Pages

Translate

Tuesday, April 10, 2012

Memperkasa sahsiah siswa

PUSAT Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM, fakulti dan kolej kediaman UPM menganjurkan ‘Alumni Mentorship: Professional and Lifeskills’ di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, baru-baru ini.
Program berkonsepkan interaksi antara alumni UPM bersama kira-kira 400 orang pelajar ini membawa kembali lebih 70 orang alumni UPM yang menempa nama dalam pelbagai bidang kepakaran dari seluruh negara. 
Pengarah Pusat Alumni UPM, Prof Madya Dr Mansor Abu Talib, berkata program Alumni Mentorship yang memasuki tahun ketujuh ini adalah inisiatif universiti bagi membawa alumni ke kampus di samping mewujudkan platform memperkasakan sahsiah pelajar sebelum graduasi.

Malah, penganjuran kali ini mencatatkan sejarah kerana buat julung kalinya membawa ramai alumni muda dari sektor korporat, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya berterima kasih atas sokongan dan komitmen alumni UPM malah perkongsian ini sangat mengujakan pelajar yang berpeluang berinteraksi dengan mereka.
“Ia juga peluang terbaik membina rangkaian alumni sebagai rujukan sebelum melangkah alam kerjaya kelak,” katanya.

Program dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Turut diadakan sesi forum bertajuk ‘Professional and Life Skills’ dibarisi panel alumni, antaranya Pengarah Urusan, KMJ Supplies Sdn Bhd, Sabrie Salleh, Pengarah Urusan E9 Media Sdn. Bhd, Yusaini Ali dan pengasas UCEC Wellness & Fitness, Ea Chiang.

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) K Siva, berkata banyak panduan berguna diperoleh hasil perbincangan bersama mentor.

“Program ini menjadi platform terbaik untuk menentukan hala tuju selepas tamat pengajian.

“Ini menjadikan kami peka pada kehendak industri dan pasaran semasa,” katanya.

Pusat Alumni UPM juga mempelawa alumni mendaftar dan mengemaskini profil peribadi mereka dalam Portal Rasmi Alumni iaitu Sistem Pro-Filing Alumni UPM yang boleh dilayari di laman web Pusat Alumni iaitu di http://alumni.upm.edu.my.

Sebarang maklumat lanjut, hubungi Pusat Alumni di talian 03-89467271, 7273 atau 7887.

No comments:

Post a Comment