Pages

Translate

Sunday, April 29, 2012

Demo PTPTN dan dilema gerakan mahasiswa

Terdapat beberapa perkara yang harus difikirkan setelah berlakunya peristiwa Himpunan Mansuh PTPTN pada 14 April yang lepas. Terlebih dahulu sekalung ucapan tahniah kepada anak muda dan rakyat yang berani berhimpun di jalanan bagi mendesak supaya pihak kerajaan memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat sekalian kerana pendidikan adalah milik semua dan bukan untuk diperdagangkan.

Syabas! Namun begitu, seperti yang saya katakan sebelum ini. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan difikirkan supaya perjuangan ini dapat diteruskan tanpa sebuah keresahan cetusan masyarakat masyarakat yang akalbudi ditutup oleh kuasa.

Pertamanya , dalam mana-mana himpunan kita dapati pelbagai kata semangat akan dilaungkan. Kata-kata tersebut adalah berdasarkan intipati dan matlamat demonstrasi atau himpunan tersebut. Perkara ini dapat ditafsirkan apabila kita melihat ketika umat Islam menunaikan haji, mereka akan melaungkan kalimah-kalimah suci Allah bagi menaikkan semangat dan kekuatan umat Islam pelbagai negara serta menyemai tujuan mereka datang ke tanah suci.

Begitu juga dalam satu himpunan , laungkan perlulah mengikut matlamat dan objektif ia diadakan. Tetapi , saya melihat himpunan ini telah ‘dikotori’ dengan laungan-laungan yang menyimpang kearah parti politik. Kejadian seperti ini sebenarnya akan menyebabkan mahasiswa dan anak muda yang ‘tidak faham’ dan sudah ‘didoktrin’ makin jauh kepada gerakan perjuangan ini. Biasa la , kata mereka perjuangan sudah lari dari imej ‘non-partisan’. Sila faham kondisi dan mentaliti anak muda sekarang.

Seterusnya, saya sedia maklum bahawa anak muda begitu marah terhadap pimpinan kerajaan pemerintah sekarang kerana gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada mereka. Namun begitu , tanpa sedar disebalik tirai-tirai kemarahan itu sebenarnya terkandung racun yang bakal digunakan oleh barisan opposisi lawan gerakan mahasiswa bagi mencari salah serta mengalih isu dalam himpunan ini. Kejadian seperti mengalungkan bunga kepada gambar Najib-Khaleed merupakan suatu yang menyentuh sensitviti adat dan agama.

Saya dan masyarakat yang memahami faham bahawa ia adalah sekadar suatu simbolik ‘kematian’ fungsi kedua-dua pemimpin tersebut dalam menyelesaikan isu. Tetapi , bagaimana pula dengan masyarakat yang masih belum tercerah? Mujur ada satu artikel dari Ustaz Fathul Bari dan Wan Ji yang membincangkan hal ini yang menjadi ‘counter propaganda’ bagi dakyah daripada parti kerajaan pemerintah. Umum sedia maklum bahawa parti kerajaan pemerintah akan menggunakan pelbagai medium sebagai senjata sama ada untuk ‘spin’ isu ataupun melakukan ‘personal attack’ kepada gerakan. Jadi , menjadi suatu kewajipan kepada gerakan mahasiswa untuk lebih berhati-hati selepas ini.

Selain itu , ucapan beberapa pemimpin parti politik di hadapan Sogo juga saya rasa sesuatu yang tidak patut berlaku. Memang kita buka kepada semua pihak sama ada dari perwakilan kerajaan ataupun pembangkang untuk menyertai himpunan tersebut. Namun begitu, saya merasakan cukuplah sekadar pimpinan mahasiswa dan rakyat sahaja yang berucap. Tidak perlu ‘dikotorkan’ dengan ucapan pemimpin parti politik. Itulah dilema yang melanda gerakan mahasiswa di Malaysia. Tiada politikus yang tidak mempunyai sebarang kepentingan kerana motif mereka Cuma kuasa. Jadi , gerakan mahasiswa yang bersifat cendiakawan sepatutnya memanifestasikan teras perjuangan mahasiswa yang sepatutnya bersifat cerah dengan keadilan dan bukan politik kepartian.

Akhir sekali, perkara ini sangat penting bagi memastikan lebih ramai anak muda akan menyertai perjuangan kalian. Tanpa penyatuan seluruh mahasiswa, matlamat hanya tinggal matlamat. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada anak muda sekalian. Dataran dan rumput nan hijau menjadi saksi tertangkapnya ribuah pemimpin pelajar dan akademia ketika Demonstrasi Baling 1974.

Namun, lupakan sejarah tersebut kerana pada hari ini anak muda telah mencipta sejarah baru dalam arena politik mahasiwa. Selepas terjadinya peristiwa Reformasi 1998, tidak ada mana-mana himpunan yang berjaya lepas sehingga ke Dataran Merdeka.Kepada anak muda yang masih berkhemah untuk menunggu respons Perdana Menteri, teruskan perjuangan dan jangan mudah putus asa. Teruskan perjuanganmu walau apa pun terjadi demi mendukung sebuah jiwa-jiwa yang adil dalam membentuk Bangsa Malaysia yang tulen.

No comments:

Post a Comment