Pages

Translate

Tuesday, December 27, 2011

TPM bangga hasil PROMISE | Kejayaan saintis setanding pencapaian negara maju: Muhyiddin

MUHYIDDIN mendengar penerangan daripada Prof Dr Mohd Zaki Salleh (dua dari kanan) mengenai PROMISE di UiTM Puncak Alam, semalam. Turut kelihatan Sahol Hamid.
MUHYIDDIN mendengar penerangan daripada Prof Dr Mohd Zaki Salleh (dua dari kanan) mengenai PROMISE di UiTM Puncak Alam, semalam. Turut kelihatan Sahol Hamid.
Kejayaan saintis setanding pencapaian negara maju: Muhyiddin

KUALA SELANGOR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bangga dengan hasil penyelidikan di Pusat Farmako-genomiks (PROMISE) Universiti Teknologi MARA (UiTM) berikutan kejayaan saintis menyempurnakan pemetaan genom individu digelar Genom Melayu

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendedahan draf genom itu selaras usaha negara maju di Asia dan Eropah yang giat menjana maklumat mengenai genom rakyat mereka supaya dapat digunakan untuk membangun strategi kesihatan paling sesuai untuk penduduk setempat.
Program ini menjadi penanda aras keupayaan saintis Malaysia di persada sains teknologi antarabangsa dan pembabitan UiTM harus dibanggakan. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri
Katanya, pencapaian sains yang canggih membuktikan risiko seseorang mendapat sesuatu penyakit dan kesesuaian sesuatu ubat diberi untuk tujuan perubatan ada kaitannya dengan latar belakang genom seseorang.

Malah, katanya, pendekatan dikenali sebagai `personalised medicine' itu antara kemajuan sains dan teknologi yang sedang dibangunkan di negara maju.

“Kejayaan ini hasil sokongan kerajaan kepada usaha memperkuatkan sektor termaju Bioinformatics dan pembiayaan projek genom seperti Projek 25 Genom Malaysia, Projek Genom Manusia Kerdil dan Projek Genom Kelapa Sawit.

“Program ini menjadi penanda aras keupayaan saintis Malaysia di persada sains teknologi antarabangsa dan pembabitan UiTM harus dibanggakan,” katanya ketika melancarkan jaringan kerjasama rakan kongsi Bionexus (BNP) & Pengumuman Penyempurnaan Pemetaan Genom Melayu di UiTM Kampus Puncak Alam, di sini, semalam. 
Hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif BiotechCorp, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan satu pertukaran perjanjian antara UiTM dan SNAA Medic yang bersetuju mengkomersialkan dua ujian farmogenetik dibangunkan PROMISE.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan itu menandakan keupayaan UiTM menyediakan prasarana bertaraf antarabangsa sejajar hasrat kerajaan membangunkan modal insan Bumiputera yang mampu berdaya saing di arena global.

Katanya, ia jelas dilihat melalui pusat PROMISE yang kini mengembangkan sayapnya dengan memberi perkhidmatan kepada beberapa syarikat luar negara.

“Saya yakin industri bioteknologi di negara ini akan berkembang pesat, selaras aliran global dan dijangka terus mencatat peningkatan daripada segi jumlah syarikat bioteknologi, penjanaan hasil, pelaburan serta membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja mahir,” katanya.

Muhyiddin berkata, industri bioteknologi yang semakin berkembang dan mendapat perhatian pelbagai pihak membuka peluang kerjaya berpendapatan tinggi, seterusnya meluaskan pilihan graduan lulusan bioteknologi dan sains hayat.

Keadaan itu, katanya, menjadikan keperluan negara menyediakan tenaga kerja sesuai dan berkemahiran selaras keperluan pasaran.

“Saya percaya usaha berterusan dilakukan kerajaan dan universiti untuk meningkatkan kualiti pendidikan tinggi akan memberi faedah besar kepada mahasiswa.

“Matlamat melahirkan graduan mampu berdaya saing dan memiliki tahap kebolehpasaran tinggi akan tercapai dengan adanya komitmen serta kerjasama strategik berterusan antara sektor kerajaan dan universiti,” katanya.

No comments:

Post a Comment