Pages

Translate

Tuesday, January 24, 2012

Lebih 2,000 TASKA tidak berdaftar dengan JKM

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,077 pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) di seluruh negara belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga akhir tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) jabatan itu, Noraini Mohd Hashim, berkata sehingga kini hanya 770 TASKA di seluruh negara yang berdaftar dengan jabatan dan angka itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah yang belum berdaftar.

"Kami tidak faham kenapa ramai pengusaha tidak mahu mendaftar dengan JKM sedangkan mereka tahu banyak faedah akan diperoleh jika berdaftar dengan jabatan," katanya di sini.
Noraini berkata, pendaftaran dengan JKM bukan sahaja memudahkan penyaluran bantuan daripada kerajaan, tetapi memastikan semua pengasuh mempunyai latihan yang sewajarnya terutama dalam menjaga kanak-kanak.

"Sebab itu kalau kita tengok kebanyakan kes kanak-kanak meninggal dunia dan kes keganasan adalah daripada TASKA yang tidak berdaftar sebab pengasuhnya ada yang tidak terlatih," katanya.

Sementara itu, Noraini berkata masyarakat harus berhenti menyalahkan JKM kerana tidak meluluskan pendaftaran sesebuah TASKA sehingga menyebabkan banyak yang beroperasi tanpa kelulusan.

Katanya, sesebuah TASKA yang ingin berdaftar dengan JKM perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada tiga agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Kebanyakannya sangkut di peringkat PBT kerana kawasan yang dipilih tidak sesuai maka kami tidak boleh luluskan pendaftaran mereka sebab ini soal keselamatan kanak-kanak, jadi kami tidak akan kompromi," katanya.

Noraini turut menasihatkan ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke TASKA supaya memeriksa status pusat berkenaan sama ada ia berdaftar dengan JKM atau sebaliknya.

"TASKA yang berdaftar dengan JKM kita bagi sijil untuk mereka pamer, jadi ibu bapa perlu periksa terlebih dahulu supaya kalau terjadi perkara tidak diingini, kita boleh ambil tindakan," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment