Pages

Translate

Wednesday, June 6, 2012

Berita Siswa: Bakal doktor ungguli pertandingan debat

PROF MUHAMMAD menyampaikan piala kepada wakil pendebat FPSK yang
menjuarai Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012.
PROF MUHAMMAD menyampaikan piala kepada wakil pendebat FPSK yang menjuarai Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012.


NILAI: Dominasi baru dalam arena perdebatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya membuktikan bahawa bakal doktor juga mampu bergelar pendebat berkaliber yang petah berkata-kata dengan hujah dan fakta yang boleh mematahkan pihak lawan.

Buktinya, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) buat julung kalinya muncul juara keseluruhan Kejohanan Debat Piala Naib Canselor 2012 yang berlangsung di kampus Nilai, baru-baru ini.
FPSK mendominasi dua daripada tiga kategori yang dipertandingkan iaitu kategori bahasa Inggeris dan bahasa Arab, masing-masing mengalahkan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, manakala kategori bahasa Melayu dimenangi Pusat Tamhidi yang berjaya mengalahkan FSU.
Pendebat terbaik kategori bahasa Arab disandang Muhamad Harith Abdul Rani, manakala Muhammad Alif Md Salleh (kategori bahasa Inggeris).

Muhammad Alif menyifatkan kemenangan itu di luar jangkaannya kerana arena debat di Malaysia semakin berkembang, malah beliau yakin banyak ilmu baru dapat diperoleh menerusi pertandingan debat termasuk membentuk keyakinan diri dan kemahiran berkomunikasi yang sedia ada.

“Debat juga satu medium untuk menyampaikan mesej agama dan mengangkat imej Islam dan insya-Allah saya akan teruskan pembabitan dalam arena ini bagi mengangkat semula imej Islam,” katanya.

Beliau yang juga pelajar pertukaran antarabangsa dari Brunei berazam mempraktikkan ilmu debat yang diperoleh dalam arena debat tanah airnya nanti.
Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Muhamad Muda ketika berucap merasmikan kejohanan itu berkata, arena debat ialah antara bentuk latihan awal mempersiapkan diri sebelum bakal graduan dapat menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Debat juga platform terbaik bagi membangunkan jati diri ke arah pembinaan mahasiswa yang cemerlang selain memperoleh pengalaman yang cukup bermanfaat kepada mahasiswa.

“Saya yakin golongan pelapis debat yang berjaya dilahirkan pada hari ini mampu mengulangi kejayaan yang ditempa pendebat terdahulu untuk terus mengukir nama universiti di persada debat antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment