SHAH ALAM - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahasiswa dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Watch 13 menggesa agar lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah yang dikenakan tindakan tatatertib 2007 dibebaskan.
Pengerusinya, Mohd Mus'ab Habib berkata, mereka turut mendesak agar pihak pentadbiran Kuin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agar menarik balik kes membabitkan lima penuntut terbabit serta-merta.
"Menjelang perbicaraan kes lima mahasiswa Kuin pada 18 Januari ini (esok), kami melihat isu yang menimpa mereka adalah satu bentuk penindasan terhadap hak mahasiswa untuk berpatisipasi.
"Kami juga menyelar tindakan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak mempunyai pendirian yang konsisten terhadap isu ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Mus'ab lagi, adalah wajar bagi negeri yang dipimpin PR tidak menggunakan akta 'zalim' kerana sebelum ini mereka menegaskan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) seperti yang tercatat dalam Buku Jingga.
Mei tahun lalu, lima mahasiswa kolej universiti tersebut dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang bertujuan untuk menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang diadakan di kediaman Ar-Razi, Kuin.
Mereka membantah pembinaan di kawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz.
Mereka yang dikenakan tindakan gantung pengajian ialah Mohd Faiz Mohd Arshad, Mohd Azlan Mat Zain, Ahmad Remi Mohd Arof, Zukhilatif Marzuki dan Muhamad Aiman Che Abd Razak.
No comments:
Post a Comment