Pages

Translate

Monday, March 5, 2012

8 Mac tentukan rayuan Adam Adli


SHAH ALAM - Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) akan menentukan sama ada pelajarnya, Adam Adli Abdul Halim dikurangkan atau terlepas dari hukuman penggantungan tiga semester pada 8 Mac ini.

Hukuman ini dikenakan ke atas Adam kerana mencemar nama baik universiti, penuntut dan kakitangan universiti serta ketenteraman keselamatan awam, moral, kesopanan dan tatatertib.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Upsi, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar berkata, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) akan meneliti segala rayuan dan bukti dikemukakan Adam Adli.
“Kita akan mengumumkan keputusan persidangan LPU kira-kira sebulan selepas tarikh itu (8 Mac),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada 17 Disember lalu, Adam Adli bertindak menurunkan bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Ibu Pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Rentetan dari kejadian itu, pada 9 Januari, Upsi membuat keputusan menggantung Adam Adli selama tiga semester bermula semester II Sesi 2011/12 selepas didapati bersalah.
Dia juga didakwa menyertai demonstrasi di hadapan­ bangunan universiti tersebut pada malam sambutan tahun baru 2012.
Adam Adli dalam kenyataannya pada 10 Januari lalu menegaskan, keputusan Upsi itu hanyalah keputusan mahkamah universiti yang berlandaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) semata-mata.
Pihak Berkuasa Tatatertib mensabitkan kesalahan Adam Adli di bawah Kaedah 3 (a)(i) dan (ii), Bahagian II, Tatatertib Am, Kaedah-kaedah Upsi (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999 dengan mengambil keputusan menggantung pengajian selama tiga semester.

“Saya sudah memfailkan notis di mahkamah dan kes tersebut juga akan didengar pada 8 Mac ini bagi mencabar keputusan Upsi tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment