Pages

Translate

Wednesday, May 2, 2012

Wawancara: KPT pantau status pelajar asing

Prof Datuk Dr Rujhan Mustaffa
Prof Datuk Dr Rujhan Mustaffa

TINDAKAN Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada pelajar asing di negara ini disambut baik ramai pihak yang berpendapat langkah berkenaan satu penegasan kerajaan dalam membendung penyalahgunaan dokumen itu serta mengawal kemasukan warga asing secara mudah. Begitu pun, bukan mudah untuk melakukan pemantauan terhadap pelaksanaan tindakan ini jika ada pihak yang enggan bekerjasama membantu pihak kementerian. Ikuti kupasan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Rujhan Mustaffa mengenai peranan jabatannya dalam memastikan pelaksanaan tindakan terbaru itu seperti disampaikan kepada wartawan Varsiti, KHAIRINA YASIN. 

Boleh Prof jelaskan peranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) khususnya Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dalam melakukan pemantauan terhadap institusi pengajian tinggi (IPT) awam (IPTA) dan swasta (IPTS) selepas pelaksanaan terbaru itu?Dalam melakukan pemantauan ke atas semua IPT, pihak JPT turut berperanan sebagai antara agensi pengawal selia proses pengeluaran visa pelajar. Setiap pelajar yang ingin memasuki IPT di negara ini akan dipastikan hanya mereka yang benar-benar berkelayakan dan ia dilakukan menerusi semakan yang dibuat ke atas maklumat pelajar menerusi sistem e-student ketika IPT mengemukakan permohonan bagi mendapatkan pas pelajar asing. Hanya selepas perakuan dibuat JPT, pas berkenaan akan dikeluarkan pihak Jabatan Imigresen Malaysia kepada pelajar terbabit. Selain itu, JPT turut melaksanakan operasi khas seperti Ops Pelajar Antarabangsa di semua IPT bagi memastikan pengurusan pelajar asing dikendalikan mengikut peraturan sedia ada tanpa sebarang penyelewengan.Sejauh mana usaha IPT di negara ini dalam memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak dan ingin belajar saja ditawarkan mengikuti pengajian di IPT masing-masing. 

Universiti sentiasa peka dan berusaha memastikan setiap pelajar yang mengikuti pengajian di institusi masing-masing adalah pelajar yang benar-benar berkelayakan. IPT menyedari bahawa maklumat berhubung syarat kelayakan masuk ada dinyatakan dalam surat kelulusan pengendalian kursus yang dikeluarkan KPT. Syarat kelayakan masuk dinilai dari segi tahap kelayakan dan kualiti oleh badan profesional seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia. Ini bermakna jika pelajar yang diambil ialah mereka yang tidak memenuhi syarat kelayakan masuk, maka pelajar terbabit tidak boleh berdaftar dengan IPT berkenaan. Malah, jika didapati mana-mana IPT yang melanggar syarat itu, kelulusan bagi menawarkan kursus atau program boleh dibatalkan atau ditarik balik.Selain itu, tindakan perundangan boleh dikenakan ke atas mana-mana IPT selaras dengan peraturan di bawah Seksyen 40, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555). Seksyen itu menyebut bahawa jika sabit kesalahan, IPT terbabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Malah, KPT juga boleh mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menarik balik lesen pengambilan pelajar asing. Setakat ini, enam IPTS telah dikenakan tindakan dengan menarik balik kelulusan diberikan atas pelbagai kesalahan. 

Ramai pihak menyambut baik tindakan tegas KPT dalam menangani masalah berkaitan pelajar asing. Apakah ini tindakan berterusan pihak KPT atau ada kemungkinan sedikit kelonggaran diberikan pada masa depan jika tindakan ini didapati boleh menjejaskan usaha meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa? 

Kita sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap IPT yang menerima kemasukan pelajar asing dengan mengadakan operasi dari semasa ke semasa selain meninjau pengurusan pelajar asing mencapai tahap yang diharapkan. Malah, IPT terbabit juga dikehendaki menyediakan laporan secara berkala pada setiap empat bulan mengenai pelajar asing termasuk mereka yang mempunyai peratusan kehadiran ke kuliah kurang daripada 80 peratus dan prestasi akademik yang lemah supaya siasatan lanjut dapat dijalankan bagi memastikan mereka tidak terbabit kegiatan negatif. Bagi memudahkan urusan pemantauan juga, kita turut mewujudkan sistem data maklumat dikenali sebagai ‘IPT Information Management System (IFMS-IPTS)’ yang menyimpan rekod pelajar asing berdaftar dengan IPTS dan menerusinya, kita dapat melakukan semakan berhubung profil pelajar bagi tujuan tertentu. Kita tidak akan berkompromi dalam soal ini (visa pelajar asing) dan tidak akan ada kelonggaran diberikan kepada mana-mana IPT. Kita mahukan hanya pelajar yang berkualiti dan berkelayakan untuk mengikuti pengajian di negara ini, malah pihak kementerian juga sedang berusaha mendapatkan lebih ramai pelajar tajaan (biasiswa) negara masing-masing dari seluruh dunia agar kita bukan saja dapat meningkatkan jumlah enrolmen pelajar, malah dapat menghimpunkan pelajar terbaik untuk belajar di Malaysia. 
Kedengaran juga rungutan atau bantahan daripada pihak terbabit khususnya kalangan IPTS yang bimbangkan tindakan itu boleh menjejaskan operasi mereka dalam tempoh jangka panjang. Komen Prof? 

KPT berpandangan bahawa tindakan ini tidak akan menjejaskan operasi IPTS kerana masih ramai pelajar asing yang berminat untuk mengikuti pengajian di Malaysia. Ini dapat dilihat menerusi jumlah permohonan kemasukan pelajar asing yang diterima ketika ini. Pelajar asing berpendapat Malaysia antara negara yang menyediakan pelbagai program pengajian bermutu tinggi dan berkualiti dengan kos yang kompetitif. Setakat ini, Malaysia berada pada tangga ke-11 dunia sebagai destinasi pilihan kalangan pelajar asing melanjutkan pengajian dengan penguasaan dua peratus pasaran pelajar antarabangsa. Justeru, tindakan ini antara langkah bagi memastikan pelajar yang memasuki Malaysia adalah mereka yang berkelayakan. 

Ramai berpendapat tindakan ini sepatutnya dilaksanakan lebih awal, namun baru sekarang dikuatkuasakan selepas gejala sosial dan jenayah membabitkan pelajar asing semakin sukar dibendung. Rasional terhadap kenyataan ini. 

Kemasukan pelajar asing ke Malaysia menggunakan VOA dan pas lawatan sosial sebelum mencari mana-mana IPT untuk mendaftar ialah amalan yang sudah lama diguna pakai sebelum ini. Ramai pelajar asing mengambil kesempatan untuk memasuki Malaysia menggunakan kaedah ini, malah tiada sebarang kuota atau kategori khusus bagi menentukan jumlah pelajar asing dari mana-mana negara yang boleh melanjutkan pelajaran di Malaysia. Mereka yang layak bebas untuk memilih Malaysia menjadi destinasi bagi menyambung pengajian di peringkat tinggi. Namun kini, kita telah menetapkan pas pelajar akan hanya dikeluarkan selepas calon yang layak berdasarkan kepada syarat kelayakan kemasukan yang terkandung dalam surat kelulusan menerima tawaran mengikuti pengajian di negara ini. Usaha ini selaras dengan hasrat kita memastikan kualiti pendidikan dan graduan yang dilahirkan menerusi sistem pengajian tinggi di Malaysia berada pada tahap tertinggi serta diiktiraf di peringkat asing. Gejala sosial yang berlaku membabitkan pelajar asing adalah sebahagian daripada masalah yang melanda bukan saja negara kita, sebaliknya negara lain yang turut menerima kemasukan pelajar asing. Namun, jumlah pelajar terbabit adalah rendah jika dibandingkan dengan jumlah pelajar asing yang terdapat di negara ini. Apa saja yang kita lakukan ini adalah untuk memastikan standard dan kualiti tinggi setiap graduan IPT di Malaysia. 

Statistik terkini pelajar asing di IPTA dan IPTS di negara ini setakat ini. Negara yang mencatat kemasukan pelajar asing paling ramai ke Malaysia? 

Sehingga 31 Januari 2012, jumlah keseluruhan, pelajar asing yang berdaftar dengan KPT ialah 91,670 orang iaitu 25,855 di IPTA dan 65,812 orang di IPTS. Nisbah pelajar tempatan dan asing di sesebuah IPT adalah ditetapkan seperti berikut, bagi program prasiswazah IPTA, jumlah enrolmen pelajar asing tidak melebihi lima peratus, manakala IPTS dibenarkan sehingga 80 peratus. Tiada had ditetapkan bagi pengambilan pelajar asing bagi program pascasiswazah. Setakat ini, China, Iran dan Indonesia ialah antara negara yang mencatatkan kemasukan tertinggi pelajar asing ke Malaysia.

No comments:

Post a Comment