Tuanku Syed Faizuddin (kiri) bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah (tiga dari kiri) melihat kenderaan yang diubah suai untuk perniagaan selepas merasmikan Bangunan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan, Teknousahawan dan Pelancaran Business On Wheel UniMAP di Pusat Perniagaan, Pengkalan Jaya, Kangar, Perlis.
KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperuntukkan dana khas RM15 juta sebagai modal pinjaman kepada mahasiswa dan bakal graduan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan bergerak diperkenalkan universiti berkenaan, Business on Wheel.
Dana berkenaan menjadi suntikan kepada penuntut untuk memulakan perniagaan sendiri tanpa perlu bergantung kepada pasaran kerja yang kian kompetitif hari ini. Business on Wheel atau lebih dikenali sebagai BOW juga memberi kelebihan kepada pengusaha terbabit untuk menawarkan perniagaan yang lebih sistematik dan mudah bersesuaian dengan keadaan semasa.
"Melalui BOW, dana RM15 juta diperuntukkan hasil usaha sama SME Bank dalam bentuk pinjaman untuk tujuan pembangunan 150 usahawan baru BOW terdiri daripada kalangan graduan, dengan kerjasama UniMAP sebagai agensi pelaksana.
"Setiap peserta akan diberikan pinjaman mudah RM100,000 tanpa perlu disertakan penjamin. Malah, kadar bunga yang dikenakan juga rendah sehingga empat peratus kepada setiap peserta BOW," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena pelancaran bangunan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) serta pelancaran program Business On Wheel, di sini, baru-baru ini.
Projek BOW ialah konsep perniagaan bergerak baru yang diusahakan UniMAP, dengan sasaran bukan saja membawa pembaharuan kepada lanskap bisnes negeri, tetapi turut melonjakkan peranan universiti selaras penubuhan Fakulti Perniagaannya tiga tahun lalu.
BOW mengguna pakai konsep karavan bergerak apabila kenderaan terbabit diubahsuai khusus oleh UniMAP dengan mengambil kira aspek kejuruteraan terkini, untuk memberi lebih daya tarikan kepada bisnes berkenaan.
Walaupun konsepnya tidak ubah seperti perniagaan gerai, suntikan diberikan UniMAP melaluinya, memberikan nilai tambah terbaik terutama kepada graduan yang mahu berjinak dengan dunia keusahawanan sebaik tamat pengajian.
Difahamkan, buat masa sekarang tidak kurang 10 graduan sudah mengesahkan minat untuk menyertai perniagaan bergerak melalui BOW dengan masing-masing mengetengahkan pelbagai konsep berbeza mengikut inisiatif pilihan sendiri.
Antaranya termasuk Nasi Lemak Galaxy dan Briyani World hasil usaha graduan UniMAP yang dianggap sebagai pemangkin kepada pembangunan industri perniagaan bergerak BOW.
Prof Kamarudin berkata, pihaknya yakin hasil usaha UniMAP melalui BOW itu mampu mengubah lanskap perniagaan Perlis terutama yang berkonsepkan bergerak tidak lama lagi.
"Sebagai permulaan kita akan mulakan dengan 10 peserta terlebih dulu dan kini tiga daripada mereka sudah mula beroperasi iaitu dua menggunakan karavan dan selebihnya satu menggunakan motosikal roda tiga.
"Malah, jika ia mendapat sambutan tinggi, kita turut merancang untuk mengadakan 'uptown' khusus sekurang-kurangnya sehari dalam seminggu membabitkan peserta BOW yang diyakini mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan," katanya.
Beliau berkata, perunding usahawan di bawah Technopreneur@UniMAP Sdn Bhd juga akan bertindak sebagai mentor kepada peserta, untuk terus melatih usahawan BOW dari mula mereka berkecimpung, sehinggalah berjaya.
"Mungkin pada permulaan BOW hanya berkisar kepada konsep perniagaan mobile biasa. Namun, tidak mustahil ia mampu mencetus fenomena baru termasuk menarik pembabitan golongan profesional untuk menceburi bisnes sedemikian.
"Jika ini terhasil, saya yakin tidak lama lagi akan muncul doctor on wheel atau dentist on wheel. Atau mungkin juga perniagaan ini dapat diperkembangkan ke satu tahap lagi sehingga ke peringkat francais," katanya.
Graduan yang berminat untuk menyertai program BOW boleh memohon melalui Technopreneur@UniMAP Sdn Bhd untuk mendapatkan pinjaman sehingga RM100,000 sebagai modal, sebelum mengemukakan konsep karavan bersesuaian bagi perniagaan dipilih untuk direka bentuk.
Difahamkan, selain pinjaman maksimum RM100,000 yang ditawarkan SME Bank kepada graduan yang ingin menceburi BOW, Bank Muamalat juga turut menawarkan pinjaman antara RM25,000 hingga RM250,000 kepada orang ramai yang berminat menyertai bidang terbabit.
No comments:
Post a Comment