Pages

Translate

Monday, July 30, 2012

Apabila nilai kemanusiaan tercalar


APABILA memperkatakan mengenai manusia, banyak persoalan mula bermain di fikiran. Apa itu manusia dan apa yang membezakannya dengan makhluk lain? Apa pula yang dikatakan nilai kemanusiaan pada diri seorang manusia?
Manusia adalah makhluk yang diciptakan Allah dan dianugerahi akal, hati, dan fizikal. Secara fizikal manusia hampir sama fisiologinya dengan haiwan, namun ada sesuatu yang istimewa kurniaan Allah kepada manusia iaitu akal yang membezakan antara manusia dan haiwan. 
Sejauh mana manusia menggunakan akal untuk menentukan sisi baik dan buruk setiap apa dilakukan dalam kehidupan sering kali menjadi sesuatu yang sukar dirungkai. Sekiranya manusia itu benar-benar menggunakan akal dengan baik, maka kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang buruk dapat dikurangkan.

Hari ini manusia semakin hilang nilai kemanusiaannya, sekali gus menjadikannya seorang yang sempurna. Mencari kesempurnaan memerlukan proses berterusan agar dapat dikekalkan.

Apa yang kita lihat hari ini fenomena menggerunkan. Fenomena yang mampu membuatkan darah tiba-tiba mendidih dan hati pula tersayat pedih. Adakah kemajuan negara menjadikan manusia hilang nilai kemanusiaannya? Adakah kepesatan teknologi tanpa sempadan penyumbang kepada mencanaknya statistik tidak dijangka? Atau adakah kerana hebatnya naluri ingin mencuba?

Media massa elektronik mahupun cetak saban hari melaporkan berita yang membabitkan nilai kemanusiaan semakin tipis.

Belum lagi kita mendengar kes yang menyentap hati dan perasaan sebagai manusia berakal adalah tragedi menakutkan yang membabitkan tercalarnya nilai kemanusiaan.

Persoalannya, kepada siapa harus dituding jari susulan penularan gejala yang mencalar nilai kemanusiaan ini? Lazimnya, mudah untuk menunding jari kepada orang lain tanpa kita sedar jari-jari lain berbalik kepada kita. Jika diamati, pokok asasnya adalah tapak pendidikan agama yang mantap. Setiap manusia yang beragama mempunyai pegangan masing-masing, sekali gus mampu menjadi benteng diri. Pegangan agama yang kuat boleh membimbing sesebuah masyarakat ke arah jalan yang betul dan benar.

Perasaan ingin tahu, meneroka dan mencuba sesuatu perkara yang baru adalah tahap perkembangan normal bagi peringkat remaja yang sedang dalam fasa mencari identiti diri.

Mereka terdedah dengan perkembangan dunia teknologi tanpa sempadan. Peringkat ini adalah paling sukar dan disertai pengalaman baru.

Dorongan kejantinaan semakin merumitkan hubungan dengan orang lain. Keupayaan fizikal semakin kukuh. Tarikan kuat terhadap pergaulan bebas dan pengaruh rakan sebaya dikenal pasti menjadi sebab utama remaja mudah melanggar nilai dan norma masyarakat.

Keadaan ini pula sangat berkait rapat dengan pengaruh emosi yang sangat mudah meresapi jiwa remaja, iaitu mahukan melakukan sesuatu yang menyeronokkan, mencabar dan memberi kepuasan diri.

Justeru dalam fasa ini, individu paling berpengaruh ialah rakan sebaya.
Pemilihan rakan sebaya amat penting bagi memelihara sahsiah dan jati diri. Ibu bapa juga tidak terkecuali daripada memainkan peranan dalam menolak kelangsungan gejala sosial yang tidak kesudahan.

Ibu bapa disarankan mempelajari ilmu motivasi dan pendidikan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan anak sebagai teman dan adakalanya perlu bertegas.

Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, pembabitan dalam program pembinaan ukhwah dan jalinan kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadah santai bersama keluarga dan sebagainya.

Setiap anggota masyarakat juga mestilah berperanan membimbing mereka yang terjebak dengan maksiat atau gejala sosial supaya kembali ke pangkal jalan.
Masyarakat perlu lebih peka dan diberi hak menegur.

Hanya menggunakan pendekatan matang, sesuai dan berhikmah, kita mampu membimbing golongan ini kembali ke dunia penghidupan sebenar sekali gus menyelamatkan mereka daripada terus hanyut.

Penulis sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor.

No comments:

Post a Comment