Pages

Translate

Thursday, May 24, 2012

PTPTN: Pelajar miskin mampu ke IPT

JELI 18 Mei - Rakyat Kelantan terutama golongan miskin tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) sekiranya tiada bantuan daripada kerajaan antaranya menerusi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkara itu turut diakui ramai tokoh korporat negeri ini yang telah berjaya membina kerjaya masing-masing kerana mereka sendiri suatu ketika dulu mengharapkan bantuan kerajaan.
Malah katanya, beliau sendiri menerima bantuan kerajaan ketika belajar di tingkatan satu dan wang itulah yang digunakan untuk keperluan harian termasuk membeli peralatan sekolah serta pakaian.
"Tanpa bantuan ini saya tidak akan berjaya. Sekarang ramai rakyat Kelantan berjaya, ada yang menjadi doktor pakar di Kuala Lumpur dan saya temui ramai individu yang dibantu kerajaan dulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN kepada 2,500 penerima di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, di sini hari ini.
Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, semua penerima bantuan pinjaman itu termasuk yang mendapat biasiswa perlu bersyukur kerana ia membantu mereka dalam kehidupan di universiti kelak.
Jelas beliau, sekiranya PTPTN dihapuskan kesannya akan dirasai rakyat negeri ini kerana kebanyakan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT terdiri daripada golongan miskin.
"Kalaulah PTPTN dihapuskan, maka hanya anak orang kaya yang dapat sambung belajar. Kita orang miskin tidak mempunyai wang yang cukup kerana tidak dapat bergantung kepada PTPTN lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment