Pages

Translate

Monday, July 23, 2012

Mappim tolak usul benar pelajar bawa iPad, telefon

SHAH ALAM – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Pendidikan Islam (Mappim) menolak usul Kementerian Pelajaran mengenai cadangan membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah.

Presidennya, Misswadi Sarvini berkata, sekiranya usul tersebut diluluskan, ia akan mengundang risiko kepada pelajar melibatkan pergaduhan, kecurian dan fitnah.

“Perkara tersebut pernah dilaksanakan beberapa tahun lalu, namun mendapat tentangan hebat daripada ibu bapa, pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sebagai salah satu NGO yang memantau kecemerlangan pelajar, kami tidak bersetuju jika usul ini dilaksanakan memandangkan pelbagai komplikasi dan impak kepada pembelajaran murid,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan Jawatankuasa Disiplin untuk membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah menerusi Draf Peraturan Pendidikan Disiplin Murid 2012.

Misswadi berkata, terlalu banyak keburukan daripada kebaikan sekiranya usul tersebut dilaksanakan dan pihaknya berpendapat masih terdapat kaedah lain yang lebih sesuai untuk memantau pergerakan pelajar.

“Saya berharap kementerian mencari mekanisme yang berkesan dalam membantu ibu bapa agar anak-anak mereka tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah atau sosial.

“Cadangan kami adalah setiap sekolah menyediakan bilik khas untuk berkomunikasi atau pondok telefon bagi memudahkan pelajar menghubungi keluarga,” katanya

No comments:

Post a Comment