

“Mengugut, memukul atau bertindak menggunakan kekerasan terhadap mahasiswa bukan satu cara terbaik bagi menangani isu ini. Kita perlu menjadi lebih cerdik bila berhadapan dengan golongan ini,” jelasnya mengulas tindakan segelintir pihak yang dikatakan mahu memukul mahasiswa yang terbabit dalam insiden menurunkan bendera Presiden UMNO itu.     

No comments:

Post a Comment