Tiki Lafe bertanyakan sesuatu kepada pelatih PLKN di Kem Hijrah ketika lawatan kerjanya di kem tersebut.

KUANTAN - Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) akan mengesyorkan kepada kerajaan supaya menjadikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai program wajib disertai semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau mereka yang berusia 18 tahun di negara ini.

Pengerusi, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, syor itu berikutan program tersebut berkesan dalam mendisiplinkan golongan belia yang menyertainya.

Menurutnya, ia adalah sebuah program yang lengkap yang mengajar mengenai disiplin, sejarah kerajaan dan sistem pentadbiran kerajaan.

“Sehingga kini maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa dan individu untuk menyertai program ini cukup memberangsangkan.

“Sebagai contoh, kita mendapat maklum balas bahawa setakat ini, tiada bekas pelatih PLKN yang terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan di ibu negara 28 April lalu,” katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya di Kem PLKN Hijrah, Penor di sini semalam.

Menurutnya, jika ia dipersetujui, kerajaan juga perlu melakukan sesuatu seperti mengkaji prasarana yang ada atau dibina baru untuk menampung kira-kira 500,000 pelajar lepasan SPM di negara ini.

“Kita sedar jika PLKN diwajibkan, kerajaan perlu menyediakan kem latihan yang banyak dan meningkatkan jumlah kakitangannya seperti jurulatih. Kem sedia ada sekarang boleh menampung tetapi kapasitinya perlu ditambah,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya persepsi negatif segelintir pihak khususnya ahli politik terhadap program tersebut, pihaknya juga ingin mencadangkan supaya setiap ahli politik di negara ini menyertai program PLKN itu.

Menurutnya, majlis ingin mencadangkan usul itu terhadap kerajaan supaya setiap ahli politik tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang menyertai program tersebut dalam tempoh beberapa hari.

“Sekurang-kurang dua atau tiga hari bagi mereka merasai dan menjalani latihan sama bersama pelatih dalam kem kerana ia membolehkan mereka melihat sendiri bagaimana program ini dapat membantu pelatih.

 “Ia secara tidak langsung menolak dakwaan negatif sesetengah pihak mengenai program ini,” katanya.

 Menurutnya lagi, dakwaan bahawa PLKN kurang mendapat sambutan adalah tidak benar sama sekali kerana sehingga kini, pihaknya menerima kira-kira 3,000 permohonan untuk menjadi pelatih sukarela.

“Bagi ibu bapa dan remaja yang berminat menyertainya secara sukarela, kita meminta mereka membuat permohonan lebih awal untuk memudahkan kita menempatkan dan memastikan masalah lain tidak timbul,” katanya.